Jumaat, 28 Disember 2012
KAHWIN 5 : KOMEDI CARA NIZAM ZAKARIA
Tahun 2012 menyaksikan dua buah filem setahun diarahkan Nizam Zakaria. Pertama, Cinta Kura-Kura (yang ditayangkan pada 1 Mac 2012) dan Kahwin 5 (27 Disember 2012). Kedua-dua filem itu diterbitkan oleh KRU Films dan ShowBiz Production - Kahwin 5.
'Kahwin 5', dibarisi Usop Wilcha sebagai Dr. K, Dian P.Ramlee, Andrea Abdullah, Norish Karman , Marsha Milan Londoh, Anzalna Nasir, Fizz Fairuz, Shoffi Jikan dan ramai lagi. 'Kahwin 5', diarahkan Nizam Zakaria merupakan sebuah cerita komedi, antara komedi ringan dan bersahaja yang berjaya mengangkat Usop Wilcha sebagai pelakon lelaki yang cukup berbakat selepas filem Hantu Kak Limah Balik Rumah.
'Kahwin 5', sebuah komedi yang klise, tetapi pembikinannya menarik, malahan gabungan para pelakon yang membintanginya, menjadikan ia sebuah naskhah yang cukup menghiburkan. Penampilan Usop Wilcha yang membawakan karektor Dr.K ; seorang usahawan mangkuk tingkat yang berjaya dalam kariernya, beristeri empat dan terperangkap dalam satu kes sehingga memaksakan dirinya untuk berkahwin seorang lagi. Apakah Dr. K berjaya dalam hasutan perkahwinan tersebut?. Semuanya bakal terjawab dalam Kahwin 5.
Persoalan yang bermain difikiran saya ketika menonton filem ini dari awal hingga akhir ialah apakah karektor Dr. K merujuk kepada personaliti usahawan terkemuka MLM iaitu Dr. Rozmey?, merupakan antara usahawan yang berjaya dalam dunia perniagaannya. Jika tidak dan hanya sekadar cerita rekaan, maafkan saya.
Nizam Zakaria bercerita secara nakal dalam 'Kahwin 5'. Segala dialog, perilaku, gaya bahasa dan perwatakkan pelakonnya menjurus kepada elemen seksual yang kiranya tidak keterlaluan, malahan dianggap 'komedi' dalam penyampaiannya. Kredit harus diberikan kepada Anzalna Nasir kerana kemunculannya pasti menaikkan berahi para penonton lelaki kerana saya percaya Nizam ada jawapannya kenapa watak Fara diberikan kepada si cantik manis, Anzalna.
Marsha Milan Londoh, Dian P.Ramlee, Anzalna dan Andrea Abdullah, berjaya membawakan watak masing-masing, cuma kejanggalan berlaku pada karektor Norish Karman yang dirasakan agak pelik dan 'tidak jujur' dalam lakonannya. Mungkin itu perwatakkannya dalam filem ini, pasti Nizam tahu kenapa setiap watak itu berbeza kehendaknya. Namun antara banyak watak dalam filem ini, paling tidak digemari ialah watak Shoffi Jikan, yang dirasakan agak sama dengan filem-filem arahan pengarah yang lain. Diharapkan untuk filem akan datang, cuba berikan sesuatu yang menarik dan berbeza.
Membuka tirai 27 Disember 2012 di bawah produksi ShowBiz Production, 'Kahwin 5', antara komedi 'biasa', 'tidak sesuatu' tetapi 'menghiburkan', malahan filem ini memberikan sudut sinematografi yang baik malahan pergerakan shot yang bersahaja, santai dan tidak terlalu seni malahan agak baik dan tidak mengecewakan. Diarahkan Nizam Zakaria, Kahwin 5 kini menyundal di semua pawagam tempatan seluruh Malaysia.
Tonton hanya di pawagam bukan di rumah anda!.
Rabu, 26 Disember 2012
24 PERSEMBAHAN ESKLUSIF HIASI PROGRAM ISTANA BUDAYA 2013
KUALA LUMPUR - Sebanyak 24 program berbentuk persembahan pentas merangkumi persembahan teater, muzik, dan tarian bakal menghiasi jendela 2013. Program yang bakal dipentaskan di Istana Budaya, Kuala Lumpur bermula 11 Januari 2013 hingga 22 Disember 2013 mempertaruhkan elemen kebudayaan pelbagai kaum menerusi seni pentas dengan memilih 24 jenis persembahan bertaraf nasional dan antarabangsa sebagai platform utama.
Ketika berucap di Majlis Perlancaran Program 2013 Istana Budaya pada pukul 11.00 pagi 26 Disember 2012 tadi, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia, YB Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim berkata 'kita mengharapkan lebih banyak seni persembahan pentas merangkumi pelbagai kaum dipentaskan di Istana Budaya dan pembinaan lebih banyak pentas kecil untuk menyokong persembahan seumpamanya'. Turut menyingkap suasana persembahan dan program yang bakal dianjurkan, Ketua Pengarah Istana Budaya, Dato' Mohamed Juhari Shaarani menegaskan 'tiada kompromi terhadap mana-mana penerbit tempatan samada yang baru atau berpengalaman untuk menganjurkan sebarang bentuk persembahan di Istana Budaya. Kita terbuka, cuma mereka sahaja yang perlu bijak menggunakan apa yang kita berikan', tegasnya ketika menjawab persolan dan tuduhan beberapa penerbit teater sebelum ini yang mengandaikan Istana Budaya 'pilih kasih'.
