Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


Selasa, 27 Mac 2012

PAPARAN EKSLUSIF: SIAPA YANG SYOK SENDIRI?. JANGAN CAKAP SERUPA BIKIN!


Dari meja Pengarang

Isu Filem 'BUNOHAN' diperdebatkan di sana-sini. Rata-rata dari mereka 'bersetuju' dan 'tidak' dengan filem tersebut. Ada yang menganggap BUNOHAN sebagai sebuah filem SYOK SENDIRI, dan paling kejam ada yang melabelkan DAIN SAID sebagai pengarah filem 'syok sendiri!. Persoalan yang ingin kami ajukan ialah 'Apa yang menyebabkan Prof. Abu Hassan Hasbullah' mengatakan sedemikian? Adakah BUNOHAN tidak menampilkan dialog 'picisan', shot 'membabi buta', dan plot berkecamuk sepertimana yang terkandung dalam kebanyakkan filem-filem tempatan yang ada di pawagam sekarang?. Mungkin BUNOHAN tidak menampilkan lagu-lagu nyanyian Bintang Akademi Fantasia atau lagu-lagu popular dari artis terkenal tanah air?. Dan sebab itulah ramai pihak mengatakan BUNOHAN sebuah filem 'agak bosan, berat dan sukar difahami!'.

Berat sangat ke BUNOHAN?. Susah sangat ke nak faham?. Penonton tempatan kita bukannya bodoh tahap bangang!. Mereka faham tetapi malas nak berfikir!. Mungkin selalu disogokkan dengan filem-filem komersial, barangkali!. Aku kagum melihat BUNOHAN kerna ceritanya, sinematografinya seperti sebuah lukisan yang bergerak, paparan alam yang cukup mengujakan dan ia cukup berbeza dengan karya filem yang lain. Aku tenang melihat BUNOHAN dan otak aku takkan rungsing sepertimana aku menonton filem-filem tempatan lain. Jika BUNOHAN dihasilkan pengarah dari Indonesia, Iran, Thailand dan Vietnam, barangkali Prof. Abu Hassan akan terima filem ini, begitu juga kaki wayang tempatan.

Pembikin filem kita 'bukan syok sendiri!.. Kau salah cakap dan menyalahkan DAIN SAID menghasilkan filem sebegini. DAIN SAID bukan syok sendiri. kalau dia syok sendiri dah lama dia buat filem komersial dan untung berjuta juta sampai rasa nak muntah menonton filem tempatan yang sama acuannya setiap tahun. Cakap serupa bikin la beb!. BUNOHAN kalau dihantar ke Festival Filem seperti Academy Awards, Berlin, Cannes Film Festival dan Festival Filem yang 'gah' di mata pembikin filem dunia, Malaysia takkan malu.. kalau kita hantar filem komersial yang ada sekarang ni.. LAYAK KE FESTIVAL DEPA KAT LUAQ TU BOLEH TERIMA?. Silap hari bulan filem yang tak layak tu akan masuk TONG SAMPAH!.

Aku tak cakap berada dalam dunia KOMERSIAL tue salah!. Tak salah kite menghasilkan filem KOMERSIAL kalau kena dengan caranya. Kebanyakkan filem komersial sekarang ni lari dari hukum dan undang-undang sebagai sebuah 'cinema'. Bayangkan, plot, naratif, mise-on-scene-, bahasa filem, dan falsafahnya TAK ADA. Bukan itu saje.. jalan cerita pun kadang-kadang macam drama tv ( aku pun buat skrip drama tv jugak).. Kalau nak buat filem, kena la lari sedikit dari kaedahnya. Yang tak boleh 'blah' tue apabila kebanyakkan filem 'komedi' sekarang tue macam slot di 'astro warna'.. orang nak buat filem pun dia nak buat!.. bak kata PAK HASSAN MUTHALIB 'semua dah sesat jalan.. - jangan sampai gua tembak dengan SENAPANG GAJAH!.

