Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


Ahad, 11 Mac 2012

MANUSIA, BAYANGAN DAN PEMBUNUHAN DALAM FILEM BUNOHAN ARAHAN DAIN SAID 

updated terkini

oleh Hassan Abd Muthalib


Aku pernah mendengar Rasulullah, SAW, bersabda:

Umatku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah

menimpa umat-umat dahulu.

Penyakit-penyakit itu adalah terlalu banyak berseronok

(berhibur/ketawa), terlalu bermewah, mengumpul harta

sebanyak mungkin, tipu menipu dalam usaha merebut

harta benda dunia, saling memarahi, hasut menghasut

sehingga menjadi zalim menzalimi antara satu sama lain.

  • Riwayat Abu Hurairah, RA


Shakespeare pernah menyebut bahawa dunia ini pentas dan manusia-manusia di dalamnya merupakan pelakon-pelakon di pentas itu.
Andre Bazin, ahli falsafah filem di Perancis pada tahun 1940-an, melihat layar filem seakan sebuah jendela di mana para penonton mengintip dan melihat diri mereka sendiri dalam watak-watak yang dimainkan. Teguh Karya, pengarah tersohor dari Indonesia sependapat. Katanya: “Aku letakkan engkau pada watak-watak di layar. Sekiranya engkau dapat lihat diri engkau pada watak-watak rekaan aku, aku sudah berjaya dalam kerja aku.”

Filem bukanlah cerminan realiti tetapi merupakan satu renungan karyawan tentang fisikal dan mental manusia di alam yang dihunikan mereka. Dan seorang karyawan filem seharusnya bersifat objektif dalam berkarya. Ia seharusnya membenarkan audiens juga merenung dan membuat kesimpulan mereka sendiri terhadap apa yang dilihat di layar.


Filem Bunohan arahan Dain Said jelas termasuk dalam kategori ini. Dain Said membentangkan kisah seorang bapa, Pok Eng, dan tiga orang anaknya, Ilham, Adil dan Bakar. Bakar berlainan ibu, maka ternyata status dan gelagatnya amat berlainan dari Ilham dan Adil. Ilham adalah pembunuh upahan, Adil seorang peninju tomoi dan Bakar seorang ahli perniagaan yang datang dari Kuala Lumpur. Pok Eng seorang dalang wayang kulit dan walaupun uzur, dia tetap bermain dengan patung-patung buatannya.


Dain Said menjadikan kampung mereka (yang bernama Bunohan)

seperti ’pentas’ di mana audiens melihat watak dan perwatakan mereka. Rumah

usang Pok Eng (Wan Hanafi Su) menjadi ’pentas dalam pentas’ yang mengandungi seribu rahsia tentang masa silam Pok Eng bersama aruah isterinya, Mek Yah (Tengku Azura), seorang wanita yang mempunyai ilmu perubatan yang luar biasa.

Kebijaksanaan Dain Said untuk menampakkan semuanya itu sebagai satu ’mainan wayang’, dilihat melalui visual rumah dari jarak jauh di waktu senja. Dua tingkap diterangi lampu dan dilihat seperti dua kelir wayang kulit. Di satu tingkap, bayangan Bakar dilihat dengan jelas. Di tingkap yang lain, bayangan patung wayang kulit bergerak dimainkan Pok Eng.


Ini menjadi petanda tentang niat jahat Bakar yang terpendam, dibanding dengan sifat Ilham sebagai seorang pembunuh upahan yang dilihat dengan jelas. Dunia Ilham penuh dengan keganasan tetapi dalam dunia Bakar, keganasan berlaku secara senyap (dalam bidang perniagaan). Ilham hampir membunuh Adil, adiknya sendiri, kerana diupah. Di saat-saat akhir, Ilham rela adiknya terus hidup. Bakar yang begitu terdesak untuk merampas tanah pusaka dari ayahnya, sanggup melakukan sesuatu yang terkeluar dari pemikiran orang yang normal. Siapakah yang benar-benar jahat di sini?


U-Wei Hajisaari pernah berkata: ”Skrip bukan filem”. Hanya seorang pengarah yang dapat memberikan ’nyawa’ kepada cerita filem sehingga ia terbentuk menjadi sebuah filem naratif yang baik. Dain Said melakukan segala-gala secara sinematik. Pemilihan lokasi, gaya sinematografi dan suntingan dalam Bunohan jarang sekali dilihat dalam sinema Malaysia. Landskap Dain Said berfungsi sebagai mindscape. Awan yang mendung, tanah yang gersang, pantai yang kosong dan luas terbentang, paya yang dipenuhi pokok-pokok yang hampir mati dan rumah-rumah yang lapok - kesemuanya memberi gambaran tentang minda dan perasaan manusia-manusia dalam Bunohan.

