Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


Sabtu, 15 Disember 2012

LIFE OF PI : SINEMA, MANUSIA DAN KEJUJURAN

                                      

'Biar kita telan benda yang busuk, asal tak tercemar bangsa Melayu', - P.Ramlee
Jaga nama ibu bapamu, jangan jual agama dan bangsa', - P.Ramlee


Oleh: Hassan Abd. Muthalib

Dari semasa ke semasa melalui medium filem, akan muncul satu  persoalan yang menarik, ia itu, apakah sebenarnya itu filem. Isu, renungan dan persoalan terhadap medium filem pernah dibawa oleh ramai karyawan filem di seluruh dunia, juga oleh sarjana dan pengkritik filem sejak awal abad yang ke-dua puluh.
Karyawan filem sejati begitu perihatin – malah sedih - tentang apa yang sudah dan masih berlaku ke atas seni yang disayangi dan diceburi mereka. Kesedihan ini lahir akibat sikap penerbit-penerbit filem dan penonton di seluruh dunia yang begitu gemar dengan filem-filem arus perdana yang tidak berdiri di bumi nyata, juga terhadap sikap mereka yang menolak filem-filem alternatif yang membawa pemikiran tentang alam, ketuhanan dan manusia.
Isu dan persoalan tentang kemunduran sinema Malaysia sendiri dan kecelakaan yang menimpanya pernah diperkatakan dalam filem-filem seperti Seman (Mansor Puteh, 1987), Layar Lara (Shuhaimi Baba, 1998), Johnny Bikin Filem (Anuar Nor Arai, 1995), Kala Malam Bulan Mengambang (2008), Wayang (Hatta Azad Khan, 2008),  Bunohan (Dain Said, 2012), dan terbaru, Hanyut (U-Wei Hajisaari, 2012). Kesemua filem ini juga bersifat biografikal kerana peneraju-penerajunya merupakan pemain utama dalam industri perfileman dan begitu perihatin tentang bidang seni yang diceburi mereka. Filem Bunohan begitu hampir dengan Life of Pi melalui gaya dan teknik yang merujuk kepada sinema dan permasalahannya.   
Barangkali pengarah tersohor masakini, Ang Lee, sudah terasa bahawa sudah sampai masa baginya untuk meluahkan rasa hati tentang hegemoni studio-studio besar perfileman seperti Hollywood yang membawa filem-filem yang spectacular tetapi kosong dari aspek kemanusiaan dan ketuhanan. Tentunya Ang Lee, sebagai seorang auteur yang sudah berumur, mempunyai kebijaksanaan di samping menjadi seorang karyawan yang berpengaruh, berhasrat untuk menyedarkan generasi karyawan yang akan datang tentang sifat sinema yang sebenar. (Sebagaimana yang diperkatakan dalam Bunohan tentang kerakusan kapitalis yang memusnahkan nyawa, tradisi dan warisan.)
Life of Pi juga boleh dilihat sebagai satu autobiografi Ang Lee sendiri dan pengalamannya sebagai karyawan filem di Hollywood yang ada kalanya dia terpaksa akur kepada kehendak penerbit agar filemnya mempunyai keupayaan pemasaran. Maka tentunya Pi, protagonis dalam Life of Pi itu, merupakan Ang Lee sendiri.


Filem, Teknologi dan Kebijaksanaan

Ternyata benarlah apa yang pernah disabda oleh Rasulullah s.a.w., “Apabila suatu urusan (pekerjaan) diserahkan kepada orang bukan ahlinya, maka waspadalah terhadap datangnya saat kehancuran.” Studio-studio filem dan stesen-stesen televisyen kini dikendalikan oleh mereka yang ‘bukan ahli’ (seperti ahli korporat, akauntan dan entah apa lagi!). Mereka sanggup melakukan apa sahaja kerana kedudukan mereka bergantung kepada sesuatu produk yang ‘laku’ di pasaran. Maka mereka akan terus menyajikan ‘sampah’ semata-mata kerana ianya diminati ramai dan mendatangkan keuntungan.
 Melalui filem Life of Pi, Ang Lee menyampaikan sebuah cerita yang  sarat dengan imej teknologi digital seperti produk-produk filem dari Hollywood yang kini berlambak di pasaran. Tetapi pada masa yang sama, Ang Lee membuatkan audiens mengenali kebesaran Tuhan dan alam yang diciptanya yang jauh lebih hebat daripada apa yang sudah diciptakan Hollywood setakat ini.
Ang Lee menyampaikan ceritanya melalui satu perbualan di antara seorang India, Pi, dan kenalannya dari negara Eropah. Pi menyampaikan kisah benar yang berlaku di atas dirinya semasa dia remaja. Melalui teknik imbas kembali, kita lihat bapa Pi, yang memilikki sebuah zoo di Pondicheri di Selatan India, bertekad untuk berhijrah ke Kanada dengan membawa binatang-binatang dalam zoonya untuk dijual di Amerika. Dalam perjalanan dengan kapal, berlaku ribut yang dahsyat dan kapal itu tenggelam. Yang terselamat, hanya Pi dan beberapa ekor binatang, termasuk seekor harimau (bernama Richard Parker!). Akhirnya, tinggal Pi dan Richard Parker sahaja.

