Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


BELAGU BUKTI KEMAMPUAN SENI DAYANG

Persembahan Dayang diiringi Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) membuktikan kemampuan Dayang membawakan seleksi lagu klasik melayu tampak elegan dan mewah.

NABIL AHMAD, DOUGLAS LIM, DR J.RAM TAMPIL DALAM FAMILY FUED MALAYSIA BERMULA 27 MAC INI

Alami pengalaman penontonan baharu melalui Family Feud Malaysia di Astro yang diadaptasikan dari sebuah program tv terkenal luar negara.

ASTRO RAIKAN RAMADAN DENGAN SAJIAN PELBAGAI RANCANGAN DAN PROGRAM MENARIK

Sempena bulan Ramadan penuh keberkatan, Astro tampil meraikan Ramadan dengan pelbagai karya tontonan khususnya buat pelanggan Astro.

ANTARA MITOS DAN FANTASI. HARUM MALAM SETARAF FILEM SERAM HOLLYWOOD?

Bukan sahaja sebagai sebuah karya seram tempatan yang berbeza, namun Harum Malam wajar diakui sebagai sebuah filem Malaysia bertaraf antarabangsa.

VIU DAN ASTRO JALIN KERJASAMA STRATEGIK?

Alami pengalaman penontonan baharu melalui kerjasama strategik antara viu dan ASTRO yang mampu membuka lebih luas pasaran dalam bidang penyiaran dengan pelbagai rancangan terbaik seluruh Asia.

Ahad, 30 November 2008

KLIFF 08 Awards Night: Filem Malaysia hanya di hargai di Anugerah Khas Juri?.


Congratulations to all winner in KLIFF 08 Awards Night at PWTC semalam. Kecewa jugak filem Malaysia, Wayang tidak memenangi satu pun kategori Perdana di malam tersebut, melainkan Anugerah Khas Juri yang telah diberi bagi menghargai para karyawan yang telah bersusah payah menaikkan unsur seni dan budaya melalui Wayang arahan Dr Hatta Azad Khan terbitan UiTM. Mungkin filem kita tidak layak langsung dipertandingkan antara yang terbaik pada malam KLIFF 08 kerana lihat sahajalah kebanyakkan filem kite hanya pentingkan komersial dan kurang menerapkan ideaologi dan falsafahnya, melainkan filem Wayang. Cuma, apabila Wayang berentap dengan filem-filem dari negara Asia lain, terfikir saya apakah filem kite layak memenangi sebarang kategori perdana di Malam tersebut. Lihat sahajalah filem-filem luar yang lebih bagus dari filem Malaysia. Cuma, sekiranya Yasmin Ahmad menghantar karya Muallafnya untuk KLIFF 08, nescaya filem kite akan menggondol Anugerah Filem Terbaik, barangkali. Tetapi, kata teman saya, KLIFF o8 kan International Film Awards.. jadi kalau Malaysia menang, apa kata delegasi luar, tuan rumah menang sedangkan filem-filem luar lagi touching dari filem Malaysia. Filem Iran, Canada dan Jordan boleh dikatakan antara filem yang difokuskan pada malam tersebut, kerana plot penceritaan dan naratif mereka lebih higher daripada karya kite. Cuma yang saya nampak, antara kesemua filem Malaysia, filem Wayang dan Muallaf sahajalah antara filem yang terbaik di Malaysia. Yang lainnya?. hanya pentingkan keuntungan daripada idealogi pemikiran yang dipersembahkan. Kita sebenarnya tidak boleh menidakkan keuntungan dan aspek komersial dalam sesuatu perniagaan terutamanya perfileman, kerana aspek inilah yang membuatkan point kewangan kite bertambah. Tetapi, apakah pulak point bagi filem berkualiti yang kurang mendapat sambutan masyarakat?. kalau macam itulah, karyawan kite di Malaysia akan mengambil risiko yang tinggi atas keuntungan untuk membikin filem berkualiti, takut tak dapat sambutan. Apakah subjek itu penting dalam garapan setiap plot dan visualnya?. Jadi, mungkin para produser filem akan lebih banyak menerbitkan filem ringan yang longgar pemikirannya. Justeru, untuk KLIFF 09, saya berharap nama Yasmin Ahmad akan tersenarai dalam top 5.. insya-allah.. apa-pun saya menunggu sinema kite kalau ada lagi mana-mana pengarah yang mahu menjadi seperti Yasmin Ahmad.. so next year ada lagi satu event dari FINAS, Malaysian Film & Video Awards 2009 yang akan di adakan di UPM.. so.. pada karyawan muda.. apa tunggu lagi.. hantarlah karya anda...




Sabtu, 29 November 2008

Filem Terbaik Asia: Mampukah filem Wayang menjuarai sebarang kategori Malam ini di KLIFF 2008 Awards Night?





Malam ini, pukul 9.00 malam secara langsung kepada anda KLIFF 2008 ( Kuala Lumpur International Film Festival 2008) di PWTC Kuala Lumpur. Bagi anda yang sudah mendapat jemputannya, jangan lupa untuk meluangkan sedikit masa untuk sama-sama menghadiri malam yang cukup berprestij ini yang akan meraikan karyawan-karyawan tempatan dan antarabangsa. Di antara 8 kategori filem yang terpilih dari pelbagai pelusuk negara, mampukah filem terbitan UiTM ini, Wayang naskah Dr.Hatta Azad Khan dinobatkan sebagai filem Terbaik Asia disamping filem-filem dari Jordan, Korea, Taiwan dan Iran?. Sekiranya, Wayang menggondol anugerah ini, mungkin ia akan memberi tamparan hebat buat semua yang mengkritik filem ini dari sudut negatif, kononnya ia sebuah filem 'budaya' yang tiada unsur komersial. Bagi saya, Wayang sebuah filem yang cukup rencahnya, penuh sombolisme, tinggi falsafahnya dan cukup intelektual berbanding filem-filem komersial lain yang tiada arus kritikan mahupun idealoginya. Jika Wayang tidak terpilih sekalipun sebagai filem Asia Terbaik, ini mungkin tidak akan mengecewakan kerana KLIFF 2008 bukannya sebuah festival filem seperti Cannes dan apapun saya mengharapkan agar Wayang juga diikitiraf sebagai filem terbaik dari sudut yang lain sekiranya kegagalan ia sebagai naskhah terbaik Asia. Justeru, kepada karyawan Malaysia lain yang tidak tercalon di dalam TOP 5 KLIFF 2008, jangan bersedih kerana rezeki kite adalah berbeza.. Apapun.. saya masih menunggu filem Yasmin Ahmad, Muallaf dicalonkan di KLIFF tahun depan.... insya-allah..

Jumaat, 28 November 2008

Kisah Cinta yang menggugat Erti Sebuah Persahabatan........ KINTA tonjolkan lelaki berbadan sasa?


