Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


Jumaat, 5 Jun 2009

'Untukmu Sudirman', konsert penuh makna Bintang Emas Pictures...!


"Walau apapun terjadi, bagi Sudir, perjuangan Sudir dalam bidang seni tiada noktahnya. Selagi nadi ini masih berdenyut, selagi peminat masih meminati Sudir, selama itulah Sudir berjuang dalam dunia hiburan. Dalam kerjaya saya sebagai penghibur, saya mahu lakukan bersungguh-sungguh supaya masyarakat terus mengingati buat selama-lamanya"
---- Allahyarham Sudirman Hj. Arshad

Semalam 4 hb Jun 2009, Industri Hiburan tempatan sekali lagi melakarkan sejarah di mana Konsert Untukmu Sudirman yang dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya berlangsung dengan jayanya. Konsert yang dijayakan oleh Adibah Noor, Haziq, Atilia, Kaza, Kelvin Lau, Rahim Maarof, Mila, Ikhwal dan Andy Floop Poppy ini merupakan sebuah konsert penuh makna yang diterbitkan oleh Bintang Emas Pictures Sdn. Bhd. Konsert yang menyajikan himpunan lagu-lagu popular Allahyarham Sudirman dari awal pembabitannya dalam dunia seni hinggalah lagu terakhirnya, Salam Terakhir dipersembahkan dengan begitu mengujakan daripada barisan artist yang menjayakan konsert Untukmu Sudirman tersebut. Dengan durasi 3 jam, konsert Untukmu Sudirman ini boleh dikatakan sebuah persembahan yang cukup mengkagumkan walaupun sedikit kekurangannya terutama dari segi persembahan salah seorang artis yang di dapati 'terlupa lirik' pada sesetengah lagu yang pernah dipopularkan oleh Allahyarham Sudirman Hj. Arshad. Walaupun memberikan persembahan yang cukup memukau khalayak, konsert Untukmu Sudirman ini kelihatan terhenti sekejap terutamanya pada peralihan artist dan pertukaran muzik antara lagu-lagu yang akan dipersembahkan. Situasi seperti ini kerap berlaku terutamanya pada konsert-konsert besar seperti ini, tetapi mungkin barangkali ia adalah masalah teknikal dan boleh di maafkan. Tetapi, kewajaran atas situasi ini perlu dielakkan pada konsert seterusnya kerana jika tidak ia memberikan implikasi negatif terutama kepada penonton yang terlalu mengambil berat kepada corak persembahan dan gerak kerja serta turun naik stage pada sesebuah konsert. Walaupun dilihat dari sudut kekurangannya, Konsert Untukmu Sudirman nyata tidak mengecewakan kerana barisan artis yang menjayakan persembahan ini agak professional terutamanya pada Adibah Noor, Atilia, Mila dan Haziq. Yang lain cuma, sebagai tambahan penyeri kepada konsert ini. Bagi saya, sudah memadai seandainya Untukmu Sudirman ini dijayakan oleh Adibah Noor, Mila, Atilia dan Haziq sahaja, tetapi ia seolah-olah agak terganggu apabila menampilkan ramai artist dalam setiap persembahan. Bukan mengutuk atau mempersendakan, tetapi persoalan yang kerap kali bermain di fikiran saya apabila menyaksikan konsert ini semalam bersama rakan media lain adalah 'kenapa tidak dipanggil Datuk Siti Nurhaliza' untuk konsert ini juga?. Apakah tidak cukup bajet atau mungkinkah Datuk Siti perlu fokus kepada Konsert Solonya, Satu pada akhir Jun 2009 ini? Sekiranya, Datuk Siti Nurhaliza dan Aisyah dipanggil untuk menyerikan konsert Sudirman semalam, sudah tentu ia akan menjadi lebih menarik lagi dan mungkin akan meninggalkan kesan dan memori yang sangat berharga.
Penampilan khas pelakon filem terkenal yang wajahnya seiras Allahyarham Sudirman Hj.Arshad pada konsert Untukmu Sudirman ini, Que Haidar nyata memberikan signifikannya yang tersendiri. Kemunculan Que Haidar sebagai narrator atau tukang pencerita kepada konsert ini samada pada permulaan, pertengahan dan penghujungnya, nyata membawa kita kepada dunia sebenar di mana imbasan-imbasan kehidupan Allahyarham diceritakan Que Haidar kepada penonton secara melodrama yang sangat menyentuh perasaan. Untukmu Sudirman, sebuah konsert yang perlu ditonton oleh semua peminat Sudirman kerana konsert yang dipentaskan mulai 4 hingga 6 Jun 2009 ini pastinya, menjanjikan kepuasan yang sungguh mengkagumkan.

** mesti tonton Jun 2009**

0 comments :