Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


Isnin, 30 Julai 2012

TARIKH TAYANGAN 'TANDA PUTERA' JADI TANDA TANYA

FILEM terbaru, Tanda Putra yang ditunjangi oleh Rusdi Ramli membawa watak Tun Abdul Razak dan Zizan Nin sebagai Tun Dr. Ismail adalah naskhah filem yang cukup hebat berbanding filem-filem kenegaraan lain.

Filem arahan Shuhaimi Baba itu mengenai dua tokoh, Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak dan Timbalannya, Tun Dr. Ismail mendepani detik getir rusuhan kaum. Malah masing-masing berahsia dan mengenepikan masalah kesihatan bagi memulihkan keadaan negara selepas terjadinya peristiwa hitam 13 Mei 1969.

Namun filem yang sebelum ini dijadual ditayangkan 13 September nampak gayanya tidak menjadi kenyataan. Semua ini gara-gara ditunda kepada satu tarikh yang sehingga kini masih menjadi tanda tanya.

Menurut laporan, filem ini telah diluluskan oleh LPF (Lembaga Penapisan Filem) dan jawatankuasa Syarat Wajib Tayang telah menetapkan tarikh tayangan. Pada amalan biasa, ia sudah tidak ada masalah.

Namun ada campur tangan dari pihak ketiga yang menunda tarikh tayangan. Ini membuatkan Tanda Putera tergantung dan tidak tahu bila akan ditayangkan atau terus tidak ditayangkan.

Ini menimbulkan pelbagai persepsi, apa lagi setelah pihak FINAS menganggap tarikh 13 September tidak sesuai untuk tayangan filem ini. Sebabnya pada tarikh tersebut banyak perayaan yang sedang disambut dan orang tidak pergi ke pawagam.

Alasannya, apabila penonton sibuk dengan majlis perayaan, fokus mereka untuk menonton filem hebat ini akan terganggu dan mungkin akan merencatkan jumlah penonton ke panggung.

Dalam pada itu, ada juga yang menganggap penundaan itu kerana kemungkinan Pilihan raya Umum ke 13 akan diadakan pada bulan September nanti. Tetapi apa kena mengena pilihan raya dengan tayangan filem? Orang bukan hendak berkampung di tempat mengundi berminggu-minggu dan mereka tidak boleh menonton filem. Alasan ini sangat kelakar.

Walaupun tarikh tayangan ditunda, sepatutnya tarikh tayangan yang terbaru perlu diberitahu secara lebih spesifik, contohnya ditunda selama setahun bahkan dua tahun sekalipun tarikh tersebut perlu diumumkan bukan dibiar penuh tanya tanya seperti ini.

Malangnya pihak ketiga tidak memunculklan diri supaya kita boleh bertanya kewajaran menunda filem ini. Belum pernah lagi dalam sejarah filem negara ini ada pihak begitu "prihatin" hingga tarikh tayangan jadi kucar kacir begini. Adakah ini satu keprihatinan atau mengacau tayangan filem ini kerana sebab-sebab lain yang tidak tertulis?

Adakah peristiwa 13 Mei yang diselitkan dalam filem ini menjadi punca ia ditunda? Kalau benar ini puncanya, cakaplah supaya kita boleh berhujah. Memang tidak logik tunda untuk mencari tarikh sesuai. Formula tarikh yang sesuai itu apa?

Peristiwa 13 Mei sebenarnya sudah dibuang hampir 30 peratus selepas ditonton oleh pelbagai pihak dalam sesi kumpulan tumpuan (focus group) yang diadakan oleh pihak produksi.

Adegan-adegan yang menyentuh sensitiviti kaum dalam peristiwa bersejarah terpaksa disunting setelah menerima pandangan pelbagai pihak yang telah menonton filem ini.

Laporan juga mengatakan mereka yang terlibat dalam kumpulan tumpuan tersebut terdiri daripada pelbagai pihak termasuk pelbagai bangsa dan latar belakang untuk memberikan pandangan mereka sama ada adegan-adegan tersebut sesuai ditayangkan atau pun tidak.

Jadi kenapa perlu ditunda tarikh tayangan filem ini? Kurang cerdiklah sekiranya filem menelan belanja RM4.8 juta ini tidak ditayangkan kerana ada pihak takut dengan bayang-bayang. Sedangkan pengarahnya melakukan kajian yang lama dan teliti.

Filem yang berlatarkan akhir tahun 1960-an dan awal 1970-an ini turut dibintangi Faezah Elai (Toh Puan Rahah), Linda Hashim (Toh Puan Norasyikin), Kamarulzaman Taib (Tunku Abdul Rahman), Hasnul Rahmat (Tun Hussein Onn), Norman Hakim (Ketua Polis Negara, Hanif Omar), Sahee Shamsuddin (Najib Razak), Razif Hashim (Johari Razak), Nazril Idrus (Mahathir Mohamad) dan ramai lagi. - UTUSAN MALAYSIA

p/s: tunggu ajelah tayangannya ye..

0 comments :