Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


Ahad, 11 Mac 2012

2 FILEM SEMINGGU.. BERMULA 24 MEI 2012


Artikel Pilihan : Utusan Malaysia

JIKA pada tahun 1980-an hanya sebuah filem tempatan yang ditayangkan di pawagam dalam masa sebulan. Jumlah itu meningkat kepada sebuah filem setiap dua minggu dan kemudiannya menjadi sebuah filem tempatan ditayangkan pada setiap minggu.

Bagaimanapun, menurut Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Mohd. Naguib Razak, jumlah tayangan filem-filem tempatan dijangka akan bertambah sesak apabila Skim Wajib Tayang baru diperkenalkan mulai 24 Mei ini.

"Mulai 24 Mei ini dua filem tempatan yang terletak di bawah Skim Wajib Tayang Finas akan ditayangkan serentak pada hari yang sama pada setiap minggu. Ini bermakna, dalam sebulan akan ada lapan filem tempatan baru yang ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh negara.

"Perkara itu tidak dapat dielakkan kerana berlakunya pertambahan bilangan filem tempatan. Contohnya, setakat ini terdapat 70 filem tempatan sedang dihasilkan dan ia akan disiapkan sebelum hujung tahun ini. Skim Wajib Tayang baru ini bertujuan mengatasi masalah itu.

"Kalau bilangan filem yang sudah siap itu tidak dipercepatkan tayangannya ia akan lewat ditayangkan di pawagam enam bulan sehingga setahun. Ia akan merugikan pihak penerbit kerana terpaksa menunggu lama kerana mengikut syarat Skim Wajib Tayang yang lama," katanya.

Mohd. Naguib yang mengumumkan perkara itu baru-baru ini berkata, senario tersebut tidak dapat dielakkan selari dengan perkembangan dalam industri perfileman tanah air sejak kebelakangan ini. Perkembangan itu dapat dilihat berdasarkan kutipan tiket filem-filem tempatan tahun lalu.

Jelasnya, tahun lalu kutipan tiket filem-filem tempatan mencecah RM125 juta berbanding RM50 juta dua tahun sebelumnya. Senario itu katanya ada kaitan dengan pertambahan bilangan pawagam yang semakin banyak didirikan sejak kebelakangan ini.

"Setakat ini terdapat 600 panggung wayang di seluruh negara. Pada masa sama hampir 200 lagi panggung wayang sedang dibina dan akan siap sebelum hujung tahun ini. Jumlah itu diharap dapat menampung jumlah tayangan filem-filem tempatan yang kini semakin bertambah.

"Ekoran pertambahan bilangan filem dan panggung wayang, saya yakin jumlah kutipan tiket filem-filem tempatan juga akan bertambah pada masa akan datang. Ini adalah persaingan dalam industri perfileman tempatan yang tidak boleh dielakkan," ujarnya.

Tambah Mohd. Naguib, perkembangan itu turut mencatatkan filem-filem tempatan menguasai 21 peratus daripada kutipan tiket filem-filem box-office secara keseluruhannya pada tahun lalu berbanding 10 peratus dalam konteks yang sama dalam industri filem di negara-negara Eropah.

Hadir sama pada sidang akhbar pengumuman Skim Wajib Tayang Finas yang baru itu ialah Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Datuk Paduka Shuhaimi Baba; Timbalan Presiden PFM, Datuk Yusof Haslam dan Ahli Jawatankuasa skim tersebut, Ahmad Idham.

Kebimbangan

Pengumuman Skim Wajib Tayang Baru itu mendapat pelbagai reaksi daripada ahli-ahli PFM yang kebanyakan bimbang penayangan dua filem tempatan serentak dalam seminggu akan menyebabkan berlakunya persaingan yang tidak sihat di kalangan mereka.

Shuhaimi Baba yang mewakili ahli-ahli PFM berkata, mereka tiada pilihan selain menerima pakai peraturan baru Skim Wajib Tayang yang telah dipersetujui oleh pihak pawagam, Finas dan persatuan yang mewakili para penerbit filem tanah air itu baru-baru ini.

"Ramai ahli PFM terutamanya kalangan penerbit baru yang bimbang dengan perkembangan itu. Apa pun mereka kena terima kenyataan itu bagi mengelakkan para penerbit lain beratur panjang untuk menayangkan filem-filem terbitan mereka. Ini adalah realiti dalam perniagaan.

"Saya telah mengedarkan notis tentang perkara ini kepada semua ahli PFM. Saya harap mereka faham dan dapat menerima syarat baru dalam skim tayangan ini yang mempunyai syarat-syarat tertentu dan mampu memberi keadilan kepada semua pihak," komennya.

Antara syarat baru Skim Wajib Tayang ialah pihak pawagam akan meneruskan tayangan sesebuah filem itu jika 30 peratus panggung dipenuhi penonton tetapi tayangannya boleh dihentikan jika audiens yang memenuhi panggung kurang 15 peratus daripada kapasiti panggung tersebut.

Selaku salah seorang daripada 16 Ahli Jawatankuasa Skim Wajib Tayang, Ahmad Idham turut menyatakan pihaknya yang dipengerusikan oleh Datuk Mustapha Maarof telah menggariskan pelbagai garis panduan bagi memudahkan para penerbit mengikuti skim tersebut.

"Banyak perkara yang dijelaskan dalam syarat baru ini antaranya kalau boleh dua filem tempatan yang akan ditayangkan itu tidak sama genrenya. Selain itu, pelakon utama yang ditampilkan juga mestilah tidak sama dalam dua filem yang akan ditayangkan serentak itu.

"Semua garis panduan dalam syarat baru yang telah dipersetujui oleh pihak pawagam dan ahli-ahli PFM itu akan diperjelaskan secara terperinci lagi pada Hari Terbuka Finas yang akan diadakan pada 15, 16 dan 17 Mac ini," ujarnya.

0 comments :