Istana Budaya merupakan agensi kerajaan di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia (KPKK) merupakan antara agensi kerajaan paling aktif menganjurkan seni persembahan pentas selain Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN). Antara program menarik sepanjang 2013 yang bakal diadakan di Istana Budaya, antaranya:-
SONGS OF THE WANDERERS
(11 - 13 Januari 2013
Sebuah persembahan 'Tarian Emas' daripada Cloud Gate Dance Theatre of Taiwan yang unik dengan penggunaan padi sebagai set dalam persembahan
KONSERT KLASIKAL ORKESTRA SIMFONI KEBANGSAAN
'ROMANTIQUE'
(19 Januari 2013)
Konsert klasikal yang mengetengahkan simfoni-simfoni dari komposer terkenal terutamanya Rachamaninov dengan Symphony No.2 ( F minor, OP.21 dan Nikolai Rimsky-Korsakov dengan Capriccio Espagnol, Op 34. Persembahan klasikal yang pasti memberi kepuasan kepada peminat muzik klasikal.
KONSERT BUDI bersama ORKESTRA TRADISIONAL MALAYSIA
(29 - 31 Januari 2013)
Diterajui Yazid, persembahan penuh gilang gemilang menggabungkan penyanyi terkenal tanahair bersama kumpulan Orkestra Tradisional Malaysia. Persembahan ini akan menitikberatkan elemen-elemen teknikal pentas, set dan visual yang akan menarik minat khalayak terutamanya generasi Y.
AFFINITY WITH NAN YANG
(15 - 16 Februari 2013)
Persembahan yang menampilkan ratusan pelajar dari Malaysia dan China ini akan mempersembahkan tarian dari suku kaum Melayu, India dan Cina selari dengan semangat 1 Malaysia yang menitikberatkan keharmonian antara kaum dan semangat kebangsaan. Persembahan antara kaum pasti mengukuhkan hubungan sejagat antara Malaysia dan China.
DARI NOVEL KE PENTAS
(21-28 Februari 2013)
Persembahan teater ini meneruskan slot yang mendapat sambutan hangat dari segi kebangkitan minat khalayak kepada cerita-cerita dari novel untuk diangkat ke pentas. Akan membariskan bintang-bintang handalan tanah air, pementasan ini pasti menggamit peminat-peminat novel yang akan membanjiri Istana Budaya.
KONSERT PERMATA SENI
(3 Mac 2013)
Sebuah konsert dari anak-anak Permata yang menggabungkan seni muzik, seni tari dan kumpulan koir. Persembahan warna-warni ini akan memperlihatkan kematangan anak-anak Permata Seni yang telah ditubuhkan sejak tiga tahun yang lalu.
KONSERT NUSANTARA
(13-16 Mac 2013)
Konsert akan menampilkan Hetty Koes Endang, Elly Kassim dan Endang S.Taurina yang memaparkan keindahan dan kekayaan warisan nenek moyang dalam Kepulauan Melayu dengan warna-warni serta memperlihatkan perkongsian budaya dalam rumpun melayu.
KONSERT ULANGTAHUN KE-20 ORKESTRA SIMFONI KEBANGSAAN
(22 - 23 Mac 2013)
Sebuah konsert klasikal sempena ulangtahun ke-20 penubuhan Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK). Konsert ini akan menampilkan pemuzik-pemuzik undangan dari luar negara dan akan diterajui oleh konduktor OSK Fuzer Nawi.
KUMANG
(29 - 31 Mac 2013)
Sebuah Dramatari terkenal dari suku kaum Iban mengisahkan lagenda percintaan di antara Kumang dan Keling. Program kerjasama dengan kerajaan Negeri Sarawak akan memberi pendedahan kepada khalayak mengenai etnik masyarakat Iban Sarawak.
MUZIKAL UPIN & IPIN (VERSI PFOF. GAMAT)
(12 - 21 April 2013)
Muzikal ini diadaptasi dari siri animasi terkenal di Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia. Muzikal ini akan menampilkan artis lakon pelbagai kaum dan membawa kisah kehidupan masyarakat majmuk Malaysia yang mementingkan kehidupan yang penuh harmoni. Muzikal ini pasti akan menarik khalayak di kalangan kanak-kanak
KONSERT WINGS OPERA HIDUP 2
(26 - 28 April 2013)
Konsert ini akan menampilkan kumpulan rock gergasi Wings akan bergabung dengan kumpulan Orkestra Simfoni Kebangsaan yang menjanjikan persembahan yang akan menggegarkan Panggung Sari Istana Budaya. Persembahan ini pasti akan menggamit peminat-peminat lagu-lagu rock terutama dengan generasi remaja.
CHOW KIT ROAD
(10 - 26 Mei 2013)
Sebuah Teater Muzikal sempena 20 tahun pemergian seniman Allahyarham Dato' Sudirman Haji Arshad. Muzikal ini akan menggabungkan lagu-lagu popular Allahyarham dan pasti menggamit nostalgia dan keagungan muzik 80'an.
GETARAN LAGENDAKU TRIBUTE TO P.RAMLEE
(30 Mei - 2 Jun 2013)
Konsert yang akan menampilkan karya Seniman Agung Tan Sri P.Ramlee bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan dengan menampilkan teraju utama Raja Pop Malaysia Jamal Abdillah. Program ini adalah sebagai mengisi sambutan Hari Seniman.
SAUDAGAR SENI M.NASIR
(7 - 9 Jun 2013)
Konsert yang menampilkan sifu muzik tanah air Dato' M.Nasir. Konsert ini akan menampilkan khazanah muzik hasil gubahan M.Nasir dengan menampilkan persembahan penuh gilang gemilang dan pasti dapat mencuri perhatian khalayak pencinta muzik tanah air.
