Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


Selasa, 17 Julai 2012

FENOMENA FILEM GANGSTER

FILEM berunsurkan kumpulan samseng atau gengster sebelum ini begitu sinonim dengan filem-filem dari Hong Kong dan Jepun pada era 80-an dan 90-an.

Gengster pada fahamannya adalah penjenayah yang bergerak dalam suatu kumpulan, kelompok atau geng. Gengster biasanya terbabit dalam pelbagai jenis jenayah terancang dari jenayah ringan seperti peras ugut sehinggalah ke jenayah bersenjata yang melibatkan jutaan ringgit.

Kegiatan ini sebenarnya telah dipopularkan oleh kumpulan-kumpulan samseng di Amerika Syarikat yang memainkan peranan utama dalam ekonomi negara mereka pada tahun 1920-an hingga 1960-an.

Kumpulan ini juga turut terlibat dalam aktiviti jenayah atau sosial yang membawa kepada penyelewengan tingkah laku dan kerosakan akhlak.

Seperti apa yang dipaparkan dalam filem-filem gengster Melayu kebelakangan ini, aktiviti sosial dan jenayah yang dilakukan oleh kumpulan samseng ini adalah seperti realiti sebenar yang berlaku di luar sana.

Sejak bermulanya filem Gangster yang diarahkan oleh Bade Azmi pada tahun 2005, filem bergenre gengster Melayu telah mula menjadi pilihan pengarah-pengarah kita.

Penghasilan filem KL Gangster oleh Syamsul Yusof yang dianggap sebagai filem gengster Melayu paling berjaya ketika ini apabila mencatat kutipan berjumlah RM 11.74 juta.

Ia juga merubah selera filem Melayu yang lebih kepada filem seram kepada filem bergenre gangsterisme penuh aksi kerana filem ini memaparkan begitu banyak aksi pergaduhan seperti yang selalu kita lihat di dalam filem Hong Kong.

Filem ini juga telah membuka fenomena baru filem Melayu apabila kebelakangan ini genre filem gengster menjadi pilihan para penerbit tanah air.

Seperti yang kita tahu sebelum ini, filem bergenre seram dan lawak bodoh telah berjaya bertakhta di hati pengarah kita, ketika ini filem gengster pula menjadi gantinya.

Kenapa perlu adanya fenomena seperti ini dalam industri perfileman kita? Ia seakan-akan filem Melayu sudah tiada nilai tersendiri kerana asyik mengulangi perkara yang sama.

Seperti sudah dijangka, jika filem bergenre seram naik, maka berduyunlah penerbit dan pengarah menghasilkan filem seram dan jika filem gengster pula menjadi pilihan penonton, maka pengarah yang kebanyakan tiada modal ini turut ikut mengarahkan filem gengster.

Penerbit filem seolah-olah telah membeli mentaliti penonton kita, apa sahaja filem yang dikeluarkan walaupun dianggap bodoh, namun penerimaan penonton diluar jangkaan.

Tetapi peliknya, apabila filem berunsur seni dan estetika dihasilkan, hanya segelintir sahaja yang suka dan menontonnya.

Dikhabarkan penghujung tahun ini sahaja, sepuluh buah filem berunsurkan gengster akan ditayangkan di pawagam tempatan.

Kebanyakan filem kita ketika ini semakin terbelakang berbanding dengan filem-filem negara jiran yang terus berada di hadapan dengan idea-idea baru yang dijana oleh pengkarya mereka.

Kita perlu mengubah gaya pembikinan filem kita, jangan hanya terlalu agungkan keuntungan sehinggakan kualitinya langsung tidak boleh dipakai. - UTUSAN MALAYSIA

0 comments :