Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


adcash

Pre-Order Now! Click Here!

Pre-Order Now! Click Here!
Tempahan untuk album terbaharu Dato' Sri Siti Nurhaliza #ManifestaSiti2020 sudah dibuka!. Klik untuk tempahan!

Jumaat, 4 Januari 2013

ADIK MANJA DHARMA TIDAK SEMANJA ADIK MANJA HAFSHAM?

Maaf, sekadar mahu berkongsi artikel mengenai filem Adik Manja Returns (2013) arahan Dharma yang direview oleh Syazwan Zakaria dari Gala TV, Astro Awani. Jom kita kongsikan, komen di sini ya..

**********


SELEPAS menonton Adik Manja Returns, saya cuba untuk mencari dan memahami alasan mengapa Dharma Harun Al Rashid membikinnya. Sama ada atas faktor populariti, keuntungan atau membangkit nostalgia, saya fikir Dharma seharusnya melihat penghasilan filem ini dalam perspektif yang lebih meluas.


Adik Manja Returns ialah filem sambungan Adik Manja (1980) arahan Othman Hafsham yang dianggap sebagai naskhah komedi klasik. Ia bukan saja memecahkan kutipan box-office ketika itu malah membawakan wajah bangsa Melayu yang moden, berkeyakinan serta berani menerima pembaharuan.

Saya tidak dapat mengelak untuk melakukan perbandingan di antara filem asal dan sekuelnya, baik dari segi jalan cerita mahupun pembikinan keseluruhan. Saya mengambil inisiatif untuk menonton semula Adik Manja agar pemerhatian saya lebih adil dan berasaskan fakta.

Secara ringkas, Adik Manja Returns mengisahkan sebuah institusi pengajian tinggi yang hanya mengambil pelajar-pelajar wanita. Ini adalah untuk mengekalkan tradisi kolej itu. Pengetuanya, Sofia (Rozita Che Wan) adalah anak kepada pengetua dalam filem Adik Manja yang lama.

Ibu Sofia memberi wasiat jika kolej itu mengalami masalah, cari Cikgu Azmi (lakonan Dharma) yang pernah memberikan nafas baru kepada cara pembelajaran. Tidak dinafikan, Cikgu Azmi memang hebat dan memahami jiwa anak muda kerana dia juga baru berusia 26 tahun dalam filem asal.

Yang menjadi persoalan, adakah kaedah yang digunakan dulu dan pemikirannya itu masih relevan? Bukan untuk menidakkan wasiat ibu Sofia namun selaku penerbit, penulis skrip serta pengarah, Dharma mesti lebih jelas dengan apa yang ingin dilakukan menerusi filem sekuel ini dan bukan sekadar syok sendiri.

Meneliti kembali Adik Manja arahan Hafsham, saya mengerti mengapa filem itu diangkat dan menjadi pilihan. Antara sebab yang jelas kerana menawarkan komedi yang segar dan urban, berbanding lawak jenaka lain yang kebanyakannya slapstik misalnya daripada A.R Badul, Yahya Sulong atau Param.

Hafsham juga menghasilkan sebuah skrip yang bijak. Dia bukan saja memasukkan elemen sains dan teknologi (watak Cikgu Azmi ketika itu ialah ahli kimia) malah memahami aspek psikologi dan sosiologi. Hafsham mempunyai sebab dan penjelasan mengapa setiap peristiwa atau kelakuan itu terjadi.

Pada awal 1980-an adalah sesuatu yang normal apabila remaja perempuan tidak dibenarkan bergaul bebas dengan lelaki. Kerana itu kehadiran Cikgu Azmi dalam kolej tersebut mencetuskan polemik baru. Para pelajar digambarkan sebagai nakal (barangkali kerana perkembangan hormon) tetapi tidak liar.

