Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


adcash

Pre-Order Now! Click Here!

Pre-Order Now! Click Here!
Tempahan untuk album terbaharu Dato' Sri Siti Nurhaliza #ManifestaSiti2020 sudah dibuka!. Klik untuk tempahan!

Isnin, 19 Mac 2012

'RAMAI'.. YANG TERSESAT DI SIANG HARI - BERDASARKAN ARTIKEL BUNOHAN

Artikel ini adalah feedback dari artikel yang dikeluarkan dalam blog ini pada 17 Mac 2012 mengenai BUNOHAN hasil tulisan WAHI yang dipetik dari mstar online.

oleh: Hassan Abd. Muthalib

********************

Saya merujuk kepada artikel BUNOHAN – KETEPIKAN SOSIOBUDAYA & BERPECAH BELAH yang disiarkan dalam blog AmyIkram pada Mei 17, 2012 (di bawah ini)..

Inilah masalahnya apabila orang yang buat kritikan bukan bercakap pasal TEKS (ia itu, benda-benda yang berada dalam sesuatu filem), tetapi sebaliknya bercakap DI LUAR TEKS (perkara-perkara yang tidak berada dalam filem). Kalau nak sangat babak ugama, antropologi, dsbnya, buatlah filem sendiri! Bila kita bercakap mengenai sesebuah filem, cakap hanya tentang apa yang dipaparkan dan samada ia dibina dengan berkesan atau tidak berdasarkan naratif, dan paling penting, bersandarkan NAWAITU (subteks) pengarahnya. Untuk ini, ihatlah kepada CINEMATIC REPRESENTATION dan bukan dari aspek ugama, sosiologi, komunikasi atau pun antropologi, Itu namanya sudah sesat jalan! Ketawa besarlah si pengarah apabila mendengar hujah-hujah songsang sebegini!

Pengkritik-pengkritik ini tidak tahu bahawa REALITI DI DALAM FILEM mempunyai lojik dan undang-undang tersendiri dalam diegesis filem itu, dan ianya tidak boleh disamakan dengan realiti yang kita kenal. (Pengarah akan membuat selection dan ellipsis, ia itu, MENGAMBIL APA YANG DIKEHENDAKKINYA dan TINGGALKAN apa yang tidak difikir perlu. Itu hak dia sebagai seorang karyawan.) BUNOHAN sebenarnya memaparkan ‘psychic reality’ dan disandarkan kepada alam Melayu (yang sedang ‘dibunuh’ oleh para kapitalis). Saya hairan bagaimana mereka yang berkata mereka dari Kelantan tidak tahu bagaimana Dain Said menggunakan elemen-elemen yang terdapat dalam budaya Melayu Kelantan, ia itu, makyong dan main peteri. Budak kecil itu adalah perantara (seperti Tok Peteri), yang membolehkan roh Mek Yah berhubung dengan bekas suaminya. Mek Yah ‘hadir’ untuk mengingatkan Pok Eng bagaimana dia (Mek Yah) pernah menasihatinya agar tidak berkahwin dengan perempuan lain kerana itu akan membawa musibah. Ternyata ramalannya sudah menjadi kenyataan. Baka yang dibawa ternyata baka yang buruk yang akhirnya akan membunuh bapanya sendiri kerana wang sudah menjadi kiblatnya.

BUNOHAN bukan mengenai saka. Ia mengenai harta pusaka. Harta pusaka dalam BUNOHAN sebenarnya bukan tanah. Itu adalah FOREGROUND STORY (teks). BACKGROUND STORY (subteks) adalah tentang ilmu kebatinan yang sudah menjadi warisan orang-orang Melayu Kelantan yang akan berakhir dengan Mek Yah (dan Pok Eng). Ilham hampir mewarisinya (lihat bagaimana Dain Said menampakkannya ini secara SINEMATIK dalam adegan ia disentuh dan diubati oleh roh ibunya, dan kemudian, dikelilingi burung-burung. Seekor burung enggang berhadapan dengannya seakan mahu membawa Ilham ke alam ghaib, yang juga menjadi petanda bahawa masanya di dunia sudah hampir tamat).