Teks dan subteks dalam Filem


                                    If you want to know what a filmmaker
                                    is saying, look at how he is saying it.
-       Ingmar Bergman

Pucuk paku selera paku,
Pucuk paku condong ke seberang.
Lihat aku pandang aku,
Aku lindung di tempat yang terang.
                                                 - pantun Melayu

Hermeneutik filem ialah seni membuat interpretasi daripada tanda-tanda yang terdapat di dalam filem melalui mise-en-scene. Tanda-tanda ini sebenarnya menjadi petunjuk dan ada kala bersifat simbolik yang berkait rapat dengan premis, cerita, tema dan subjek. Untuk memahami cerita sebenar sesebuah filem, lihatlah kepada bentuknya dan untuk memahami bentuknya, lihatlah kepada tanda-tanda yang disusun.
Life of Pi bersifat polysemic (berlapisan makna) dan membawa beberapa persoalan, antaranya: Bukankah kebenaran itu lebih menarik dari sesuatu yang direka-reka? Bukankah filem itu sesuatu yang spiritual, dan rahsia alam hanya dapat difahami melalui pengembaraan fisikal, mental dan spiritual yang akhirnya (mungkin) akan membawa kepada pengenalan diri?  Jika Tuhan memberi petunjuk kepada seseorang, bagaimanakah dia boleh meyakinkan orang lain tentang rahsia-rahsia alam dan aspek ketuhanan yang sudah dilihat dan dirasainya? 
Filem yang baik mempunya teks dan subteks. Teks adalah yang tersurat (foreground story) dan subteks adalah yang tersirat (background story), yang merupakan nawaitu seseorang pengarah filem dalam berkarya. Foreground story dalam Life of Pi ialah kisah seorang remaja dengan seekor harimau. Apakah pula background story dan yang lebih menarik bagi saya, bagaimana Ang Lee menyampaikan subteks yang ‘berlindung di tempat yang terang’?
Pengarah yang bijaksana dan jauhari selalunya menggunakan red herring. Lain yang ditunjukkan tetapi lain pula yang dimaksudkannya. Subjek Ang Lee banyak bersandarkan hal agama tetapi Life of Pi ialah tentang sinema dan aspek spiritualnya yang kini sudah pupus akibat kerakusan kapitalis-kapitalis filem. Untuk memahami kesemua ini, berikan perhatian bukan kepada storytelling (cerita). tetapi kepada storymaking (teknik penceritaan). Di situlah kita akan dapat memahami apa yang dimaksudkan sebenar oleh Ang Lee.
Visual Ang Lee menampakkan pengalaman Pi bersama harimau melalui visual-visual alam yang tersangat indah. Ada kalanya ia berkeliauan seperti cahaya keemasan. Di waktu malam pula, ikan dan air laut yang mengandungi phosphorous seakan timbul dari alam kayangan. Imbas kembali kepada kata-kata ibu Pi semasa dia kecil: Apabila merenung ke dalam mulut dewa Vishnu, Pi akan melihat sekalian alam cakerwala terbentang luas. Kamera Ang Lee membawa kita ke dalam minda Pi dan masuk ke dalam lukisan cakerwala dalam buku yang dibacanya. Segala kesan khas yang ditercipta di dalam filem-filem Hollywood masakini tidak dapat menandingi apa yang dilihat oleh seorang kanak-kanak yang tulus bersih hatinya. Minda Pi sebenarnya ‘disediakan’ Tuhan lebih awal agar ia dapat dihidangkan kemudiannya dengan realiti alam yang menakjub-kan bila terapung di dasar laut pada waktu malam. Realiti menjadi satu dengan fantasi tetapi ianya tetap berdiri di atas kebenaran yang bersandarkan hakikat kosmologi Hindu berkurun lamanya.