Aku kurang bersetuju dengan pendapat Prof. Madya A. Razak Mohaideen. Dia cakap 'penonton ke pawagam menghabiskan RM 10 dan mereka ingin puas di dalam panggung. Selepas selesai menonton , mereka mahu rilek dan tidak perlu berfikir mengenai filem itu'. Memang benar tapi itu cuma segelintir saja. Kalau malas nak berfikir baik duduk kat umah tengok tv atau drama tv je.. lagi senang tak menghabiskan duit.. yang kena bayar adalah bil elektrik!. Aku akan rasa menyesal bayar tiket wayang kalau filem tue 'cuba membodohkan aku'.. Sebagai contoh baru-baru ini aku menonton ADNAN SEMPIT 2 yang telah mengutip hampir 8 juta ringgit. Menyesal aku tengok.. Filem Nizam Zakaria lagi 'terhormat' kiranya jika nak dibandingkan dengan filem tue. Bak kata pengkritik, ADNAN SEMPIT adalah sarkas melayu.. so kalau filem yang kurang berkenan di hati. aku akan review cukup-cukup makan dan simple aje..

Memang pelik kalau aku cakap antara filem MIG yang aku suka konsepnya adalah filem 7 PETALA CINTA.. Ia berbeza sedikit dari genre MIG sebelum ini. Cuma ia perlu ditambah baik jika mahu sehebat sinema filem islam dari Iran, Indonesia dan Arab misalnya. Sebelum menutup bicara dan kata-kata, aku harap sangat pihak FINAS supaya mengadakan DISKUSI TERBUKA mengenai semua filem yang 'dilabelkan sebagai filem bagus'.. macam BUNOHAN, ... DALAM BOTOL dan sebagainya. Jangan asyik dengan program dokumentari aje. Kita pelbagaikan sedikit segmen dalam industri. Oh ya.. ada satu lagi yang aku nak usulkan ialah pihak FINAS perlu menganjurkan MASTERCLASS BAHASA FILEM DARI SUDUT SINEMA.. supaya ramai pihak akan tahu (yang berminat) untuk mempelajarinya. 'kita berkongsi apa yang kita tahu, kita janakan apa yang kita pelajari dan kita hasilkan apa yang kita mahu gambarkan'..

Lupakan sejenak FILEM MALAYSIA KE PERSADA DUNIA..
jika ia tidak sehebat 'filem antarabangsa' ..

Tepuk dada tanya selera..

********************

PAPARAN DI BAWAH INI ADALAH EKSLUSIF YANG DIPETIK DARI SINAR HARIAN 26 MAC 2012 MENGENAI BUNOHAN DAN KONTROVERSINYA.

SEGELINTIR pengarah nampaknya berkhayal atau syok sendiri ketika menghasilkan sesebuah filem dari aliran seni.

Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Abu Hassan Hasbullah berkata, tanggapan seumpama itu boleh dilihat menerusi beberapa penghasilan filem sedemikian di negara ini kabur dan bercelaru atau boleh dikatakan carca marba.

Menurutnya, filem terbaru Bunohan misalnya di mana karya Dain Said itu yang lemah dramaturgi atau pada jalan cerita telah membuatkan karya tersebut tidak diterima masyarakat.

“Saya sanggup kata Bunohan adalah hasil seorang pengarah amatur berikutan ia penuh kekeliruan.

“Cerita di dalam filem itu jika dibandingkan dengan filem Matinya Seorang Patriot arahan Datuk Rahim Razali (1984) sangat jauh, betapa lemahnya Bunohan.

“Apatah lagi untuk dibandingkan dengan filem Semerah Padi dan Sumpah Orang Minyak arahan Tan Sri P Ramlee serta Hang Jebat arahan Hussien Haniff,” ujarnya.

Menurutnya, supaya umum lebih jelas, beliau mengambil perbandingan­ antara filem Melayu klasik berkenaan dan Bunohan.

Baginya, Bunohan sebuah contoh karya yang disumbat dengan banyak perspektif hingga tidak difahami apa yang hendak ditawarkan apatah lagi untuk difahami.

Beliau berpendapat supaya mencontohi pengarahan P Ramlee yang berjaya menghidupkan Semerah Padi sebagai sebuah realiti kehidupan kerana perspektifnya adalah jelas.

“Kita contoh dalam babak ketika watak Aduka dan Dara berada dalam sebuah rumah. Itu dari perspektif Taruna iaitu tunang kepada Dara. Taruna yang bercerita dan sebab itulah yang disebat itu Aduka dan Dara. Bermaksud Taruna yang intai semua pergerakan mereka.

“Sementara Sumpah Orang Minyak dari satu perspektif iaitu si Bongkok yang cacat dan dihina masyarakat hingga akhirnya merajuk.

