Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


Selasa, 6 Januari 2009

Abd. Wahab Hamzah menulis: 2008 - Tahun menarik filem Melayu


Artikel tulisan Abd. Wahab Hamzah ini sangat menarik untuk di kongsi semua... So pada pendapat saya, 2008 memang satu tahun yang sangat menarik dari segi kuantiti dan kualiti filem-filem tempatan yang dihasilkan, termasuk filem Kala Malam Bulan Mengambang, Susuk, Anak Halal dan Histeria. Tetapi, saya masih menunggu untuk tahun ini apakah filem Muallaf, Yasmin Ahmad di tayangkan di Malaysia?. Menurut sumber yang boleh dipercayai, LPF telah meluluskan tayangan Muallaf dan ia belum bersedia untuk memasuki pawagam Malaysia, kiranya nasibnya sama macam filem DUKUN yang telah diluluskan oleh LPF, tetapi kontroversi dari segi naratif dan iklannya fuh.. merentas masa dan akhirnya tak dapat la jugak ditayangkan. Kecewa adik!!..

Petikan artikel Abd. Wahab Hamzah.... Utusan Malaysia, hari ini.

APAKAH pembikin filem kita masih menghasilkan filem sebagai satu bentuk produk industri sahaja atau menghasilkan filem untuk memenuhi keperluan penonton?

Ini satu bentuk hubungan yang menarik antara filem sebagai produk industri atau filem untuk memenuhi keperluan khalayak.

Pada awal abad ke-20 dahulu filem-filem Hollywood yang dihasilkan untuk memenuhi standard industri mula tercabar dengan filem-filem yang lebih bersifat individual.

Apabila hubungan filem dengan kehidupan semakin dekat, maka filem sebagai produk impian semakin hilang pengertiannya.

Pengalaman dan derita manusia abad 21 semakin kompleks menyebabkan mereka tidak dapat menerima gambaran kehidupan yang dibentuk oleh industri sedemikian rupa sebaliknya melihat kebersahajaan produk sesebuah filem dalam mengungkapkan erti kehidupan yang mereka alami.

Penonton makin mengharapkan kematangan pembikin filem dalam menghadapi kenyataan hidup sehari-hari yang kompleks dan semakin berubah.

Sememangnya hubungan ini semakin sulit.

Para pembikin filem sememangnya menyedari filem semakin melibatkan penonton dalam proses penghasilannya kerana filem mereka akhirnya merupakan satu bentuk penghayatan yang bersifat individual.

Pada masa yang sama, filem perlu memenuhi keperluan industri yang melihatnya sebagai produk hiburan massa.

Filem membawa kesatuan ini antara produk seni budaya yang memerlukan penghayatan dan juga produk industri yang perlukan keuntungan.

Artikel ini menilai sejauh mana pencapaian filem-filem kita pada 2008.

Untuk tahun 2008 sebanyak 27 buah filem tempatan telah ditayangkan (termasuk dua filem kecil iaitu Jarum Halus dan Pungguk Rindukan Bulan).

Membuka tayangan 2008 adalah filem Kala Malam Bulan Mengambang (KMBM) iaitu sebuah filem genre noir yang dihasilkan dalam hitam putih karya dan arahan Mamat Khalid.

Menutup tayangan 2008 adalah filem Cicakman 2: Planet Hitam dan filem Brainscan - Aku dan Topi Ajaib arahan Ahmad Idham.

Filem KMBM mengungguli tahun 2008 dengan memenangi anugerah Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia 2008 dan Anugerah Skrin TV3 2008.

Apa yang menarik filem KMBM bukan sahaja menunjukkan keyakinan Mamat dalam menghasilkan filem yang menongkah arus perdana filem Melayu.

Sebaliknya, ia turut memperlihatkan usaha dan eksperimen berani pihak produser dalam mengembangkan seni filem tempatan melalui filem yang dianggap bukan dalam standard komersial industri filem masa kini.

Begitu juga filem Wayang karya dan arahan Dr. Hatta Azad Khan merupakan usaha yang wajar dipuji.

Filem ini mengangkat isu seni budaya tempatan yang terpinggir untuk dipaparkan kepada khalayak komersial filem tempatan.

Subjeknya cukup menarik, mencabar dan cukup relevan dengan usaha mengangkat isu budaya tempatan ke dalam sebuah filem.

Akan tetapi, filem ini sebenarnya memerlukan pendekatan pembikinan dan strategi pasaran yang lebih tepat.

Sebenarnya tahun 2008 harus dilihat sebagai tahun yang menarik bagi perkembangan seni filem tempatan.

Kehadiran barisan pengarah baru yang berpotensi dengan pendekatan naratif yang berbeza yang tidak hanya mengikut selera komersial tetapi cuba memberikan pendekatan baru yang mencabar khalayak penonton tempatan.