Semalam telah berlangsungnya Tayangan Perdana Filem Malaysia, KINTA arahan CLHor sempena KLIFF 08 di GSC Pavillion Kuala Lumpur. Sesi tayangan yang dihadiri tetamu VIP dan para delegasi yang menyertai KLIFF 08 rata-ratanya memberikan komen yang positif terhadap filem terbitan Blackbox Pictures ini yang bakal ditayangkan pada umum, mulai 4 Disember 2008. Filem kedua arahan CLHor, selepas filem The 3rd Generation yang ditayangkan pada 2 tahun lepas, KINTA bakal memecahkan sejarah dunia, apabila terpilih sebagai Filem Malaysia pertama yang akan ditayangkan di US ( Amerika Syarikat ) pada tahun 2009. Pembukaan filem KINTA nyata menyuntik justifikasi baru terhadap sinema tempatan kerana KINTA menghidangkan plot yang agak kuat dan turut dibantu dengan sentuhan sinematografi yang memukau pandangan apabila filem ini merakamkan visual yang cukup cantik dan penuh artistik. Rakaman visual yang merakamkan pemandangan bukit bukau yang berlatarbelakangkan Malaysia memberikan signifikan baru bahawa inilah filem Malaysia yang berwajah antarabangsa apabila keseluruhan filem ini seperti karya dari Hong Kong, China mahupun Thailand. Tetapi, sebenarnya ia sebuah filem Malaysia yang cukup cantik sinematografinya. Jika dilihat dari sudut penceritaan mahupun susunan plotnya, KINTA menghidangkan suatu elemen penceritaan yang mempunyai susunan plot point yang cukup sempurna, malahan ia menampilkan pelakon-pelakon lelaki yang 'hot' dengan rakaman bentuk tubuh yang tough dan menggiurkan terutamanya bagi penonton wanita terutamanya, anak-anak gadis remaja. Cuma, persoalan di sini ialah tentang isu berkemban pelakon wanita di dalam filem KINTA. Apakah ia wajar di lakukan scene tersebut dan tahun bilakah scene tersebut di gambarkan?. Dan relevenkah scene tersebut dilakukan bagi menggambarkan golongan wanita di dalam rumah bagi masyarakat Melayu?. Mungkin sutradaranya ingin memberi gambaran masyarakat melayu pada zaman dahulu, yang tidak mempunyai baju dan hanya berkemban?. Ini agak kabur dari sudut penjelasan dan garapannya.

KINTA memperjelaskan hubungan persahabatan antara ketiga-tiga orang adik-beradik yang bertelagah antara dendam, cinta, dan perjuangan dalam mempertahankan kehidupan masing-masing. Mereka memburu antara erti sebuah perjuangan dengan persahabatan yang akhirnya meragut antara kedua-dua belah pihak apabila 'isu cinta' di dalam KINTA telah mengoncang erti sebuah persahabatan yang terbina. Ini sebuah plot yang agak menarik apabila KINTA menampilkan aksi dramatik dengan paparan aksi kung-fu yang mungkin dijadikan point utama kebanyakkan filem-filem dari Cina mahupun Hong Kong. Tetapi, sukar untuk percayai bahawa KINTA adalah sebuah filem Malaysia, sekiranya anda yang menonton bukan warganegara Malaysia. Jika anda ingin menonton filem ini pada Disember nanti, pastikan anda menonton dengan penuh khusyuk dan teliti kerana kelalaian satu minit terhadap isi penceritaan mahupun visual, akan membuatkan anda sukar memahami setiap visual yang digarap begitu teliti. Setiap persoalan demi persoalan ditonjolkan begitu teliti di dalam KINTA melalui aksi fighting antara kesemua watak dan yang saya cuma nampak adalah 'isu cinta mampu menggoncang sebuah persahabatan antara watak Tiger dengan seorang perempuan, yang saya lupa namanya.. hehehe..

Jika ditanya pada saya, berapakah bintang ingin saya beri pada filem ini?. Saya jujur menjawab, lima bintang untuk filem KINTA ini. Cuma saya ingin memperjelaskan di sini bahawa, KINTA bakal ditayangkan di US tahun 2009 nanti dalam bentuk 3D Max, dan mungkin anda akan memperkatakan bahawa 'kenapa scene darah' nampak macam kartun?. Kalau anda nak tahu, itu strategi pengarah dan penerbitnya kerana, apabila filem ini ditonton di pawagam seperti IMAX anda akan dapat melihat scene percikan darah tersebut akan menjadi realiti. So... justeru, kepada anda, nantikan tayangan filem ini di pawagam pada 4 Disember 2008.. jangan lupa ye..

Khamis, 27 November 2008

Top 5 Pencalonan Akhir KLIFF 08 Awards Night..

29hb November 2008, bertempat di PWTC Kuala Lumpur, Festival Filem Kuala Lumpur Antarabangsa ( KLIFF 2008 ) akan di siarkan malam anugerahnya secara langsung menerusi Astro Kirana. Bagi anda yang sudah mendapat pas jemputannya, jangan lupa datang menyaksikan malam anugerah tue ye.. Oh ya, semalam bertempat di Kompleks Kraftangan Jalan Conlay, KL telah diadakan 'Welcome Night KLIFF 2008' yang di hadiri ramai delegasi dari seluruh dunia, dan juga turut diumumkan pada malam tersebut ' Filem Animasi Terbaik, Filem Dokumentari Terbaik dan Filem Pendek Terbaik'. Nak tahu pemenangnya?. Nanti saya update kemudian ye.. Apapun, tahniah kepada semua pemenang yang tercalon dalam top 5 bagi semua kategori yang akan diumumkan secara langsung pada sabtu ini, 29 November bermula jam 7.30 malam.


TOP 5 BAGI SETIAP KATEGORI






Daripada semua kategori yang dipertandingkan, manakah filem Asia Terbaik yang rasa-rasa anda bakal memenangi kategori ini. Apakah filem dari Malaysia arahan Dr. Hatta Azad Khan, Wayang bakal mencipta sejarah lagi?. Nantikan kehangatannya pada sabtu ini, 29 November ye..

Selasa, 25 November 2008

12 filem Malaysia bertanding di KLIFF 2008 : Pemilihan Rasmi..


KLIFF 2008 muncul lagi, kali ini pembukaannya akan di adakan esok di Kompleks Kraftangan, Kuala Lumpur pada jam 8.00 malam. Mulai 26 hingga 30 hb November 2008, pelbagai acara menarik akan di adakan bagi memeriahkan KLIFF 2008. Di antaranya tayangan filem yang bertanding di dua buah pawagam, iaitu GSC Mid Valley dan GSC Pavillion, Bukit Bintang. Dan Malam Anugerah ( Awards Night ), pula akan berlangsung di PWTC Kuala Lumpur 29 hb November ini dan akan di siarkan secara langsung di Astro Kirana. Di antara 42 buah filem yang terpilih bertanding, rata-ratanya dari pelusuk dunia, hanya 12 buah filem Malaysia terpilih menyertai KLIFF 2008. Di antara 12 filem tersebut, saya cuma nampak filem Wayang, Kala Malam Bulan Mengambang dan filem Pensil sahaja bakal mencipta nama di KLIFF 2008, bagi mewakili filem Malaysia sebagai filem terbaik, barangkali. Insya-allah. Apa-pun, esok baru akan diumumkan top5 bagi setiap kategori filem yang bertanding, antaranya filem cereka, dokumentari, animasi dan filem pendek. Saya akan update kemudian ye... apa pun 27 dan 28 hb November, tayangan filem KINTA dan AMAL di GSC Pavillion kul 5 petang.. jangan lupa... katanya Red Carpet akan di adakan pada preview filem tersebut.. kite tunggu je la ye..

