Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


Jumaat, 23 Januari 2009

Tribute kepada Filem-Filem Melayu Era 80-an...... Awan Mendung Menanti Pelangi Karya terbaru Azri Abu Hassan


'Awan Mendung kini dalam DVD'

Selepas mencipta nama menerusi filem pendek 'Kopitiam Kurang Manis' terbitan FACT, UiTM tahun lepas, Azri Abu Hassan menerusi Kopitiam Productions kini menghasilkan naskhah terbaru 'Awan Mendung Menanti Pelangi', yang dikatakan sebuah filem tribute kepada filem-filem melayu era awal 70 dan 80-an. Filem ini telah pun ditayangkan secara ekslusif Rabu lepas di UiTM Puncak Perdana, Selangor yang dihadiri beberapa teman blogger, para pelajar dan para penglibat industri. Turut ditayangkan pada malam itu karya-karya pendek pelajar antaranya Omah Cilikku Enek Kelambu dan Sinkronis, yang merupakan antara filem pendek yang mendapat perhatian para pengkritik filem, pengulas blogger dan para pensyarah uitm. Berbalik kepada filem 'Awan Mendung Menanti Pelangi' ini, ia boleh dikatakan sebuah filem seakan-akan karya era 80-an, terutamanya filem-filem terbitan dan arahan Jins Shamsuddin, Sarimah Ahmad, Hussein Abu Hassan dan sebagainya. Permulaan filem Awan Mendung ini, anda dihidangkan dengan imej, penataan sinematografi, penataan seni dan warna dalam filem ini seakan-akan filem melayu era 80-an. Pemilihan muzik dan lagu tema nyanyian Salamiah Hassan 'Gelombang', amat bertepatan dengan mesej yang ingin di sampaikan Azri dalam filem Awan Mendung ini. Tiada apa yang menarik dari segi naratif yang perlu dikupas dalam filem ini, kerana ia sebuah filem tribute kepada filem lama dan tentunya agak melankolik dan penuh dengan perspektif melodrama air mata. Lakonan yang agak bersahaja daripada Aminah Rhapor, Mazlan Tahir dan sebagainya boleh dibanggakan kerana ia mengingatkan saya kepada filem-filem arahan Jins Shamsuddin seperti Tiada Esok Bagimu, Esok Masih Ada dan Esok Untuk Siapa. Jika dilihat pula dari segi poster filem ini, Awan Mendung seolah-olah mengambil inspirasi daripada poster filem-filem melayu era 80-an, sebagai contoh ; anda boleh perhatikan antara poster filem "Tiada Esok Bagimu" dengan poster filem Awan Mendung Menanti Pelangi. Ada persamaan kan?, kalau tidak, maafkan saya.

Pemilihan tajuk bagi filem 'Awan Mendung Menanti Pelangi', arahan Azri Abu Hassan ini memberikan makna yang cukup mendalam kerana gambaran Awan Mendung boleh dilihat pada pergolakan rumah tangga yang berlaku antara kedua-dua watak yakni 'Mazlan Tahir dan Aminah Rhapor'. Kedua-dua watak ini bermain dengan emosinya yang tersendiri di mana karektor Aminah Rhapor yang memegang watak sebagai Rohani, isteri kepada Pak Haji (Mazlan Tahir) yang agak curang dan beralih cinta dengan pemuda berlainan agama, Rajoo. Apakah tidak ada lelaki melayu lain di dunia ini yang boleh dicintai Rohani?. Dan kenapa Rajoo?. Mungkin penulis skripnya, En Norman bisa menjawab persoalan ini.

Jika dibaca di dalam blog Azri Abu Hassan, beliau pernah berkata 'filem Awan Mendung telah di BANNED oleh Prof Hatta Azad Khan daripada ditayangkan pada umum '. Kenapa dan mengapa? Apakah isu yang menyebabkan filem ini di banned?. Adakah adegan yang memaparkan dialog antara Pak Haji dengan Rohani berkaitan kecurangan Rohani sendiri dalam memilih cinta sebenar dan Rajoo adalah pilihan hati Rohani ; sebagai punca filem ini di banned?. Tidak masuk akal, kerana karektor Pak Haji bukan seorang yang racist pada Rajoo. Ia hanya mempersoalkan kenapa tergamaknya Rohani memilih lelaki berlainan agama sebagai teman hidup mahupun skandal?. Jadi, bagi anda yang mengatakan filem Awan Mendung ini sebagai filem racist, perlu di perbetulkan kerana tanggapan anda itu salah dan jangan kelirukan penonton yang belum menonton filem ini.

Jika 'Awan Mendung', di lihat sebagai statement pergolakan, maka 'Menanti Pelangi' pula menggambarkan bagaimana perasaan Rohani yang berperang dengan situasi tersebut agar suaminya, Pak Haji Mazlan Tahir memaafkan kesalahan Rohani sekaligus mereka dapat kembali hidup bersama. Mustahil!, kerana Pak Haji hatinya telah retak bersulam duka, dan filem ini berakhir dengan titisan air mata penonton barangkali melihat pemergian seorang wanita, Rohani meninggalkan rumah tangga yang dibinanya, atas kecurangan yang dilakukan. Jadi 'Awan Mendung Menanti Pelangi' amat bertepatan dengan apa yang ingin disampaikan Azri dalam filem berdurasi 20 minit ini. Justeru, sekiranya scene akhir 'ending' itu di letakkan hujan lebat atau guruh yang berdentum dengan cuaca mendung, mungkin filem ini akan dilihat sebagai tragedi betapa dunia membenci Rohani atas kesalahannya. Mungkin impaknya lagi besar dan melodrama..Tetapi, tidak.... ini pendapat saya, jangan la mempertikaikan pulak la ye... Sekiranya, filem ini diletakkan sebaris dengan karya-karya se-era 80-an, barangkali penonton tidak akan tahu yang Awan Mendung ini karya pelajar dari UiTM, jika yang menonton terdiri daripada sebuah keluarga yang ada 'mak, ayah, mak cik, nenek, adik, datuk, dan sebagainya'. Jadi, filem ini sesuai untuk tontonan keluarga dan seluruh rakyat Malaysia yang amat cintakan filem-filem 80-an.

Bagi anda yang terlepas menonton Awan Mendung Menanti Pelangi ini, anda boleh dapatkan DVD filem ini bersama filem Kopitam Kurang Manis, yang harganya setiap satu filem RM 10.00, sila hubungi http://azriabuhassan.blogspot.com/ ataupun Yahoo Messengernya (YM), nickname azribusan

KOPITIAM juga dijual dalam DVD..

p/s: Kepada team produksi Azri, good job la... tapi kenapa dua filem tue dalam DVD diletakkan dalam plastik?. Nampak macam cetak rompak pulak. Apa kata, cadangan saya agar kedua-dua filem ini dimasukkan dalam case DVD.. baru la nampak best!!. Cover DVD dah cantik, tapi kenapa DVD Awan Mendung, tak deleted color bar dalam tue.. kata teman saya, dalam DVD yang hendak dijual tue, tak perlulah diletakkan color bar dan countdown tue... nampak macam biasa dan agak skema. Tapi gua, puas hati la tengok Kopitam.. antara kopitam dan awan mendung, gua lebih suka filem kopitiam, sinematografinya cantik bangat!!!.. so anda yang belum menonton dapatkannya sekarang stok terhad...

0 comments :