Selain filem KMBM dan Wayang, filem-filem lain yang turut menemui penonton ialah Budak Kelantan karya dan arahan Wan Azli, Susuk karya dan arahan Amir Muhammad (filem arus perdana pertama arahan Amir yang sebelum ini menghasilkan filem-filem dokumentari dan bebas) dan Naeim Ghalili, Cuci karya dan arahan Hans Isaac.

Tidak ketinggalan filem Antoo Fighter karya dan arahan Azizi Chunk Adnan, Kami: The Movie arahan Effende Mazlan & Fariza Azlina Isahak, Histeria arahan James Lee (filem arus perdananya yang pertama sebelum ini terkenal kerana filem bebas My Beautiful Washing Machine) dan filem kecil Pungguk Rindukan Bulan karya dan arahan Azhar Rudin.

Apa yang menarik mengenai gelanggang perfileman Melayu tahun lalu ialah kemunculan dua pengarah filem bebas, Amir dan James yang lebih tertarik untuk menghasilkan filem dalam genre seram.

Amir memberikan stail dan pendekatan yang agak kompleks dalam pendekatan naratif Susuk dan James bereksperimen dengan unsur sinematik dalam Histeria.

Untungnya genre ini masih mampu memberikan pulangan pasaran yang baik iaitu kedua-dua filem mereka melepasi kutipan RM2 juta.

Antoo Fighter walaupun kutipannya agak sederhana tetapi filem ini yang banyak menggunakan Imej Janaan Komputer cuba menggabungkan pendekatan permainan video komputer, pendekatan yang agak meluas dalam filem-filem Hollywood.

Tetapi tiga buah filem yang cukup menarik perhatian saya daripada pengarah generasi baru ini ialah filem Budak Kelantan, Kami dan Pungguk Rindukan Bulan.

Filem Budak Kelantan dan Kami adalah filem arahan pengarah muda dengan stail yang segar adalah genre yang mengangkat isu anak-anak muda dalam persahabatan dan kesetiaan serta harapan mereka.

Lebih menarik filem Budak Kelantan dengan kos tidak lebih RM500,000 dihasilkan sepenuhnya dalam dialek Kelantan yang pada saya memperlihatkan bukan sahaja realiti subjeknya.

Ia turut mencerminkan keyakinan Wan Azli terhadap budaya tempatan secara lebih dalam untuk dihidangkan kepada audiens yang lebih luas dan mungkin nanti untuk kajian antarabangsa.

Sementara filem Pungguk Rindukan Bulan walaupun hanya sebuah filem bebas dan kecil tetapi filem ini membuat pendekatan yang sangat menarik iaitu gabungan naratif dramatik dan stail pembikinan filem dokumentari.

Filem ini mengangkat isu pembangunan dan kemusnahan sebuah kehidupan dari sudut pandangan seorang kanak-kanak.

Keberanian yang dibawa oleh pembikin filem baru inilah yang mampu mengembang dan memajukan filem tempatan dalam jangka masa panjang.

Bagaimanapun, sebagai sebuah industri, penghasilan filem tempatan tidak terlepas dari perkiraan pulangan dari pasaran.

Hanya empat buah filem 2008 yang memberikan pulangan melebihi RM4.5 juta iaitu Duyung arahan A. Razak Mohaideen, Evolusi KL Drift arahan Shamsul Yusuf Haslam dan filem Congkak serta Senario The Movie: Episod 1 arahan Ahmad Idham.

Sungguhpun dari aspek pendekatan cerita filem-filem ini dianggap biasa dan komedinya kasar, tetapi pendekatan begini terus relevan dan berjaya memenuhi selera khalayak terbanyak penonton filem tempatan yang dianggarkan antara 250,000 hingga 300,000 orang.

Tetapi jika matlamat hendak mencapai sejuta penonton maka pendekatan baru dari segi penceritaan dan pemasaran perlu dilakukan.

Untuk tahun 2009 pula, sudah 27 buah filem telah disenarai untuk ditayangkan.

Apakah filem-filem tahun 2009 jauh lebih menarik daripada filem-filem 2008?

Pada masa yang sama bagaimana dengan usaha kerajaan untuk mengeluarkan dana menghasilkan filem-filem kenegaraan atau bercorak patriotik seperti yang diumumkan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia, Datuk Seri Shafie Afdal pada Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur 2008 lalu?

Apakah perancangan dan bagaimana bentuk filem patriotik yang akan dihasilkan nanti?

Sejauh mana nilai peradaban, budaya, sejarah dan pemikiran bangsa akan diangkat oleh filem itu nanti dapat dihayati dan pada masa yang sama dapat ditonton sebagai karya seni yang menyenangkan?

Peranan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) di bawah pengerusi baru, Datuk Razali Ibrahim walaupun sering dikritik tetapi tidak dinafikan memainkan peranan penting dalam mengembangkan industri filem tempatan dengan cabaran yang semakin kompleks.

Ini kerana filem bukan sahaja dilihat pada untung rugi sebagai produk dagangan tetapi sebagai karya seni, filem harus mampu mengangkat pemikiran bangsa serta citra seni budaya mereka.



1 comments :

the best writing on 2008 film retrospective .. tq..