Budak kecil itu bukan saka. Persoalan yang bangkitkan oleh Dain Said ialah, budak itu begitu berminat dengan wayang kulit (dan dihalau oleh Bakar), tetapi apakan daya. Segalanya akan musnah. Dia belum sempat menerima ilmu itu. Yang sepatutnya menjadi guru budak ini, dibunuh oleh anaknya sendiri. Mengapa Dain Said menunjukkan tomoi? Itu seni orang asing. Sudah terang, disuluh tetapi masih kabur nampaknya bagi para pengkritik. Bapa Adil seorang dalang wayang kulit. Sepatutnya anaklah mewarisi seni bapanya. Sebaliknya anak terpaksa berhijrah ke negara asing dan menjadi semacam orang di sana. Inilah nasib ramai anak-anak pada hari ini yang sudah melupai seni dan tradisi bangsa sendiri. Lihat bagaimana Dain Said menampakkan ini di awal cerita apabila dua orang kampong, tukang memulih semangat, berjalan ke gerai untuk menunggu Pok Wah. Di kanan frem terdapat sekumpulan remaja dengan motosikal mereka Di kiri, dua remaja bermain gitar. Yang di kiri – rujukannya adalah kepada remaja Melayu masakini yang suka merempit. Yang di kiri – mereka yang suka pada hiburan dari Barat. Inilah antara tanda-tanda yang disusun oleh pengarah dalam sesebuah filem yang berkaitan dengan apa yang nak diperkatakan secara tersirat di dalam filem.

BUNOHAN bukan filem yang boleh dirujuk di segi sosiologi, komunikasi atau pun antropologi. Di sinilah kesilapan para sarjana kerana mereka tidak ada pengajian filem yang sebenar dan tidak pula tahu aspek-aspek 'film hermeneutics'. Fahaman sebenar tentang filem bukan datangnya dari buku-buku yang bertimbun di perpustakaan. Jangan dijadikan buku sebagai sandaran tetapi hanya sebagai rujukan. Ilmu sebenar berada di mulut guru. Seperti seni warisan bangsa turun temurun, falsafah dan pemikiran waras adalah harta pusaka yang tidak ternilai dan diturunkan dari guru kepada murid. Manakah guru-guru dan murid-murid sebegini di zaman manusia mengejar ‘kemajuan’ dan ‘pembangunan’? Apabila manusia asyik mengejar pangkat, darjat, pembangunan dan kemewahan, segala elemen kebatinan yang terdapat pada orang-orang Melayu (seperti satu masa dahulu) akan musnah dan hilang dari bumi Melayu.

Pada saya, inilah hikmah di sebalik kata-kata: ‘”Takkan Melayu hilang dari dunia.” Pada saya, inilah nawaitu (dan harapan) Dain Said dengan naskahnya, BUNOHAN. Nabi, s.a.w., pernah bersabda: “Seseorang itu lebih daripada orang lain hanya kerana ilmunya.” Jika tidak memahami sesebuah filem, masalahnya bukan berada pada naskah tetapi kepada yang menontonnya.

Apa kan daya, sudah terang tetapi perlu disuluh lagi. Semakin maju dan semakin berpelajaran kita, semakin jauh dari sasaran. Inilah nasib bangsa yang sudah kehilangan segala-galanya yang diperkatakan dalam BUNOHAN. Diharap sang penilai di festival filem nanti tidak juga akan sama tersesat jalan.

Wallahualam

p/s: Diharapkan di FFM 25 nanti juri sila panggil HASSAN MUTHALIB, A.WAHAB HAMZAH, JOKO ANWAR, dan mereka yang tahu pasal filem ok..

0 comments :