Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


Selasa, 1 Mei 2012

ROSNAN RAHMAN BOLOT AKTOR TERBAIK!

Harian Metro 1 Mei 2012

PERJUANGAN seni selama 15 tahun dalam bidang seni akhirnya membawa pencapaian cukup membanggakan buat Rosnan Rahman selepas diumumkan Aktor Terbaik kategori Teater pada BOH Cameronian Arts Awards Ke-9 yang diadakan di Kuala Lumpur, malam kelmarin.

Rosnan yang juga pejuang makyung, berjaya menewaskan tiga calon kategori sama, Zahiril Adzim (calon Short Eyes), Khairuadzwan Rodzy (Short Eyes) serta Charles Donnelly (Someone Who’ll Watch Over Me).

Kata Rosnan, kejayaan yang mengejutkan itu membuktikan usahanya bersama sokongan pihak terbabit semakin dihargai dan sekali gus mengangkat lakonan monodrama empat karakter.

“Saya sangat terkejut, rasanya macam situasi Fizz Fairuz menang Pelakon TV Lelaki Popular dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian baru-baru ini.


“Ini kerana saya merasakan diri saya kecil berbanding calon lain dalam kategori itu. Maklumlah saya bukan calon yang popular dan tidak mendapat sorakan yang kuat, jadi saya rasa peluang itu tipis. Namun jangkaan itu meleset sama sekali kerana tiba-tiba saya yang menang.


“Jadi saya sangat bersyukur. Ia adalah rezeki saya dan kejayaan ini disokong kekuatan jalan cerita dan nilai artistik dalam teater Rebab Berbisik.

“Bagi saya ini pengiktirafan terbaik buat saya sepanjang terbabit dalam bidang seni tidak kira teater tradisional atau moden,” katanya mendapat sokongan Istana Budaya, Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara (JKKN) serta Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Melihat anugerah sebagai pembakar semangat, Rosnan menyifatkan anugerah diterimanya memecah kelompok bukan Melayu yang lebih banyak terbabit dalam pementasan teater moden bertanding untuk anugerah berprestij itu.

“Bagi saya juga anugerah ditujukan kepada semua penggiat teater Malaysia dan terima kasih kepada Istana Budaya, JKKN serta Kementerian Penerangan, Komunikasi Dan Kebudayaan (KPKK). Kejayaan ini boleh dikongsi bersama,” katanya pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni Bina dari Universiti Sains Malaysia (USM) ini.

Rosnan kini berkhidmat di JKKN sebagai Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penyelidikan Dan Pembangunan, berharap kemenangan dan penganjuran acara ini memberikan persaingan sihat kepada semua karyawan seni untuk membangun industri seni teater Malaysia.

Kejutan lain juga menyaksikan pelakon dan penyanyi Awie menang Aktor Terbaik (Persembahan) menerusi pementasan teater Lat Kampung Boy Sebuah Muzikal.

Mengulas kemenangan itu, Awie menghargai usaha produksi Tall Order Production serta rakannya, Hans Isaac bersama Harith Iskander kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk membawakan watak utama iaitu sebagai Lat atau Datuk Mohd Nor Khalid.

“Saya sendiri takut bawa watak individu itu yang masih hidup dan beliau datang pada setiap malam menonton wataknya di pentas. Saya terfikir juga bagaimana perasaannya apabila saya menjadi dirinya.

“Dua kali berjumpa dengannya ketika latihan, mata saya tidak berkelip memerhatikan gelagatnya. Lat dengan adiknya, Mamat Khalid ada pergerakan sama tetapi cara percakapan Lat lebih lembut.

“Susah sebenarnya membawakan watak ini tapi apapun saya rasa bangga sehingga isteri Lat, Datin Faezah bertanyakan kepada saya macam mana karakter Lat boleh berada dalam diri saya,” kata Awie.

Bagi Awie, berlakon teater muzikal bukan suatu kerja mudah apatah lagi perlu menyanyi dan berlakon serentak. Dia menyatakan pada awal sebelum pementasan, dia pernah terasa mahu berputus asa tetapi kuatkan semangat dengan membuat latihan dan ulang kaji.

Sebanyak 36 kategori dipertandingkan yang diadili 20 karyawan profesional terbabit dalam bidang tarian, muzik, muzikal teater dan teater yang dilantik jawatankuasa pentadbiran penganjur.

Menariknya, pencalonan terbanyak kali ini menyaksikan pementasan teater muzikal, Lat: Kampung Boy - Sebuah Muzikal mendominasi 12 pencalonan disaingi teater The Secret Life of Nora daripada produser, Datin Seri Tiara Jacquelina yang meraih jumlah pencalonan sama.

Teater muzikal Terima Kasih Cinta dan Short Eyes, masing-masing mendapat lapan pencalonan. Begitu juga koreografer berpengalaman, Pat Ibrahim menerima lima pencalonan termasuk Koreografi Terbaik, Buku/Lirik Asal Terbaik dan Pengarahan Terbaik.


Keputusan pemenang:

1. Aktor Terbaik (Teater) - Rosnan Rahman (Rebab Berbisik)
2. Aktor Terbaik (Persembahan) - Awie
3. Aktor Pembantu Terbaik (Teater) - Naque Ariffin (Short Eyes)
4. Pengarah Terbaik (Teater) - Ayam Fared (Short Eyes)
5. Skrip Asal Terbaik - Ivan Yeo
6. Adunan Bunyi dan Muzik Terbaik - Pat Omar (Someone Who’ll Watch Over Me)
7. Pengarahan Muzikal Terbaik - Bernard Goh
8. Persembahan Produksi Terbaik - Gong Illusions
9. Persembahan Terbaik - Lat Kampung boy Sebuah Muzikal
10. Muzik Asal Terbaik - Michael Veerapen
11. Persembahan Berkumpulan Terbaik - Projek Disko Baldi (Megat Sharizal)
12. Koreografer Terbaik - Michael Xavier Voon
13. Persembahan Solo Terbaik (Instrumental) - Jimmy Ch’ng
14. Persembahan Solo Terbaik (Vokal) - Junji Delfino
15. Pengarah Terbaik - Christopher Ling
16. Pengarahan Muzik Terbaik - Stephen Tok
17. Anugerah Pilihan Penonton (Muzik) - Kakiseni

INFO TERKINI: ROSNAN RAHMAN akan membintangi sebuah filem terbitan penerbit kontroversi. Nantikan info menarik akan datang.

0 comments :