Isnin, 24 November 2008

Animasi Pertama Malaysia : Silat Lagenda... Perlukah di adakan Diskusi Filemnya...?


Dalam kesibukan kita membicarakan filem animasi 'Geng: -Upin dan Ipin', yang tertangguh tayangannya pada March 2009, terfikir saya sejenak bahawa di manakah pulak filem animasi pertama arahan Hassan Muthalib yang dikatakan sebuah filem animasi yang mengangkat tema 'persilatan melayu' di alam fantasi melalui visual animasi yang telah dipertontonkan pada 27 Ogos 1998 di semua pawagam tempatan. Jika di buka sejarah pada zaman persekolahan dulu, filem animasi 'Silat Lagenda' sememangnya sudah saya tonton di pawagam semasa saya masih bersekolah, namun itu semua semasa sebelum saya melibatkan diri di dalam industri dan ia waktu saya cuma meminati dunia perfileman. Apabila kaki mula melangkah ke alam universiti dan mengorak langkah sebagai pengarah filem pendek dan juga sebagai seorang blogger sehingga menjawat jawatan sebagai Production Manager di salah sebuah produksi perfileman, filem adalah cabang pemikiran yang saya anggap sebagai medan untuk kita sama-sama meluahkan rasa hati melalui garapan plot dan susunan visual yang dikehendaki. Berbalik kepada filem animasi Silat Lagenda yang saya anggap sebagai sebuah naskhah terunggul pertama di Malaysia pada sekitar 1998 dan selepas itu muncul pula filem Putih pada tahun 2001 arahan Rashid Sibir, kedua-duanya adalah filem animasi Malaysia yang boleh dibanggakan pada ketika itu. Namun, antara kedua-duanya, saya masih dahagakan tayangan semula filem animasi Silat Lagenda ini pada khalayak walaupun ia sekadar Diskusi Filem Tempatan. Adakah ada mana-mana organisasi yang berani mengambil risiko atas pendidikan untuk membicarakan filem Silat Lagenda ini semula?. Mungkin pihak FINAS melalui unit latihan boleh jadikan bicara filem ini sebagai medan untuk pengarah dan peminat filem sama-sama berkongsi matlamat atas filem animasi pertama ini. Jika ia menjadi realiti, mungkin satu kebanggaan pada khalayak yang ketinggalan menonton filem ini dahulu, dan khabarnya filem Silat Lagenda sukar ditemui cakera DVD atau VCDnya di galeri-galeri muzik di Malaysia. Justeru, harapan saya sebagai generasi perfileman agar mana-mana pihak samada pengarahnya, Hassan Muthalib dapat menayangkan semula filem Silat Lagenda ini pada khalayak walaupun ia ditayangkan untuk dijadikan diskusi filem. Namun begitu, saya juga masih menantikan filem Upin dan Ipin melalui tajuk GENG dipawagam nanti... Apapun.. sama-sama lah kita menunggu apakah cetusan pemikiran saya ini akan direalisasikan kehendaknya?. Wallahuallam...

Ahad, 23 November 2008

Ekoran Kritikan Ajami Hashim ... Blogger dan Media Cetak: Dua Konsep berbeza...


Ajami ( bertopi) ... bersama Syawal adalah gambar hiasan

oleh: Amy Ikram Ismail

'Wajarkah sesebuah filem yang mempunyai naratif penceritaan yang agak lemah serta kandungan plot yang caca-merba, perlu dikritik secara positif walaupun terpaksa hipokrit demi menjaga hati semua pihak?'. Itulah persoalan yang ingin saya timbulkan disini selepas membaca segala komen dan ulasan daripada sebuah laman blog terkemuka kepunyaan saudara Ajami Hashim, tentang 'Ulasan Blogger gagalkan filem di pawagam'. Daripada kritikan yang direncanakan oleh Ajami terhadap salah sebuah filem tempatan yang ditayangkan kepada media beberapa bulan lepas, bukan bertujuan untuk menggagalkan sesebuah filem dipawagam, tetapi ulasan yang dikemukakan itu bertujuan secara peribadi bukannya negatif. Walhal demikian, para produksi sesebuah filem haruslah menerima semua kritikan yang dibuat oleh para blogger terhadap sesebuah filem tempatan walaupun ia ditayangkan kepada media bukannya untuk tontonan awam. Kritikan yang diulas dalam sesebuah blog haruslah secara jujur terhadap perjalanan sesebuah filem kerana kritikan yang bagus walaupun secara sindiran ( dalam blog ajami ), haruslah dijadikan sempadan dalam menghasilkan lebih banyak lagi karya yang bagus daripada karya pertama sebelumnya. Seseorang penonton yang waras perlulah menonton kesemua filem yang ada dipawagam mengikut citarasa masing-masing bukannya citarasa berdasarkan kritikan para blogger, kerana tulisan para blogger selalunya bersifat terbuka dan adakalanya penuh sindiran, sehinggakan sesetengah pihak mengandaikan bahawa ia akan menimbulkan spekulasi terhadap sesebuah perkembangan dalam penerimaan khalayak pada sesebuah filem yang bakal ditayangkan atau sedang ditayangkan. Mungkin ada diantara anda memperkatakan bahawa 'tidak adil sesebuah filem yang belum ditayangkan kepada umum dan cuma kepada media, diulas di dalam sesebuah blog. Dan ulasan tersebut perlulah bertujuan untuk promosi walaupun ia memaparkan naskhah yang cuba memperbodohkan penonton dengan naratif dan plot yang agak lemah walaupun secara teknikalnya sedikit boleh dibanggakan?. Sekiranya anda salah seorang peminat dunia filem, anda akan menonton kesemua filem dipawagam walaupun ia filem yang membosankan, dan jika anda seorang yang bertanggungjawab anda akan membandingkan apa yang anda tonton tadi dengan apa yang diulas dalam sesebuah blog terhadap sesebuah filem. Walaupun ia filem yang belum masuk panggung dan dikritik hebat di dalam blog, anda perlu jadi seorang lelaki atau perempuan sejati dengan pergi menonton dan fikirkan apakah yang membuatkan sesebuah filem itu tidak bagus dan cuba memaparkan benda yang remeh? Ingat, jangan menyalahkan sesebuah filem daripada tulisan para blogger.