Justeru pada era milenium ini, saya tidak pasti mengapa kolej itu hanya dikhususkan untuk perempuan. Adakah semata-mata kerana tradisi yang tidak lagi sesuai? Ini bukan sekolah rendah, sekolah menengah atau madrasah sebaliknya kolej untuk pelajar pelbagai kaum berusia 18 tahun ke atas.

Ironinya, pergaulan sesama jantina itu hanya berlaku di dalam kolej. Mereka boleh saja bertemu dengan rakan-rakan lelaki di luar malah pada babak akhir iaitu pertandingan tarian, begitu ramai remaja lelaki diundang sebagai penari jemputan. Saya sebenarnya tidak faham apa yang Dharma cuba buat.


Pada hari pertama Cikgu Azmi muncul di kolej, semua pelajar seakan taksub seperti tidak pernah melihat lelaki. Adakah sebelum ini selain Cikgu Azmi, tiada pensyarah lelaki lain? Saya keliru. Jika Hafsham mahu melangkah ke depan menerusi Adik Manja, Dharma pula mundur ke belakang dengan sekuelnya.
Dharma sepatutnya mengkaji dan memahami persekitaran hari ini, bukan sekadar memperbaharui premis dengan meletakkan perlumbaan drift atau tarian shuffle. Dia tidak boleh bergantung kepada kenangan semata-mata untuk menyambung legasi Adik Manjasebaliknya pemikiran filem ini harus lebih maju.

Pada awal filem Adik Manja Returns, moral dan akhlak pelajar kolej digambarkan begitu menakutkan. Mereka bukan saja mempunyai masalah disiplin dan suka membuli pensyarah tetapi terlibat dalam kes pembuangan bayi, kes pukul dan berhutang dengan ah long.
Pengambilan semula Cikgu Azmi dilihat sebagai jalan terbaik untuk membantu mengubah sikap dan kelakuan pelajar-pelajar kolej. Malangnya, saya tidak melihat sebarang tindakan besar yang dilakukan Cikgu Azmi kecuali ingin mengadakan pertandingan tarian untuk menyatukan mereka.

Cikgu Azmi meletakkan syarat, sesiapa yang ingin menyertainya harus lulus dalam peperiksaan. Sangat ajaib apabila ke semua pelajar kolej itu meminati tarian lalu berusaha bersungguh-sungguh sehingga mereka mendapat keputusan cemerlang. Semudah itu? Masuk peraduan dan sikap terus berubah?
Jika ada pun perubahan hanya berlaku kepada dua kumpulan pelajar bermusuh yang diketuai Bib dan Su. Apa terjadi pada pelajar lain yang digambarkan sebagai pembuli dan pengamal ilmu hitam? Adakah masalah disiplin secara keseluruhannya selesai selepas pertandingan tarian berakhir?

Saya merasakan percaturan Adik Manja Returns sudah silap sejak awal lagi. Tidak salah untuk Dharma menghasilkan sambungan tetapi dia memerlukan idea yang bernas dan relevan untuk menyaingi atau setidak-tidaknya sama standard dengan versi Hafsham daripada aspek penceritaan.
Barangkali kisah bayi bernama Izwan - merujuk kepada adik manja dalam filem asal - yang patut dikembangkan dan menjadi subjek yang lebih menarik.
Ada baiknya saya tidak menyentuh secara terperinci tentang aspek lakonan dan teknikal kerana selepas 29 tahun Adik Manja diterbitkan, produk sambungannya tidak mencerminkan kualiti yang sewajarnya. Ia sepatutnya ‘manja’ dan menghiburkan bukan meresahkan dan mengecewakan penonton.

p/s: Nantikan ulasan saya mengenai filem ini akan datang...

1 comments :

dan kita juga perlua tahu..filem Adik Manja itu adalah filem saduran daripada Hong Kong...ketika itu era filem kita beralih kepada filem berwarna..dan banyak filem-filem yang muncul pada ketika itu adalah diolah semula daripada filem-filem hongkong yang diterbitkan semula di Malaysia..tajuk asal filem ini adalah Who's Baby's In The Classroom