TIRAI MERAH
( 17 - 24 Jun 2013)
Tirai Merah adalah sebuah cerita berlatarkan kejatuhan era Bangsawan melalui mata seorang budak kampung bernama Johar.
FESTIVAL MUZIK KL
( 1 - 2 Julai 2013)
Sebuah program yang mendapat sambutan hangat dalam kalangan remaja dan telah berlangsung di Istana Budaya sejam enam tahun yang lalu. Festival ini akan menampilkan kumpulan muzik pelbagai kaum yang memperlihatkan kekayaan khazanah muzik masyarakat Malaysia.
COPPE'LIA
( 6 - 7 Julai 2013)
Sebuah persembahan ballet menceritakan kisah Dr. Coppe'lius bersama patung menarinya yang bersaiz manusia normal. Pementasan ini juga adalah bersempena Festival Kesenian Kuala Lumpur.
SCOOBY DOO LIVE SHOW
( 19 - 21 Ogos 2013)
Sebuah konsert muzikal yang akan menampilkan watak animasi yang sangat popular di seluruh dunia iaitu Scooby-Doo. Diisi dengan lagu-lagu dan tari rancak yang menampilkan ketangkasan remaja. Muzikal ini pasti dapat menarik khalayak pelbagai kaum ke Istana Budaya.
KONSERT ORKESTRA SIMFONI KEBANGSAN BERSAMA BINTANG
( 30 Ogos - 1 September 2013)
Sebuah konsert daripada Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) yang akan menampilkan bintang terkenal tanahair. Konsert ini akan menampilkan tema patriotik mengambil sempena sambutan kemerdekaan yang ke-56.
SI PUTEH
( 6 - 8 September 2013)
Sebuah dramatari yang mengangkat naskhah cerita popular Puteri Lindungan Bulan yang sangat terkenal di Utara tanahair. Cerita ini mengisahkan puteri berdarah putih yang ditukar oleh ibu bapanya kerana terlalu kasih. Ini telah membawa kepada satu peperangan yang membawa bencana kepada rakyat jelata.
KONSERT ORKESTRA TRADISIONAL MALAYSIA BERSAMA BINTANG
( 21 - 22 September 2013)
Sebuah konsert daripada Orkestra Tradisional Malaysia yang akan menampilkan bintang terkenal tanahair. Konsert ini akan mengangkat lagu-lagu irama Malaysia yang kaya dengan budaya dengan juga menitikberatkan elemen-elemen 1Malaysia.
TAK SEINDAH MIMPI
( 8 - 17 Oktober 2013)
Sebuah persembahan teater airmata karya penulis wanita tanahair Sharifah Abu Salem. Teater ini mengisahkan semangat jitu seorang gadis miskin dalam menghadapi kemelut hidup dengan cabaran-cabaran yang dihadapi serta perasaan hasad dengki manusia disekelilingnya. Hasil ketabahan akhirnya membawa kejayaan dalam hidup. Teater ini akan memberi inspirasi kepada remaja untuk menghadapi cabaran hidup untuk mencapai kejayaan.
XING YUN THE MUSICAL
( 29 November - 1 Disember 2013)
Pementasan ini merupakan gabungan dan kerjasama tenaga kreatif dari dua negara iaitu Malaysia dan Republik Rakyat Cina. Muzikal yang penuh dengan gubahan lagu yang merdu dan jalan cerita yang menarik pasti menarik khalayak Tiong Hua.
TEATER MUSIM CUTI SEKOLAH
( 13 - 22 Disember 2013)
Sebuah pementasan untuk mengisi slot musim cuti sekolah yang akan mengangkat naskhah adaptasi cerita rakyat antarabangsa yang sesuai dengan khalayak golongan kanak-kanak. Pementasan ini akan menitikberatkan nilai-nilai murni dalam melahirkan generasi yang akan cintakan keamanan dan perpaduan.
p/s: mengharapkan akan ada konsert lagu-lagu klasik era filem Studio Merdeka, Shaw Brothers dan Cathay Keris di Istana Budaya yang menampilkan Nona Asiah, Momo Latiff dan Sebagainya.
Isnin, 24 Disember 2012
FESTIVAL P.RAMLEE, PULAU PINANG ( 11 DISEMBER 2012 - 13 JANUARI 2013)
Isnin, Disember 24, 2012
Filem
,
Iklan
,
P.Ramlee
,
Penang
,
Penang Institute
,
Pulau Pinang
1 comment
PULAU PINANG - Sebagai sokongan kepada kesungguhan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mengangkat kembali tokoh besar seni negara yang juga anak jati Pulau Pinang, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Penang Institute mengambil inisiatif untuk menyegarkan kembali ingatan dan mencetuskan ilham-ilham baharu mengenai hasil kerja P Ramlee dan hubungannya dengan masyarakat Pulau Pinang, serta Malaysia amnya.
Selain, sebagai satu penghargaan kepada seniman agung ini, festival ini juga adalah sebahagian daripada usaha memartabatkan sumbangan anak Pulau Pinang kepada perkembangan seni dan kebudayaan negara. Karya-karya P Ramlee tidak hanya dibahas daripada sudut seni filem dan nyanyian semata-mata, malah menjangkaui tema-tema besar berkenaan realiti sosial masyarakat dan cerminan zamannya. Festival ini cuba untuk menjangkau seramai mungkin segmen masyarakat dengan mempelbagaikan program di serta Pulau Pinang – baik di Georgetown, Balik Pulau dan juga di Seberang Prai.