Penulis blog dan penulis di media cetak adalah dua kelompok yang berbeza, kerana penulis blog atau blogger selalunya akan mengkritik sesebuah filem secara terbuka dengan susunan ayat yang kadangkala menyusuk kalbu dan menyakitkan. Ia adalah bebas dan tidak terikat dengan sesebuah organisasi sepertimana penulis di media cetak. Di Media cetak, anda perlulah menulis yang positif demi mempromosikan sesuatu produk umpamanya filem. Penulis artikel di media cetak tentang sesebuah filem akan menulis atau merencanakan hasil tulisan mereka untuk pembaca umum dan selalunya mereka menulis yang baik-baik walaupun ia karya yang penuh dengan naratif yang 'barai' kata teman saya, yang bertujuan untuk promosi. Di media cetak juga, anda tidak boleh memaparkan sesuatu yang negatif, cuma anda boleh mengkritik secara kiasan yang mempunyai mesej dan saranan yang positif, berbanding blogger yang bebas dan merdeka dari segi ulasan dan kritikan kerana blogger menyajikan ulasan-ulasan yang pelbagai dan sebagai pembaca yang waras, mereka akan mengkaji setiap pernyataan yang ditulis 'apakah benar dan kenapa ia tidak benar?'. Bagi saya, sekiranya Ajami menulis tentang filem yang tidak berkualiti, contohnya filem kisah 'A' yang naratifnya bangang, saya akan membaca dan memikirkan apakah benar dan kenapa Ajami menulis sebegitu? Dan kesimpulannya, saya akan pergi menonton demi menuntut kebenaran atas ulasan tersebut. Justeru, sebagai karyawan sesebuah filem haruslah menjadikan semua kritikan, ulasan atau komen daripada blogger terhadap filem anda walaupun ia karya yang tidak berkualiti, serta perlulah menerima ulasan tersebut dan menjadikannya sebagai batu loncatan untuk anda berkarya lagi dan mempelajari kesilapan lalu. Cuma karyawan yang lemah adalah karyawan yang takut akan kerugian sesebuah filemnya. Ingat belajarlah dari produser David Teo.. cewah...

Sabtu, 22 November 2008

Filem Wayang: Ulasan Hassan Muthalib dari tulisan Amy Ikram


Semalam saya menerima balasan e-mail daripada pengkritik filem yang juga merupakan pengarah filem animasi, Silat Lagenda, iaitu Pak Hassan Muthalib. Beliau memberikan ulasan secara terperinci dengan pelbagai fakta yang boleh dijadikan rujukan buat semua pelajar filem, mengenai filem Wayang arahan Prof. Dr. Hatta Azad Khan. Ulasan beliau adalah daripada tulisan saya di dalam forum filemkita mengenai isu penerimaan masyarakat terhadap filem berkualiti, wayang yang kurang mendapat sambutan penonton tempatan. Anda boleh membaca tulisan beliau mengenai wayang yang cukup fakta yang sangat menarik untuk dikongsi bersama. So.. apa komen anda..

Hassan Muthalib menulis....
Hassan.Muthalib@gmail.com

TANDA DAN PETANDA DALAM WAYANG ARAHAN HATTA AZAD KHAN

oleh Hassan Abd Muthalib


"….dan masyarakat akan memilih filem yang ringan dan longgar pemikirannya, walaupun ia sebuah karya yang bangang dan cetek pemikirannya. " - Amyikram Ismail

"Filem itu spiritual." – U-Wei Hajisaari

"Seni semakin hilang spiritualnya. " - Andrei Tarkovsky.

"Seni itu kerja Tuhan" – Tan Sri P Ramlee


Dikatakan bahawa filem yang baik mempunyai tiga kriteria: ia mesti menghiburkan; ia perlu memperkatakan sesuatu dan juga memaparkan budaya setempat. WAYANG arahan Hatta Azad Khan (kini diputar di pawagam GSC), memenuhi ketiga-tiga kriteria ini. WAYANG mengusulkan banyak perkara. Di antaranya: cinta; kasih sayang; keluarga; pertembungan budaya; jurang di antara generasi muda and tua, yang lama and yang baru, dan yang tradisional and yang mahukan perubahan. Juga ia bercakap tentang manusia yang kasar and yang berlembut, tentang peranan setiap manusia di bumi; tentang takdir - and paling menarik (and secara amat tersirat), tentang apakah itu Sinema dan ke manakah hendak dibawa Sinema Malaysia oleh para penglibat di institusi pengajian tinggi di Malaysia, khususnya UiTM melalui Fakulti Teknologi Kreatif and Artistik (FACT) yang bertempat di Puncak Alam, Selangor Darul Ehsan - sebuah 'kampung' terpencil yang terletak jauh dari kegiatan industri perfileman di Kuala Lumpur.

Semua tema ini disampaikan Hatta (kini Dekan FACT), melalui watak-watak di sebuah kampong di Kelantan yang terletak jauh dari arus pembangunan. Antara watak-wataknya adalah: Awang Lah (Eman Manan), Jusoh (Wan Kenari), Awi (Zul Huzaimy), Melor, (Mas Muharni), Pak Ku (Mazlan Tahir), Mak Esah (Ida Nerina). Jika diteliti, watak and perwatakan mereka juga ada parallel dengan watak-watak wayang kulit, antaranya: Sri Rama (hero), Siti Dewi (heroin), Rawana (penjahat), Wak Dogol (pelawak), dan juga sepasang kekasih (yang mana lelakinya memegang sebuah gitar yang menyamai Awi yang selalu bersama gitarnya).

Sepanjang kehidupan manusia dalam dunia, dua watak sentiasa wujud dalam mana-mana masyarakat, ia itu, watak Peladang (yang menghidupkan) , dan Pemburu (yang membunuh). Awang, Awi and Melor 'menghidupkan' patung yang kaku. Mereka tidak bercakap tentang ugama, hanya mahu menghiburkan orang ramai. Seperti Sri Rama and Siti Dewi, mereka berwatak positif dan membina. Jusoh pula dengan megah, bercakap tentang hukum hakam tetapi cuba 'membunuh' melalui fitnah dan akhirnya, memusnakanh panggung wayang kulit dengan membakarnya. Maka ternyata, perwatakan Jusoh adalah sama seperti Rawana.

Tanda dan Petanda pada Alam dan Filem

Dalam kitab suci Al-Qur'an, terdapat beberapa ayat yang menyebut bahawa di langit and di bumi ada tanda-tanda (yang menjadi petanda) bagi mereka yang memahaminya. Kerana Allah menjadikan manusia itu lalai, tentunya ada manusia yang tidak dapat melihat tanda-tanda (ikon) yang bersifat petanda (indeks and simbol). Kata U-Wei Hajisaari, filem itu bersifat spiritual. Andrei Tarkovsky, pengarah tersohor Rusia, pula mengatakan seni di zaman ini, semakin hilang sifat spiritualnya. Usia filem kini mencecah 115 tahun. Filem itu bersifat seni, maka kerana itu ia dapat bertahan sekian lama. Antara seni yang terdapat dalam filem ialah: seni sinematografi, mise-en-scene (susunana elemen-elemen dalam frem), rekabentuk produksi, suntingan, bunyian and lakonan. Ini sekaligus mewajarkannya diajar di institusi pengajian tinggi. Tetapi jika hanya mahu mengetahui produksi filem, ikut saja mana-mana syarikat produksi filem. Lama-kelamaan, pasti jadi seorang 'pakar' seperti kebanyakkan mereka yang terlibat dalam industri dari tahun 1950-an sehingga sekarang. Namun mereka ini hanya pakar dari aspek teknikal sahaja dan tidak mampu menjadi pencipta.