“Sama juga dengan filem Hang Jebat yang diadaptasi daripada teks Hang Tuah di mana ia mengangkat Hang Jebat yang merajuk hingga mengamuk kerana sistem (pemerintahan). Namun, apa yang ditawarkan Bunohan?”

Abu Hassan berkata, sehubungan itu ketiga-tiga filem Melayu lama berkenaan menjadi naskah hebat yang diterima masyarakat sejak dahulu hingga abad ini. Sebaliknya pengarah Bunohan menghasilkan filem atas keinginan sendiri tanpa sebuah proses menerbitkan filem yang betul.

Katanya, perlu diingat bahawa membaca filem bukan dari gambarnya sahaja tetapi luarannya adalah penting sama ada soal antropologi, sosiologi, psikologi mahupun georgrafinya, bukan carca marba.

Namun katanya, itu yang dikesan dalam filem kita, antaranya banyak perspektif, sinematografi cantik tetapi kosong, skrip yang sukar difahami malah lebih lemah apabila tidak disokong oleh elemen visual sedemikian.

“Kalau filem komersial mengabaikan ini, kita boleh beri alasan kerana ia filem murahan yang tidak perlu ditangani secara akademik. Bagi penonton, jika hendak jadi naskah sempurna maka harus jadi naskah sempurna. Sebaliknya jika hendak jadi naskah murah maka cukup untuk jadi naskah murahan.

“Jadi kita pun kata, kenapa orang tengok filem Hantu Bonceng dan Sembilu. Masyarakat mungkin kata, itu sudah memang filem murahan dan mereka sememangnya hanya mahu berhibur. Apa pula faedahnya menonton filem seni sekiranya tidak luar biasa seperti difikirkan,” ujarnya.

Abu Hassan berkata, sehubungan itu jawapan mengapa filem seni tidak laku, ialah kerana naskah itu sendiri yang lemah hingga ditolak oleh masya­rakat. Bukan masalah polemik antara filem komersial dan seni.

“Kita tidak dapat nafikan bahawa penonton bijak apabila mereka menonton filem Godfather. Mengapa mereka tonton filem Hindi, Dil To Pagal Hai yang juga berat tetapi pada waktu sama tonton Kuch Kuch Hota Hai, sebuah teks yang sangat ringan.

“Kenapa penonton tengok filem Hantu Bonceng dan tidak mahu tengok­ Bunohan. Mesti ada masalah pada Bunohan kerana penonton yang pergi ke pawagam adalah sama.

“Kita tidak boleh menuduh masyarakat atau menyebelahi mana-mana pihak. Oleh kerana itulah, sutradara tidak boleh berkhayal mengarah karya untuk diri sendiri dengan mengatakan ‘aku bebas’ berkarya,” tambah Abu Hassan.

Katanya, filem yang dibikin dengan pengarahnya berkhayal hanya patut atau layak ditayang di pawagam milik pengarah itu sendiri bukan peringkat umum kerana jika hendak tayang kepada umum, karya seni mestilah suatu karya ajaib yang boleh diterima sebagai naskah luar biasa.

“Sebab itu orang ramai menonton Matinya Seorang Patriot dan tidak menolak filem Azura yang juga sebuah teks berat. Orang tidak tolak lakonan Ogy (Fauziah Datuk Ahmad Daud) dan juga filem Abang serta Tsu Feh Sofiah (arahan Datuk Rahim Razali, 1981).

“Namun orang menolak Azura 2012. Mesti ada persoalan. Masalah sekarang ialah, kita tidak faham masyarakat terlalu banyak menonton karya yang diterbitkan di pawagam, televisyen, satelit dan Youtube.

“Mereka telah menonton pelbagai filem seni dan komersial pelik tetapi puas. Oleh kerana itu, didapati tidak semua filem komersial juga berjaya,” ujarnya.

Menurutnya, filem komersial seperti Kembar Siam dan Karipap- Karipap Cinta yang menerima nasib seperti Bunohan menandakan, sudah ada parameter dalam kalangan masyarakat.

“Kenapa mereka tengok Hantu Bonceng. Saya tidak fikir kerana Zizan (pelakon) tetapi mereka percaya itulah filem komersial yang puas. Mungkin penonton tidak tengok Bunohan bukan kerana menentang sebuah karya baik tetapi mungkin penonton lebih awal memberitahu bahawa karya yang baik ini sebenarnya mempunyai masalah yang tidak sepatutnya. Jadi, kita mesti tengok situasi itu,” tegas Abu Hassan.