Bagi anda warga filem, peminat setia karya seniman angung P.Ramlee, dijemput hadir. Sila Klik Sini untuk sebarang info.
Ahad, 16 Disember 2012
FFM25 dan FFM26 tahun 2013 serentak?
Tahun ini (2012) semua penggiat filem tempatan termasuk pengarah, penulis skrip, pelakon dan sebagainya tidak akan dihargai sepertimana tahun-tahun sebelumnya. Penghargaan sedemikian selalunya dilakukan dalam satu pesta yang dikenali Festival Filem Malaysia. Penganjuran festival filem Malaysia buat pertama kalinya dilakukan oleh Persatuan Wartawan Malaysia pada awal tahun 1980-an. Selepas itu ia dianjurkan oleh pelbagai persatuan dan seterusnya diambil alih sepenuhnya oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).
Festival Filem Malaysia ke-25 yang dijadualkan akan berlangsung hujung disember 2012 ini ditunda pada tahun 2013, dan bermakna apakah tahun 2013 menyaksikan dua festival filem akan dilakukan dua kali setahun iaitu FFM 25 dan FFM 26?. Untuk mengetahui apakah benar atau ramalan saja.. sila baca artikel yang kami sediakan untuk anda..
************
Dipetik dari Utusan Malaysia 12 Disember 2012
FFM seperti biasa bukan sahaja tidak pernah sunyi dengan kontroversi, malah FFM25 yang sepatutnya diadakan pada 30 Disember ini juga terpaksa dianjakkan tarikhnya pada tahun depan.
Paling teruk difahamkan setakat ini pihak penganjur belum menetapkan tarikh baru penganjuran FFM25 yang akan diadakan pada tahun depan itu. Banyak masalah teknikal menyebabkan pesta filem setahun sekali itu terpaksa ditunda tarikhnya.
Masalah-masalah yang dikemukakan antaranya daripada segi bajet sehinggalah kepada persiapan di saat-saat akhir yang menyebabkan pihak penganjur boleh sesak nafas dibuatnya.
Antara yang mencetuskan tanda tanya FFM25 dikatakan ditunda kerana dikatakan mahu menyesuaikan tarikh individu-individu tertentu agar dapat hadir bagi memeriahkan lagi malam anugerah penuh glamor itu nanti.
Paling kelakar alasan lain yang diberikan ialah pada hujung tahun ramai penggiat perfileman yang dikatakan sedang bercuti atau mempunyai urusan kekeluargaan lain. Sebab itu tarikh penganjurannya pada hujung tahun ini juga dikatakan tidak sesuai untuk golongan-golongan tersebut.
Banyak masalah akan timbul apabila FFM25 ditangguhkan. Antaranya soal pencalonan filem-filem cereka yang semakin bertambah itu akan menyebabkan lambakan dalam penjurian festival tersebut kelak. Banyak filem yang diterbitkan menunggu masa untuk dicalon serta dipertandingkan pada setiap kali FFM dianjurkan.
Malah, jika FFM25 diadakan pada tahun depan, maka bagaimanakah pula dengan FFM26? Jika keadaan itu berlaku kemungkinan besar tahun 2013 akan menyaksikan dua festival filem iaitu FFM25 dan FFM26 akan diadakan pada tahun yang sama ataupun mungkin secara serentak.
Bayangkan untuk penjurian FFM25 tidak kurang 50 filem cereka telah menghantar pencalonan untuk dipertandingkan pada festival itu. Kelewatan penganjuran FFM25 secara langsung juga boleh menyebabkan berlakunya peningkatan kos penganjuran jika dua FFM diadakan dalam masa setahun.
Kalau itu berlaku, maka ini adalah kali pertama dalam sejarah FFM dianjurkan sebanyak dua kali dalam setahun.
Perancangan yang tidak betul terutama membabitkan tarikh pengajuran FFM secara tidak langsung akan menjejaskan program-program lain seperti sesi penjurian, tayangan filem, forum, seminar dan pelbagai lagi aktiviti yang biasanya dijalankan sebelum menjelangnya malam anugerah FFM.
Sehubungan itu, Finas mahu pun Gafim seharusnya mempunyai perancangan yang lebih teliliti agar FFM kali ini berjalan lancar. Sepatutnya dua pihak itu lebih mengutamakan kepentingan FFM itu sendiri daripada mengambil kira atau mahu menjaga kepentingan segelintir pihak yang lain.
Mereka seharusnya rasional dalam menangani isu remeh-temeh seperti itu. Dalam hal ini yang menjadi mangsa ialah pihak penerbit dan filem-filem yang mereka pertandingkan. Karyawan lain seperti pengarah, penulis skrip serta pelakon juga terkena tempiasnya kesan daripada kelewatan penganjuran FFM25.
Paling utama setiap karyawan terutamanya syarikat-syarikat produksi dan para pelakon yang terbabit sepatutnya memberi tumpuan kepada malam anugerah tersebut. Malam itu adalah malam untuk meraikan serta mengiktiraf pembabitkan mereka dalam bidang yang diceburi itu. Namun, mereka semua hanya akan menjadi mangsa jika FFM lebih mengutamakan pihak-pihak lain yang bukan merupakan pemain utama dalam industri ini berbanding mereka yang sebenar-benarnya layak untuk diraikan.