Seorang pencipta adalah ahli fikir. Mindanya luar biasa, yang bersandarkan ilmu, Di antaranya: ilmu mengenai tamadun yang merangkumi bidang psikologi, sastera, musik, budaya dan falsafah. Dalam hal ini, apakah institusi pengajian tinggi di Malaysia sudah berada di landasan yang betul sekarang dalam bidang pengajaian filem? Jika pengajian filem dikelirukan dengan bidang komunikasi and pemasaran semata-mata kerana melihat filem hanya sebagai perniagaan, maka amatlah malang bagi Sinema Malaysia! Komunikasi and pemasaran hanya sebahagian daripada pengajian filem. Di institusi pengajian tinggi, filem mesti diajar dari sudut ilmu filem. Ternyata begitu ramai kapitalis kini (termasuk ahli akademik) yang menjadi pembikin filem di Malaysia yang lupa bahawa mereka sebagai orang Islam, juga bertanggung- jawab untuk meningkatkan minda penonton. Sebagai khalifah Allah di muka bumi, mereka tergolong dalam kumpulan yang sepatutnya mengajak kepada kebaikan. Tetapi sebaliknya, mereka memaparkan manusia Melayu yang begitu buruk perangai dan pertuturannya, yang mempunyai wajah yang artificial dan dua dimensi dan membawa cerita-cerita yang lebih fantasi daripada Hikayat Merong Mahawangsa and Raja Bersiong!

Pada pandangan saya, inilah antara perkara yang diperkatakan dalam WAYANG. Maka sekuen yang melibatkan UiTM dalam WAYANG bukanlah sekadar publisiti atau propaganda tetapi mempunyai kaitan serta ada relevannya. Perkara yang hampir sama sudah diperkatakan oleh Mamat Khalid dalam Kala Malam Bulan Mengambang di mana Mamat mempersoalkan arah tujuan industri filem tempatan yang tidak ada peningkatan jika dibanding dengan industri filem Melayu pada tahun 1950-an.

Imej Pertama Imej yang Bermakna

Naratif sesebuah filem bergerak melalui nahu filemnya (syot, sudut kamera, dsbnya) yang kemudian terbentuk menjadi bahasa filem. Jika susunan ini dibuat oleh orang yang mempunyai ilmu filem yang sebenar, maka bahasa filem itu akan membolehkan penonton memahami maksud dan nawaitu seseorang karyawan secara yang tersurat mahu pun yang tersirat. Perhatikanlah imej-imej pertama di dalam mana-mana filem dari luar negara (dan segelintir filem Malaysia). Imej pertama selalunya bersifat 'kapsul', yang memberi gambaran tentang apakah cerita yang akan ditontonkan nanti. Imej pertama dalam WAYANG menampak-kan penonton duduk bersila di atas tanah, sedang khusyuk menyaksikan persembahan wayang kulit. Mengapakah imej ini dipilih Hatta untuk memulakan ceritanya? Hatta pernah berkata, beliau tidak akan buat karya yang memeningkan kepala, yang akan sukarkan penonton untuk memahaminya. Maka bagi Hatta, sebuah karya mesti pentingkan audiennya tapi tidak pula merendah-rendahkan pemikiran mereka. Sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu yang berdasarkan karya teater beliau bertajuk Syyy! bertahan selama 18 tahun di televisyen – satu jangkamasa yang luar biasa. Tentunya tidak ada apa-apa yang sukar difaham khalayak melalui watak dan situasi yang direkanya. Maka Hatta gunakan pendekatan yang sama dalam WAYANG.

Imej kedua (selepas penonton tadi) adalah visual Awang Lah di belakang kelir. Syot Awang diambil dari belakang, memperlihatkan kelir putih di hadapannya. Dalam bahasa filem, syot dari belakang adalah petanda negatif tapi dalam konteks cerita ini, lain tafsirannya. Bagi saya, ia berfungsi sebagai petanda - bahawa filem WAYANG sebenarnya bukan mengenai seorang dalang atau persembahan wayang kulit tetapi ianya lebih luas dari itu. Saya melihat salah satu lapisan dalam WAYANG adalah mengenai Sinema. Sinema memaparkan manusia dan kondisi mereka maka dengan itu, Hatta mengajak kita melihat diri kita dalam watak-watak rekaannya dan apakah kaitannya dengan watak-watak dalam persembahan wayang kulit itu. Apakah ini semua juga bukan petanda di bumi (diri manusia) and di langit (di kelir dan layar perak)?

Antara petanda yang dipersembahkan Hatta melalui mise-en-scenenya ialah paparan kelir yang sentiasa berdekatan (proximity) dengan Awang serta Awi and Melor tetapi tidak pada watak-watak lain. Awang, Awi and Melor 'menghidupkan' watak and cerita yang mampu menjadi petanda kepada audien. Di samping itu, Awang, Awi and Melor turut menjadi 'pelakon' di sebalik tabir. Apabila Awang terbatuk-batuk and tak dapat teruskan persembahannya, dengan pantas diambilalih oleh Melor and Awi. Penonton tak sedar tentang 'drama' di sebalik kelir kerana Awi and Melor cekap melakukan kesinambungan melalui nada and cerita. Dalam istilah orang Barat: The show must go on. Awi and Melor sudah mampu untuk meneruskan kisah Sri Rama and Siti Dewi. Tapi bagaimana pula dengan kisah cinta mereka berdua? Bagaimanakah Awi mahu lafaz perasaan cintanya terhadap Melor? Maka Awi 'melihat' pada watak Sri Rama dan Siti Dewi. Alam realiti dan alam fantasi dijadikan satu. Di sini, Hatta utarakan satu lagi pemikiran: apakah seni mencerminkan realiti atau pun realiti mencerminkan seni? Awi gunakan kiasan untuk merisik perasaan Melor terhadap dirinya. Maka cita-cita Awi untuk reka cerita wayang kulitnya sendiri sudah terhasil. Tak perlu dia bergantung pada cerita Awang Lah semata-mata. Terbukti juga kata-kata Awang Lah bahawa murid selalunya akan jadi lebih baik dari guru.

Wayang Kulit dan Sinema

Apakah mahu diperkatakan lagi oleh Hatta Azad Khan tentang Sinema melalui seni wayang kulit? Penonton wayang kulit (dalam filem WAYANG) tidak tahu apa yang berlaku di sebalik kelir atau pun tentang perbuatan keji Jusoh terdapat Awang. Semua ini hanya dilihat penonton filem WAYANG (ini disebut sebagai dramatic irony). Bila Awi and Melor mainkan wayang kulit di UiTM, dua pelajar mengintai di belakang kelir untuk melihat bagaimana patung wayang kulit dimanipulasi (perkara sama berlaku pada tahun 1897 di Kuala Lumpur bila filem ditayangkan buat pertama kalinya di Petaling Street!). Para pelajar bukan saja menjadi penonton tetapi kini tahu juga mekanisma yang melahirkan imej di kelir. Mereka ini berbeza daripada penonton biasa yang hanya melihat persembahan. Para pelajar mengenali kedua-dua alam, maka tentunya sebagai pencipta nanti, mereka akan bawa perspektif yang berbeza (seperti Awi). Seni sentiasa melalui proses evolusi and evolusi itu akan membolehkannya ia bertahan.

