Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


Selasa, 15 Disember 2009

SANTAU banyak bermain dengan imej seram!!!

Santau banyak memaparkan visual yang tampak horror dan menakutkan apatah lagi dibantu dengan kualiti bunyi dan muzik yang membangkitkan rasa cemas dan ghairah. Menonton Santau seolah-olah meletakkan diri anda dalam satu kelompok yang berada dalam situasi tersebut, ia di adaptasikan melalui janaan imej dari minda pengarah berbanding kekuatan plotnya. Penonton tempatan di hidangkan dengan aksi-aksi ngeri seperti memakan cacing yang begitu klise dalam sinema horror. Jika di lakukan scene lain yang tidak di jangka akal fikiran (berfantasi maut dan mesti kritikal) tentunya Santau di anggap filem ngeri sepanjang tahun sepertimana karya-karya seram dari Indonesia dan Thailand. Persoalan yang masih bermain di minda saya ialah 'apakah kaitan watak Man ( lakonan Zul Handy Black ) dengan perbuatan Santau ini?. Penonton di jelmakan dengan kejahatan melalui mimik muka Man dan isterinya ( nampak sesuatu ) pada permulaan cerita hingga keseluruhan filem. Emosi mereka berdua menampakkan Santau di lakukan oleh mereka sehingga menggugat nyawa keluarga Halim ( kekaburan ketika ini tidak dijelaskan pengarah ; apakah kaitan Man dan Isterinya dalam situasi ini? ) . Penonton jelas pada perilaku Man dan Isterinya yang membawa 'lepat pisang dan bubur' untuk keluarga Halim yang memberikan kesan yang amat besar sehingga menggugat nyawa. Serta tingkahlaku Man semasa Diana dirasuk sehingga memakan cacing di lantai.

Namun begitu, terbongkar seketika ( tidak dijangka dan tiada penjelasan watak yang ketara) pada karektor Husin yang nampak baik tetapi akhirnya ia merupakan dalang terbesar yang melakukan Santau ke atas keluarga Halim. Justeru, Santau boleh di anggap filem yang mempunyai janaan imej yang cukup kuat dari Azhari yang mengadaptasikannya ke layar perak , cuma jika di olah dengan lapisan plot yang kuat, Santau akan menggerunkan lagi barangkali. Wallahuallam.

-------------------------------------------------------------------------------------------------

* satu kritikan yang cukup membina dari pengkritik filem yang cukup terkenal, A.Wahab Hamzah mengenai filem Santau arahan Azhari Zain yang banyak bermain dengan janaan imej seram berbanding plot dan naratif yang agak longgar. Bagaimana pula pendapat Pak Hassan Muthalib pulak?!*

Cukupkah sekadar imej seram?
oleh A.Wahab Hamzah



JIKA penonton merasa cemas, mual dan ngeri semasa menonton filem seram, maka maka filem seram tersebut dikatakan berjaya. Malah lebih kuat kesan tersebut maka filem tersebut dikatakan lebih berjaya. Setakat itukah sahaja ukuran sebuah filem seram? Malangnya, tumpuan yang keterlaluan terhadap kompleksiti kesan imej yang menakut dan mengerikan sebenarnya boleh menyebabkan hilangnya arah terhadap asas utama pengalaman penonton sesebuah filem seram. Tanpa latar yang sewajarnya, makhluk ngeri yang muncul di belakang pintu akhirnya hilang upaya untuk menakutkan. Kesan seram (atau horror) wujud apabila kita berhadapan dengan perubahan imej yang tidak kita kenali (biasa) daripada sesuatu yang sebenarnya sudah kita biasa, sesuatu yang menjijikkan walaupun ia sesuatu yang menarik. Ketakutan muncul dalam psikik kita apabila berdepan dengan imej yang menyentak perasaan, imej tersebut memaksa penonton menilai imej yang 'abject', yang tidak menyenangkan dan menekan. Pembikin filem seram akan cuba mengangkat nilai-nilai ini. Namun hari ini gelombang filem seram sudah berubah. Pendekatan filem seram konvensional yang mengutamakan kompleksiti efek seram (imej) sudah berubah kepada pendekatan psikologi ketakutan.Kekuatan filem seram bukan sahaja perlu diisi dengan lapisan-lapisan imageri, perubahan yang bermakna, tetapi kekuatan jalan cerita, yang juga melibatkan antar-hubungan kompleks peribadi dan pengalaman, antara imej bayang dan bunyi, antara suasana dan seting.Inilah pengalaman seram yang akan dibawa oleh khalayak penonton daripada filem itu, iaitu perasaan sentiasa dilihat, kesan bunyi yang tidak pasti, imej bayang yang seakan terpapar di dinding, yang mana semua pengalaman dan perasaan takut sebegini pernah kita lalui pada suatu masa.

