Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


Khamis, 9 Oktober 2008

Mampukah Filem Malaysia di Globalkan?

Rugi rasanya terlepas menghadiri forum yang dianjurkan UiTM baru-baru ini di Puncak Perdana, Shah Alam pada Rabu lepas. Namun begitu, walaupun sekadar membaca ulasan tulisan Abd Aziz Itar, saya rasakan forum tersebut cukup panas dan sensasi.. Adakah forum tersebut didokumentasikan oleh UiTM?. Kalau ada.. war warkan pada saya dan teman blogger lain ye..



FORUM BERSAMA YASMIN AHMAD, KHALID MAULOD DAN SHUHAIMI BABA..
Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my


DIALOG Puncak Perdana Pengantarabangsaan Filem Malaysia disertai tiga ahli panel (dari kiri) Shuhaimi Baba, Yasmin Ahmad dan Khalid Maulod. Gambar MOHD. NOOR AMIN --------------------------------------------------------------------------------



SESEBUAH filem terutamanya filem Melayu yang diterbitkan bukan setakat untuk tontonan masyarakat setempat semata-mata, tetapi ia juga boleh diperluaskan dengan cara mengedar, menjual atau menayangkannya di luar negara.

Untuk mencapai hasrat tersebut, sesebuah filem itu haruslah mempunyai nilai-nilai global seperti kekuatan jalan cerita, lakon layar, tema, latar tempat, selain elemen-elemen identiti budaya tempatan agar ia mudah menarik penonton di peringkat antarabangsa.

Justeru, sesebuah filem tempatan seharusnya mempunyai faktor-faktor itu sebelum ia boleh diantarabangsakan dan diterima tonton oleh para peminat daripada segenap lapisan usia dan masyarakat walau di mana-mana juga.

Bagi mengupas formula itu, Fakulti Teknologi Kreatif & Artistik (FACT), Universiti Teknologi Mara (UiTM) menganjurkan Dialog Puncak Perdana - Pengantarabangsaan Filem Malaysia di Kampus UiTM Puncak Perdana, Shah Alam, Selangor petang kelmarin.

Dialog yang disertai oleh tiga ahli panel iaitu Pengarah Pembangunan, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Khalid Maulod serta pengarah filem, Shuhaimi Baba dan Yasmin Ahmad itu banyak mengupas tentang cabaran yang terpaksa ditempuh sebelum hasrat itu dapat direalisasikan.

Insentif kewangan

Menurut Khalid Maulod, sebagai agensi kerajaan yang bertanggungjawab menggalak dan membantu industri perfileman tempatan, Finas telah melakukan pelbagai cara termasuklah memberi insentif kewangan kepada penerima yang layak bagi membangunkan bidang tersebut.

"Kalau kita bercakap tentang di mana tahap kita berada sekarang ini dalam usaha untuk mengantarabangsakan filem-filem Malaysia, saya rasa ia sedang melalui proses itu.

"Kalau daripada perspektif Finas sebagai pentadbir, kami antaranya telah melaksanakan Dasar Filem Negara yang telah diluluskan pada Mac 2005. Banyak yang telah kita laksanakan daripada dasar itu, termasuklah soal mempromosi dan memasarkan filem-filem tempatan di luar negara.

"Contohnya, sejak 2006 Finas telah membantu memasarkan filem-filem tempatan di pasaran filem seperti di Hong Kong dan Perancis. Bulan depan pula kita akan ke pasaran filem di Santa Monica, Amerika Syarikat," katanya.

Peranan Finas itu memang tidak perlu dinafikan, tetapi menurut Shuhaimi Baba, sebelum usaha untuk memasar atau mengantarabangsakan sesebuah filem itu dilakukan, perkara penting yang harus ditekankan ialah soal skrip yang bermutu.

