Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


Rabu, 21 Mac 2012

'CINTA DI SEBALIK PURDAH..7 PETALA CINTA'

Definisi '7 Petala Cinta', kata penulis skripnya 'tujuh lapisan cinta'. Cinta yang berlapis antara langit dan bumi menjadi intipati '7 Petala Cinta', sebuah filem Azhari Zain. Filem berunsur islamik, hasil karya Shariman Wahap merupakan naskhah yang menghuraikan tentang 'cinta, kasih sayang, dan persahabatan antara tiga karektor utama 'Hamka, Attar dan Saidatul Nafisah'. Filem yang diterajui Aeril Zafrel, Fizo Omar, Diana Amir dan ramai lagi ini, merupakan karya terbitan MiG yang hanya berselindung disebalik 'imej purdah, dialog dan tutur kata serta gambaran pesantren (sekolah pondok) seolah-olah mengambil pendekatan filem-filem dakwah dari Indonesia seperti 'Ayat-Ayat Cinta, Ketika Cinta Bertasbih, Di bawah Lindungan Kaabah dan sebagainya'.

Konsep '7 Petala Cinta', menarik perhatian saya kerana ia berunsurkan sebuah filem islam. Filem islam bukannya terletak pada lagu tema, skor muzik, imej purdah, dialog dan skrip tetapi isi dan isu yang cuba diperkatakan. '7 Petala Cinta', bagi saya agak kabur tentang isu utama dan apa yang cuba dihuraikan dalam filem ini. Cuma, filem ini banyak memaparkan tentang hubungan rasa, cinta, suka dan perebutan antara hak dan keinginan antara Attar, Saidatul Nafisah dan Hamka. Filem yang bagus dari sudut sebagai sebuah sinema islam ialah filem-filem dari Iran dan adakalanya dari Indonesia. Jika anda mengatakan '7 Petala Cinta' sebuah karya yang hebat, mungkin kerana ada ketika satu scene barangkali 'tersentuh hati anda', namun anda perlu melihat pada keseluruhan jalan ceritanya. 7 Petala Cinta, gah dari segi namanya, bukan pada isi kandungan filem ini.

Tutur kata, dialog, bahasa dan skrip dalam 7 Petala Cinta sangat indah, ada ketika agak janggal dan juga seolah-olah cuba ingin menjadi sebuah filem Indonesia. Bayangkan semua dialog dalam filem ini seperti berlagu, bermadah dan berkias (bukankah pesantren atau sekolah pondok) secara azalinya banyak menggunakan perantara bahasa Arab!. Filem ini akan menjadi indah jika keseluruhan 7 Petala Cinta menggunakan bahasa Arab.. Mungkin agak keterlaluan saya mengatakan begitu, tetapi memang 'ya' secara hakikatnya dan apakah keseluruhan yang digambarkan itu (dialog) adalah realiti percakapan dalam latar masa dan tempatnya - bermadah dan berlagu?. Barangkali penulis skripnya, mahu memancing penonton yang rata-ratanya menggemari jenis dan teknik sebegitu!.

Latar masa dan tempat dalam 7 Petala Cinta tidak dihuraikan secara terperinci!. Apakah cerita ini berlaku pada masa sekarang atau zaman dahulu?. Tetapi, jika dilihat pada keseluruhan watak dan perwatakkannya, saya cuma tertanya-tanya 'apakah hijab (tudung) yang dipakai watak Hilma (Diana Amir) itu merupakan cara berpakaian seorang wanita muslim di pesantren yang kuat agamanya?. Bukankah haram memakai tudung sebegitu?. (sanggul dinaikkan). Jika saya yang salah beranggapan sebegitu, maafkan saya.

Kecelaruan dari sudut plot dan ceritanya menjadikan 7 Petala Cinta sebuah cerita biasa, simple tapi menarik. Kematian Hamka di Yaman membuatkan Attar jatuh cinta pada Saidatul Nafisah begitu juga Hilma yang menaruh minat secara diam pada Attar. Konflik sebegitu menarik tetapi ia akan menjadi bertambah konflik sekiranya Attar mengetahui yang Hilma-lah gadis yang selama ini mengutus surat dan menghantar makanan di tepi pintu asrama Attar dan rakan-rakannya. (ini tidak ; sampai habis cerita Attar tidak tahupun) .Tetapi, dalam 7 Petala Cinta, ia tidak berlaku sebegitu. Barangkali, Shariman Wahap mahu menyambung filem ini ke part-2, mungkin!. Saya lebih suka sekiranya 7 Petala Cinta menjadi seperti ini - 'Attar keliru setelah mengetahui Hilma meminatinya dan cinta Nafisah tetap utuh pada Hamka walaupun Hamka telah pulang ke Pesantren. Attar keliru mahu memilih yang mana ( Nafisah atau Hilma). Dan filem ini berakhir sebegitu ( menimbulkan tanda tanya). Tetapi tidak!.

Plot bertambah keliru apabila Hamka pulang ke Pesantren setelah ia dikhabarkan meninggal akibat kecelakaan di Yaman. Mungkin menarik kata sesetengah penonton, tetapi tidak bagi saya. Sepatutnya, berita di kaca tv itu mengumumkan yang Hamka hilang dan mayatnya tidak dijumpai - baru bertambah kronik ceritanya. Kemunculan pelacur bernama Nida (lakonan Putri Mardiana) agak 'OK', tetapi wataknya hilang selepas terbongkar 'permainan dan kejahatan Nida' membuatkan Attar dihalau dari Pesantren dan pulang semula setelah diberitakan ia hanya fitnah semata-mata. Dalam perkara ini, Azhari jangan cepat mematikan atau menghilangkan watak Nida begitu saja - Mungkin ada part-2 kot.

Hubungan cinta, suka, dan kasih sayang itu sangat utuh sepertimana tajuk '7 petala cinta'. Filem ini seolah-olah kabur tentang erti cinta sebenarnya. Apakah Hamka pulang dan mengetahui Nafisah milik Attar dan Hamka menerima seadanya?. Mungkin Shariman ada jawapannya kenapa menghalalkan Hamka menerima jodoh Attar dengan Nafisah, walaupun Hamka menyayangi Nafisah - barangkali Hamka memilih cinta teragung pada maha esa, mungkin!. Filem yang bagus apabila setiap shot, visual, sinematografi dan lakonan dalam sesebuah filem itu 'berkata-kata'. Jika 7 Petala Cinta dibikin secara teliti, barangkali ia akan menjadi sebuah filem sehebat sinema Iran atau Indonesia. Jika ia dihasilkan terburu-buru mengejar keinginan penerbit tanpa tahu hala tuju dan isi serta hukum dalam dunia sinema, 'industri dan filem kita' tak kan mampu pergi jauh dan menjelajah ke pelusuk dunia dan ke serata festival filem seperti yang dibuktikan filem 'A Separation dari Iran dan Bunohan dari Malaysia.

7 Petala Cinta menampilkan lakonan matang Aeril Zafrel sebagai Attar (berbeza dengan lakonan dalam Cinta Kura-Kura) . Cuma saya agak terganggu dengan kemunculan Zaliff Sidek dan seorang lagi rakannya itu. Tanpa mereka, 7 Petala Cinta tetap bergerak sebagai sebuah cerita penuh dramatik. Ditayangkan mulai 15 Mac 2012 di seluruh pawagam tempatan, 7 Petala Cinta sebuah karya Shariman Wahap yang menarik dan sesuai ditonton seisi keluarga di bulan Ramadhan atau malam menjelang hari raya.

Tepuk dada tanya six-pack.. hahhaa
Tepuk dada tanya selera.. hehhe

0 comments :