Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


Rabu, 25 Mac 2009

'Mengkritik persoalan sosial rakyat Malaysia...... Talentime di Pawagam Esok..



talentime final trailer



Alhamdulillah..... walaupun sudah 3 kali saya menonton 'talentime', arahan Yasmin Ahmad ini, saya boleh katakan ia sebuah karya terbaik beliau yang mengangkat isu perpaduan dalam konteks pemikiran rakyat Malaysia. Garapan Yasmin kali ini cukup kemas malahan struktur penceritaannya agak tersusun dan ia di bantu dengan sub-plot yang cukup indah di mana naratifnya bergerak tanpa disedari. Persoalan sosial rakyat Malaysia dikritik secara sinis dan ia dikaburi dengan ucapan dialog para pelakonnya yang kebanyakkannya mencuit hati, dan dari situlah Yasmin bertindak menyelitkan isu-isu yang ingin diutarakan dan diperdebatkan. Talentime, mempersoalkan program realiti ataupun pencarian bakat yang kebanyakkannya menjadi barah di dalam masyarakat di mana Yasmin menggunakan latar tempat sebuah kampung yang terpencil di ibu kota, yang di dalamnya mengandungi sebuah keluarga yang hidup secara harmoni dan ada ketikanya bergolak dengan kehidupan masing-masing. Keharmonian masyarakat dalam keluarga Harith ( anaknya Melur ) di gambarkan secara aman dan penuh dengan kemesraan antara bapa dan anak, ibu dan anak dan keluarga dengan pembantu rumah adalah salah satu gambaran realiti yang benar-benar berlaku dalam masyarakat Malaysia. Apakah gambaran tersebut masih lagi ada dalam masyarakat Malaysia yang penuh dengan kemodenan dan kemewahan ini?. Walaupun mesranya sebuah keluarga tersebut, tetapi masih ada lagi kaum yang begitu prejudis terhadap kaum lain. Ini di gambarkan oleh Yasmin melalui kehidupan keluarga Mahesh yang bergolak dengan dua situasi iaitu, pertama, Kehidupan silam pak cik saudaranya yang pernah menjalinkan hubungan dengan seorang wanita Indian-Muslim ( diceritakan melalui ibu Mahesh kepada Bhavani), kedua, pergolakan perasaan anaknya, Mahesh terhadap rasa cintanya pada gadis melayu bernama Melur, lakonan Pamela Chong. Apakah hubungan mereka direstui kedua-dua belah keluarga tersebut?. Jawapannya ada dalam filem ini, dan anda perlu menontonnya dengan mendalam dan penuh penghayatan. Jika tidak , anda akan gagal mengesan situasi tersebut.

Apakah seseorang yang memeluk agama islam perlu menukar namanya menjadi seperti islam?. Itulah yang cuba dipersoalkan Yasmin melalui Talentime, di mana persoalan tersebut cuba ditimbulkan melalui watak Datin Kalsom, lakonan Ida Nerina semasa dalam perjalanan mereka menuju ke Genting bersama keluarga Harith dalam sebuah kereta. Dalam situasi ini, Datin Kalsom mempersoalkan apakah Mei Ling yang memeluk islam tidak menukar namanya menjadi islam?. Ini dijawab Yasmin melalui karektor ibu Melur lakonan Mislina Mustaffa, di mana beliau memberikan jawapan bahawa 'Mei Ling memeluk islam bukannya bertukar menjadi melayu'. Ini bermakna, Yasmin mengkritik secara jelas pemikiran rakyat Malaysia keseluruhannya yang begitu prejudis kepada kaum lain sekiranya mereka bertukar agama, dan tidak bertukar nama. Dalam Talentime, isu ini digambarkan secara komedi di mana garapan tersebut tidak menjadi kontroversi, malahan ia sebuah kritikan yang agak mendalam. Walaupun persoalan demi persoalan di utarakan Yasmin di dalam Talentime yang akan menemui penonton mulai esok, 26 Mac 2009 nyata tidak memberikan apa-apa spekulasi negatif pun terhadap masyarakat Malaysia, malahan Yasmin bijak menggunakan peluang yang ada untuk berkomunikasi dengan penonton dengan membawakan isu-isu dan cerita yang menarik agar ia dapat ditonton dan dikongsi bersama. Justeru, Talentime filem Malaysia yang wajib di tonton oleh seluruh rakyat Malaysia, kerana filem ini bukannya filem sampah seperti filem-filem Malaysia lain, malahan ia sebuah filem yang mempersoalkan banyak perkara dari sudut intelektual dan ia dekat dengan masyarakat kita. Percayalah, filem ini jika ditayangkan di Korea ataupun Japan, ia akan mendapat sambutan yang hangat kerana talentime, sebuah filem berjiwa Malaysia yang sarat dengan mesej dan kritikan. Oleh itu, luangkan masa anda untuk menonton filem ini esok di pawagam kerana duit yang akan anda laburkan untuk membeli tiket bagi menonton filem ini pastinya tidak akan mengecewakan kerana ia sebuah filem terbaik dan bakal menjuarai Best Filem untuk Festival Filem Malaysia, akan datangnya. Katanya... insya-allah..

amin...

p/s: Alhamdulillah.. semua filem Yasmin setakat ini tidak pernah mengecewakan saya... dan tentunya juga anda di luar sana, masih berpendapat sama kan.. Sori la.. banyak lagi persoalan yang ingin saya tuliskan dalam rencana ini, cukuplah hanya yang ini.. so apa pula pandangan anda terhadap talentime...? rasanya saya nk tonton lagi buat kali yang ke-empat la.... nak ikut tak?


ulasan terdahulu tentang filem Talentime ini.. sila klik ke arkib berikut untuk membaca artikel sebelumnya:
http://amyikram.blogspot.com/2009/03/konflik-jiwa-antara-dua-budaya.html

1 comments :

aku juga punya hasrat untuk menonton lagi filem ini buat kali ketiga... terbaik dari yasmin ahmad kukira...