Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


adcash

Pre-Order Now! Click Here!

Pre-Order Now! Click Here!
Tempahan untuk album terbaharu Dato' Sri Siti Nurhaliza #ManifestaSiti2020 sudah dibuka!. Klik untuk tempahan!

Rabu, 14 Disember 2011

FFM24 2011 - APA YANG JURI CARI?


oleh: Prof Dr Hatta Azad Khan

Setiap festival filem mempunyai matlamat khusus. Festival filem Malaysia juga tidak terkecuali. Penganjur yang bertanggungjawab akan memberikan penjelasan kepada jemaah juri akan tujuan atau matlamat, harapan & pencapaiannya.

Dalam bahasa mudah: festival itu untuk mencari apa sebenarnya? Memanglah untuk mencari yang terbaik. Itu lumrah dalam setiap pertandingan atau perlawanan. Tapi menentukan antara yang kalah & yang menang harus berdasarkan bukan sahaja peraturan tetapi juga kriteria tertentu yang ditetapkan oleh penganjur bagi memenuhi matlamatnya.

Juri seharusnya melihat filem sebagai filem & tidak perlu terpengaruh dengan hal-hal lain berkait dengan promosi, pemasaran, sambutan & ulasan atau kritikan filem itu. Tapi para juri mestilah bijaksana. Mereka perlu kenal filem, tahu bahasa filem, pandai menilai lakonan & pengarahan serta turut memahami setiap aspek dalam penghasilan filem. Mereka tidak perlu terlibat secara langsung dengan bidang perfileman, tetapi perlu memahami keadaan sosio-budaya yang melatari setiap filem yang dihasil & dipertandingkan.

Yang sebaik-baiknya, juri seorang yang luas pengetahuannya tentang budaya bangsanya & turut menjadi penggemar filem dari serata dunia untuk menjadi modal dalam membuat perbandingan. Ini penting kerana setiap ukuran yang dibuat harus ada dasarnya, diukur berbanding siapa?

Bukanlah kita mahu mereka membandingkan filem-filem kita dengan filem Amerika atau Eropah, tetapi sekurang-kurangnya mereka mempunyai pengetahuan & pengalaman menonton filem setidak-tidaknya dari negara jiran seperti Indonesia, Thailand, Singapura, Filipina, Iran, Sri Lanka atau lain-lain negara yang mungkin tidak semaju Amerika atau Eropah.

Berhati-hatilah dalam membuat penilaian & pemilihan. Memilih filem bukan seperti memeriksa kertas ujian atau peperiksaan. Tidak ada formula atau pemarkahan. Yang perlu adalah perbincangan yang disokong oleh hujah yang matang & terperinci mengenai kekuatan & kelemahannya.

Jangan terpengaruh jika ada orang yang cuba bertindak pandai dengan mencipta formula menilai filem dengan menggunakan angka atau markah. Tidak ada sebuah sekolah filem pun di dunia yang mengajar apresiasi & penilaian filem dengan memberi formula secara perkiraan markah dengan angka.

Filem harus dilihat sebagai sebuah karya yang bermula dengan cerita yang diolah menjadi menarik oleh pengarah. Cerita itu dihidupkan dengan lakonan oleh pelakon-pelakon yang memahami & menghayati watak yang dibawanya. Lakonan yang hidup itu pula berhasil menimbulkan konflik yang menyentuh hati penonton. Penonton akan turut merasai setiap perlakuan, tindakan & perasaan yang dialami watak & sentiasa mengharapkan berlakunya penyelesaian yang memberikan mereka kepuasan.

Lakonan yang menghidupkan cerita digambarkan dalam framing dengan komposisi yang menghidupkan latar, mood & suasana. Gambaran yang terhasil ini dibantu atau digetarkan pula dengan muzik, kesan bunyi & lagu. Kesemuanya pula direalitikan dengan penataan seni termasuk busana, tatarias, pencahayaan & sudut kamera. Ertinya filem itu dihidupkan dengan gabungan berbagai elemen yang diadun dengan kreativiti terpilih.

Sebuah filem akan menjadi terbaik jika adunan ini menjadi menarik & berkesan & tiada cacat-cela yang merosakkan. Ia juga menjadi terbaik jika kita yang menonton menjadi lupa bahawa yang ditonton itu adalah sebuah cereka. Kita hadir di dalam dunia yang dicipta itu secara tidak sedar & terheret sama dalam setiap persoalan, emosi, aksi atau tindakan serta pengalaman pahit manis watak-wataknya. Ringkasnya kita tidak sedar bahawa itu adalah filem!