© 2012 Utusan Melayu (M) Bhd
Sabtu, 15 Disember 2012
LIFE OF PI : SINEMA, MANUSIA DAN KEJUJURAN

'Biar kita telan benda yang busuk, asal tak tercemar bangsa Melayu', - P.Ramlee
Jaga nama ibu bapamu, jangan jual agama dan bangsa', - P.Ramlee
Oleh: Hassan Abd. Muthalib
Dari semasa ke semasa melalui medium filem, akan muncul satu persoalan yang menarik, ia itu, apakah
sebenarnya itu filem. Isu, renungan dan persoalan terhadap medium filem pernah dibawa
oleh ramai karyawan filem di seluruh dunia, juga oleh sarjana dan pengkritik filem
sejak awal abad yang ke-dua puluh.
Karyawan filem sejati begitu
perihatin – malah sedih - tentang apa yang sudah dan masih berlaku ke atas seni
yang disayangi dan diceburi mereka. Kesedihan ini lahir akibat sikap penerbit-penerbit
filem dan penonton di seluruh dunia yang begitu gemar dengan filem-filem arus
perdana yang tidak berdiri di bumi nyata, juga terhadap sikap mereka yang menolak
filem-filem alternatif yang membawa pemikiran tentang alam, ketuhanan dan
manusia.
Isu dan persoalan tentang kemunduran
sinema Malaysia sendiri dan kecelakaan yang menimpanya pernah diperkatakan
dalam filem-filem seperti Seman (Mansor
Puteh, 1987), Layar Lara (Shuhaimi
Baba, 1998), Johnny Bikin Filem (Anuar
Nor Arai, 1995), Kala Malam Bulan
Mengambang (2008), Wayang (Hatta
Azad Khan, 2008), Bunohan (Dain Said, 2012), dan terbaru, Hanyut (U-Wei Hajisaari, 2012). Kesemua filem ini juga bersifat
biografikal kerana peneraju-penerajunya merupakan pemain utama dalam industri
perfileman dan begitu perihatin tentang bidang seni yang diceburi mereka. Filem
Bunohan begitu hampir dengan Life of Pi melalui
gaya dan teknik yang merujuk kepada sinema dan permasalahannya.
Barangkali pengarah tersohor
masakini, Ang Lee, sudah terasa bahawa sudah sampai masa baginya untuk
meluahkan rasa hati tentang hegemoni studio-studio besar perfileman seperti
Hollywood yang membawa filem-filem yang spectacular
tetapi kosong dari aspek kemanusiaan dan ketuhanan. Tentunya Ang Lee, sebagai
seorang auteur yang sudah berumur,
mempunyai kebijaksanaan di samping menjadi seorang karyawan yang berpengaruh,
berhasrat untuk menyedarkan generasi karyawan yang akan datang tentang sifat
sinema yang sebenar. (Sebagaimana yang diperkatakan dalam Bunohan tentang kerakusan kapitalis yang memusnahkan nyawa, tradisi
dan warisan.)
Life of Pi juga boleh dilihat sebagai satu autobiografi Ang Lee
sendiri dan pengalamannya sebagai karyawan filem di Hollywood yang ada kalanya dia
terpaksa akur kepada kehendak penerbit agar filemnya mempunyai keupayaan
pemasaran. Maka tentunya Pi, protagonis dalam Life of Pi itu, merupakan Ang Lee sendiri.
Ternyata benarlah apa yang pernah
disabda oleh Rasulullah s.a.w., “Apabila
suatu urusan (pekerjaan) diserahkan kepada orang bukan ahlinya, maka waspadalah
terhadap datangnya saat kehancuran.”
Studio-studio filem dan stesen-stesen televisyen kini
dikendalikan oleh mereka yang ‘bukan ahli’ (seperti ahli korporat, akauntan dan
entah apa lagi!). Mereka sanggup melakukan apa sahaja kerana kedudukan mereka
bergantung kepada sesuatu produk yang ‘laku’ di pasaran. Maka mereka akan terus
menyajikan ‘sampah’ semata-mata kerana ianya diminati ramai dan mendatangkan
keuntungan.
Melalui filem Life of Pi, Ang Lee menyampaikan sebuah cerita yang sarat dengan imej teknologi digital seperti
produk-produk filem dari Hollywood yang kini berlambak di pasaran. Tetapi pada
masa yang sama, Ang Lee membuatkan audiens mengenali kebesaran Tuhan dan alam
yang diciptanya yang jauh lebih hebat daripada apa yang sudah diciptakan
Hollywood setakat ini.
Ang Lee menyampaikan ceritanya melalui satu perbualan di antara
seorang India, Pi, dan kenalannya dari negara Eropah. Pi menyampaikan kisah
benar yang berlaku di atas dirinya semasa dia remaja. Melalui teknik imbas kembali,
kita lihat bapa Pi, yang memilikki sebuah zoo di Pondicheri di Selatan India,
bertekad untuk berhijrah ke Kanada dengan membawa binatang-binatang dalam
zoonya untuk dijual di Amerika. Dalam
perjalanan dengan kapal, berlaku ribut yang dahsyat dan kapal itu tenggelam.
Yang terselamat, hanya Pi dan beberapa ekor binatang, termasuk seekor harimau
(bernama Richard Parker!). Akhirnya, tinggal Pi dan Richard Parker sahaja.
If you want to know what a filmmaker
is saying,
look at how he is saying it.
- Ingmar
Bergman
Pucuk paku selera
paku,
Pucuk paku condong ke
seberang.
Lihat aku pandang aku,
Aku lindung di tempat
yang terang.
- pantun Melayu
Hermeneutik filem ialah seni
membuat interpretasi daripada tanda-tanda yang terdapat di dalam filem melalui mise-en-scene. Tanda-tanda ini
sebenarnya menjadi petunjuk dan ada kala bersifat simbolik yang berkait rapat
dengan premis, cerita, tema dan subjek. Untuk memahami cerita sebenar sesebuah filem, lihatlah kepada bentuknya dan
untuk memahami bentuknya, lihatlah kepada tanda-tanda yang disusun.