Bagi Hatta, institusi pengajian tinggi boleh mainkan peranan ini di samping boleh bersaing dengan budaya popular. Manusia-manusia seperti Awi and Melor (orang-orang muda di zaman yang menuntut pembaharuan) menjadi lambang perubahan ini. Awi, walaupun menggunakan proxy, adalah dalang yang sudah mengenali dirinya. Sebagai kebanyakkan pengarah filem, Hatta bukan sahaja melontarkan idea-idea ini melalui WAYANG tapi sudah pun bertindak melakukan sesuatu untuk merealisasikannya di FACT, UiTM melalui Program Karyawan Tamu. Tapi soalan yang timbul pula, di manakah dalang-dalang tersohor – ia itu, ahli tadbir dan pensyarah (yang sudah mengenali diri) yang mampu meneruskan usaha ini di masa akan datang? Mampukah mereka melahirkan murid yang akan jadi lebih baik daripada guru?

Saya juga melihat watak Jusoh sebagai mewakili golongan yang tidak setuju dengan karya yang digelarkan mereka, 'filem seni' atau 'filem artistik' (istilah-istilah rekaan mereka yang tidak terdapat dalam pengajian filem). Jusoh menganggap ia mahir dalam soal ugama and berhak menghukum kerja-kerja orang lain yang dia tidak setuju. Tindakannya membakar panggung wayang kulit saya lihat sebagai petanda mengenai golongan yang membawa keburukan melalui filem yang dangkal di segi pemikiran dan cerita yang remeh temeh yang akhirnya akan memusnahkan Sinema Malaysia.

Filem sebagai Rahmat Dari Tuhan

Kata Andre Bazin, ahli falsafah Perancis pada tahun 1940-an, layar perak ibarat sebuah tingkap di mana penonton mengintai watak and perwatakan manusia yang mencerminkan watak penonton itu sendiri. Teguh Karya, pengarah tersohor Indonesia pula meletakkan audien di layar. Katanya, sekiranya mereka dapat lihat diri mereka pada watak-watak yang direkanya, maka dianggap dia berjaya dalam karyanya.

Imej di layar dilakar dan disusun (disebut istilahnya sebagai mise-en-scene). Setiap satu adalah tanda yang menjadi petunjuk tentang sesuatu yang lain. Sekiranya setiap satu yang Tuhan jadikan itu mempunyai sebab and berfungsi sebagai petanda, maka apakah itu Sinema dan apakah fungsinya? Andre Bazin and Teguh Karya sudah member pendapat mereka. Tapi dalil tetap diperlukan.

Sinema adalah penemuan yang paling hebat dalam sejarah and tamadun manusia. Syot pertama yang diambil pada tahun 1894 adalah syot seorang yang bersin. Tentunya ada yang mengatakan semasa itu, "(God ) bless you" (budaya orang Kristian). Jika orang Islam bersin, ia akan mengatakan, "Alhamdulillah" (kepujian ke atas Allah). Dua ugama yang berbeza tapi kedua-duanya menyebut nama Tuhan. Apabila Adam dijadikan, perkara yang pertama dilakukannya adalah bersin. Nabi Adam memuji Tuhan (kerana menjadikannya) . Apakah syot filem yang pertama, ia itu, orang yang bersin itu merupakan satu petanda tentang peranan sinema dan kaitanya dengan tamadun manusia? Bahawa filem itu adalah satu rahmat dari Tuhan?

Kata Ayatollah Khomeini, ulama besar Iran satu masa dulu, filem itu satu manifestasi budaya and harus diguna untuk mendidik manusia. Karyawan filem juga tergolong dalam kumpulan yang mengajak manusia membuat kebaikan melalui watak-watak and cerita yang direka mereka. Dalang wayang kulit dari zaman ke zaman telah menghibur, memperkatakan tentang sesuatu isu and memaparkan budaya setempat. Hatta Azad Khan sudah melakukannya melalui WAYANG. Bagaimana dengan graduan dan bakal graduan institusi pengajian tinggi yang bakal jadi karyawan filem Malaysia?

Syot terakhir dalam WAYANG adalah bayang wajah patung Sri Rama. Ia tidak bergerak, matanya tak berkelip, terus memandang. Selama beratus tahun, dia telah beraksi di kelir. Tapi Sri Rama hanya bayang. Dia hanya hidup bila ada dalang menghidupkannya. Bijak and handal Sri Rama, bijak lagi dalang yang menggerakkannya. Kata Awang Lah, selalunya murid itu akan lebih pandai dari gurunya. Ternyata Awi yang buta mampu membawa perubahan yang membolehkan wayang kulit terus hidup selaras dengan arus perubahan. Di tangan Awi, apakah Sri Rama akan melalui perubahan? Ternyata, bila Awang Lah dan Awi sudah tiada, Sri Rama tetap akan muncul di kelir.

Wayang Kulit di Layar Perak

Wayang kulit adalah Sinema terawal dalam dunia. Dengan kemunculan Sinema, wayang kulit mula lenyap. Namun, medium yang melenyapkan wayang kulit sebaliknya menyelamat-kannya. Wayang kulit kini terus kekal melalui filem kerana ia dirakam pada seluloid. Dalam SILAT LEGENDA (Hassan Abd Muthalib, 1998), wayang kulit diberikan homage sebagai bentuk animasi terawal dalam dunia. Wayang kulit menjadi sebahagian tajuk awal dalam PEREMPUAN MELAYU TERAKHIR (Erma Fatima, 1999) yang melambangkan kekeliruan protagonis yang mencari akarnya. Dalam JOHNNY BIKIN FILEM (Anuar Nor Arai, 2007), beberapa layar putih digunakan untuk menampakkan bayang beberapa manusia. Anuar bercakap tentang manusia-manusia di belakang tabir yang menggagalkan usaha untuk mengangkat martabat perfileman tempatan. Hanya dalam WAYANG, wayang kulit kembali kepada bentuk dan gaya asalnya.