Penggunaan musik pula bukan hanya sebagai latar tetapi berfungsi sebagai soundscape. Bunyian gamelan dan rebab seakan muncul dari celah-celah landskap yang seakan ’mengeluh’ tentang apa yang sedang berlaku. Penggunaan musik sedemikian hanya terlihat sebelum ini dalam filem ...Dalam Botol (Khir Rahman, 2011), yang menampakkan perasaan dalaman watak-watak utama dalam cerita.


Antara perkara yang amat mengkagumkan dalam filem Bunohan ialah lakonan. Ternyata apa yang timbul di layar adalah watak dan perwatakan rekaan Dain Said, dari watak-watak utama sehinggalah ke watak-watak sampingan. Melalui kostum, kelakuan, aksi dan pertuturan mereka, audiens mendapat kepastian bahawa mereka ini bukan pelakon seperti yang dikenali mereka sebelum ini tetapi watak-watak yang menjadi penghuni tetap di kampung Bunohan.

Faizal Hussein (Ilham) bukan lagi Faisal Hussein yang pernah kita lihat di layar. Penampilannya luar biasa. Yang muncul di layar adalah Ilham dan bukannya Faisal Hussein. Inilah impian setiap pelakon apabila tampil memegang sesuatu watak dalam filem atau pun teater. Faisal tidak pernah mendapat latihan secara formal dalam lakonan. Pengalaman di hadapan kamera sejak tahun 1980-an lagi dibawanya dalam Bunohan, dan di bawah arahan Dain Said, terserlah kebolehan luar biasa yang terpendam selama ini di dalam dirinya.


Hampir kesemua pelakon dalam Bunohan terdiri dari pemuda-pemuda yang pernah mendapat latihan dalam bidang teater atau pun filem. Zahiril Adzim (Adil), Amerul Affendi (Muski), Along Ezyandy (Gasi), Haririe Abd. Jalil (Kruba) dan Namron (Pok Woh) adalah graduan dari ASWARA. Bront Palarae (Deng) dan Sofi Jikan (Awang Sonar) adalah graduan dari Akademi Filem Malaysia. Pekin Ibrahim (Bakar) mendapat tunjuk ajar dari Khir Rahman, Wan Hanafi Su dan Sofi Jikan.

Saya melihat Bunohan sebagai satu kesinambungan beberapa isu dan subjek yang direnungkan oleh P. Ramlee dalam filem Pendekar Bujang Lapok (1959). Manusia Melayu, apabila sudah maju, mudah melupakan budaya dan nilai-nilai bangsa mereka. Lebih lima puluh tahun sudah berlalu, namun manusia yang (kononnya) sudah maju pada hari ini, bertukar menjadi kapitalis yang rakus, menerima dan memberi rasuah dan sanggup membunuh untuk mencapai matlamat mereka.


Apabila manusia Melayu bersifat demikian, maka pupuslah elemen-elemen spiritual yang diwarisi turun temurun. Maka mengeluhlah Mek Yah, ibu Ilham dan Adil: ”Tak ada orang seperti Yah lagi. Yah hok penghabisan.” Ilmu luar biasa yang ada pada dirinya tidak dapat diwarisi oleh mana-mana anaknya. Bangsa, agama dan negara menjadi miskin walaupun sudah maju dari segi fisikal.

Hanya Bakar, yang berjaya merampas harta ayahnya, akan terus kekal dan berkuasa. Dia tidak peduli samada harta yang diperolehinya itu adalah secara halal atau haram. Nabi Muhammad, s.a.w. sudah pun meramalkan keadaan yang bakal menimpa ummatnya dalam hadis yang diwayatkan oleh Abu Hurairah tentang perolehan harta secara haram. Inilah antara perkara yang sepatutnya menjadi renungan audiens selepas keluar dari pawagam nanti.


Di akhir cerita, Pok Eng mengeluh: “Bagaimana semuanya boleh jadi macam ini?” Pok Eng merenung tentang kemusnahan yang melanda keluarganya. Renungannya sudah pun terlambat. Sebagai ‘pelakon’ di pentas dunia, kita seharusnya lebih peka tentang diri sendiri dan memahami bayangan-bayangan yang memberi petanda, sebelum segalanya berakhir dengan ‘pembunuhan’.


Mungkin inilah renungan Dain Said terhadap nasib bangsanya.


--------------------------------------------------------------------------------------------------

Hassan Abd Muthalib adalah Karyawan Tamu Kanan di Fakulti Filem, Teater dan Animasi, UiTM, Kampus Puncak Perdana.

1 comments :

cantik ulasannya, saya memang setuju dengan semua kata2 tuan :). memang satu hasil yang baik dari yang terbaik. ada beberapa part lagi bole di tambah nilai namun kelebihan lain-lainnya cukup menutupi indah kekurangan yang lain. permainan komposisi visualnya juga cantik dan benar-benar satu porno lucah visual bagi peminat painting, artistic expression dan seni gambar.