Life of Pi bersifat polysemic (berlapisan makna) dan membawa beberapa persoalan,
antaranya: Bukankah kebenaran itu lebih menarik dari sesuatu yang direka-reka?
Bukankah filem itu sesuatu yang spiritual, dan rahsia alam hanya dapat difahami
melalui pengembaraan fisikal, mental dan spiritual yang akhirnya (mungkin) akan
membawa kepada pengenalan diri? Jika
Tuhan memberi petunjuk kepada seseorang, bagaimanakah dia boleh meyakinkan
orang lain tentang rahsia-rahsia alam dan aspek ketuhanan yang sudah dilihat
dan dirasainya?
Filem yang baik mempunya teks dan subteks. Teks adalah yang tersurat (foreground story) dan subteks adalah
yang tersirat (background story),
yang merupakan nawaitu seseorang pengarah filem dalam berkarya. Foreground story dalam Life of Pi ialah kisah seorang remaja
dengan seekor harimau. Apakah pula background
story dan yang lebih menarik bagi saya, bagaimana Ang Lee menyampaikan
subteks yang ‘berlindung di tempat yang terang’?
Pengarah yang bijaksana dan jauhari selalunya menggunakan red herring. Lain yang ditunjukkan
tetapi lain pula yang dimaksudkannya. Subjek Ang Lee banyak bersandarkan hal agama
tetapi Life of Pi ialah tentang
sinema dan aspek spiritualnya yang kini sudah pupus akibat kerakusan
kapitalis-kapitalis filem. Untuk memahami kesemua ini, berikan perhatian bukan
kepada storytelling (cerita). tetapi
kepada storymaking (teknik penceritaan).
Di situlah kita akan dapat memahami apa yang dimaksudkan sebenar oleh Ang Lee.
Visual Ang Lee menampakkan pengalaman Pi bersama harimau melalui visual-visual
alam yang tersangat indah. Ada kalanya ia berkeliauan seperti cahaya keemasan. Di
waktu malam pula, ikan dan air laut yang mengandungi phosphorous seakan timbul dari alam kayangan. Imbas kembali kepada
kata-kata ibu Pi semasa dia kecil: Apabila merenung ke dalam mulut dewa Vishnu,
Pi akan melihat sekalian alam cakerwala terbentang luas. Kamera Ang Lee membawa
kita ke dalam minda Pi dan masuk ke dalam lukisan cakerwala dalam buku yang
dibacanya. Segala kesan khas yang ditercipta di dalam filem-filem Hollywood
masakini tidak dapat menandingi apa yang dilihat oleh seorang kanak-kanak yang tulus
bersih hatinya. Minda Pi sebenarnya ‘disediakan’ Tuhan lebih awal agar ia dapat
dihidangkan kemudiannya dengan realiti alam yang menakjub-kan bila terapung di
dasar laut pada waktu malam. Realiti menjadi satu dengan fantasi tetapi ianya tetap
berdiri di atas kebenaran yang bersandarkan hakikat kosmologi Hindu berkurun
lamanya.
Hakikat Sinema dalam Life of Pi
Bagaimana sekiranya engkau ada cerita yang
membuatkan engkau percaya yang Tuhan itu
wujud?
- Pi kepada
penulis dari Eropah dalam Life of Pi.
Visual di awal filem memberikan
petanda bahawa Life of Pi sebenarnya
mengenai sinema. (Dalam Bunohan,
skrin televisyen yang memaparkan pelakon-pelakon dalam filem itu sendiri
menjadi petanda tentang subjek sebenar Bunohan,
ia itu, sinema.) Seekor girafah yang memakan daun-daun di atas pokok menjadi
petunjuk kepada filem Jurassic Park (arahan
Steven Spielberg), di mana seekor dinosaur memakan daun di atas pokok yang
tinggi. Filem ini mencetuskan fenomena rekaan binatang-binatang raksasa di dalam
filem melalui penjanaan imej komputer (CGI). Adegan kapal tenggelam dengan lampu-lampunya
masih menyinar indah adalah rujukan kepada filem Titanic yang begitu gah dengan CGInya. Pi terapung (seakan dalam
perut ibu dan dilahirkan semula). Dia memandang dengan penuh kagum. Ang Lee seakan
menyaran: Lupakan filem-filem seperti ini. Biarkan mereka tenggelam. Semuanya
syok sendiri dan kosong belaka. Ia
hanya mengkayakan kapitalis filem. ‘Lahirlah semula’ dan melihat ke dalam diri
sendiri. Di situlah terdapatnya cerita-cerita yang sebenar.
Mungkin itulah lontaran ide daripada Ang Lee kepada karyawan generasi baru
agar melahirkan filem-filem yang jujur. Selepas Pi diselamatkan dan berada di
hospital, ia ditemubual oleh dua orang Jepun, wakil pemilik kapal yang
tenggelam. Mereka tidak dapat menerima apa yang diceritakan oleh Pi
tentang pengalamannya dengan harimau dan bagaimana ia hampir ditelan oleh
sebuah pulau carnivore yang tidak
pernah ditemui oleh sesiapa. Mereka
mendesak: “Kami perlukan kisah yang boleh dipercaya. Cerita yang mudah. Cerita
yang benar!”
Adegan ini digambarkan dengan
warna putih keseluruhannya, yang menjadi petanda tentang ‘mautnya’ sinema di
tangan kapitalis (lihat pantai yang putih dan kelir putih dalam Bunohan yang membawa maksud yang sama).
