Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


adcash

Pre-Order Now! Click Here!

Pre-Order Now! Click Here!
Tempahan untuk album terbaharu Dato' Sri Siti Nurhaliza #ManifestaSiti2020 sudah dibuka!. Klik untuk tempahan!

Khamis, 19 Julai 2012

FESTIVAL FILEM MALAYSIA KE-25 (FFM25) MILIK SIAPA?

FESTIVAL Filem Malaysia (FFM) adalah anugerah paling penting buat para karyawan perfileman tempatan dalam mengiktiraf para penggiatnya sejak pertama kali dianjurkan oleh Persatuan Wartawan Hiburan Malaysia (EJA) pada 1980.

Selepas dua kali dianjur EJA, festival itu diteruskan penganjurannya oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas). Tugas itu juga pernah dilaksanakan oleh Gabungan Persatuan Karyawan Perfileman Malaysia (Gafim) dan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM).

Selepas itu, Finas sekali lagi mengambil alih tanggungjawab tersebut. Bagaimanapun pada FFM yang ke-24 tahun lalu, Gafim diberi kepercayaan menganjurkannya.

Tahun ini penganjuran FFM sekali lagi menjadi isu hangat kerana sehingga kini, belum ada berita tentang penganjuran FFM edisi yang ke-25. Tahun lalu FFM24 yang berlangsung pada 20 November di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) memang meriah.

Tiga bulan sebelum penganjuran FFM24 sudah ada banyak perancangan tentang penganjurannya. Ia termasuklah simposium, tayangan filem, seminar dan forum berkaitan bidang dan acara tersebut. Sayangnya, sehingga kini sebarang berita tentang penganjuran FFM25 belum juga muncul-muncul.

Menurut sumber, difahamkan Finas akan menganjurkan sendirian FFM25 yang dijangka sekitar November atau Disember ini. Khabarnya juga tiada lagi pembabitan Gafim dalam penganjuran festival kali ini. Kenapa begitu?

Ia mungkin ada kaitan dengan kontroversi yang tercetus pada tahun lalu menerusi kategori Pengarah Harapan yang dimenangi oleh Jurey Latif Rosli yang juga Presiden Gafim. Filem berjudul Libas yang diarahkannya itu turut mengungguli kategori Cerita Asal Terbaik.

Kontroversi itu mungkin dijadikan alasan oleh sesetengah pihak mengapa FFM25 kali ini harus diteruskan semula oleh Finas yang tidak mewakili kepentingan mana-mana pihak.

Namun, bagi memantapkan lagi penganjuran terutamanya penjurian dalam FFM25, Finas harus juga mewujudkan satu badan yang menilai dan mengkaji setiap calon yang dipertandingkan. Modul dan kriteria itu adalah yang banyak diguna pakai dalam festival-festival filem seperti di Amerika Syarikat.

Pada masa sama Gafim mendakwa hak penganjuran FFM adalah hak mereka. Dakwa orang kuat gabungan persatuan itu lagi, FFM telah didaftarkan di bawah Gafim. Dan mereka juga mendakwa Finas boleh dikenakan tindakan undang-undang jika menganjurkan FFM tanpa kebenaran Gafim.

Persoalannya, ramai yang tidak tahu sama adakah hak penganjuran FFM adalah milik mutlak Gafim ataupun sebaliknya? Dalam isu ini, pihak Gafim harus tampil ke depan bagi menjelaskan perkara tersebut.

Apa pun yang pasti, penganjuran FFM menelan kos yang tinggi iaitu melebih RM1 juta. Mungkin Gafim tiada bajet untuk menganjurkan FFM tanpa bantuan Finas. Banyak perkara yang boleh dilakukan bagi menyelesaikan kemelut itu. Ia antara lain memerlukan kerjasama antara Finas, Gafim mahumpun PFM.

Malah, tidak salah diwujudkan satu badan khas yang betul-betul berkecuali dalam soal penjurian FFM25 kelak. Gabungan semua pihak itu mampu menghasilkan penganjuran FFM25 yang lebih mantap. Segala persiapan termasuklah bajet penganjuran festival kali ini sepatutnya diagihkan secara sama rata. Selain itu, ia juga boleh mengurangkan spekulasi dan prajudis membabitkan pihak-pihak yang bertanding dalam festival itu kelak.

Seharusnya dalam meniti era suku abad penganjuran FFM, isu-isu yang membabitkan kredibiliti penganjuran festival itu tidak harus timbul lagi. Paling penting, diharap tidak timbul lagi pertikaian ke atas para pemenang selepas FFM25 diadakan nanti.

p/s: 'Artikel ini merupakan artikel asal yang diterbitkan Utusan Malaysia pada 18 Julai 2012. Pihak kami menggunakan artikel ini dalam blog ini bertujuan sebagai perkongsian maklumat buat warga filem amnya', - Admin


0 comments :