Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


Jumaat, 5 Februari 2010

'Kasihilah... Kamu akan dikasihi...', Mahabbah.. irama segar Rabbani!!


Walaupun tanpa vokalis asal, Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim yang telah kembali ke rahmatullah pada Ogos 2009 lepas, kumpulan nasyid popular, Rabbani tidak gentar untuk menghasilkan album terbarunya, 'Mahabbah' yang dilancarkan pada Januari lepas. Album yang mengandungi 8 lagu dan 8 kata-kata hikmah ini sudahpun berada dipasaran sejak Disember yang lalu. Memperkenalkan vokalis baru yang terdiri daripada anggota Rabbani sendiri, Ustaz Zulkifli Azman, album 'Mahabbah' yang turut memuatkan lagu eklusif nyanyian Ustaz Asri bersama Mawi berjudul 'Inikah Petanda', merupakan sebuah album yang wajib dimiliki oleh semua umat muslimin dan muslimat tidak kira dimana jua anda berada.

'Mahabbah' yang bermaksud 'kasih sayang, cinta dan mengasihi' merupakan sebuah lagu yang juga judul album terbaru Rabbani ini boleh dikatakan mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Walaupun berlainan vokal dan susunan muziknya, Mahabbah tidak mengecewakan khalayak pendengar kerana ia menyajikan rentak muzik mengikut trend terkini dan tidak membosankan. Mungkin agak janggal buat pertama kali mendengar album terbaru Rabbani tanpa vokal Ustaz Asri ini, Mahabbah memuatkan lagu-lagu terbaik, antaranya 'Mahabbah', 'Kejora Sinar Zaman (Tribute to Ustaz Asri), 'Syahadah', 'Nurul Iman', 'Bicara Hijrah', 'Ya Man Satufariq', 'Tanpa Agama', dan 'Inikah Petanda (Ustaz Asri & Mawi)'. Di antara kebanyakkan lagu-lagu tersebut, saya amat menyukai irama lagu bertajuk 'Tanpa Agama', yang saya sifatkan sebagai sebuah lagu yang mempunyai melodi yang agak menarik. Jika anda peminat setia Rabbani, jangan lupa untuk mendapatkan album Mahabbah Rabbani yang original dipasaran sekarang!. Seperkara lagi yang saya rasakan perlu ada dan difikirkan oleh Rabbani untuk menghasilkan album terbaru pada masa akan datang ialah 'komposer' atau 'pencipta muzik dan liriknya'. Dalam hal ini, Rabbani tidak perlu memfokuskan kepada seorang komposer sahaja untuk menghasilkan kesemua lagu yang terdapat di dalam albumnya kerana 'kepelbagaian irama dan muzik' sentuhan komposer-komposer nasyid terbaik, saya percaya album Rabbani mampu berdiri teguh walaupun tanpa vokal emas Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim. Al-Fatihah..


p/s: Suka album terbaru Rabbani 'Mahabbah'.. suara Zulkifli Azman lebih kepada komersial dan rentak trend terkini, berbanding vokal Ustaz Asri yang terlalu global. Namun, kedua-duanya memperjuangkan irama yang sama. Moga Rabbani teguh disana...

0 comments :