Pi akur dan mencerita-kan ’kisah yang benar’. Air matanya mengalir, tanda kesedihannya di atas pembohongan yang
dilakukannya. Dua orang Jepun ini sebenarnya mewakili penerbit-penerbit filem
yang tidak suka kepada kisah benar, yang di luar pemikiran manusia biasa. Itulah nasib karyawan muda hari ini
apabila terpaksa akur kepada kehendak kapitalis-kapitalis filem. (Lihat dalam
filem Bunohan, bagaimana taukeh
burung Cina ‘memerangkap’ karyawan-karyawan muda dan memaksa mereka turut
dengan kehendaknya. Anda mungkin mengenali dia sebagai seorang penerbit
prolifik di Malaysia!)
Saya melihat adegan bersama
orang-orang Jepun ini sebagai kesedihan Ang Lee apabila ’dicabut’ oleh
Hollywood dari Taiwan dan ’diberi peluang’ untuk melahirkan filem-filem seperti
The Hulk. Maka seperti John Woo dari
Hong Kong yang kini ’berkarya’ di Hollywood, keperibadian Ang Lee hilang
ditelan oleh kilang filem Hollywood. Begitu juga dengan beberapa pelakon dan
pengarah dari Australia yang kini berkarya di Hollywood yang menyebabkan
kejatuhan industri perfilem Australia pada tahun 1970-an dan 80-an. Hasil kerja mereka, John Woo dan Ang Lee sama
seperti pengarah-pengarah lain di Hollywood. Maka Life of Pi merupakan pemberontakan Ang Lee terhadapa keadaan ini. Dia
melawan Hollywood dengan menggunakan senjata yang dilahirkan oleh Hollywood
sendiri! Demi menyelamatkan hakikat spiritual sinema, Ang Lee melahirkan sebuah
karya yang sarat dengan imej penjanaan komputer dan kesan khas tetapi
kesemuanya menjadi ’hamba’ kepada cinema.
Ang Lee seakan berkata: Aku akan lahirkan sebuah filem tentang seorang budak,
seekor harimau dan sebuah bot. Dan aku akan menggunakan kesan khas yang maha
hebat. Aku akan tunjukkan bahawa filem sebegini juga akan laku di pasaran. Itu
janji aku. Mungkin itulah yang dikatakan Ang Lee.
Life of Pi adalah satu anti-tesis kepada jenis-jenis filem
keluaran Hollywood. Di segi plot, tidak terdapat protagonis dan
antagonis seperti kebiasaan. Di segi aksi, tidak ada perlumbaan kereta atau
letupan. Di segi casting, Ang Lee
memilih waktu utama, ia itu, Pi semasa dia dewasa, yang wajahnya seperti
seorang yang amat biasa. Ini adalah berlawanan dengan cara Hollywood yang biasanya memilih pelakon
berwajah tampan dan yang berkarisma. Begitu juga dengan pemilihan Gerard
Depardieu, pelakon Perancis yang disegani yang memegang watak sebagai seorang tukang
masak. Rupa dan perangainya begitu buruk, tidak sepertimana kita mengenali
Depardieu dalam filem-filemnya sebelumnya. Bandingkan ini dengan pemilihan
Francois Truffaut, pengkritik filem dan pengarah tersohor dari Perancis, yang
memegang watak sebagai seorang saintis berwajah tampan dalam filem Close Encounters of the Third Kind arahan
Spielberg. Di sini, Ang Lee mengajak
kita merenungi sifat sinema itu sendiri seperti kata-kata Pi kepada penulis
dari Eropah: ”Ianya adalah satu refleksi – yang memperlihatkan diri sendiri.”
Adegan romantis di antara Pi dan
penari juga tidak dikembangkan agar menjadi sensual seperti kelaziman dalam filem-filem
Hollywood (dan di akhir cerita Pi mengkahwini perempuan yang lain). Pi dilihat
hanya mahu tahu tentang rahsia satu pergerakan dalam tarian (lambang bunga lotus yang bersembunyi di dalam hutan). Ini
dikaitkan dengan kesedarannya tentang gigi dalam daun-daun berbentuk lotus di pulau carnivore yang menelan manusia. Lihat latar pokok-pokok jejawi semasa
ia bertanya si penari tentang pergerakan tangannya. Pokok-pokok di atas pulau
juga berbentuk seperti pokok-pokok jejawi. Pokok-pokok sebegini selalunya
dikaitkan dengan agama Hindu dan Buddha di mana para rishi melakukan pertapaan untuk mendapat petunjuk dan kesedaran tentang
alam kebatinan. Semuanya menjadi petanda terhadap kesedaran yang dialami oleh
Pi.
Di akhir cerita, Pi dan Richard Parker terselamat di sebuah pulau. Richard
Parker menghilangkan diri ke dalam hutan tanpa menoleh ke belakang untuk
memandang Pi. Pi mengeluh kepada penulis Eropah yang menemubualnya:
”Selepas segala-gala yang kami alami bersama, dia langsung tidak menoleh
memandang kepada aku!” Tentunya adegan ini akan berbeza jika mengikut konvensi di
Hollwood. Bagi Ang Lee, binatang
adalah binatang. Dia bukan seperti manusia. Hakikat realiti – dan sinema –
tidak dapat diputarbelitkan demi pasaran.