“Orang ramai hendak filem yang baik, yang mengangkat antropolgi, sejarah atau sosiologi bangsa dalam sebuah bentuk dramaturgi cerita yang sempurna sebagaimana filem Hang Jebat , Semerah Padi, Sumpah Orang Minyak, Abang dan Matinya Seorang Patriot.

“Orang hendak macam itu. Bagi masyarakat, lebih baik buat filem komersial sekiranya tidak sampai ke peringkat ini kerana setidak-tidaknya tidak menyakitkan hati,” katanya.


********************

Penonton terlalu banyak disogok dengan filem hiburan kosong, pada masa sama takut untuk menonton filem berat kerana mendakwa naskah aliran seni susah difahami.

Pengarah filem terkenal, U - Wei Saari berkata, tanggapan mengatakan filem seni memerlukan penonton berfikir untuk memahami jalan ceritanya, itulah yang boleh membunuh karya daripada aliran tersebut.

Katanya, filem sedemikian didefinisikan sebagai karya berpengertian mendalam, namun penonton seolah-olah takut untuk menontonnya.

“Akhirnya, ia menjadi seperti nanah dan dibenci segelintir masyarakat. Bukan hanya filem seni memerlukan berfikir, semua perkara memerlukan pemikiran. Kita duduk pun harus berfikir. Justeru, hentikan pemikiran sempit itu, sebaliknya berganding meningkatkan bilangan filem seni yang diperlukan untuk mendidik masyarakat,” katanya.

U-Wei atau nama sebenarnya Zuhir Saari dikenali sebagai pengarah filem seni, pernah menghasilkan filem pecah panggung menerusi Perempuan, Isteri Dan.... (1993) yang berjaya menawan hati penonton, seterusnya menggondol anugerah Filem Terbaik dalam Festival Filem Malaysia ke-11, pada 1994 dan U-Wei sendiri memenangi anugerah Pengarah Terbaik.

Dalam filem tersebut, mempertaruhkan pelakon Sofea Jane bersama hero Nasir Bilal Khan dan Zaidi Omar. Terdapat babak sensasi melibatkan budaya songsang, ‘nasi kangkang’ di dalam filem beliau itu. Antara filem lain arahan beliau ialah Jogho (1999), Kaki Bakar (2001) dan Buai Laju-Laju (2004).

Kata U- Wei yang juga penerbit dan penulis skrip, penonton hari ini dilihat tiada sifat ingin tahu sehingga karya hebat sering dipinggirkan.

“Itulah senario masyarakat kita, sering disogokkan dengan cerita hiburan kosong. Walhal, pembikin filem yang bernas adalah ahli fikir. Kalau tidak ada filem yang bererti, maknanya tiada ahli fikir di dalam industri ini. Mereka harus menjadi ensiklopedia bergerak yang mampu memberi wadah kepada penonton.

“Benar, tidak ada orang yang mahu membuat filem rugi. Saya tidak akan gadaikan seni hanya mahukan pangkat atau keuntungan semata-mata. Ramai pembikin filem di Malaysia adalah orang-orang yang mahu mengejar gelaran­ pengarah, ia sama seperti naik pangkat. Namun, erti sebenar filem, mereka sendiri kurang arif.

“Perlu diingat, tamadun di dunia ini diperoleh daripada seni. Oleh itu, seni perlu diangkat kepada satu aras yang tinggi berbanding filem komersial sedia ada,” katanya.

Bakal muncul dengan filem terbarunya, Hanyut lakonan pelakon muda Diana Danielle, U-Wei turut menekankan, filem seni penuh berkualiti dan ia adalah abstrak.

Tidak seharusnya pembikin filem boleh berasa puas di atas karya yang dihasilkan tetapi cukup meletakkan kayu ukur untuk mencapai kejayaan lebih tinggi pada karya seterusnya.

“Bagaimana mahu memartabatkan seni jika tidak mendapat kerjasama semua pihak? Kerajaan harus bantu pembikin filem seni ini kerana ia sangat berbeza daripada filem komersial.

“Jika tiada lagi filem seni di negara ini, bermakna tiada kepelbagaian dalam sesebuah karya. Masyarakat perlu ada budaya menonton kerana filem seumpama ini tidak susah untuk diikuti. Ini kerana dalam filem seni, ada klimaks, budaya serta resolusi yang sangat jelas,” katanya.

