Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


Ahad, 18 Disember 2011

APAKAH YANG DICARI DALAM FFM24?





Oleh : Hassan Abdul Muthalib
Artikel ini merupakan artikel penuh tulisan Hassan Muthalib. Edisi yg disiarkan hari ini di Utusan Malaysia adalah edisi yg telah disunting oleh editor. Harap maklum.

Festival Filem Malaysia Ke-24 (FFM24) masih terus diperkatakan, kali ini melalui tulisan Dr Naim Ahmad bertajuk Hikmah Sebalik Kontroversi FFM dalam sebuah akhbar mingguan pada Ahad lalu. Saudara Naim adalah kenalan saya dan kami pernah duduk semeja sebagai ahli panel penjurian di beberapa festival drama TV dan filem.

Terus terang saya katakan kami tak pernah sependapat mengenai filem naratif dan teknik penyampaiannya. Itu tidak menghairankan kerana bidang kami amat berbeza. Saya adalah seorang pembikin filem yang juga menyelami aspek teori, praktis dan falsafah. Naim pula seorang sarjana yang ada pengalaman membuat filem-filem dokumentari. Ilmu filemnya pula sekadar menggunakan filem dalam pendidikan.

Saya tertarik dengan tulisan Naim kerana apa yang beliau ceritakan tentang seni sememangnya menjadi pegangan saya. Naim berpendapat sifat seni adalah ”cantik, indah, halus, bersih, baik dan benar”, dan ”seorang seniman adalah seorang ’sufi’...seorang sufi juga seorang seniman. Sufi dan seniman sekali gus menyatu secara harmonis dalam diri seseorang untuk menjadi insan hebat....”

Naim juga banyak menyebut nama Allah sepanjang tulisannya. Namun saya tertanya-tanya: apakah kesemua yang disebutnya itu merujuk kepada manusia-manusia ’sufi’ yang melahirkan karya yang ”cantik, indah, halus, bersih, baik dan benar” yang sudah diangkat sebagai jaguh-jaguh dalam FFM24? Atau pun ia merupakan satu sindiran terhadap Dr. Hatta Azad Khan dan artikelnya bertajuk Apa Yang Juri Cari (Mingguan Malaysia pada 20 November 2011), tentang cara dan kaedah penjurian di sesuatu festival?

Hatta tidak rujuk kepada FFM24 atau pun menyebut nama Naim. Maka bagaimanakah Naim boleh menyindir Hatta dengan kata-kata yang kurang beradab seperti ”orang sini”, ”janganlah tinggi diri dan mencari kepentingan diri” dan mempersoalkan samada Hatta sudah ”menjelajah ke semua sekolah filem di serata dunia....atau menyelak buku panduannya saja?” Untuk pengetahuan Naim, Hatta memang telah menjelajah ke banyak sekolah filem di dunia, antaranya di Amerika, England, Australia, Jepun, Korea, India dan China, selain menghadiri beberapa festival filem antarabangsa.

Naim seterusnya menyindir dan meletakkan Hatta pada tahap ”guru besar” dan ”pelakon tambahan.” Itu adalah satu penghinaan yang datangnya dari seorang sarjana yang berulangkali menyebut nama Allah dan bercakap tentang seni dan Islam.

Naim juga menyarankan supaya Hatta tidak meninggi diri. Tetapi dalam nada yang sama, Naim mengatakan ”Jangan terperanjat kalau ada pihak akan membicarakan filem...daripada perspektif Iqra’ atau mengupas ’ilmu melihat wayang menggunakan mata hati dan mata hakiki’ daripada aspek ilmu terus mata dan konsep koramah, kasyaf dan ilham”.

Wah, hebat betul! Setakat yang saya tahu, yang mempunyai kebolehan seperti ini adalah auliya’, atau sekurang-kurangnya guru yang mursyid! Kalau tak silap pembacaan saya, ini tentunya merujuk kepada Naim sendiri dan ahli-ahli panel juri yang lain (yang tidak mempunyai ilmu dalam bidang filem). Bolehkah Naim terangkan bagaimana semuanya itu boleh diukur dengan ”ukuran skala likret” ciptaannya yang sudah diterima oleh penganjur dan digunapakai oleh juri FFM24?

