Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


Isnin, 3 Oktober 2011

Filem Seram Hantui Penonton Tempatan?


Lambakkan filem dan karya seram yang masih giat dipertontonkan di kaca televisyen tempatan mahupun dipawagam seluruh Malaysia, mendapat perhatian Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Ketika berucap dalam satu sidang majlis baru-baru ini, Tun Dr Mahathir menyifatkan bahawa kebanyakkan karya seram yang dihasilkan penggiat filem tempatan lebih banyak mempengaruhi minda penonton menjadi tidak produktif, sehingga boleh menghantui kehidupan rakyat Malaysia terutamanya generasi muda. Pandangan positif Tun Mahathir itu mendapat respond dari Majlis Fatwa Kebangsaan sehingga mahu membawa isu tersebut kepada Perdana Menteri Malaysia, Y.A.B Datuk Seri Mohd Najib Tun Hj. Abdul Razak.

Kenyataan Tun Mahathir itu juga menimbulkan polimek sehingga menjadi perbualan panas warga filem khususnya, para penggiat filem tempatan yang menjadikan karya seram sebagai makanan wajib bagi melariskan sesebuah produk di pawagam. Ketika mengulas lanjut isu berkenaan, pengarah filem Ahmad Idham Ahmad Nadzri mempunyai alasan kukuh mengatakan ia bukan karya yang mempengaruhi penonton untuk menjadi takut atau fobia, tetapi ia lebih kepada elemen komedi ataupun mempunyai elemen positif pada pengakhiran sesebuah cerita yang ditampilkan.

Kenyataan itu disokong pengarah profilik Mamat Khalid yang mengandaikan setiap filem yang dihasilkannya atau pengarah lain tentunya mempunyai mesej positif yang berselindung disebalik elemen komedi atau seram yang ditampilkan. Manakala pengarah drama seram yang banyak menghasilkan naskhah seram di Astro Ria, Michael Ang juga berpendapat sama bahawa kehendak pasaran juga penyebab utama karya seram diterima penonton sehingga mewujudkan rating tertinggi di sesebuah stesen tv tempatan.

Pengharaman sesebuah filem boleh dibuat di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri melalui Lembaga Penapisan Filem (LPF) manakala pengurangan jumlah kuantiti pengeluaran sesebuah filem atau karya seram boleh dirujuk kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS). Dalam situasi ini, sekiranya sesebuah filem yang dihasilkan itu mengandungi elemen yang boleh merosakkan akidah atau keterlaluan tanpa ada unsur nasihat mahupun elemen positif, maka sesebuah filem itu boleh diharamkan dari tayangannya di pawagam tempatan. Maka, semua pihak perlu berbincang dan bersemuka antara satu sama lain, bagi menyelesaikan setiap isu yang timbul supaya penyelesaiannya menjadi lebih positif daripada mewujudkan pelbagai polimek, tentunya akan mengundang pelbagai musibah yang negatif di dalam industri filem dan hiburan tempatan. Kesimpulannya, bukan semua karya seram itu sampah, dan lambakkan filem seram bukan salah pengarah atau karyawan filem tetapi itu adalah kehendak penonton yang mahukan karya atau filem seram menguasai industri filem dan drama tempatan.

Tepuk dada tanya selera..

p/s: Apa kata Pak Hassan Muthalib dalam isu ini?.
Amy - saya adalah salah seorang penggemar filem seram.

0 comments :