Hakikat Sinema dalam Life of Pi
Bagaimana sekiranya engkau ada cerita yang
membuatkan engkau percaya yang Tuhan itu
wujud?
- Pi kepada penulis dari Eropah dalam Life of Pi.

Visual di awal filem memberikan petanda bahawa Life of Pi sebenarnya mengenai sinema. (Dalam Bunohan, skrin televisyen yang memaparkan pelakon-pelakon dalam filem itu sendiri menjadi petanda tentang subjek sebenar Bunohan, ia itu, sinema.) Seekor girafah yang memakan daun-daun di atas pokok menjadi petunjuk kepada filem Jurassic Park (arahan Steven Spielberg), di mana seekor dinosaur memakan daun di atas pokok yang tinggi. Filem ini mencetuskan fenomena rekaan binatang-binatang raksasa di dalam filem melalui penjanaan imej komputer (CGI). Adegan kapal tenggelam dengan lampu-lampunya masih menyinar indah adalah rujukan kepada filem Titanic yang begitu gah dengan CGInya. Pi terapung (seakan dalam perut ibu dan dilahirkan semula). Dia memandang dengan penuh kagum. Ang Lee seakan menyaran: Lupakan filem-filem seperti ini. Biarkan mereka tenggelam. Semuanya syok sendiri dan kosong belaka. Ia hanya mengkayakan kapitalis filem. ‘Lahirlah semula’ dan melihat ke dalam diri sendiri. Di situlah terdapatnya cerita-cerita yang sebenar.
Mungkin itulah lontaran ide daripada Ang Lee kepada karyawan generasi baru agar melahirkan filem-filem yang jujur. Selepas Pi diselamatkan dan berada di hospital, ia ditemubual oleh dua orang Jepun, wakil pemilik kapal yang tenggelam. Mereka tidak dapat menerima apa yang diceritakan oleh Pi tentang pengalamannya dengan harimau dan bagaimana ia hampir ditelan oleh sebuah pulau carnivore yang tidak pernah ditemui oleh sesiapa. Mereka mendesak: “Kami perlukan kisah yang boleh dipercaya. Cerita yang mudah. Cerita yang benar!”
Adegan ini digambarkan dengan warna putih keseluruhannya, yang menjadi petanda tentang ‘mautnya’ sinema di tangan kapitalis (lihat pantai yang putih dan kelir putih dalam Bunohan yang membawa maksud yang sama). Pi akur dan mencerita-kan ’kisah yang benar’. Air matanya mengalir, tanda  kesedihannya di atas pembohongan yang dilakukannya. Dua orang Jepun ini sebenarnya mewakili penerbit-penerbit filem yang tidak suka kepada kisah benar, yang di luar pemikiran manusia biasa. Itulah nasib karyawan muda hari ini apabila terpaksa akur kepada kehendak kapitalis-kapitalis filem. (Lihat dalam filem Bunohan, bagaimana taukeh burung Cina ‘memerangkap’ karyawan-karyawan muda dan memaksa mereka turut dengan kehendaknya. Anda mungkin mengenali dia sebagai seorang penerbit prolifik di Malaysia!)
            Saya melihat adegan bersama orang-orang Jepun ini sebagai kesedihan Ang Lee apabila ’dicabut’ oleh Hollywood dari Taiwan dan ’diberi peluang’ untuk melahirkan filem-filem seperti The Hulk. Maka seperti John Woo dari Hong Kong yang kini ’berkarya’ di Hollywood, keperibadian Ang Lee hilang ditelan oleh kilang filem Hollywood. Begitu juga dengan beberapa pelakon dan pengarah dari Australia yang kini berkarya di Hollywood yang menyebabkan kejatuhan industri perfilem Australia pada tahun 1970-an dan 80-an.  Hasil kerja mereka, John Woo dan Ang Lee sama seperti pengarah-pengarah lain di Hollywood. Maka Life of Pi merupakan pemberontakan Ang Lee terhadapa keadaan ini. Dia melawan Hollywood dengan menggunakan senjata yang dilahirkan oleh Hollywood sendiri! Demi menyelamatkan hakikat spiritual sinema, Ang Lee melahirkan sebuah karya yang sarat dengan imej penjanaan komputer dan kesan khas tetapi kesemuanya menjadi ’hamba’ kepada cinema. Ang Lee seakan berkata: Aku akan lahirkan sebuah filem tentang seorang budak, seekor harimau dan sebuah bot. Dan aku akan menggunakan kesan khas yang maha hebat. Aku akan tunjukkan bahawa filem sebegini juga akan laku di pasaran. Itu janji aku. Mungkin itulah yang dikatakan Ang Lee.  
