Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


Rabu, 7 Januari 2009

Memberikan Persoalan Yang Cukup Sensitif...... MAUT, paparan kehidupan di akhir zaman.

Hidup dan mati adalah ketentuan Allah S.W.T, dan bagi mereka yang menjaga agamanya golongan ini tidak akan melakukan perkara-perkara yang merosakkan agama, yakni tunduk dan sujud pada-NYA selalunya dipandang remeh oleh masyarakat islam sekarang terutamanya anak-anak muda’,. Persoalan ini cuba dikupas secara sindiran melalui paparan visual yang cukup sensitif di dalam naskhah ‘MAUT’ yang judul asalnya ‘Malaikat Maut’, bakal memukau pawagam pada 15 Januari 2009, merupakan filem pertama Malaysia yang ditayangkan pada tahun ini. Pembukaan filem ini memaparkan jalur pemikiran kepada 3 olahan cerita yang bergerak secara berasingan dengan menggunakan isu yang sama iaitu ‘kerosakan dan kelalaian bangsa melayu beragama islam’ yang hidup berpaksikan duniawi dan harta benda sehingga menganggapkan agama dan solat serta kepercayaan sebagai dusta belaka. Filem Maut arahan Bade Hj. Azmi cukup kuat naratifnya melalui kepelbagaian karektor utama yang diketengahkan dalam menyampaikan mesej berguna kepada penonton. Ia bergerak kepada 3 buah episod yang berlainan cerita di dalam satu filem melalui pembahagian kepada 3 bulan islam iaitu Sya’aban, Ramadhan dan Syawal. Ketiga-tiga bulan islam ini menceritakan kisah yang berlainan dan berbeza dan ia memberikan tamparan hebat buat penonton terutamanya pada cerita di bulan Syawal.


Sya’aban, pembahagian bulannya menceritakan kehilangan seorang gadis bernama Fadilah yang dirogol dan mayatnya dicampakkan ke sebuah perkuburan kristian. Ia sebuah kisah melodrama biasa yang menggerunkan dengan sudut visual yang cukup mengkagumkan . Selepas itu penonton dihidangkan dengan kisah yang berlaku di bulan Ramadhan, di mana ia cukup memperdebatkan isu agama melalui paparan visual yang cukup sensitif dan provokatif. Ia sebuah kisah realiti yang berlaku di bulan Ramadhan, di mana anak-anak muda tidak menghormati bulan Ramadhan dengan melakukan pesta maksiat dan seks bebas yang visualnya cukup panas dan sensasi. Arak dan minuman keras serta adegan kissing juga pergaulan tanpa batasan antara lelaki dan perempuan muslim di paparkan tanpa tapisan yang bertujuan untuk memaparkan suatu yang sahih untuk renungan penonton dan ia berakhir dengan penyesalan tanpa henti melalui karektor Farah, lakonan Sabrina Hassan yang memegang watak seorang pramugari yang mengamalkan cara hidup bebas dengan pemuda Inggeris, Duke lakonan Mohamad Bathich. Mereka menjadikan arak dan maksiat sebagai tiang pegangan serta mengabaikan kehidupan beragama.

Jika dilihat faktornya dalam kehidupan seharian, rata-ratanya masyarakat Malaysia hanya mengaku dirinya islam, tetapi sukar untuk tunduk dan sujud pada-NYA dengan alasan ‘membosankan, tiada biasa mahupun terpancar perkataan ‘ala… kiamat lama lagi..’. Jadi persoalan ini walaupun agak remeh, tetapi dipersoalkan secara provokatif oleh Bade Hj Azmi dalam MAUT dengan memaparkan rakaman visual yang bertemakan ‘dance for life’. Bade seolah-olah melepaskan geramnya pada persekitaran anak-anak muda dengan memberikan sudut pandangan secara keras walaupun difikirkan secara positif, ia mampu memberikan tamparan yang cukup kuat buat penonton. Gambaran kiamat serta seksaan tuhan digambarkan secara grafik melalui ‘mimpi separuh sedar’ oleh Farah ( Sabrina Hassan ) di dalam koma tentang pembalasan Allah S.W.T kepada umatnya yang ingkar dan angkuh di muka bumi, sehingga ia sedar dan kembali ke jalan yang diredhainya.

Persoalan demi persoalan diutarakan lagi dalam sebuah kisah yang berlaku di bulan Syawal. Pada bulan ini, Bade menggambarkan secara kritikal betapa rosaknya anak-anak muda dengan muzik black metal yang sudah menjadi makanan seharian JJ ( Que haidar ). JJ hidup berpaksikan hasutan muzik syaitan dan meraikan perayaan Aidilfitri dengan pesta memuja syaitan dengan alunan muzik yang membingitkan. Ini memberikan tamparan yang cukup panas lagi apabila JJ mempersoalkan kewujudan tuhan, Al-Qur’an dan kebenaran hakiki melalui dialog dan visual yang agak sensitif barangkali dari kaca mata penonton muslim. Keberanian karektor Que Haidar memegang watak pemuda murtad yang tidak mempercayai tuhan dan agama dibalas dengan hukuman yang amat pedih semasa saat kematiannya kerana mayatnya sukar diterima bumi dalam tempoh yang begitu lama. Seksaan demi seksaan digambarkan secara visual oleh sinematografinya, Khalid Zakaria dalam merakamkan perjalanan visual yang agak berani dan menggemparkan. Ia lebih berani daripada naskhah Anak Halal dan filem Akhirat. MAUT, filem terbitan Tayangan Unggul ini bukannya sebuah filem untuk mempersendakan agama atau masyarakat islam, tetapi ia cuba mendidik masyarakat muslim yang mengaku dirinya islam supaya berfikir apakah kita benar-benar islam? Dan apakah kita impikan kehidupan hakiki dengan melupakan semua yang diberikan dan tidak mahu tunduk dan sujud sekalipun kepada Allah, sedangkan kita diciptakan sempurna oleh pencipta. Justeru, filem MAUT wajar ditonton oleh semua anak-anak remaja, ibu bapa dan pencinta filem dan fikirkanlah positif apabila menonton filem ini.

p/s: MAUT naskhah yang berani mengupas isu agama dalam persoalan sosial, ia memberikan tamparan yang cukup hebat buat masyarakat yang mengaku dirinya alim, islam dan terpelihara. Di harapkan ia tidak akan timbul isu kontroversi di sebalik dialog Que Haidar dengan seorang tua tentang agama… So… fikirkan positif apabila anda menonton MAUT dan ingatlah kehidupan ini adalah cuma sementara… wallahuallam..


3 comments :

saya akui terkesan dengan filem ini walaupun ada babaknya yang pernah saya tonton di TV melalui drama-drama...