Filem Santau, lakon layar dan arahan Azhari Zain mengangkat subjek yang dikatakan cukup rapat dengan kepercayaan masyarakat masyarakat Melayu negara ini. Sama ada filem ini diangkat daripada kisah benar atau rekaan, akhirnya sebuah filem tetap sebuah karya fiksyen yang memerlukan alur plot untuk membentuk struktur cerita yang berkesan. Santau seperti yang kita fahami merupakan perbuatan khianat yang menggunakan ilmu hitam dan sihir untuk memberikan pengalaman ngeri yang memusnahkan mangsanya. Santau arahan Azhari ini merupakan filem seram dalam kategori 'unnatural', yang mana watak manusia biasa berubah menjadi watak yang tidak dikenali. Dalam konteks ini kita melihat watak Nina (Putri Mardiana) seorang isteri yang cantik dan baik berubah menjadi hodoh, ngeri dan kasar apabila dia dirasuk, perubahan imej yang tidak dikenali oleh suaminya sendiri Halim (Isma Daniel). Rasukan bagi banyak budaya, dari dahulu hingga sekarang sebenarnya memperlihatkan bentuk hubungan antara masyarakat dengan agamanya dan dalam konteks filem seram, secara konvensional menjelaskan tentang ketakutan hilangnya kawalan diri, iaitu aspek ketakutan yang cukup asas. Bagi pembikin filem, tubuh yang dirasuk boleh memberikan ruang kepada mereka untuk meneroka aspek keseronokan dan ancaman cemas dalam konteks tidak rasional itu.

Perubahan imej inilah yang sebenarnya ditakuti oleh penonton. Dalam Santau, Nina dirasuk oleh syaitan (santau) untuk bertindak secara diluar sedar dan tidak rasional. Syaitan santau yang dimainkan oleh Mariani merupakan kuasa asing (supernatural) yang dianggap sebagai entiti tidak real dan kuasa ini muncul dalam imej tua dan sangat hodoh. Imej ngeri kuasa santau ini merupakan metafora daripada pelepasan tekanan yang dihadapi oleh Husin (Riezman Khuzaimi) yang berdepan dengan kejayaan Halim. Namun Halim adalah identiti watak yang kuat untuk dirasuk sedangkan Nina lebih lemah (gambaran dari segi fizikal juga) dan dengan itu juga dia mudah dirasuk. Untuk menghadapi fenomena yang menakutkan ini, Halim dan Nina kembali kepada aspek tradisi dan agama, dengan meminta bantuan bomoh dan Imam. Dengan pendekatan ini Nina dan Halim kembali menemui semula kawalan dan kekuatan diri. Tetapi kesan fenomena daripada ketidak seimbangan yang dilalui oleh Nina telah memberikan impak yang menakutkan kepada penonton. Fenomena rasuk yang dialami oleh Nina sebenarnya adalah hubungan pertarungan antara kuasa jahat dan baik, dan Halim pula berada dalam konflik antara skeptikal dan keyakinan. Halim digambarkan sebagai seorang yang skeptikal (tidak percaya) dengan kewujudan kuasa asing yang jahat (walau pun dia diingatkan beberapa kali oleh pekerjanya). Tetapi daripada beberapa peristiwa rasukan yang dialami oleh Nina, Halim dan juga khalayak penonton akhirnya mulai goyah dan percaya kemungkinan wujudnya kuasa santau itu. Malah mula percaya dengan kaedah-kaedah yang digunakan oleh bomoh dan imam untuk menentang kuasa jahat tersebut. Sebagai sebuah filem seram, Santau jelas bukan sahaja mendapat pengaruh daripada kejayaan pasaran filem Jangan Pandang Belakang @ JPB (Ahmad Idham, 2007), malah stail dan beberapa pendekatan visual filem ini dipengaruhi oleh pendekatan filem JPB. Azhari barangkali terlalu memberi tumpuan kepada aspek imej dan kesan bunyi untuk menakutkan penonton, tetapi aspek yang ditekankan ini juga sebaliknya kelihatan stereotaip dan klise, dan tidak membawa pendekatan yang baru. Aspek naratif dalam Santau begitu nipis dan plotnya terlalu simplistik. Mengapa Halim perlu mencurigai jiran barunya Man (Zul Handy Black)? Mengapa Man digambarkan mempunyai riak wajah dan aksi yang mencurigakan, di awal cerita tidak dijelaskan? Dan bagaimana Man boleh menjadi baik secara tiba-tiba? Begitu juga cukupkah masalah Husin tidak menyenangi Halim mendapat tender membina bangunan sekolah untuk dia mengkhianati Halim dengan mengamalkan santau ke atas Halim sekeluarga? Bagaimana sebenarnya hubungan Husin dan Halim yang merupakan jiran yang sudah lama kenal? Plot dalam Santau mengambil mudah banyak perkara. Sebuah filem seram tidak hanya menonton lapisan-lapisan imej ngeri dan kesan bunyi yang menakutkan, tetapi segala kesan dan transformasi imej tersebut perlukan plot yang wajar. Tidak ada salahnya menggunakan pendekatan filem seram yang konvensional, tetapi Azhari sebagai penulis seharusnya membawakan ideologi baru untuk genre ini. Kita tidak mahu penonton akhirnya merasa bosan dengan hanya permainan imej dan dan kesan bunyi yang sedangkan ceritanya dangkal.

p/s: Yang belum tonton Santau.. pi la tonton ye.. memang tidak mengecewakan!!

0 comments :