Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


Selasa, 14 April 2009

Kisah Hidup Remaja Bohsia.... Garapan Syamsul cukup panas!.


'Pergaulan bebas tanpa sempadan serta perlakuan seksual yang melampau', adalah garapan utama kepada Bohsia, karya terbaru Syamsul Yusof yang akan menemui penonton tempatan di seluruh Malaysia mulai 23 April 2009. Filem yang di barisi Nabila Huda, Salina Saibi, Shaheizy Sam, Aaron Aziz, Diana Danielle dan Syamsul Yusof ini memaparkan sebuah kisah hitam anak-anak remaja di kota besar, Kuala Lumpur yang hanyut dengan kehidupan sosial dan perlakuan bebas tanpa mengenal erti dosa dan pahala. Ragam anak-anak muda antara lelaki dan perempuan yang diwakili watak Amy (Salina Saibi ) dan Tasha (Nabila Huda) adalah kelompok remaja wanita yang hanyut dengan arus kemodenan serta kehidupan bangsa Malaysia yang tidak tahu hukum agama dan budaya. Filem ini lebih memfokuskan kepada anasir-anasir negatif dan kehidupan remaja liar yang menjadikan seks, lepak dan dadah sebagai makanan seharian tanpa sedikitpun prejudis terhadap sesuatu perkara. Kemarahan dan kritikan sosial beberapa kehidupan liar anak-anak muda samada lelaki dan perempuan, dikupas secara drastik dan agak kritikal dengan struktur naratif penceritaan yang lebih kepada remaja bohsia dan perlakuan songsang remaja itu sendiri. Hubungan kekeluargaan serta didikan agama adalah penting kepada seseorang remaja itu, sekiranya ingin menjauhkan diri daripada pegangan negatif ini. Bohsia, cuba mengupas permasalahan sosial anak-anak muda yang terbabit di dalam situasi ini sebagai kelompok remaja yang mempunyai masalah keluarga yang agak kritikal. Permasalahan ini dilihat agak ketara kepada dua buah keluarga yang bermasalah iaitu keluarga Amy, yang mempunyai seorang bapa yang pemabuk dan gila seks manakala keluarga Tasha melalui sikap ibu Tasha, lakonan Ifa Raziah yang sering membawa pulang jantan @ lelaki pulang ke rumah. Dalam situasi ini, maka tidak hairanlah, anak-anak akan terikut sama dan menjadikan kebimbangan sosial ini sebagai satu perkara yang di halalkan. Soal halal dan haram di dalam Bohsia cukup pedas gambarannya, kerana Bohsia cuba mengupas pelbagai masalah remaja yang berlaku dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia. Walaupun ia sebuah isu klise dan lapuk, namun isu-isu seperti ini digemari oleh beberapa produser mahupun pengarah filem dalam menggarapkan naskhahnya, Kenapa?. Ini adalah kerana, remaja dan kehidupan itu sendirilah yang menjadikan sesebuah filem itu menjadi agak panas mahupun kontroversi. Bohsia karya Syamsul Yusof ini banyak menggunakan elemen-elemen yang agak sensitif dan keseluruhan filem ini di bikin dengan visual-visual, paparan dialog dan pemilihan pakaian terhadap sesebuah karektor adalah tanpa mengira sensitiviti masyarakat Malaysia. Bohsia bukan di bikin untuk kita mengikutinya, tetapi ia adalah sebagai peringatan kepada kita terutamanya ibu bapa di luar sana, agar memandang perkara ini sebagai satu yang serius kerana apa yang di paparkan di dalam Bohsia adalah realiti kehidupan rakyat Malaysia di akhir zaman. Filem yang dilabelkan 18PL oleh Lembaga Penapisan Filem ini tidak sesuai di tonton oleh remaja di bawah umur kerana segala paparan, aksi-aksi dan perlakuan adalah bertentangan dengan umur dan peringkat pemikiran. Jika kita lihat dari sudut ceritanya, filem Bohsia agak kritikal dari sudut visual dan dramatiknya, tetapi keseluruhan filem ini cuma agak biasa dan seakan-akan tidak dapat lari daripada konsep konflik drama atau sesebuah telemovie. Yang membezakan Bohsia dengan telemovie ialah, sudut visualnya. Kenapa?. Ini adalah kerana, jika Bohsia dibikin untuk di siarkan di televisyen, maka kita tidak akan dapat melihat adegan-adegan panas dan perilaku negatif secara keterlaluan. Justeru, jika anda inginkan sebuah karya yang cukup rencahnya dan menghiburkan tanpa memikirkan apa-apa yang memeningkan, maka Bohsia adalah naskhah yang perlu ada tonton di penghujung bulan ini kerana ia menyajikan pelbagai adegan menarik, mencabar dan mendebarkan. Percayalah anda tidak akan berganjak menyaksikan filem ini di pawagam..


Bohsia.. panas dan kontroversi?. Jom tonton hanya di pawagam mulai 23 April 2009.



1 comments :

bohsia sama je macam siri gerak khas yang tajuk episod tersebut adalah bohsia kalau ada...setuju tak ?