Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


adcash

Pre-Order Now! Click Here!

Pre-Order Now! Click Here!
Tempahan untuk album terbaharu Dato' Sri Siti Nurhaliza #ManifestaSiti2020 sudah dibuka!. Klik untuk tempahan!

Isnin, 9 April 2012

KUMPULAN NOBAT DIRAJA KEDAH BERUSIA 400 TAHUN WARNAI ISTIADAT PERTABALAN YANG DI PERTUAN AGONG KE-14


Anggota kumpulan Nobat Diraja Kedah pada sesi raptai menjelang istiadat pertabalan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 11 April ini. - BERNAMA (Gambar di atas ihsan dari Utusan Malaysia) dan beberapa gambar dibawah adalah dari Sinar Harian dan Gambar Masjid Zahir dan Balai Nobat adalah dari jurufoto blog.


Kumpulan Nobat Di Raja Kedah, kumpulan nobat tertua di negara ini yang ditubuhkan 400 tahun lalu, akan memainkan perana penting sekali lagi dalam istiadat pertabalan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 11 April ini.

Kali terakhir kumpulan ini mewarnai istiadat Yang di-Pertuan Agong ialah pada 25 April 2002 semasa Raja Perlis Tuanku Sirajuddin Syed Putra Jamalullail ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-12 di Balairong Seri, Istana Negara yang lama.

Bagi Ketua Nobat Diraja Kedah, Mohd Nazri Omar, 50, pertabalan Yang di-Pertuan Agong kali ini lebih bermakna buatnya bukan sahaja kerana Sultan Kedah melakar sejarah sebagai satu-satunya Raja Melayu yang ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong buat kali kedua, tetapi juga buat pertama kalinya anak beliau, Mohd Syazwan Mohd Nazri, 22, akan turut bersamanya membuat persembahan.

Mohd Syazwan, anggota termuda dalam kumpulan itu adalah pemain serunai, yang merupakan satu daripada enam peralatan kumpulan Nobat Diraja Kedah. Peralatan yang lain adalah nahara (dua buah gendang kecil), gendang ibu dan gendang anak berukuran sederhana, nafiri (trumpet perak berukuran 83.8 sentimeter panjang) dan sebuah gong.

Mohd Nazri, yang mewarisi jawatan Ketua Nobat sejak lima tahun lepas daripada seorang saudaranya, berkata kumpulan Nobat Diraja Kedah yang ada sekarang ini terdiri ahli keluarga anggota asal kumpulan yang ditubuhkan 400 tahun dahulu. Katanya nobat hanya boleh dipersembahkan oleh ahli keluarga asal pemain enam jenis alat muzik yang digelar orang Nobat dan diwariskan secara turun temurun kepada ahli keluarga masing-masing.

"Orang biasa ataupun orang luar ditegah sama sekali menyentuh alat-alat nobat ini, apa lagi memainkannya. Saya sendiri mewarisi pekerjaan ini daripada ayah saya, dan kini anak saya turut terlibat dalam kumpulan ini," katanya. Mohd Nazri yakin warisan muzik kebesaran Diraja Kedah itu, walaupun hanya sebilangan orang yang memainkannya, tidak akan luput ditelan zaman.

"Pihak istana iaitu dari Jabatan Alat Muzik Kebesaran Diraja sangat mengambil berat serta sering merantau perkembangan kumpulan nobat Kedah ini kerana ianya merupakan lambang kebesaran raja-raja negeri Kedah,"katanya.

Bagi Mohd Syazwan pula, minatnya terhadap nobat bermula apabila sering dibawa bapanya setiap kali membuat persembahan, selain mengikuti bapanya berlatih di Balai Nobat yang terletak di Masjid Zahir, Alor Setar. Dari situ minat itu timbul dan ayah juga sentiasa menurunkan ilmu dan kemahirannya dalam bermain serunai dan sehingga kini saya sudah mahir memainkannya", katanya.

