Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


Rabu, 28 Mac 2012

'PERISA YANG CUKUP RENCAHNYA' - TEATER MUZIKAL GERIMIS MENGUNDANG SUNGGUH MENGHIBURKAN!

oleh Admin

Semalam 27 Mac 2012, kami diberi kesempatan untuk menonton Pembukaan Teater Muzikal Gerimis Mengundang di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur. Teater pertama yang skripnya ditulis oleh Azwan Annuar dan diarahkan pengarah filem terkenal, Ahmad Idham merupakan naskhah teater yang 'cukup menghiburkan dan tidak mengecewakan khalayak'. 'Gerimis Mengundang' merupakan judul lagu popular di Indonesia dan Malaysia, merupakan lagu yang pernah dinyanyikan oleh Kumpulan Slam dengan vokalisnya Zamani.

Apa yang ingin kami coretkan di sini ialah bukan tentang kumpulan Slam atau vokalisnya Zamani. Harus diingat bahawa judul 'Gerimis Mengundang' dalam versi teater muzikal ini tiada kena mengena dengan lagu popular tersebut. Ia hanya sekadar tajuk lagu yang divisualkan kisahnya dalam dua versi iaitu 'teater muzikal' dan 'filem'.
'Teater Muzikal Gerimis Mengundang' ini menampilkan lakonan hebat Kamal Adli yang memegang watak sebagai seorang juruterbang bernama Zamani. Perkenalan pertama Zamani dengan Cinta lakonan Bintang Sinentron Nada Cinta, Mikha Tambayong menimbulkan bibit-bibit cinta antara mereka. Pelbagai konflik diperhalusi dengan teliti, menjadikan 'Gerimis Mengundang' antara naskhah teater yang wajib ditonton seisi keluarga.

Apa yang menariknya ialah gandingan mantap Kamal Adli dan Mikha Tambayong, cukup serasi dalam persembahan teater tersebut. Kamal Adli rupa-rupanya seorang pelakon versatil di mana dia boleh bernyanyi sekaligus menari mengikut rentak muzik yang diputarkan. Saya cukup tertarik dengan lakonan yang dipersembahkan Najwa Ramlee, cucu pelakon lagenda, P.Ramlee. Dia mengingatkan saya pada lakonan Adibah Noor dalam teater CUCI THE MUSICAL.

Garapan dalam teater Gerimis Mengundang sedikit sebanyak dipengaruhi teknik 'sinentron dari Indonesia', dimana ada beberapa karektor yang diwujudkan Ahmad Idham dan penulis skripnya, Azwan Annuar, iaitu ketika 3 pelawak menyanyikan lagu ; ketika Zamani dan kekasih hatinya bermadu asmara ( sebelum Zamani bertemu Cinta) - membuktikan Gerimis Mengundang bukan sekadar teater biasa, malahan ia membawa kita meneroka aspek 'hiburan luar' dari pelusuk negara ; dan Gerimis mengambil pendekatan 'sebagai sebuah sinentron'. Percaya atau tidak, Gerimis Mengundang berjaya membuatkan kita ketawa, menangis dan rasa marah. Perasaan itu adalah salah satu faktor kejayaan sesebuah teater atau karya di mata pembikinnya.

Apa yang ingin saya perkatakan ialah 'jangan menghukum' seseorang pembikin samada teater atau filem dalam menghasilkan karyanya, jangan pula kita menilai dan memburukkan orang lain demi kepentingan kita kerana iri hati, cemburu dan dengki bukan sifat baik manusia yang beragama islam.

Berbalik kepada teater ini, jika kita lihat dari jalan ceritanya, ia sedikit berbeza dengan versi filemnya ( filem Gerimis Mengundang akan ditayangkan tidak lama lagi) tetapi keseluruhan teater ini 'cukup perisanya dan cukup rencahnya'. Penggemar teater bergenrekan 'cinta remaja', jangan lepaskan peluang anda untuk menonton GERIMIS MENGUNDANG yang kini dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur bermula 27 Mac hingga 8 April 2012. Sekiranya anda mahukan hiburan yang relax, santai dan mendamaikan, apa kata hayati bait-bait indah setiap dialog dan lagu dalam Gerimis Mengundang, yang tentunya mengundang perasaan sedih, suka, gembira, ketawa dan sebagainya.

GERIMIS MENGUNDANG THE MUSICAL
HANYA DI ISTANA BUDAYA.. BUKAN DI RUMAH ANDA..

SELAMAT MENONTON
SEMOGA TERHIBUR

0 comments :