*******************

“Pembikin filem seni buat filem hanya suka-suka atau sekadar hobi sahaja. Mereka hanya puas apabila karya dipertontonkan, tetapi sayangnya tidak untung,” dakwa pengarah prolifik, Profesor Abdul Razak Mohaideen.

Katanya, walhal selain keuntungan, tanggung jawab filem juga mesti menghiburkan penonton kerana mereka membayar harga tiket pawagam bukan hendak memeningkan kepala untuk berfikir mengenai jalan cerita dalam sesebuah karya dinamakan filem seni itu.

“Sekiranya sesebuah filem itu terlalu sarat untuk ditafsir, maka boleh dianggap gagal. Faktor utama pembikin filem adalah memberi hiburan pada mata dan jiwa. Perlu diingat, penonton ke pawagam menghabiskan RM10 dan mereka ingin puas di dalam panggung. Selepas selesai menonton, mereka mahu rileks dan tidak perlu berfikir mengenai filem itu lagi.

“Filem berbentuk komersial juga diakui membantu menenangkan minda dengan adanya kepelbagaian genre,” ujarnya.

Abdul Razak berkata, oleh itu filem hiburan ringan mampu memberi kepuasan penonton berbanding filem seni dan hakikat tersebut disokong oleh kajian di beberapa negara yang mendapati penonton tidak suka menonton filem kompleks.

“Nampaknya jawapan tanggapan filem seni sukar mendapat tempat, jelas apabila penonton lebih gemar karya ringan atas alasan sedemikian. Jika ada pembikin mengatakan filem seni boleh mendidik, lebih sesuai terbitkan filem dokumentari,” katanya yang telah mengarahkan 34 filem.

Mengambil contoh di Amerika Syarikat katanya, banyak filem artistik masuk panggung, tetapi penerbit menghadapi kesukaran sedangkan jumlah penonton mereka ramai apatah lagi di negara ini yang boleh dianggap hanya sebilangan kecil masyarakat meminati filem seni.

“Apabila filem dikategorikan ke dalam industri, bermakna ia menjadi perniagaan pastinya perlu keuntungan. Tidak ada produser mahu menerbitkan filem secara suka-suka tanpa fikir untung,” katanya.

Baginya, tiada salahnya filem hiburan dianggap komersial kerana filem sedemikian mempunyai mesej, malah disampaikan tanpa perlu penonton banyak berfikir.

“Filem seni masih gagal pecah tembok filem komersial yang punya nilai tersendiri,” kata pemenang Anugerah Pengarah Terbaik itu, menerusi filem Hingga Hujung Nyawa pada 2005.

********************

Filem komersial tidak seharusnya menolak nilai seni dalam filem. Malah dalam semua bidang seni termasuk sastera, drama pentas dan drama televisyen serta seni lukis elemen seni mesti ditonjolkan.

Pengkritik filem, Mansor Puteh berkata, dalam membuat filem,tidak semestinya nilai atau tahap seni yang mahu dicapai itu mesti 100 peratus dan tidak semestinya juga tahap komersial yang mahu ditekankan oleh pengarah juga 100 peratus.

“Adalah bagus kalau nilai seni dari 30 hingga 60 peratus supaya ia mudah difahami. Pengarah yang berani cuba untuk mencapai tahap kesenian yang lebih tinggi tapi tanpa menolak elemen komersial, yang dimaksudkan ialah nilai pemasaran.

“Namun sedihnya, ramai pengarah filem tempatan tidak ada pandangan mengenai ini dan mereka juga tidak ada pendidikan formal dalam bidang perfileman. Oleh itu, mereka tidak tahu bagaimana mahu tekankan elemen seni. Mereka terikut-ikut dengan kehendak sendiri dan apa yang mereka mahu sajikan kepada penonton.

Akhirnya mereka sendiri tidak akan diiktiraf sebagai pengarah penting dan utama di Malaysia, jauh sekali di luar negara,” ujarnya.

Menurut Mansor, walaupun ada penerbit sudah menerbitkan hampir 100 buah filem tetapi mereka masih terperap di tempat yang sama dan tidak boleh berkembang jauh akibat mereka menolak seni dan mementingkan nilai komersial.