Persoalan yang menarik di sini ialah: Harimau itu mewakili siapa? Dia tidak
mengendahkan Pi, malah di atas bot, dia kencingkan Pi! Namanya amat pelik
sekali - Richard Parker! Nama orang Inggeris. Bagi saya, harimau itu adalah
kapitalis filem Hollywood, yang gah dengan kemajuan teknologi. Mereka tidak
boleh dijinakkan lagi. Mereka sebenarnya takut dengan pengarah filem alternatif
seperti Ang Lee yang menjadi pesaing mereka. Maka dibawa mereka ke Hollywood
dan dengan itu, melumpuhkan industri perfileman di negara-negara mereka. Apa
yang berlaku di Australia adalah contoh yang nyata.
Tokoh Sufi di Sumatera, Hamzah
Fansuri pernah berkata: ”Aku mencari Tuhan dari Jawa hingga ke Kaabah. Akhirnya
akan menemuinya dalam rumah aku sendiri.” Dalam pengembaraan untuk mencari
dirinya, Pi sudah ’mencuba’ pelbagai agama. Akhirnya, seperti Hamzah Fansuri,
dia menemui Tuhan melalui satu pengembaraan yang tidak terduga dan melihatNya
pada alam sekeliling. Rupa-rupanya Tuhan ’berlindung di tempat yang terang’. Apakah
Ang Lee pernah melalui detik-detik seperti yang dilalui Pi sehingga dia
mendapat kesedaran diri dan tentang hakikat sinema yang sebenar? Itu tidak
penting. Yang penting, dia mahu mengkongsi pengalamannya dengan karyawan
generasi baru agar mereka tidak disesatkan oleh para kapitalis dan pasaran.
Di akhir filem Life of Pi,
penulis dari Eropah itu tidak tahu samada apa yang dikisahkan oleh Pi itu benar
atau tidak. Maka ia mula membuat tafsiran bahawa harimau dan binatang yang lain
di atas bot adalah metafora bagi manusia-manusia yang ditemui Pi. Nampaknya itu
sajalah tahap ilmu yang datang dari Barat yang begitu cetek, yang bersandarkan
teori dan tidak berupaya menyelami hakikat sinema yang sebenar. Barat lebih
berminat kepada aspek struktural dan hanya menggunakan metafora, alegori dan
semiotik!
Dia seterusnya membuat kesimpulan bahawa cerita Pi berakhir dengan
kesudahan yang menggembirakan (a happy
ending – seperti filem-filem arus perdana yang dikehendakki kapitalis filem!).
Pi hanya tersenyum dan mengatakan: “Kini cerita itu sudah menjadi cerita
engkau.” Tetapi apakah rakan Eropah itu (yang mewakili kapitalis filem di
Barat) dapat memahami kata-kata Pi itu dan juga kata-kata lebih awalnya:
“Bagaimana kalau anda ada sebuah kisah yang membuatkan anda percaya yang Tuhan
itu wujud?” Apakah cerita sebegini digemari oleh kapitalis filem? Semakin
mereka maju dengan penggunaan teknologi, semakin jauh mereka dari pengenalan
diri dan Tuhan. Semakin tinggi pendidikan yang diterima audiens hari ini,
semakin rendah penghayatan mereka tentang sinema.
Pi menyerahkan kisahnya yang siap ditulis kepada penulis dari Eropah itu. Syot
yang bersifat affection image
menampakkan penulisan Pi seakan sebuah skrip filem. Apakah kisah itu akan diubahsuai
agar menjadi ‘lebih benar’? Pi mengeluh, terkilan yang Richard Parker, selepas
terselamat di pulau, terus memasukki hutan tanpa menoleh ke arah Pi. Walaupun
dia ada ruh, seperti kata Pi, tetapi dia tetap binatang (dan CGI pula tu!).
Hanya manusia sahaja dapat mengenal diri dan Tuhan. Pi sudah diberi petunjuk
tetapi ternyata ia belum sampai ke akhir perjalanannya dan harus mengembara lagi.
Memang benar apa
yang pernah dikatakan oleh U-Wei bahawa filem itu spiritual sifatnya. Tetapi di
manakah karyawan dan penerbit filem yang jauhari yang dapat mengenali maknikam?
Ang Lee mengajak kita merenungi semula sifat sinema. Apakah sebenarnya sinema?
Adakah ia semata-mata hiburan? Atau apakah ianya lebih dari itu? Bukankah
karyawan juga khalifah, yang memimpin dengan betul dan mengajak kepada
kebaikan?
Di milenia yang baru ini, kita sepatutnya melakukan transformasi bukan
regresi. Apakah Sinema Malaysia akan melihat nanti satu fenomena di mana pengarah
dan kapitalis filem kita dapat merasai apa yang dirasai Pi dan menghasilkan
filem-filem yang sebenarnya filem, yang boleh melahirkan sinema Malaysia yang
mempunyai jati diri, penuh dengan kebijaksanaan dan bersifat spiritual? Apakah
kita dapat menghindarkan diri daripada ’jual agama dan bangsa’ seperti yang
sedang berlaku sekarang? Adakah kita mahu terus menghasilkan sampah yang akan
menjadikan ’warisan’?
Kesimpulan dalam filem Bunohan
bersifat tragis. Keluarga, tanah, seni dan warisan dimusnahkan oleh kapitalis. Dalam
Life of Pi, Ang Lee memberikan
harapan. Persoalan tentang sinema dari Ang Lee ditujukan kepada kita semua. Inilah
permasalahan yang generasi karyawan baru Malaysia menanti-nantikan penyelesaiannya.
Hassan Abd Muthalib adalah Karyawan Tamu Kanan di
Fakulti Filem, Teater & Animasi di UiTM, Puncak Perdana, Shah Alam.