Kata pengarah filem 1957: Hati Malaya ini, skrip yang bermutu bukan sahaja tidak banyak dan sukar dihasilkan dalam industri perfileman tempatan, malah tidak banyak juga usaha ke arah itu yang dilaksanakan bagi mengatasinya.

Kekurangan skrip

"Setakat ini tidak banyak tindakan yang diambil bagi mengatasi masalah kekurangan skrip yang bagus. Untuk menghasilkan skrip yang baik kita kena ambil masa dan ia juga susah untuk dihasilkan.

"Cuba anda renung sejenak bahawa kita sudah ada banyak stesen televisyen sejak lebih 20 tahun lalu. Tetapi rasanya, setakat ini belum ada drama kita misalnya, yang menang anugerah di peringkat antarabangsa. Apa sebabnya? Kerana kita tidak ada banyak skrip yang bermutu," ujarnya.

Ketika mencelah tentang usaha untuk mengantarabangsakan filem-filem tempatan, pengerusi dialog, Dr. Mahadi J. Murat menambah, usaha juga seharusnya ditumpukan bukan sahaja kepada pembangunan karya-karya yang bermutu, tetapi juga aspek skop pasaran yang lebih efektif.

Beliau memberi contoh, negara-negara Asean yang mempunyai lebih 200 juta penduduk terutamanya dalam kelompok yang menggunakan bahasa dan budaya yang sama iaitu Melayu haruslah diberi tumpuan dalam usaha ke arah pengantarabangsaan tersebut.

"Asean boleh dikatakan berada dalam kelompok alam Melayu yang agak besar di mana selama ini kita lebih banyak didominasi oleh filem-filem Hollywood dari Amerika Syarikat. Mengapa kita tidak banyak halakan pasaran filem-filem kita di kawasan dunia Melayu Asean ini," soal Dr. Mahadi.

Berhubung cadangan itu, Khalid Maulod yang menjelaskan perkara itu berkata, sejak sekian lama Finas lebih banyak menumpukan kepada soal strategi pemasaran dan pembangunan filem sesuai dengan peranan perbadanan tersebut.

"Tetapi pada masa sama kami turut mengadakan banyak usaha lain bagi membantu mencapai hasrat itu. Contohnya, Finas sudah banyak kali menganjurkan pertandingan menulis skrip, bengkel penulisan skrip dan Master Class.

"Misalnya, kita pernah menjemput tenaga pengajar filem, Jeffry Kilmore dari Sundance, Amerika Syarikat dalam program Master Class untuk mencapai tujuan tersebut.

"Malah, kita turut membantu kos membiayai pengajian para pelajar dalam bidang ini seperti mereka yang datangnya dari Aswara (Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan). Mereka yang layak boleh memohon bantuan yang telah disediakan oleh Finas itu," katanya lagi.

Dalam usaha untuk memajukan lagi industri perfileman tanah air, Yasmin pula berpendapat, setiap penggiat filem perlu mempunyai inisiatif sendiri tanpa terlalu bergantung kepada pihak kerajaan termasuklah bantuan daripada Finas.

Jelas sutradara filem Mukhsin ini, para pembikin filem terutama golongan Melayu haruslah lebih berdaya saing dan berusaha gigih bagi meninggikan taraf dan mutu karya-karya mereka sama seperti bangsa-bangsa lain di negara ini.

Sedar diri

"Kita (orang Melayu) seharusnya tidak terlalu mengharapkan kepada bantuan Finas semata-mata, tetapi kita juga kena menganggap kita ini seperti orang bukan Melayu. Para pembikin filem kita haruslah sedar diri dan berdikari.

"Jangan harapkan pihak kerajaan kerana mereka juga ada banyak perkara lain yang hendak difikirkan, misalnya untuk menyediakan kemudahan hospital untuk kemudahan rakyat dan sebagainya. Sedangkan filem ini mungkin sesuatu yang kurang penting," komennya penuh makna.