Pemain alat muzik gendang ibu, Ismail Abdullah, 55, menyifatkan muzik Nobat Kedah memberikan semangat luar biasa apabila setiap kali dimainkan. Ismail, yang mewarisi kemahiran bermain alat itu daripada bapanya dan datuknya, melahirkan rasa teruja kerana turut terlibat dalam upacara pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-14 kali ini setelah kali terakhir bermain nobat pada Yang di-Pertuan Agong ke-12, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Pada istiadat pertabalan kali ini, kumpulan nobat akan memainkan lagu 'Belayar', bagi mengiringi keberangkayan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah ke Balairong Seri untuk istiadat pertabalan serta berangkat pulang.

Mereka akan memainkan lagu 'Palu' bagi mengiringi Alat-Alat Kebesaran Diraja memasuki ke Balairong Seri dan lagu 'Perang' semasa Tuanku Abdul Halim ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong. Anggota kumpulan itu akan memakai Baju Melayu Hitam bersampin dan bertengkolok serta 'Baju Sikap'.


Mohd Nazri akan membawa tepak sireh dan juga "Tongkat Cokmar Diraja" iaitu tongkat rotan panjang berbalut baldu. Empat belas anggota kumpulan itu yang berasal dari beberapa kampung di Kedah seperti Alor Gandak, Tajar, Hutan Kampung, Kota Sarang Semut dan Kuala Nerang telah berada di Kuala Lumpur sejak selasa lepas untuk menjalani latihan di Istana Negara. Selain bermain nobat, kebanyakkan meraka adalah petani.

Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK) Datuk Wan Shamsudin Mohd Yusof berkata nobat di negeri itu diperkenalkan oleh Sultan Muhammad Jiwa II setelah baginda menyaksikan satu persembahan di India ketika baginda berada di sana untuk menuntut ilmu agama.

Sultan Kedah ke-19 itu dipercayai satu-satunya Sultan yang belayar ke luar negara untuk belajar agama. Baginda merupakan putera sulung telah belayar ke Palembang dan berguru dengan ulama dari Yaman. Selepas itu, baginda dan ulama itu belayar ke India untuk mengajar agama dan dikatakan di sanalah baginda melihat persembahan nobat.

Menurut Wan Shamsuddin, ada pendapat berkata perkataan nobat yang berasal daripada bahasa Parsi iaitu nau-bat bermaksud alat muzik atau pancaragam istana, sembilan lagu atau sembilan jenis bunyian. Nobat merupakan khazanah budaya yang sangat berharga, justeru peralatannya disimpan di tempat khas dikenali Balai Nobat yang dijaga serta dikawal. Ia terlatak di tengah bandar raya Alor Setar.

"Ketika mula dibina dulu Balai Nobat diperbuat daripada kayu dan beratap zink sehinggalah pemerintahan Sultan Abdul Hamid yang dikenali sebagai 'bapa pembangunan negeri' pada 1912, ia diganti dengan batu. 'Pada zaman pemerintahan Sultan Abdul Hamid, nobat dimainkan setiap hari setiap kali masuk waktu solat, kemudian pada zaman Sultan Badlishah ia hanya dimainkan waktu tertentu seperti pertabalan, kemangkatan dan perkahwinan diraja, dan ini diamalkan sehingga pemerintahan Sultan Abdul Halim hari ini", katanya.

Menurut Wan Shamsuddin, nobat juga pernah dimainkan untuk menyambut keberangkatan Raja Siam, Raja Chulalongkorn ke negeri ini sekitar 1980-an. - BERNAMA

Artikel dipetik dari Sinar Harian

p/s: Salah seorang dari anggota pemuzik Nobat Diraja adalah bapa kandung kepada pemilik blog amy ikram film & entertainment portal, Mohd Akram Ismail. Harap Maklum.

1 comments :

best giler jd org penting2 dlm majlis besar