Namun tidak semua filem dibuat dengan keupayaan & tujuan ini. Ada banyak filem-filem ringan yang dibuat semata-mata dengan tujuan memberikan hiburan semata-mata & tidak pun mahu menyoal minda penonton. Ia cuma ditonton & dilupakan. Tiada salahnya membuat filem sebegini. Menghiburkan penonton berbayar itu juga suatu amanat yang mulia.

Tetapi jika filem begini kita senaraikan sebagai calon pemenang anugerah dalam sesuatu festival, ia akan mengejutkan si pembuatnya & sekaligus menyerlahkan kedangkalan si juri yang memilih. Tugas & tanggungjawab juri adalah memberi penilaian yang bijaksana setelah membahas dari pelbagai sudut dengan membuat keputusan bersandarkan alasan yang bernas bukan kejutan songsang yang melucukan.


Memilih


Yang perlu menilai & memilih adalah para juri. Jangan sekali-kali menolak tanggungjawab dengan mengatakan bahawa juri hanya memilih barisan karyawan yang dicalonkan penerbit. Juri yang bijaksana menilai pencapaian para karyawan yang dicalonkan dengan meneliti mereka (menonton filem) & para juri boleh membuat perbahasan terhadap segala elemen kekuatan & kelemahan serta pelbagai aspek lagi.

Tetapi jika panel juri memilih untuk memberikan alasan mudah & meletakkan kesilapan kepada penerbit sekiranya timbul persoalan kenapa nama-nama tertentu yang dianggap layak, tetapi tidak tersenarai dalam lima yang terbaik. Ini menunjukkan juri malas bekerja. Panel juri yang bijaksana boleh mengubah keadaan ini.

Pada tahun-tahun awal penubuhan Finas, Festival Filem Malaysia menjadi tanggungjawab Finas sepenuhnya. Bahkan Finas pada zaman Allahyarham Ismail Zain sebagai Ketua Pengarah & kemudian Zain Hj Hamzah menggariskan kriteria khusus untuk dijadikan panduan panel juri.

Pemilihan para juri dibuat & diambil dari kalangan budayawan yang tidak terlibat secara langsung dalam industri. Saya masih ingat, ada penglibat dari bidang pengiklanan, teater, pendidikan & media cetak. Mereka menonton kesemua filem & memilih calon-calon yang berpotensi untuk disenaraipendekkan dalam kesemua kategori.

Dalam hal penjurian kita harus berfikir dengan pemikiran terbuka. Kita boleh belajar dari kelemahan & kekuatan orang lain. Jangan membuat terlalu banyak peraturan yang menyekat & memundurkan. Ramai pelakon yang memberikan lakonan terpuji dalam beberapa buah filem. Tetapi nama mereka tidak tercalon hanya kerana mereka bukan warganegara sekalipun mereka bercakap dalam bahasa yang sama.

Tanyalah balik kenapa mereka diambil berlakon pada awalnya? Tentu saja kerana mereka berbakat besar. Apa salahnya kita bertanding dengan mereka? Apa salahnya kita menguji bakat & kekuatan pelakon warganegara kita? Masakan mahu bertanding sama sendiri sahaja? Jadi ‘jaguh kampung’ kata orang: takut dengan orang lain, takut dengan jiran & takut dengan bangsa lain.

Kita melaungkan slogan “Filem Malaysia ke Persada Dunia” tapi bila bertanding mahu memilih jalan selamat yang tertutup. Apa salahnya kita keluar dari kepompong atau membuka tempurung yang menyerkup kepala? Pandang dunia dengan langit terbuka yang luas. Jadikan Festival Filem Malaysia itu sebagai wadah yang menghimpun anak seni serantau. Jadikan ia suatu festival yang dikagumi, digeruni & dihormati & dinanti-nanti kehadirannya.

Filem Terbaik akan mewakili Malaysia ke festival filem di luar negara, setidak-tidaknya ke Festival Filem Asia Pasifik. Pilihlah sesuatu yang tidak memalukan, sesuatu yang boleh diterima oleh masyarakat luar sebagai filem yang berhati-budi & berwajah Malaysia. Jangan nanti kita hanya tumpang bertepuk bagi negara-negara lain seperti Iran atau negara-negara jiran seperti Indonesia, Thailand atau Singapura.

Saya teringat kata-kata mendiang Teguh Karya, pengarah filem tersohor Indonesia, “Saya buat filem untuk bangsa & negara saya & filem-filem saya tidak pernah merugikan penerbit!” Dunia turut mengenali Indonesia melalui filem-filem Pak Teguh. & kita? Apa yang kita cari sebenarnya?

0 comments :