Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


Jumaat, 22 Oktober 2010

2 Alam.. sebuah MTV atau filem?: Sungguh mengecewakan!!



Filem 2 Alam yang ditayangkan secara ekslusif malam Rabu lepas, sempena Perlancaran Festival Filem Malaysia ke-23, 2010 di The Curve, Damansara menyaksikannya sebagai sebuah karya filem yang 'gagal' . Digembar-gemburkan bakal mengutip pulangan tertinggi dalam sejarah box-office di Malaysia dengan anggaran RM 40 juta ringgit, 2 Alam yang diterbitkan produser sensasi, Datuk Dr. Che Rozmey bakal menemui penonton serentak di seluruh Malaysia bermula 18 November 2010. Menggunakan plot seakan sebuah telemovie untuk stesen TV, 2 Alam merupakan karya yang lahir dari impian dan keazaman yang tinggi untuk membawa filem Malaysia ke persada dunia. Mungkinkah?.

Filem Seksual tanpa tapisan?

2 Alam yang mengisahkan konflik kehidupan antara kematian dan kemasyuran dalam watak Adam atau Amy( lakonan bintang baru Suhaillah Salam) tidak dikupas secara drastik, malahan ia banyak menggunakan elemen flashback dalam gambaran visualnya.Dalam situasi ini, 2 Alam perlulah mengupas secara terperinci siapakah Adam dan siapakah Amy?. Ini perlu supaya plotnya tidak mengelirukan penonton. Rata-ratanya tertanya-tanya siapakah Adam dan siapakah Amy. Cuma, kita hanya disajikan dengan sudut visual yang kononnya simbolik melalui air pancuran, sabun, ikan dalam balang dan sebagainya. Paparan ini lebih panas lagi apabila elemen-elemen seksual ditayangkan tanpa tapisan, menjadikan 2 Alam sebuah muzikal romantik yang tidak layak ditonton oleh golongan remaja. Perhatikan babak mandi sabun antara lelaki dan perempuan ditayangkan secara mengghairahkan dalam 2 Alam. Apakah ia satu fenomena yang biasa dalam penghasilannya sesebuah filem?. Saya percaya penonton remaja pasti menyukai 2 Alam kerana ia menyajikan elemen seksual yang agak melampau, sekaligus dianggap sebagai sebuah filem seks untuk tahun 2010. Di manakah elemen dakwah menerusi filem 2 Alam?. Apakah cukup hebat hanya menggunakan elemen kematian, keagamaan dan kehidupan?. Inilah pancing Dr. Rozmey terhadap khalayak penonton, kerana rata-rata mereka akan memancut selepas habis menyaksikan sesebuah filem. Apakah 2 Alam sudah tersenarai?.


Tidak Layak digelar sebagai sebuah filem?.

'Banyak menggunakan elemen flashback, muzik yang melatari visual seolah-olah sebuah MTV Muzikal, Penataan bunyi yang membingitkan telinga ( Adakah itu Dolby Digital Surround?), Plot yang berkecamuk - tiada susunan 3 act stucture, Fade to black yang menggunakan Dissolve perkataan terlalu lama sehingga 3 minit - Ia digambarkan melalui kata-kata agama yang menginsafkan. Apakah 2 Alam tidak cukup futej atau disengajakan menggunakan falsafah sendiri?', adalah kata-kata yang dapat dilontarkan melalui 2 Alam, naskhah terhebat kata Dr. Rozmey yang bakal mencipta sejarahnya yang tersendiri!!.. Kata teman media dan beberapa produser yang sempat menyaksikan filem 2 Alam, 'rata-ratanya menggeleng-gelengkan kepala tanda kecewa menyaksikan seperti dipermainkan, walaupun jalur ceritanya menginsafkan mengenai pertukaran jantina yang tidak diterima hukum alam'. Dua Alam karya arahan Hairie Othman yang tidak layak digelar sebagai sebuah filem!. Kenapa?. Pergilah tengok filem itu sendiri. Anda pasti berfikir dua kali samada mahu menontonnya atau tidak kerana setiap duit yang ingin dilaburkan untuk membeli tiket wayang pasti mahu kepuasannya bukan?. Jika saya diberi pilihan, saya sanggup membayar tiket untuk filem yang baik dan tentunya tidak akan membuang masa kerana 2 Alam bukan sasaran filem yang mempunyai naskhah yang baik. Tidak percaya.. pi la tengok sendiri k!. Anda sendiri boleh menilainya bukan?.

Tidak perlukan media

Apabila bercakap mengenai sesebuah filem, tentunya setiap dari kita samada pembikin filem atau para produser, mengimpikan karya arahan dan terbitan kita dipromosikan secara meluas di dada-dada akhbar, radio, televisyen dan panggung wayang. Dalam hal ini, 2 Alam tidak memerlukan media kerana bagi Dr. Rozmey urusan promosi dan publisti bagi 2 Alam terletak di tangan pengurusan DR Movie Productions. Sebab itulah, tayangan media bagi 2 Alam tidak akan dilakukan sehinggalah 2 Alam sendiri akan ranap panggung bermula 18 November 2010. Walaupun dipromosikan secara meluas di akhbar Kosmo melalui ruangan khas, 2 Alam nyata hebat di mata penerbitnya, tetapi tidak pada rakan-rakan media. Sebab, kami juga penonton dan kecewa dengan 2 Alam. Pi la baca ulasan penuh hormat dari tonton filem yang mengatakan 'ia sebuah karya laknat bagi tahun 2010'. Biarlah kita lihat penerimaan penonton sebenar semasa 2 Alam pertama kali masuk panggung nanti.. Jika mendapat sambutan, maka betullah anggapan Dr Rozmey mengatakan 2 Alam karya terhebat 2010.. Jika kutipannya suam suam kuku.. maka di mana perginya impian dan harapannya terhadap 2 Alam?. Tepuk dada Tanya Selera..

p/s: Semasa Tayangan Perdana FFM23 baru-baru ini di The Curve, Damansara. 2 Buah filem tayangannya serentak, iaitu ESTET dan 2 ALAM. Saya masuk tengok 2 Alam dan mengenepikan ESTET sebab saya tunggu betul-betul masuk panggung ESTET pada 4 November 2010 nanti. Tak rugi beli tiket bagi filem yang sebagus ESTET... Jika 2 Alam nak tonton sekali lagi dan buang duit.. saya terpaksa fikir dua kali.

- peminat filem perlu menonton Endhiran ( tamil) arahan Shankar yang dibarisi Rajnikanth dan Aishwarya Rai kerana ia filem 10 bintang saya bagi.. Untuk 2 Alam 0.5 bintang je-.

0 comments :