Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


Isnin, 11 Jun 2012

FORMULA KEJAYAAN FILEM IRAN


oleh: Mansor Puteh
Petikan Mingguan Malaysia, 10 Jun 2012

Iran sudah lama berusaha untuk mencapai kemenangan dalam bidang perfileman di peringkat antarabangsa. Mereka tahu filem-filem mereka ada sesuatu, malah banyak kelainan yang tidak terdapat dalam filem-filem keluaran negara lain.

Mereka mula menerbitkan filem empat tahun selepas Revolusi Islam tahun 1979, apabila Ayatollah Khomeini membenarkan mereka meneruskan penerbitan filem - tetapi dengan membuat filem yang bersih, halal dan islamik.

Sebelum itu perusahaan filem ini adalah ala Barat, sama dengan kerajaan dan sistem sosial mereka. Mereka tidak berjaya menang anugerah sebab mereka bertarung dengan filem-filem yang benar-benar Barat. Tetapi, apabila mereka mengemukakan filem-filem lain dari yang ditonjolkan oleh Amerika dan Eropah, karya mereka disenangi oleh banyak filem mereka diberi anugerah.

Tetapi, selama itu mereka hanya mendapat pengiktirafan dari pesta filem antarabangsa khususnya di Eropah seperti Cannes, Venice dan Berlin. Kemuncak pencapaian mereka ialah apabila filem A Separation diberi Oscar pada anugerah Academy tahun ini untuk kategori bahasa asing di Amerika.

Ia adalah kemuncak kejayaan perusahaan filem baru di Iran. Tetapi, ia hanya satu kemuncak yang mereka tidak akan duduk dan bercakap buat selama-lamanya. Ia adalah satu tanda pencapaian pengkarya filem yang masih boleh mengatasi kejayaan dengan menghasilkan penerbitan filem baru.

Sebenarnya kejayaan pengarah filem ini, Asghar Farhadi tidak berlaku tanpa sokongan daripada kerajaan Iran sendiri. Ia adalah kejayaan kelompok atau kolektif. Ia tidak mungkin dapat dicapai secara peribadi.

Oleh sebab itu, kejayaan Asghar diterima oleh ramai dan ia bukan kejayaannya semata-mata. Cuba lihat apa sokongan dan perhargaan yang diberi oleh kerajaan dan pihak swasta di Iran untuk menggalak pengkaryanya capai kejayaan.

Februari lalu saya menghadiri Pesta Filem Antarabangsa Fajr di Tehran dan terlihat sederet kereta berjenama tempatan iaitu Saipa terletak di luar Dewan Vahdat yang disarung dengan riben ungu tebal. Saya fikir ia adalah usaha pembuat kereta itu mendapat promosi. Sebenarnya, ia adalah hadiah yang diberi kepada semua pemenang dalam pesta filem ini.

Dan pengkarya filem baru di Iran mendapat peluang mengarah filem dengan lebih mudah. Dan yang telah lama mengarah filem, akan terus mendapat peluang untuk terus mengarah. Berbeza di Malaysia, bila mengarah filem baru, kena meminjam, merayu dan memberontak!.

Dan pengarah filem Malaysia yang baru menang anugerah pengarah filem terbaik dalam Pesta Filem Malaysia ternganga tidak dapat peluang untuk mengarah filem baru. Banyak pengarah yang diberi anugerah pengarah filem terbaik di Malaysia menganggur ; ada yang terpaksa bekerja sebagai pensyarah dan buat kerja lain yang tidak ada kaitan dengan filem.

Di Iran sistem mereka membuka peluang kepada pengarah filem baru dan lama untuk terus berkarya. Asghar telah mengarah beberapa buah filem sebelum A Separation, walaupun ia tidak dikenali oleh orang awam mahupun di peringkat dunia. Dia terus mengarah sehingga mencapai kejayaan di Anugerah Academy.

Berapa perbelanjaan untuk buat filem ini? AS$500,000. Itu sahaja? Ya, jumlah perbelanjaan filem ini ialah RM 1.5 juta dan ia sama dan malah lebih rendah berbanding dengan penerbitan filem tempatan kita. Tetapi, kenapa A Separation boleh pergi jauh menang Oscar dan anugerah di pesta filem Eropah, sedangkan filem-filem yang lebih mahal diterbitkan di Malaysia tidak boleh pergi jauh?.