Masa Depan Sinema Malaysia………

Senario industri perfileman tempatan menampakkan bahawa audien masih meminati filem-filem yang ringan yang menampilkan pelakon-pelakon popular dan isu-isu yang remeh temeh. Belum ada petanda bahawa senario ini akan berubah dalam masa yang singkat. Kata U-Wei, kalau ia membuat filem cerdik, ia juga memerlukan penonton yang sama cerdik. Sinema bukan hanya tertumpu kepada karyawan and filem mereka. Ia juga kena mengambilkira audienya. Graduan filem kita yang mempunyai semangat seperti Awi mungkin boleh membawa perubahan melalui karya mereka. Namun audien yang cerdik diperlukan yang boleh menghayati karya mereka. Hatta Azad Khan sudah pun menjalankan kewajipannya dengan WAYANG, meletakkan pengajian filem di landasan yang betul dan memulakan Program Karyawan Tamu di Fakulti Artistik dan Kreatif, UiTM. Tetapi segala usaha ini tidak akan menepati sasaran sekira-nya audien kita masih terus disogok dengan karya picisan yang mengekalkan minda mereka di tahap yang rendah di atas dasar dan ideology bahawa filem itu hanya komoditi dan tidak lain daripada bisnes.

Maka peranan siapakah pula untuk mendidik audien?

(Artikel ini tercetus dari luahan hati Amyikram Ismail di filemkita@yahoogrou ps.com pada 21 Nov 2008 tentang filem WAYANG).

untuk membaca artikel yang ditulis oleh saya, sila ke arkib bertarikh 20 November 2008..
bertajuk "Antara Budaya, Warisan dan Cinta….. Wayang Sentuhan Magis Dr.Hatta Azad Khan..'

p/s: so.. pada anda blogger dan pembaca lain, apa pula pandangan anda terhadap filem wayang?.

Jumaat, 21 November 2008

KLIFF 2008 Film Premiere : KINTA 1881 dan AMAL at Pavillion KL


MALAYSIA PREMIERE, KINTA 1881
27 NOVEMBER 2008
GSC PAVILLION 4.30 PM

Berita Baik buat anda.... 27 dan 28 November 2008, bertempat di GSC Pavillion, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur, Tayangan Perdana Filem Malaysia Kantonis, KINTA 1881 arahan Clhor dan filem Antarabangsa Canada, Amal arahan Richie Mehta akan di tayangkan sempena Festival Filem Kuala Lumpur Antarabangsa ( KLIFF 2008). Kedua-dua filem tersebut akan ditayangkan secara percuma dan mengalu-alukan kedatangan para media, peminat filem, blogger dan karyawan tempatan. 2 buah filem tersebut adalah filem pembukaan kepada acara berprestij yang akan di adakan pada 29 November 2008 di PWTC Kuala Lumpur, Awards Night. Untuk makluman anda, filem KINTA 1881 akan menemui penonton sebenar di pawagam pada tahun 2009, dan pada anda yang ingin menonton pada 27 November 2008 bersama para selebriti tanahair, penggiat filem dan para media, bolehlah menghubungi urusetia KLIFF 2008. makluman boleh layari laman www.sinemamalaysia.com.my.


INTERNATIONAL SCREENING, KLIFF 2008
'AMAL'
28 NOVEMBER 2008
GSC PAVILLION KL, 4.30 PM

Atau anda juga boleh menonton filem dari Canada ini, 'Amal' yang saya rasa sebuah filem yang cukup kuat plot naratifnya. Ulasan tentang filem 'Amal' ini akan saya update selepas tayangan perdana filem ini ye..
so.. kepada semua blogger tanahair, pastikan temujanji anda di GSC Pavillion pada 27 dan 28 November 2008.....

p/s: Dengar khabar, Pavillion KL turut menjadi penganjur bersama KLIFF 2008... so, pastinya 27 dan 28 November 2008, Pavillion KL akan dibanjiri artis-artis tempatan dan antarabangsa.. so.. hebatkan.. apa lagi jangan tak datang ye..

Khamis, 20 November 2008

‘Antara Budaya, Warisan dan Cinta….. Wayang Sentuhan Magis Dr.Hatta Azad Khan..

Pertama kali mendengar tajuk ‘Wayang’ barangkali ada diantara anda akan menganggapkan ia sebuah karya yang membosankan, membuang masa dan tidak menarik khalayak. Namun, sangkaan itu perlu dilemparkan jauh tatkala menyaksikan keseluruhan plot penceritaan, mesej dan lakonannya cukup menyentuh perasaan kerana filem Wayang tinggi falsafahnya serta mempunyai garapan yang cukup idealistik dan melankolik. Walaupun ia mengangkat tema ‘wayang kulit’ ke peringkat tertinggi dengan rasa cinta dalam memelihara warisan budaya tempatan, filem Wayang tidak perlu diketepikan buat pencinta sinema tempatan. Ia cukup rencah dan penuh sindiran tajam kepada masyarakat umum agar jangan memandang rendah kepada individu yang menjadikan ‘wayang kulit’ sebagai mata pencarian utama dalam kehidupan seharian. Itulah serba sedikit gambaran yang dikupas di dalam Wayang yang lebih memfokuskan tentang kehidupan masyarakat di bumi Kelantan yang amat mengagungkan permainan wayang kulit sebagai warisan tempatan yang perlu dihargai. Akan tetapi, disebalik kesibukan Pak Awang ( Eman Manan ) dalam mempertahankan maruah permainan Wayang Kulit agar terpelihara, kemunculan Jusoh lakonan Wan Kenari sebagai antagonist kepada warisan wayang kulit cukup tajam sindirannya, kerana Jusoh digambarkan seorang muslim yang berjubah dan memakai serban tetapi mempunyai akhlak yang lebih teruk daripada orang bukan islam sendiri. Apakah Dr.Hatta Azad Khan ingin mengupas naskhah Wayang sebagai gambaran sebenar masyarakat islam di bumi Kelantan yang cukup antagonist pada warisan seni yang dianggap melalaikan dan tidak bermaruah?. Serta menganggap wayang gambar dalam Wayang sebagai haram dan salah di sisi islam?. Adakah ia cukup simbolik pada masyarakat umum yang beragama islam?. Namun, Wayang bukanlah sebuah filem dokumentari tentang kebudayaan Wayang Kulit, tetapi naskhah Wayang garapan sarjana perfileman, Dr.Hatta Azad Khan ini sebenarnya sebuah filem Malaysia yang sejagat pemikirannya dalam mengupas isu ‘cinta’ yang diangkat sebagai tema agung filem Wayang ini. Bayangkan betapa rasa cintanya Pak Awang ( Eman Manan ) terhadap seni wayang kulit serta juga kupasan cinta sesama manusia antara watak Awi ( Zul Huzaimy ), seorang pemuda buta yang tinggi akhlaknya dalam mempertahankan rasa cintanya pada Melor ( Mas Muharni ), seorang gadis sengau yang baik budi pekertinya. Kedua-dua watak ini dibesarkan oleh Pak Awang sehinggakan mereka berdua menjadi pewaris warisan seni wayang kulit yang terunggul. Mungkin sukar diterima pemikiran umum, bahawa seorang lelaki kacak yang buta jatuh cinta dengan gadis normal, tetapi sengau pertuturannya?. Itulah sebuah naskah yang cukup indah garapannya menerusi Wayang, yang kira saya sebuah filem yang mempunyai plot naratif dan lakon layar yang cukup mengujakan serta tinggi falsafahnya.