            Life of Pi adalah satu anti-tesis kepada jenis-jenis filem keluaran Hollywood. Di segi plot, tidak terdapat protagonis dan antagonis seperti kebiasaan. Di segi aksi, tidak ada perlumbaan kereta atau letupan. Di segi casting, Ang Lee memilih waktu utama, ia itu, Pi semasa dia dewasa, yang wajahnya seperti seorang yang amat biasa. Ini adalah berlawanan dengan  cara Hollywood yang biasanya memilih pelakon berwajah tampan dan yang berkarisma. Begitu juga dengan pemilihan Gerard Depardieu, pelakon Perancis yang disegani yang memegang watak sebagai seorang tukang masak. Rupa dan perangainya begitu buruk, tidak sepertimana kita mengenali Depardieu dalam filem-filemnya sebelumnya. Bandingkan ini dengan pemilihan Francois Truffaut, pengkritik filem dan pengarah tersohor dari Perancis, yang memegang watak sebagai seorang saintis berwajah tampan dalam filem Close Encounters of the Third Kind arahan Spielberg. Di sini, Ang Lee mengajak kita merenungi sifat sinema itu sendiri seperti kata-kata Pi kepada penulis dari Eropah: ”Ianya adalah satu refleksi – yang memperlihatkan diri sendiri.”
Adegan romantis di antara Pi dan penari juga tidak dikembangkan agar menjadi sensual seperti kelaziman dalam filem-filem Hollywood (dan di akhir cerita Pi mengkahwini perempuan yang lain). Pi dilihat hanya mahu tahu tentang rahsia satu pergerakan dalam tarian (lambang bunga lotus yang bersembunyi di dalam hutan). Ini dikaitkan dengan kesedarannya tentang gigi dalam daun-daun berbentuk lotus di pulau carnivore yang menelan manusia. Lihat latar pokok-pokok jejawi semasa ia bertanya si penari tentang pergerakan tangannya. Pokok-pokok di atas pulau juga berbentuk seperti pokok-pokok jejawi. Pokok-pokok sebegini selalunya dikaitkan dengan agama Hindu dan Buddha di mana para rishi melakukan pertapaan untuk mendapat petunjuk dan kesedaran tentang alam kebatinan. Semuanya menjadi petanda terhadap kesedaran yang dialami oleh Pi.
Di akhir cerita, Pi dan Richard Parker terselamat di sebuah pulau. Richard Parker menghilangkan diri ke dalam hutan tanpa menoleh ke belakang untuk memandang Pi. Pi mengeluh kepada penulis Eropah yang menemubualnya: ”Selepas segala-gala yang kami alami bersama, dia langsung tidak menoleh memandang kepada aku!” Tentunya adegan ini akan berbeza jika mengikut konvensi di Hollwood. Bagi Ang Lee, binatang adalah binatang. Dia bukan seperti manusia. Hakikat realiti – dan sinema – tidak dapat diputarbelitkan demi pasaran.
Persoalan yang menarik di sini ialah: Harimau itu mewakili siapa? Dia tidak mengendahkan Pi, malah di atas bot, dia kencingkan Pi! Namanya amat pelik sekali - Richard Parker! Nama orang Inggeris. Bagi saya, harimau itu adalah kapitalis filem Hollywood, yang gah dengan kemajuan teknologi. Mereka tidak boleh dijinakkan lagi. Mereka sebenarnya takut dengan pengarah filem alternatif seperti Ang Lee yang menjadi pesaing mereka. Maka dibawa mereka ke Hollywood dan dengan itu, melumpuhkan industri perfileman di negara-negara mereka. Apa yang berlaku di Australia adalah contoh yang nyata.
            Tokoh Sufi di Sumatera, Hamzah Fansuri pernah berkata: ”Aku mencari Tuhan dari Jawa hingga ke Kaabah. Akhirnya akan menemuinya dalam rumah aku sendiri.” Dalam pengembaraan untuk mencari dirinya, Pi sudah ’mencuba’ pelbagai agama. Akhirnya, seperti Hamzah Fansuri, dia menemui Tuhan melalui satu pengembaraan yang tidak terduga dan melihatNya pada alam sekeliling. Rupa-rupanya Tuhan ’berlindung di tempat yang terang’. Apakah Ang Lee pernah melalui detik-detik seperti yang dilalui Pi sehingga dia mendapat kesedaran diri dan tentang hakikat sinema yang sebenar? Itu tidak penting. Yang penting, dia mahu mengkongsi pengalamannya dengan karyawan generasi baru agar mereka tidak disesatkan oleh para kapitalis dan pasaran. 

