Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


Ahad, 18 Oktober 2009

Jaminan LPF akan lebih toleran


Petikan teks: Mingguan Malaysia

JAMINAN yang diberikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Mahmood Adam pada akhir Seminar Garis Panduan Penapisan Filem memberi kelegaan kepada penerbit dan karyawan filem tempatan.

Walaupun sebelum ini ada rungutan bahawa Lembaga Penapis Filem (LPF) agak rigid dan tidak konsisten tentang sesuatu peraturan, tetapi Mahmood berkata, hasil daripada seminar ini dan satu lagi seminar akan mengubah senario itu.

Beliau realistik dengan perubahan yang berlaku dalam masyarakat khususnya aliran dan kemudahan mengakses filem lebih luas berbanding dulu. Pada masa yang sama Mahmood mahu meletakkan LPF sebagai sebuah badan yang juga turut menyumbang kepada pembangunan industri filem tempatan.

Mahmood telah mengubah persepsi umum khususnya kalangan penggiat dalam industri filem bahawa LPF tidak toleran, sebaliknya sekarang ini badan itu mengamalkan dasar pintu terbuka kepada perbincangan dengan penggiat filem.

Seminar Penapisan Filem yang dianjurkan oleh Bahagian Kawalan Filem KDN diadakan di hotel Grand Seasons Kuala Lumpur Ahad lalu. Empat pembentang yang terdiri daripada Ahli Majlis Persatuan Pengguna Pulau Pinang, Mohd. Azmi Abdul Hamid, Presiden Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim), Ahmad Puad Onah, Penolong Pengarang Mingguan Malaysia Ku Seman Ku Hussain dan Prof Madya Dr. Asiah Sarji.

Mohd. Azmi dalam kertaskerjanya menekankan slogan 'seni untuk seni' yang dijadikan lesen kreatif untuk mengetepikan landasan akhlak dan agama tidak dapat diterima.

"Atas nama seni, seks, tahyul, ganas, kebiadaban dijadikan pelaris filem sama sekali tidak dapat diterima walaupun ia dihujahkan sebagai realiti semasa dan ia memenuhi selera penonton.

"Konsep realisme yang sering diagungkan oleh karyawan filem sebagai unsur penting dalam menghasilkan layar tidak boleh terlepas dari pedoman dan akhlak," katanya.

Sambil menyifatkan cabaran arus globalisasi dan asakan langit terbuka, Azmi menyatakan tanggungjawab LPF semakin besar dan tidak mengikut telunjuk selera penonton kerana akan hancurlah budaya bangsa.

Sementara itu Ahmad Puad pula berkata Gafim sudah merungkaikan 40 garis panduan dan hampir sebahagian daripadanya sudahpun dirungkai melalui proses penambahbaikan.

Tambahnya, bilangan filem tempatan yang memasuki pawagam di Malaysia lebih kurang 30 buah sahaja jika mahu dibandingkan dengan filem luar.

"Satu filem tempatan bersamaan dengan 50 filem luar. Dalam setahun hampir 2,000 filem luar yang masuk ke pasaran kita. Tapi kenapa lebih banyak filem tempatan yang nak potong?

Menurutnya, LPF perlu menggariskan satu persatu secara terperinci. Apa yang boleh dilakukan dan apa yang tidak boleh dilakukan. Apa prinsip umum yang perlu karyawan tempatan patuhi.

"Kita hanya ada pengkelasan filem sahaja. Tapi bagaimana dengan media baru seperti Internet, permainan video dan filem interaktif? Inilah yang menjadi masalahnya," tegas Ahmad Puad.

"Kadangkala LPF dah luluskan tayangan tapi kementerian lain atau agensi lain yang bising mengenai sesebuah filem," jelasnya lagi.

Apa yang menjadi kekesalan ramai orang industri apabila LPF mula mempertikaikan tajuk sesebuah filem sedangkan ia sebenarnya dianggap sebagai 'sijil lahir' sesebuah filem.

Pontianak Harum Sundal Malam pernah menjadi mangsa kepada 'kekacauan' ini tetapi akhirnya Shuhaimi Baba selaku pengarah filem berkenaan mendapat kembali hak tersebut.

Sementara Ku Seman menerusi kertaskerja bertajuk Filem, LPF dan Kerenah Birokrasi melihat secara realistik peranan LPF yang semakin tidak relevan dengan perubahan teknologi maklumat yang berlaku secara pesat sekarang ini.

Menurutnya, LPF bukan lagi boleh dianggap pengawal moral kerana peratusan filem yang melalui LPF sama ada untuk pawagam dan stesen televisyen pada relatifnya sangat kecil dengan pintu-pintu lain tanpa melalui LPF.

Malah mempertikaikan "trauma" LPF terhadap filem yang diklasifikasikan sebagai ganas kerana LPF seharusnya melihat ganas atau tidak dalam konteks filem bukan secara babak ke babak.

"Keganasan memang menjadi satu ciri penting dalam kehidupan manusia. Tamadun bertolak dan berakhir dengan keganasan. Manusia menjadi dewasa kerana peperangan dan pembunuhan. Kegemilangan tamadun digerakkan oleh krisis dan sengketa. Malah filem perang sebenarnya membawa mesej antiperang," tegas Ku Seman.

Beliau mengesyorkan ahli-ahli penapis filem mempunyai "kecintaan" dan apresiasi yang tinggi terhadap filem dan mereka tidak hanya melihat moral daripada perspektif sivik semata-mata. Kalau ini tidak berlaku, maka tidak ada titik temu antara pemikiran karyawan dan pihak yang mengawal anasir budaya songsang dalam masyarakat.

Ku Seman melontarkan provokasi bahawa kewujudan Jawatankuasa Rayuan dan LPF yang merupakan dua entiti berbeza sebagai bukti kelangsungan birokrasi yang mesti diatasi dengan segera oleh KDN.

Bagaimana pun dengan jaminan yang diberikan oleh Mahmood bahawa beliau sendiri akan memantau perkembangan penambahbaikan garis panduan memberikan keyakinan perubahan akan berlaku dengan segera di LPF.

Malah suatu yang penting disebut Mahmood iaitu ahli penapis yang akan dibuka juga kepada kalangan karyawan filem adalah satu berita gembira untuk mengatasi masalah penapis tidak boleh melihat filem sebagai sebuah karya.

Kesungguhan Mahmood untuk melihat perubahan dan meletakkan LPF supaya relevan dengan perubahan zaman dan juga perlestarian akhlak dan budaya perlu disambut oleh seluruh lapisan karyawan filem.

p/s: saya mengharapkan agar LPF dapat meneliti sesebuah filem dengan melihat kepada apa yang ingin dipaparkan oleh karyawan dalam filemnya, bukan melihat dan mendengar dari mulut orang lain pasal filem tersebut. Namun, peranan LPF kini lebih terbuka dalam menerima setiap cadangan daripada setiap warga filem atas naratif sesebuah filem yang dipaparkan. Justeru, harapan saya agar peranan LPF ini diperbaiki dari semasa ke semasa. Insya allah.

0 comments :