Namun begitu, persoalan yang kerap bermain difikiran saya bahawa apakah filem-filem sebegini kurang menarik perhatian masyarakat umum yang bukan aliran perfileman untuk datang menyaksikan Wayang di pawagam. Adakah subjek yang diketengahkan ‘wayang kulit’ tidak menarik perhatian anda?. Dan mungkin filem wayang tiada adegan seks, hubungan mesra seperti filem komersial lain atau tiada artis popular yang lain menyertai produksi filem ini?. Atau tiada adegan seperti filem CICAKMAN? Dan kesannya, anda tiada berminat untuk menyaksikan betapa indahnya ungkapan wayang melalui plot naratifnya. Itulah risiko menghasilkan filem yang bertemakan ‘budaya, warisan dan cinta sejagat’, namun bagi saya filem ini akan lebih dihargai masyarakat antarabangsa sekiranya ia menyertai beberapa festival filem antarabangsa, sepertimana kejayaan filem-filem arahan U-Wei Shaari yang diiktiraf pembikin filem antarabangsa. Menonton filem wayang bagi saya cukup mengujakan perasaan walaupun yang menonton dipawagam cuma 8 hingga 10 orang sahaja. Itulah realiti penerimaan masyarakat Malaysia terhadap filem berkualiti seperti filem Wayang yang kurang mendapat sambutan masyarakat walaupun ia menghidangkan plot yang cukup kuat falsafahnya. Apakah ini akan terjadi sekiranya lebih banyak filem berkualiti memasuki pawagam Malaysia?. Dan masyarakat akan memilih filem yang ringan dan longgar pemikirannya, walaupun ia sebuah karya yang bangang dan cetek pemikirannya. Justeru, apa yang dapat saya rumuskan di sini bahawa, filem wayang perlu ditonton bagi anda yang ingin memasuki dunia perfileman dan buangkanlah sifat memilih dalam menonton sesebuah filem kerana, filem yang berkualiti adalah sukar untuk ditembusi pemahaman dalam memahami setiap jurang garapannya. Wallahuallam..

-amyikram ismail


Rabu, 19 November 2008

Histeria: Sebuah Kisah Seram Tentang Persahabatan atau Kisah Dendam Jembalang Tanah?.


'Apakah Histeria tergolong dalam sebuah naskhah seram remaja yang mempersoalkan hubungan persahabatan antara golongan wanita di sebuah kolej terpencil atau Histeria sebuah paparan dendam makhluk Jembalang Tanah yang mencari mangsa dan tuan barunya?', itulah persoalan yang kerapkali menerjah ke pemikiran saya selepas dua kali menonton filem nie, pertama semasa di Screamfest Pavillion dan semalam di Gala Night Preview GSC Mid Valley. Kedua-dua persoalan ini memberikan pertanyaan yang cukup simbolik apabila menghayati naratif plot penceritaan yang cuba dipaparkan di dalam filem komersial pertama arahan sutradara filem-filem indie, James Lee. Pembukaan filem Histeria memberikan tandatanya buat segelintir penonton, apakah ia sebuah kisah amukan perasaan Murni ( Liyana Jasmay) terhadap memori yang meragut keenam-enam rakan baiknya yang dibunuh makhluk Jembalang Tanah. Ia boleh dikatakan sebuah kisah flashback yang melatari kehidupan sekumpulan remaja perempuan yang dipaksa mendiami asrama blok lama, akibat kenakalan masing-masing. Pertemuan mereka dengan Zeta, lakonan Norliana Samsudin sedikit sebanyak pada permulaannya menimbulkan keraguan pada khalayak bahawa apakah Zeta salah seorang daripada penghuni lama asrama tersebut, yang tiba-tiba muncul untuk mengetuai kumpulan remaja perempuan tersebut yang menamai 'The Pink Ladies', untuk kumpulan mereka.

Histeria dan Keseramannya...

Aspek horror dalam filem Histeria tidak mengecewakan kerana penggunaan latar bunyi terutamanya di dalam makmal cukup membuatkan jantung saya berdebar dan 'cuba bayangkan hanya bunyi air yang menitis jatuh' dirancang begitu teliti tanpa gangguan bunyi lain, cukup membayangkan betapa suspennya anda jika berada di dalam scene tersebut secara realitinya. Cuma, persoalan diminda saya; apakah Histeria sebuah filem tentang Jembalang Tanah?. Kenapa saya berbicara sebegini adalah kerana pertengahan cerita Histeria, penonton dihidangkan elemen-elemen horror begitu jelas dengan pelbagai peristiwa yang menggerikan dan paparan visual beberapa ekor jembalang peliharaan Tukang Kebun ( Kazar) yang memberontak akhirnya membunuh tuannya sendiri. Kenapa Jembalang tersebut melakukan pembunuhan tersebut?. Apakah yang menganggu pemikiran makhluk tersebut?. Apakah dendam mereka terhadap budak-budak perempuan tersebut?. Persoalan ini masih kabur didalam filem Histeria, yang bagi saya adalah sebuah filem kisah dendam Jembalang Tanah yang memberontak. Dan apakah Murni tuan barunya yang terpaku akan mahtera tersebut?.

Penataan Seni

Histeria cukup elemen yang membuatkan anda tidak akan berganjak daripada tempat duduk menyaksikan dari mula hinggalah akhir filem ini. Penataan seni dan rekaan produksinya cukup kuat membantu filem ini kerana, 'cuba anda bayangkan sebuah bilik air yang begitu usang dan kotor dekorasinya, apatah lagi penataan cahaya yang cukup menjadikan Histeria seakan-akan filem Indonesia, Japan dan aliran Hollywood yang lain'. Apa yang pasti, ia sebuah kisah seram yang amat baik plotnya dan mempunyai jalur cerita yang tidak membosankan. Tahniah James Lee.

Realiti Remaja dan Kisah Songsang

Percayakah anda jika saya memperkatakan bahawa, hubungan songsang atau tarikan sejenis akan berlaku terutama di sebuah asrama tidak kira penghuninya, 'lelaki-lelaki' mahupun 'perempuan-perempuan'. Di dalam Histeria, James Lee mengupas sebuah isu yang cukup sensitif dalam masyarakat Malaysia, iaitu Lesbian. Menerusi Histeria, anda boleh menyaksikan keghairahan seksual Zeta yang cuba meluahkan rasa cintanya pada Scha, melalui ciuman pertama yang visualnya cukup berani diketengahkan di dalam sebuah filem Malaysia. Ingat, jangan jadikan ia sebuah isu yang kontroversi pulak ye, kerana Histeria bukan kisah lesbian, tetapi ia sebuah kisah tentang persahabatan yang terperangkap di dalam sebuah asrama sekolah yang cukup mengerikan. Justeru, bagi saya Histeria tidak mengecewakan kerana ia sebuah naskah yang cukup berani dan menggemparkan.

p/s: Ingat Jangan hanya menonton sebuah trailer yang kurang sengitnya, terus menghukum sesebuah filem, katanya 'tak best'. Kalau anda benar-benar seorang penilai sesebuah filem, anda pasti tidak akan memilih dalam menonton sesebuah filem yang ditayangkan di pawagam. Aik... kata nak jadi karyawan...