Life of Pi satu Alegori?
Di akhir filem Life of Pi, penulis dari Eropah itu tidak tahu samada apa yang dikisahkan oleh Pi itu benar atau tidak. Maka ia mula membuat tafsiran bahawa harimau dan binatang yang lain di atas bot adalah metafora bagi manusia-manusia yang ditemui Pi. Nampaknya itu sajalah tahap ilmu yang datang dari Barat yang begitu cetek, yang bersandarkan teori dan tidak berupaya menyelami hakikat sinema yang sebenar. Barat lebih berminat kepada aspek struktural dan hanya menggunakan metafora, alegori dan semiotik!
Dia seterusnya membuat kesimpulan bahawa cerita Pi berakhir dengan kesudahan yang menggembirakan (a happy ending – seperti filem-filem arus perdana yang dikehendakki kapitalis filem!). Pi hanya tersenyum dan mengatakan: “Kini cerita itu sudah menjadi cerita engkau.” Tetapi apakah rakan Eropah itu (yang mewakili kapitalis filem di Barat) dapat memahami kata-kata Pi itu dan juga kata-kata lebih awalnya: “Bagaimana kalau anda ada sebuah kisah yang membuatkan anda percaya yang Tuhan itu wujud?” Apakah cerita sebegini digemari oleh kapitalis filem? Semakin mereka maju dengan penggunaan teknologi, semakin jauh mereka dari pengenalan diri dan Tuhan. Semakin tinggi pendidikan yang diterima audiens hari ini, semakin rendah penghayatan mereka tentang sinema.  
Pi menyerahkan kisahnya yang siap ditulis kepada penulis dari Eropah itu. Syot yang bersifat affection image menampakkan penulisan Pi seakan sebuah skrip filem. Apakah kisah itu akan diubahsuai agar menjadi ‘lebih benar’? Pi mengeluh, terkilan yang Richard Parker, selepas terselamat di pulau, terus memasukki hutan tanpa menoleh ke arah Pi. Walaupun dia ada ruh, seperti kata Pi, tetapi dia tetap binatang (dan CGI pula tu!). Hanya manusia sahaja dapat mengenal diri dan Tuhan. Pi sudah diberi petunjuk tetapi ternyata ia belum sampai ke akhir perjalanannya dan harus mengembara lagi.  

Melahirkan Sinema yang Sebenar
Memang benar apa yang pernah dikatakan oleh U-Wei bahawa filem itu spiritual sifatnya. Tetapi di manakah karyawan dan penerbit filem yang jauhari yang dapat mengenali maknikam? Ang Lee mengajak kita merenungi semula sifat sinema. Apakah sebenarnya sinema? Adakah ia semata-mata hiburan? Atau apakah ianya lebih dari itu? Bukankah karyawan juga khalifah, yang memimpin dengan betul dan mengajak kepada kebaikan?  
Di milenia yang baru ini, kita sepatutnya melakukan transformasi bukan regresi. Apakah Sinema Malaysia akan melihat nanti satu fenomena di mana pengarah dan kapitalis filem kita dapat merasai apa yang dirasai Pi dan menghasilkan filem-filem yang sebenarnya filem, yang boleh melahirkan sinema Malaysia yang mempunyai jati diri, penuh dengan kebijaksanaan dan bersifat spiritual? Apakah kita dapat menghindarkan diri daripada ’jual agama dan bangsa’ seperti yang sedang berlaku sekarang? Adakah kita mahu terus menghasilkan sampah yang akan menjadikan ’warisan’?
Kesimpulan dalam filem Bunohan bersifat tragis. Keluarga, tanah, seni dan warisan dimusnahkan oleh kapitalis. Dalam Life of Pi, Ang Lee memberikan harapan. Persoalan tentang sinema dari Ang Lee ditujukan kepada kita semua. Inilah permasalahan yang generasi karyawan baru Malaysia menanti-nantikan penyelesaiannya.

Hassan Abd Muthalib adalah Karyawan Tamu Kanan di Fakulti Filem, Teater & Animasi di UiTM, Puncak Perdana, Shah Alam.
   
*Semua penulisan artikel dalam blog ini adalah hak cipta terpelihara. Dilarang sama sekali membuat salinan ke dalam apa jua bentuk ke laman lain atau sebagainya tanpa kebenaran bertulis dari penulis *

2 comments :

ini keresahan nurani Pak Hassan. p/s: sebenarnya dah lama-semenjak saya mengenalinya lagi.