Jujur

Jawapannya ialah filem Iran tidak menipu diri sendiri. Pengarahnya jujur serta berhati dan berwajah Iran. Sedangkan filem-filem Malaysia meniru gaya barat atau ala Hollywood dan ala Hong Kong dan ala Thailand. Jadi tidak hairan kalau filem-filem Malaysia hanya sesuai untuk remaja dan tidak untuk orang yang lebih dewasa dan lebih matang.

Filem-filem Iran memenuhi cita rasa penonton remaja dan dewasa sedangkan filem-filem Malaysia boleh berjaya kalau ia memenuhi citarasa remaja dan tidak orang dewasa. Akhirnya pihak pesta filem antarabangsa menolak filem dari Malaysia.

Oleh sebab itu, pihak di Iran beria-ria ada hasrat untuk menggalak pengarahnya menang anugerah di peringkat antarabangsa, maka mereka wujudkan satu sistem yang boleh membawa pencapaian ini. Itupun mereka terpaksa ambil lebih tiga dekad sebelum filemnya menang Oscar.

Di Malaysia, tidak seorangpun yang pernah berkata Malaysia mesti capai kejayaan Oscar ( Academy Awards). Oleh sebab itu, pihak berkuasa di Malaysia tidak ada fokus. Mereka tidak tahu sejauhmanakah filem dan pengarah filem tempatan boleh dibawa. Oleh sebab itu mereka tidak ada perancangan untuk menggalak pengarah yang boleh membawa kejayaan seperti itu.

Tidak seperti persatuan sukan yang mana pegawainya sering bercita-cita melihat ahli sukannya mendapat pingat emas dalam Sukan Olimpik. Tetapi dalam bidang filem mahupun televisyen, tidak ada ungkapan yang pernah diluahkan oleh mana-mana pegawai tentang hasrat mereka untuk melihat filem dan drama televisyen tempatan mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa.

Oleh sebab itu kalaulah Malaysia menang Oscar untuk apa-apa kategori, ia adalah usaha individu yang menaruh harapan terpendam. Dan kejayaan ini kalau berlaku boleh mengejutkan orang ramai dan kerajaan, sebab ia berlaku dengan tiba-tiba semasa orang lain asyik menonton filem seram lain yang langsung tiada islamik, tetapi tetap dibenar ditayang di pawagam di seluruh negara.

Di Iran, tumpuan mereka hanyalah pada filem dalam bidang pencapaian artistik dan falsafah filem. Itu sahaja. Media mereka tidak tekankan gosip, komen yang bukan-bukan atau acara perkahwinan yang luar biasa tetapi meniru gaya Barat ala Kristian.

Di Iran, kelakuan pelik-pelik pelakon dan orang filem tidak dibincang ; mereka hanya melapor tentang isi kandung filem dan maknanya sesebuah filem. Ia adalah untuk mendidik khalayak menerima sesebuah filem dengan lebih bijak dan bukan dari segi siapa pelakon yang lebih berani mendedah tubuh dan bercakap kosong dengan memberitahu tentang perkahwinan yang ditaja dan disiarkan di televisyen, yang kemudiannya dilupakan oleh khalayak.

Selagi Malaysia tidak berusaha untuk mencari jalan baru keluar dari kepompong dan kebenakan ini, selagi itu perusahaan filem kita tidak akan berjaya. Dan selagi pengarah filem Malaysia tumpukan perhatian ke Barat dan Hong Kong atau Mumbai, selagi itu filem-filem kita akan menjadi 'filem rojak' dengan elemen-elemen yang dicuri dari filem terbitan asing.

Perusahaan filem kita boleh belajar banyak dari pengalaman sinema Iran. Dengan sejarah filem kita yang bermula dari penerbitan filem 'Laila Majnun' sebuah kisah dari hikayat Farsi-Iran, maka tidak hairanlah kalau tradisi atau amalan berganding dengan Iran itu dapat dimulakan setelah ia lama tergantung begitu sahaja.

Tentu ada iktibar yang boleh dipelajari tentang kenapa perusahaan filem Melayu bermula dengan filem Laila Majnun. Soalnya ialah : Adakah Malaysia mahu dan layak menang Oscar?.

amy's said: Tepuk dada Tanya selera. Bagi saya, jikalau produser dan pengarah filem kita hanya mahu bertapak di Malaysia sahaja tanpa mahu pergi jauh ke sinema dunia.. saya percaya kualiti filem kita setakat itu sahaja dari segi isi, plot dan naratifnya. Membikin karya sehebat 'Hikayat Merong Mahawangsa', belum tentu boleh pergi jauh sampai Oscar!.

0 comments :