Pada masa sama, Yasmin turut menegaskan pendiriannya bahawa pengisian yang paling penting dalam sesebuah filem sebelum ia dapat diantarabangsakan ialah penerapan soal nilai-nilai kemanusiaan yang diselitkan di dalamnya.

Ujarnya, beliau bukan menentang idea yang menekankan tentang pengetengahan soal budaya dan bahasa dalam karya-karyanya, tetapi ia hanya merupakan perkara-perkara sampingan yang membantu dalam kekuatan sesebuah filem yang akan dihasilkan.

"Saya perhatikan filem-filem dari luar negara yang berjaya contohnya, dari Korea kuat dengan penerapan unsur-unsur kemanusiaan dan mendapat sambutan ramai. Ini lebih penting daripada kita sibuk mahu memartabatkan budaya Melayu. Di mana Melayunya kita ini?

"Sedangkan songkok yang kita pakai sekarang ini pun diambil daripada budaya luar, contohnya dari India. Bagi saya, apabila kita bercakap tentang nilai-nilai kemanusiaan dalam filem ia lebih bersifat antarabangsa," tegasnya.

Bagaimanapun, pendapat Yasmin disanggah oleh Khalid Maulod yang menyifatkan, dalam sesebuah filem Melayu itu, elemen-elemen seperti bahasa dan budaya sepatutnya dipelihara serta diketengahkan dengan sebaik mungkin.

Elemen budaya dan sejarah juga merupakan antara intipati yang mampu mengangkat sesebuah filem tempatan di peringkat antarabangsa seperti mana yang ditekankan oleh Presiden Persatuan Pengeluar-Pengeluar Filem Malaysia, Ahmad Puad Onah pada dialog itu.

Menurut beliau, Finas misalnya haruslah menyediakan dana khas bagi menerbitkan sekurang-kurangnya lima buah filem setahun yang bertemakan sejarah dan budaya bagi mengisi ruang kekosongan dalam genre tersebut.

"Korea misalnya, setiap tahun menerbitkan lima buah filem yang bergenrekan sedemikian di mana ia mendapat bantuan daripada pihak kerajaan di sana. Saya difahamkan di Vietnam, Laos dan Thailand juga melakukan perkara yang sama.

"Kalau setahun kita berjaya terbitkan filem seperti itu, maka dalam lima tahun sahaja kita akan ada 25 buah filem. Sampai bila kita hendak bergantung kepada filem seperti Paloh, Bukit Kepong atau 1957: Hati Malaya pada setiap tahun," katanya.

Pendekatan itu turut disokong oleh Dekan FACT, Prof. Dr. Hatta Azad Khan yang menyarankan agar kerajaan menerusi Finas menyediakan dana khas bagi membantu mengantarabangsakan filem-filem tempatan.

"Contohnya, kita sediakan dana dalam RM10 juta setahun bagi membantu lima orang pengarah atau penerbit yang berkelayakan bagi membiayai penerbitan filem-filem mereka.

"Ini kerana, kita ada ramai pembikin filem yang bagus tetapi menghadapi masalah kewangan dalam menerbitkan filem yang ada unsur-unsur budaya dan sejarah. Kita tidak boleh halang orang lain yang mahu bikin filem-filem komersial ringan.

"Ini kerana, industri atau pasaran untuk filem-filem seperti itu memang tetap ada. Dalam hal ini, saya cadangkan Finas wujudkan suatu geran untuk membantu golongan penerbit filem yang memerlukannya terutamanya penerbitan filem-filem berunsur budaya," ujarnya.

Jelas Dr. Hatta dalam senario itu, beliau sendiri pernah menghadapi masalah apabila hampir tujuh syarikat produksi menolak permohonannya untuk menerbit serta mengarahkan filem Wayang baru-baru ini.

Sesi dialog yang berakhir awal senja itu disertai oleh 100 peserta termasuk pensyarah FACT, para pelajarnya serta kalangan penggiat dalam industri perfileman tempatan

0 comments :