“Nilai komersial tidak salah namun harus diadakan setakat yang boleh menarik perhatian penonton dan selebihnya nilai seni harus ditonjolkan. Mereka yang pentingkan nilai komersial itu sebenarnya bukan sahaja tolak seni, malah lebih teruk dari itu, mereka tolak nilai agama, budaya sendiri dan nilai masyarakat yang murni, mulia dan sejati.

“Saya boleh katakan filem Iran berjudul, ‘A Separation’ yang menang Oscar untuk filem asing terbaik baru-baru ini, tidak mungkin dapat dibuat kalau pengarahnya tidak diberi dorongan atau kongkongan yang telah mengalakkan dia berfikir lebih tinggi dan hasilkan karyanya.

“Kalau ini tidak dilakukan oleh pihak berkuasa di Iran termasuk pandangan dari ulama dan media, sudah pasti pengarah tersebut dan pihak terlibat lain di Iran itu akan terbawa-bawa dengan tangapan sendiri dan menghasilkan filem-filem lucah atau separa-lucah seperti yang dilakukan oleh pengarah filem di Malaysia,” katanya.

Menurutnya, sememangnya ada pengarah filem di Malaysia yang ingin memuatkan nilai seni dalam filem mereka tetapi tidak tahu apa itu seni dan kelainan.

Bagi Mansor, tahap pencapaian seni dalam filem mahupun bidang kesenian lain tertakluk dari apa yang dilakukan oleh pengarah filem dan pengkarya seni di seluruh dunia.

“Siapa yang mengutarakan nilai seni akan menjadi pemimpin bidangnya dan siapa yang tiru caranya akan menjadi penyokong dan pemuja.

“Pengarah filem tempatan yang buat filem hantu dan remaja tidak menampilkan elemen-elemen baru, Mereka adalah orang yang meniru cara penerbitan filem di Hong Kong, Siam, Korea Selatan dan Amerika sahaja,” akhiri Mansor.

******************
Raja Azmi: Penerbit sukar dapat dana
ANITA ABU HASAN & HASLINA KAMALUDIN
26 Mac 2012

Peruntukan daripada pihak berwajib untuk menghasilkan filem ‘berat’ yang sarat dengan mesej lebih sukar diperoleh berbanding filem hiburan semata-mata.

Penerbit, Raja Azmi Raja Sulaiman berkata, malah pihak bank atau Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) adakalanya menolak secara mentah permohonan dana penerbit selepas mengambil kira andaian keuntungan filem ‘berat’ didakwa tidak menguntungkan.

“Sungguh mengecewakan, namun itu yang berlaku kepada saya. Bukan tidak mencuba mencari dana, namun alasan yang sering diterima, filem seperti itu tidak mampu mengaut untung dan menimbulkan kerisauan untuk mereka mendapat semula dana tersebut.

“Sekali gus permasalahan dana ini menjadi salah satu kekangan untuk menghasilkan filem hebat sedangkan jika ada peruntukan, pembikin filem mungkin mampu atau boleh menghasilkan lebih banyak karya baik,” kata penerbit kontroversi itu.

Antara filem terbitan beliau ialah Black Widow Wajah Ayu, Cinta 200 Ela, Haru Biru dan terbaru, Dalam Botol.

Raja Azmi yang juga penulis skrip berkata, akibat masalah itu, segelintir penerbit yang pada awalnya berminat menghasilkan filem sedemikian terus makan hati dan enggan meneruskan hasrat kerana tidak cukup dana sendiri.

Bagaimanapun beliau mengakui, filem bermesej agak sukar untuk memperoleh untung, namun tetap menjadi keperluan kepada industri untuk menghasilkan filem berilmu kepada penonton.

Raja Azmi berkata, sekiranya sesetengah pihak itu hanya memikirkan wang, sampai bila pun, penonton tidak dapat ilmu daripada filem dihasilkan oleh pengkarya tempatan seperti beliau.

“Sudahlah sukar memperoleh dana tetapi seperti wujud pula sikap double standard terhadap pembikin filem di negara ini.

“Saya tidak tahu apa kelemahan filem sarat dengan ilmu berbanding filem dipenuhi wajah komersial. Tahun ini, muncul sebuah lagi filem yang ada ilmu namun kutipannya tidak mem­berangsangkan.

