Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


Khamis, 16 Oktober 2008

‘Rakaman Ruang yang Cukup Menyesakkan… Pungguk Rindukan Bulan, realiti masyarakat yang kusam’


Oleh: Amy Ikram Ismail

‘Kelam, kotor dan Jijik’, merupakan kawasan persekitaran yang boleh digambarkan bagi sesetengah kediaman yang beraras tinggi dengan kepadatan penduduknya yang mencecah ratusan orang, apatah lagi dengan perilaku sosial yang mengancam kehidupan seharian. Itulah yang boleh dikatakan menerusi naskhah ‘Punggok Rindukan Bulan (PRB)’, sebuah rakaman sosial masyarakat flat yang terpinggir ditengah-tengah kemodenan persekitarannya, arahan pengarah muda, Azhar Rudin. Filem yang diterbitkan oleh Amir Muhammad dan Tan Chui Mui ini yang dibarisi Saeful Nazhif Satria, Shahronizam Noor dan Maya Karin ini mengisahkan pergolakan jiwa dan kekosongan hati anak muda bernama Sidi yang hidup bersama bapanya Adman setelah pemergian ibunya, Roza ke Indonesia atas alasan untuk mencari keluarganya, sekaligus membuatkan kedua-dua watak ( Sidi dan Adman ) seperti kekosongan jiwa, sedih dan agak membosankan dengan gambaran beberapa shot dan visual yang disengajakan terlalu lama di framekan sehinggakan beberapa minit lamanya.



Imej yang difokuskan di dalam gelap semasa Adman pergi memancing bersama Sidi dan rakan-rakannya, tanpa bantuan cahaya yang terang dan hanya berpandukan umbun api yang dinyalakan nyata memberikan maksud yang tersirat disebalik kekosongan jiwa sebuah keluarga terpinggir yang hidup di sebuah kawasan flat yang hanyir dengan jiwa masyarakatnya. Rakaman sosial tentang perilaku segelintir masyarakat flat yang diwakili Sidi dan beberapa rakan-rakannya yang hidup ditengah-tengah kemodenan dan kerancakkan bandar Johor meresahkan dan menyesakkan lagi keadaan, apabila sesetengah dari mereka terperangkap dalam permainan hidup yang tiada nokhtahnya. Keadaan flat yang tidak berubah seperti salah sebuah lokasi flat di Bangsar, Kuala Lumpur dengan kerosakan lift, persekitaran yang kotor, busuk dan hanyir ini cukup menjadikan filem ini sebuah rakaman yang mempunyai plot dan naratif yang agak kuat. Ia seakan-akan sebuah dokumentari khas tentang ‘penduduk flat di Johor’ yang merangkumi cara hidup, pergaulan dan persekitaran yang senarionya cukup menggambarkan keperitan dan kegelisahan serta kerosakan sesetengah cara hidup kelompok masyarakat yang cuba ingin diketengahkan Azhar Rudin dalam garapan naskhah ulungnya ini, yang akan berakhir tayangannya dalam minggu ini di International Screen, GSC.

Muzik latar yang tiada langsung dalam filem ini jelas nyata menggambarkan ia sebuah naskhah daripada pembikin filem bebas yang rata-ratanya kurang menjadikan muzik latar sebagai plot utama, tetapi Pungguk Rindukan Bulan ini hanya berpaksikan naratif, lakonan dan rakaman visualnya. Pemilihan lokasi di Johor yang memfokuskan keseluruhan cerita pada kehidupan flat murahan yang mempunyai banyak cerita yang tersirat amat bersesuaian dengan tema dan kehendak penceritaan ‘Pungguk Rindukan Bulan’ yang boleh dikatakan sebuah cerita tentang penantian, kerinduan, kekosongan dan kegelisahan segelintir watak dan perawatakan yang digambarkan. Penggunaan teknik cahaya atau sinematografi dalam filem ini tidaklah sekuat filem komersial lain yang agak keterlaluan, tetapi kesederhanaan sinematografinya dan rakaman visual melalui kualiti video mungkin susah untuk menarik penonton ke pawagam, tetapi saya rasakan Pungguk Rindukan Bulan ini dibikin oleh sutradaranya dan penerbitnya adalah sasaran untuk ke peringkat antarabangsa. Oleh itu, sambutan tayangan untuk penonton di Malaysia adalah agak kecewa atas naskhah ini. Namun, Pungguk Rindukan Bulan boleh dianggap sebagai sebuah filem doku-drama yang mempunyai falsafah dan naratifnya yang tersendiri. Mungkin antara ya atau tidak, kutipan terhadap naskhah ini tidaklah sehebat filem lain yang ditayangkan dipawagam.

Keseluruhan: ***

2 comments :

quote: "..mengisahkan pergolakan jiwa dan kekosongan hati anak muda bernama Sidi yang hidup bersama bapanya Adman setelah pemergian ibunya, Roza ke Indonesia atas alasan untuk mencari keluarganya"

..Indonesia??? ..arramak! aku tertinggal babak tu erk?

okay.. scene Indonesia mana ada bro.. cuma dialog antara Shahronizam Noor ngn watak lelaki tue aku lupa ar nama kat warung makan.. dia cakap 'Roza ke Indonesia.. cari keluarganya'.. pas tue review Abd. Wahab Hamzah kat dlm utusan jugak menyatakan perkara yang sama. Tapi.. scene armani tak de la.. nak tengok.. kesian gak dlm panggung gsc semalam kat pavillion.. aku ngn member aku je gie tengok.. aku dua orang.. yg lain kosong.. ok tak pe.. janji aku tengok ...