Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


Rabu, 5 Ogos 2009

Keluarga Allahyarham Yasmin Ahmad mahu saman Wartawan Kosmo!!


Waris Yasmin Ahmad mahu saman editor, wartawan
Artikel jejas imej Yasmin Ahmad
------------------------------------------------------------------------------------

SUBANG JAYA: Keluarga Allahyarham Yasmin Ahmad bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap pengarang dan wartawan sebuah akhbar tabloid terkenal berhubung penyiaran artikel kontroversi pada 27 Julai lalu mengenai keperibadian pengarah filem dan iklan berkenaan.

Ibunya, Inom Yon, berkata tindakan itu dibuat berikutan artikel berkenaan ditulis, disiarkan tanpa fakta tepat serta menggunakan sumber maklumat yang diragui hingga menjejaskan nama baik pengarah itu serta keluarganya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan tindakan itu boleh dielakkan jika pengarang dan wartawan akhbar tabloid (bukan terbitan kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) itu menemuinya sekeluarga selain membuat permohonan maaf secara terbuka.

“Sampai hari ini pun mereka belum datang bertemu kami. Yang datang sebelum ini pun cuma pegawai atasannya dengan membawa bersama surat permohonan maaf daripada syarikat penerbitannya. Akhbar itu pun sudah memohon maaf pada muka depannya, Khamis lalu dan menjelaskan apa yang berlaku. Tetapi, bagaimana pula dengan pengarang dan wartawan terbabit? Mereka yang sepatutnya bertanggungjawab tetapi sampai sekarang pun belum datang sini,” katanya pada sidang media di rumahnya, pagi semalam.

Hadir sama bapa Yasmin, Ahmad Hashim dan adik bongsunya, Muzaffar Syah. Yasmin, 51, meninggal dunia di Hospital Pakar Damansara, kira-kira jam 11.25 malam, 25 Julai lalu, dua hari selepas koma akibat serangan angin ahmar ketika bermesyuarat bersama pengurusan kanan Media Prima Berhad (MPB) di Sri Pentas, Bandar Utama.

Pada 27 Julai lalu, akhbar tabloid berkenaan menyiarkan artikel mendakwa mendedahkan identiti sebenar pengarah terkenal itu hingga mencetuskan kontroversi.

Inom berkata, isu itu tidak selesai selagi pengarang dan wartawan terbabit tidak menemui keluarganya bagi memberi penjelasan, selain memohon maaf secara terbuka di atas kesilapan mereka dengan menggunakan semua saluran media di Malaysia.

“Ingin saya bertanya pada pengarang dan wartawan terbabit, apa nawaitu sebenar mereka menulis, seterusnya menyiarkan artikel berkenaan. Berapa pasti mereka setiap maklumat diperoleh itu tepat dan sahih. Mereka sedar ke tidak betapa besarnya impak artikel itu terhadap maruah Yasmin dan kami? Berani buat, berani bertanggungjawab. Mengapa mereka perlu takut bertemu saya, ayah Yasmin dan adik-beradiknya yang lain. Pengarang dan wartawan itu tahu ke apa yang sebenarnya berlaku… jangan pandai-pandai membuat andaian yang akhirnya mengelirukan orang ramai,” katanya.

Diminta mengulas lebih lanjut, beliau berkata, jantina anaknya tidak sepatutnya dijadikan isu kerana Allahyarham memang dilahirkan seorang wanita.

“Yasmin dilahirkan sebagai wanita, mengamalkan cara hidup wanita dan meninggal (dunia) sebagai wanita. Malah, semua dokumen mengenainya ada kami simpan, termasuk surat daripada Majlis Fatwa. Jadi, mengapa dan kenapa perkara ini dijadikan isu sensasi,” katanya.

Ditanya sama ada tindakan mahkamah itu akan mengundang pandangan negatif masyarakat, seolah-olah beliau sekeluarga mengharapkan ganjaran, Inom berkata, apa yang diutamakan adalah menjaga nama baik Yasmin.

-------------------------------------------------------------------------------------------------

p/s: Moral daripada berita ini:- *Janganlah kita selalu berprasangka buruk dengan mengaibkan kehidupan orang lain walaupun orang itu sudah pergi meninggalkan kita. Kita yang hidup ini perlu ingat bahawa, kita suatu hari nanti akan pergi jua bertemu-Nya. Sesungguhnya yang hidup akan mati jua.. kepada Allah S.W.t kita kembali. Amin.**

Mak Inom dan Pak Atan... kemesraan mereka berdua adalah realiti kehidupan di dalam filem-filem arahan Yasmin Ahmad.. yang akan meninggalkan nostalgia buat selama-lamanya. Drama 'Rabun' adalah realiti Mak Inom dan Pak Atan..

'kami warga filem amat sayang dan rindukan Yasmin Ahmad.. moga rohnya dicucuri rahmat. amin'

-Al Fatihah buat Allahyarham Yasmin Ahmad-



2 comments :

saya juga bakal merindui
karya yasmin ahmad
;[
sobs sobs

sentiasa dan akan merindui karya die..
xsabar nk tgk montaj dari kmu khas tuk yasmin..