“Walaupun mendapat liputan yang baik, tetapi sogokan filem sebelumnya itu membuatkan penonton buta hati terhadap filem berkualiti tersebut. Pemikiran penonton telah diracun dengan kemunculan filem hiburan yang kosong tanpa ilmu. Penonton hanya ketawa dan bazir duit, “ akhiri Raja Azmi penuh makna.


Salah siapa panggung kosong?
ANITA ABU HASAN & HASLINA KAMALUDIN
26 Mac 2012

Sedih! Itu selalunya dirasai sebaik melihat dalam panggung hanya lima penonton.

Kasihan pada filem seni. Pada hari tersebut, penulis bersama seorang rakan masuk pawagam untuk menonton filem seni selepas diminta membuat tugasan.

Bagaimanapun, keadaannya sungguh berbeza. Sewaktu ke pawagam untuk sebuah filem cinta, penulis berhimpit dan terkepit dalam ratusan orang ramai. Lantas, di fikiran penulis lahir tanggapan, betapa besar beza penerimaan antara filem seni dan komersial. Mengapa ini berlaku?

Mungkin ada benarnya, filem seni gagal memikat penonton kerana kebanyakan jalan ceritanya sukar difahami, walhal mereka membayar tiket pawagam bukan untuk sesuatu yang membebankan fikiran!

Sebaliknya, filem komersial dianggap ringan dan menghiburkan menyebabkan karya sedemikian menjadi pilihan utama penonton yang sekali gus membuatkan filem itu membawa keuntungan.

Bukan satu atau dua filem, tetapi hampir kesemua filem seni gagal mendapat tempat. Namun, mungkin penonton itu sendiri malas berfikir kerana filem seni perlukan kebijaksanaan mentafsir sendiri simbolik, falsafah, termasuk jalan cerita filem.

Berbanding filem komersial bersifat terus dan adakalanya ringan. Kejayaan unsur komersial adalah tidak keterlaluan hendak dinyatakan bahawa ia sealiran dengan tanggapan ramai menonton wayang untuk menghilangkan tekanan, bukan untuk membebankan fikiran.

Pasaran antara filem seni dan komersial terlalu beza jurangnya kerana filem seni terlalu susah memgaut jutaan ringgit. Bagaimanapun, kita tidak wajar marah kepada masyarakat umum yang tidak boleh menerima filem seni kerana kebanyakan mereka bukanlah orang bijak pandai mentafsir seni. Mereka ke pawagam untuk hiburan, sedangkan filem seni bersifat abstrak yang mana setiap orang berbeza tahap nilai estetika dalam dirinya.

Maknanya di sini, penerimaan terhadap filem seni mempunyai dua kelompok. Bagi penggemar seni, akan setuju manakala yang tidak berminat tidak akan suka dan ketika inilah kita harus kembali kepada pendapat seperti berat, sukar ditafsir, mesej berat dan sebagainya.

Berapa ramai menghargai filem seni? Kegagalan beberapa filem sini di negara ini mungkin sahaja kita boleh anggap sebagai jawapan, bahawa filem seni hanya untuk orang minat seni. Mungkin! Misalnya kutipan antara RM300,000 hingga RM400,000, bermakna hanya seramai itu sahaja penonton filem itu.

Itu daripada segi kutipan tiket. Namun, filem seni boleh menang anugerah. Mungkin kerana itu pembikin filem seni ada berasa bangga menghasilkan filem seni. Satu lagi, filem seni lebih terdedah kepada kritikan yang menimbulkan perdebatan hebat dalam kalangan ahli akademik.

Persoalannnya, patutkah kita saling menuding jari dengan keadaan ini? Filem seni gagal laris tetapi tidak boleh dihentikan kerana sememangnya karya seumpama itu diperlukan untuk rujukan pada masa depan.

Kepada pembikin filem, adakah sukar mengadun seni dan komersial dalam sebuah karya sedangkan itulah percubaan yang mungkin boleh diambil. Bagi senario kini, filem komersial sampai bila boleh kebal?


Ajami: Filem popular masuk kubur
ANITA ABU HASAN & HASLINA KAMALUDIN
26 Mac 2012

Filem alternatif tidak begitu digemari bukan hanya di Malaysia, tetapi di kebanyakan­ negara lain, namun boleh memenangi anugerah kerana ia membawa pemiki­ran tentang bangsa dan negara.

