Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


Isnin, 6 Oktober 2008

‘Amin…Paparan Realiti Kehidupan Masyarakat di Lorong Chow Kit’

Arahan dan Lakon Layar : Cut Mutia Teuku Iskandar
Penolong Pengarah : Amy Ikram Ismail
Pengarah Sinematografi : Tayanithi Ramanujem
Pengurus Produksi : Zulman Zeki Supardi
Penerbit Eksekutif : Norazawana Jurami, Aswara

Tarikh Tayangan : 9 Disember 2006 ( telahpun ditayangkan ) di Panggung Aswara




• menjadi wakil tunggal Malaysia ke Festival Antarabangsa Kodak di Melbourne, Australia 2006.
• Filem Pendek Terbaik, Pengarah Sinematografi Terbaik dan Penataan Seni Terbaik di Festival Filem Pelajar Malaysia 2006




‘Amin’, naskhah Terbaik 2006 arahan dan lakon layar Cut Mutia Teuku Iskandar yang telah memenangi Filem Pendek Terbaik pada malam Festival Filem Pendek Pelajar 2006. Walaupun sudah hampir 2 tahun berlalu, ‘Amin’ adalah naskhah pertama pengarah dan juga selebriti, Cut Mutia ini mengisahkan gelodak jiwa seorang anak kecil, Amin yang terperangkap dalam kasih sayang sebuah keluarga terpinggir yang hidup di tengah-tengah kesibukan bandaraya Kuala Lumpur, Chow Kit. Amin dibesarkan oleh seorang mak nyah yang dianggap ibu kandungnya, setelah ibunya sendiri sukar menerima kehadiran dirinya, kerana Amin adalah anak luar nikah hasil ‘sundal’ ibunya, Mariam seorang pelacur murahan di Chow Kit. Filem pendek yang berdurasi 10 minit ini diterbitkan oleh ASWARA movies ini adalah projek tahunan 2006 yang telah melonjak naik nama ASWARA di persada perfileman ‘film school’ sehingga ke peringkat antarabangsa.






‘Amin’ adalah sebuah kisah masyarakat terpinggir yang benar-benar terjadi dalam kehidupan di Malaysia. Berlatarbelakang kan kota metropolitan yang disegani, Kuala Lumpur tersimpan suatu cerita dan tragedi yang menyayat hati di tengah-tengah kebanjiran warga Chow Kit yang rata-ratanya mempunyai sejarah dan kisahnya yang tersendiri. Amin di besarkan tanpa kasih sayang wanita sejati, dan hanya belaian ibu tirinya, Zainab seorang mak nyah tua yang berwawasan telah membesarkan Amin sehingga membuatkan Amin mencuba dan mencari siapakah ibunya sendiri. Amin dibesarkan dengan ilmu agama yang cukup oleh Zainab dengan menghantar Amin ke sekolah agama agar ia tidak terjerumus dalam kancah maksiat yang bermaharajalela di Chow Kit. Walaupun berlatar belakangkan kancah pelacuran dan pergolakan hidup masyarakat yang berdosa, namun naratif ‘Amin’, mengajak penonton berfikir sejenak bahawa dalam kehidupan ini, jangan menyalahkan takdir dan masyarakat yang tidak diterima hukum alam, golongan mak nyah ini sebagai golongan yang tidak bermaruah.





Dalam ‘Amin’, perbezaan status dan jantina dikupas begitu drastik dengan paparan perilaku kedua-dua watak, Mariam ( pelacur wanita ) dan Zainab ( mak nyah tua ). Mariam digambarkan memiliki kesempurnaan hati tetapi kecundang pada lelaki demi mencari sesuap rezeki untuk hidup, manakala Zainab seorang mak nyah tua yang sudah insaf dan mempunyai perikemanusiaan sehingga membesarkan Amin seperti anak kandungnya sendiri, walaupun hakikatnya dia adalah lelaki, bukannya wanita. Pergolakan hidup memaksa Zainab membesarkan Amin dengan nilai agama demi menjauhkan diri daripada ibu kandungnya, Mariam seorang pelacur yang tidak sedar diri. Amin mencari demi kasih sayang siapa ibunya sebenar dan ini memaksa Mariam menjauhkan Amin daripadanya kerana ‘anak luar nikah’ hasil yang tidak halal dan sah. Impak yang membuat kita berfikir ialah jangan membezakan taraf manusia dalam kehidupan bermasyarakat kerana naskah Amin sendiri memberikan petunjuk kepada kita bahawa golongan transeksual yang tidak diterima hukum alam itu masih mulia dalam nilai perikemanusiaannya. Dan ini menjelaskan secara langsung bahawa golongan mak nyah adalah lebih mulia daripada seorang wanita. Itulah lumrah alam yang wajar diterima apabila anda menonton Amin, filem pendek arahan Cut Mutia ini. Ingat jangan pulak menjadikan ia sebagai isu yang kontroversi apabila anda menonton Amin..





Justeru, pencarian Amin dalam menyempurnakan hati ibunya, Mariam agar menerimanya tidak kesampaian kerana sampai akhir nanti pun, ibunya masih tidak dapat menerima Amin sebagai anak kandungnya. Filem ini berakhir cukup mengujakan minda kerana ia memaksa kita supaya membuat penilaian bahawa adakah kita mulia disisi para penciptanya dalam mengurus sebuah kehidupan. Walhal kita hidup di dunia penuh dengan hipokrit yang tiada gunanya. Jadikan Amin sebagai renungan bersama kita dalam membuat pemilaian kepada kehidupan bermasyarakat golongan terpinggir.

p/s: amy mengharapkan Amin ada kesinambungannya.. jika dijadikan telemovie atau drama bersiri pasti rating penonton cukup tinggi..

0 comments :