Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


Ahad, 8 Julai 2012

IDEA KREATIF PANGGUNG WAYANG..

Artikel menarik dan terpilih dari KOSMO Ahad ( 8 Julai 2012) .

MENONTON wayang tentulah lebih menyeronokkan jika pawagam yang dikunjungi menyediakan makanan sama seperti sebuah restoran.

Ia mungkin kedengaran agak pelik tetapi itulah konsep yang diterapkan oleh dua buah panggung wayang iaitu Golden Screen Cinema (GSC) Signature di MidValley City, Kuala Lumpur dan Lotus Five Star (LFS) Cineplex yang terletak di Jalan Yong Shook Lin, Petaling Jaya, Selangor.

Tampil berbeza, pelanggan pawagam eksklusif GSC bagi perkhidmatan Gold Class pasti teruja menikmati hidangan di atas sofa yang empuk dan selesa.

Suhu dingin di dalam pawagam bukan masalah kerana mereka akan dibekalkan dengan sehelai selimut dan bantal yang boleh menyebabkan mereka tertidur semasa menonton.

Cara berbeza pula ditampilkan oleh LFS Cineplex yang menggabungkan panggung wayang dan restoran mamak di bawah satu bumbung.

Kru Jurnal baru-baru ini berpeluang merasai pengalaman menonton di kedua-dua Gold Class GSC dan LFS Cineplex.

Perasaan teruja menjelma sebaik sahaja kaki melangkah masuk ke ruang Gold Class. Ia bukan sekadar menawarkan aktiviti menonton wayang.

Betul-betul berhampiran pintu masuk pawagam, set sofa dan meja makan menanti pengunjung.

Ia bukan sekadar untuk beristirehat malah kemudahan kafe mini itu membolehkan pelanggan memesan makanan sama ada daripada menu Barat, Asia mahupun tempatan.

Malah, mereka juga boleh menunggu sambil menonton filem kegemaran sementara gadis pelayan yang cantik membawa hidangan itu terus ke tempat duduk mereka.

Menurut Pengurus Pawagam, Thomas Yap, sejak Gold Class diperkenalkan pada tahun 2007, sambutan yang diterima cukup menggalakkan.

"Tiket berharga RM70 hingga RM75 bukan satu alasan. Ia hadir dengan pakej kerusi sofa yang selesa. Penonton boleh menjatuhkan sedikit bahagian belakang sofa atau meninggikan tempat letak kaki," katanya.

Suasana di dalam pawagam itu cukup mewah, tenang dan privasi dengan jarak setiap sofa tidak terlalu rapat.

Setiap dewan mampu memuatkan sebanyak antara 38 hingga 40 buah sofa. Kemudahan itu ibarat kelas bisnes di dalam sebuah penerbangan.

Tutur Yap, tempat duduk berkembar itu turut menyediakan meja makan kecil untuk menempatkan makanan.

Setiap meja mempunyai butang dan penonton harus menekannya. Petugas GSC akan masuk ke pawagam untuk mengambil pesanan tersebut.

"Harga tiket sudah termasuk minuman kopi dan teh yang boleh ditambah secara percuma. Bagi air mineral dan minuman bergas, ia diberikan sekali sahaja.

"Makanan pula adalah mengikut cita rasa pelanggan. Ia bermula daripada harga RM2.50," ujarnya.

Menonton filem Abraham Lincoln: Vampire Hunter sambil menghirup kopi panas serta makan nasi goreng bagaikan tidak terasa masa berlalu.

Panggung wayang LFS Cineplex pula kelihatan tiada bezanya berbanding pawagam yang lain. Namun, persepsi itu terus berubah sebaik sahaja memasukinya.

Roti canai

Biarpun telah wujud sejak 1960-an lagi, pengusaha bersama LFS, Garuna Murthee dan Pengarah Urusan Lotus Five Star AV, Datuk Ramalinggam Pillai tampil dengan idea kreatif iaitu menggabungkan restoran dan panggung secara serampang dua mata.

Murthee memberitahu, pawagam itu unik kerana mempunyai restoran di tingkat bawah dan pawagam di bahagian atas.

"Sebelum atau selepas menonton filem, perut harus diisi di Restoran Lotus yang mempunyai pelbagai pilihan makanan.

"Harganya juga murah selain menyediakan persekitaran yang mesra pelanggan. Konsep ini cukup berlainan berbanding pawagam sedia ada khususnya pawagam yang bukan berada di dalam kompleks beli-belah," katanya.


Jelasnya, antara menu kegemaran pengunjung ialah teh tarik dan roti canai. Bezanya mereka tidak menikmatinya semasa menonton wayang.

Tuturnya, pawagam itu mempunyai dua buah bilik yang menayangkan filem Tamil yang mendapat sambutan hangat bukan sahaja oleh masyarakat India tetapi juga Melayu dan Cina.

"Filem Tamil juga diminati oleh kaum lain lebih-lebih lagi filem yang dilakonkan pelakon terkenal, Kamal Hassan," ceritanya sambil menambah, pawagam LFS 1 Segamat di Segamat, Johor merupakan antara pawagam tercanggih di daerah itu.

Pengurus pawagam, T. Mahendran memberitahu, pawangan itu mempunyai dua bilik panggung yang dapat menampung antara 159 hingga 203 pengunjung. Harga tiket pula bermula daripada RM6 hingga RM12.

"Setiap filem Tamil mempunyai sari kata bahasa Inggeris manakala suasana di dalam panggung juga selesa dengan pencahayaan dan berhawa dingin," katanya.

Penulis sendiri sempat menonton filem Tamil bertajuk NaanE (Saya Lalat) yang berkisar tentang seorang lelaki yang telah mati tetapi hidup semula dengan menjadi seekor lalat. Ia menarik dan padat dengan aksi.

Dalam pada itu, seorang operator panggung LFS Cineplex yang sudah terlibat dalam industri panggung wayang selama 22 tahun, K. Vellu berkata, konsep restoran dalam panggung boleh dikatakan agak baharu di negara ini.

Vellu, 66, mula bekerja sejak tahun 1966. Beliau telah menabur bakti untuk syarikat Shaw Brothers, Golden Screen Cinema dan Coliseum sebelum beralih kepada LFS Cineplex.

Teknologi perfileman juga sudah jauh berubah, ujarnya.

"Dahulu pawagam hanya menggunakan projektor karbon untuk memainkan filem, sampai pedih dan berpinar mata dibuatnya. Kemudian ia beralih menggunakan pita filem. Proses untuk menyediakan filem itu mengambil masa lebih tiga jam.

"Kini, kaedah itu tidak digunakan lagi. Hanya menggunakan pemacu keras yang disambungkan ke mesin khas, filem terus dapat dimainkan," tutur penggemar teh tarik ini sambil memberitahu, harga tiket pawagam pada 1970-an ialah sekitar RM1.60 sahaja.

amy's said: macam best aje GOLD CLASS ni kt GSC CINEMAS. hehhe

2 comments :

memang menarik tapi harganya agak mahal dan berbaloi.. kena simpan la duit hehhee. confirm tertido dlm panggung tue kan