Malangnya ilmu-ilmu luar biasa yang disebutkan Naim tidak digunakan untuk meneliti maksud Hatta dalam pembicaraannya. Sebagai contoh, Hatta tidak menyarankan untuk membuat filem-filem hiburan semata-mata. Katanya, jika filem-filem sedemikian dicalon untuk anugerah, ”ia akan mengejutkan si pembuatnya dan sekaligus menyerlah-kan kedangkalan si juri yang memilih.”

Artikel Hatta ditulis sebelum keputusan akhir diumumkan di malam kemuncak FFM24. Awal-awal lagi Dr Hatta sudah nampak tanda-tanda ada sesuatu yang tak kena dengan penjurian selepas pemenang awal diumumkan di Malam Pembukaan Anugerah Cipta. Hatta adalah seorang sarjana dalam bidang filem dan teater yang selalu berfikir sebelum bercakap. Beliau seorang penulis dan pengarah filem yang sudah menerima pelbagai anugerah di dalam dan di luar negara. Hatta juga seorang ahli akademik yang pernah berkhidmat di beberapa universiti yang melahirkan graduan dalam bidang teater dan perfileman.

Hatta tentunya memikirkan nasib dan masa depan graduan-graduan perfileman di seluruh negara. Mereka ini merupakan penglipur lara di zaman siber yang melahirkan karya-karya yang mantap, yang bercakap tentang bangsa dan negara tetapi kecundang kerana ”kedangkalan” juri yang lebih gemar mengangkat filem-filem yang mempromosi budaya samseng, budaya rempit, budaya hantu, budaya keganasan dan budaya CGI!

Sudah sampai masanya untuk Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) mencari alternatif dalam penganjuran Festival Filem Malaysia (FMM) yang benar-benar boleh membawa manfaat kepada industri keselurahnnya dan bukan untuk kepentingan beberapa pihak tertentu.

Kontroversi luar biasa telah tercetus dalam FFM23 dan FFM24 (lihat saja dalam tulisan di akhbar-akhbar, blog-blog dan di Facebook). Ianya perlu dielak untuk mengangkat imej FFM sebagai satu festival yang disegani (dan mampu menarik penaja). Pada pendapat saya, FFM masih boleh diterajui oleh Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM) tetapi pemilihan ahli panel juri tidak lagi diserah kepada Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PFM).

Ahli Jawatankuasa Penjurian jangan lagi terdiri dari kalangan ahli-ahli PFM yang FFM23 dan 24, yang pada hemat saya, sudah memilih panel juri ”yang selamat”. Pada pendapat saya, hanya pengarah-pengarah filem sahaja yang layak menjadi ahli panel juri dan boleh disokong oleh sarjana yang ada mempelajari ilmu filem (dan bukannya mereka yang berkelulusan dalam bidang pendidikan, media atau komunikasi).

Sebelum itu, disarankan supaya FINAS melakukan satu bedah siasat ke atas penjurian FFM24 (supaya berlaku adil kepada ahli-ahli panel juri juga). Dengan itu, khalayak boleh mengetahui apa yang sebenarnya sudah berlaku dan samada segalanya dibuat dengan ”kejujuran, keikhlasan, kesepakatan, setia kawan, ketelusan, kesahan dan kerahsiaan” seperti yang dinyatakan oleh Naim. Undanglah beberapa tokoh filem seperti Datuk Paduka Shuhaimi Baba, U-Wei Hajisaari dan Dr Mahadi Murad untuk bersama.

Kesilapan di Anugerah Industri Musik baru-baru ini sudah pun diakui dan diperbetulkan. Kredibiliti FFM akan menyerlah sekiranya perkara yang sama dilakukan oleh penganjur festival. Kredibiliti inlah yang seharusnya dicari supaya penjurian FFM akan datang tidak lagi menjadi mangsa mereka yang kurang matang dan tidak berilmu. Ingatlah kata-kata Nabi, s.a.w., tentang penyerahan tugas kepada mereka yang bukan ahli dalam sesuatu bidang yang pastinya akan membawa kepada kehancuran.

Filem-filem yang mantap akan diakui sejarah. Filem-filem picisan akan hilang ditelan zaman. Sinema Malaysia kini di persimpangan. Mampukah kita – atau lebih tepat lagi – beranikah kita untuk menyelamatkannya?

- Posted using BlogPress from my iPhone

0 comments :