Pengkritik filem, Ajami Hashim berkata, hanya filem alternatif penuh mesej dan berilmu akan diperkatakan dan ditayangkan mewakili negara kerana ia karya mantap sementara nasib filem komersial lambat laun dilupakan.

Mengambil contoh karya Tan Sri P Ramlee yang segar hingga hari ini, Ajami berkata, P Ramlee adalah ahli fikir dan tiada orang sepertinya dalam industri filem arus perdana.

“Oleh itu filem kita kosong dari segi pemikiran. P Ramlee melihat bangsa dan persekita­ran, kemudian berfikir bagaimana menyampaikan idea-idea dan perasaannya melalui hiburan. Walaupun berjaya, tetapi beliau gagal membuat penonton berfikir tentang apa yang ingin diperkatakan.

“Seni dibawa P Ramlee berlapis. Setiap satu disusun dalam frame semuanya bermakna.

Terdapat banyak petanda jika direnungi, ia adalah kritikan­ pedas terhadap golongan maju, tetapi tidak membantu bangsa dan para marhaen.

“Beliau juga menggunakan teknik dramatic irony yang membuatkan penonton tahu sesuatu berlaku, tetapi tidak diketahui oleh watak-watak dalam cerita. Ini membuatkan penonton geli hati, sekali gus membuatkan mereka mahu menonton berkali-kali,” ujarnya.

Namun katanya, pembikin filem hari ini tidak perlu meniru P Ramlee kerana negara sudah ada karyawan hebat seperti James Lee, Mamat Khalid, Dain Said, U-Wei, Khir Rahman, Wan Azli Wan Jusoh, Osman Ali dan Datuk Paduka Shuhaimi Baba.

“Mereka mampu melahirkan karya tidak memalukan bangsa dan negara. Oleh itu wajar dibantu kerana mereka bakal inspirasi bagi graduan yang juga pelapis,” katanya.

Menurutnya, pada masa sama, pengarah, penulis dan pelakon perlu latihan formal dalam seni dan filem agar boleh mengangkat mutu karya tempatan ke antarabangsa.

“Ini sudah dilakukan oleh Singapura dan Thailand. Mengapa ini tidak berlaku di Malaysia? Antara sebabnya kerana kita mahu untung cepat dan tidak mahu membuat pelaburan jangka panjang.

“Sistem pengajian juga tidak melahirkan masyarakat berdaya pemikiran tinggi. Media massa pula tidak ada program ke arah penghayatan tentang karya mantap. Mereka asyik menghidangkan karya picisan,” katanya.

Menurutnya, pembikin filem mencari keuntungan daripada pengiklan, manakala filem picisan dilambakkan dalam pasaran, dijual secara borong kepada stesen televisyen.

Jelasnya lagi, pembikin filem wajar meneruskan filem alternatif kerana ia dibuat untuk tayangan umum, walaupun sedar, terlalu sukar untuk menemui penonton.

“Filem-filem begini adalah warisan yang boleh dirujuk sekali gus menjadi rekod sejarah seperti filem Datuk Rahim Razali, Datuk Shuhaimi Baba dan U-Wei. Filem sebeginilah yang perlu dapat sokongan daripada kerajaan, bukan filem hanya memaparkan teknik imej janaan komputer (CGI) yang kosong ceritanya,” ujar Ajami penuh makna.


2 comments :

Ni namanya PENGARAH & PENERBIT SYOK SENDIRI -

Bila filem meletup di pawagam, diaorang SYOK. Jadi diaorang buat lagi Part 2. Lepas tu Part 3.

Itulah namanya filem SYOK SENDIRI! Tapi buah kana di universiti tu mana dia nampak ni semua?!

Maaf tapi sinematografi yang bagus tak bermakna filem itu bagus. Jalan cerita bunohan serupa dengan cereka-cereka di Cerekarama dan Drama Minggu Ini. Memang tidak boleh dibanggakan. Bagi saya Mamat Khalid banyak buat filem yang bagus tetapi penamatnya selalu saya rasa macam ianya "dirushkan" sahaja. Contohnya Rock Oo, satu filem yang amat baik, dari segi jalan cerita, sinematografi, kiasan dan macam-macam lagi. tapi mengapa dia sanggup jeopardize the quality dengan menggunakan CGI untuk bahagian akhir filem Rock Oo. Mesti ada cara lain yang lebih murah/kreatif dan efektif dalam menunjukkan penamat filem itu tanpa menggunakan CGI.