Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


adcash

Sabtu, 12 Januari 2013

MISE EN SCENE : SENI MENCIPTA ADEGAN (artikel terpillih)


APABILA menonton sesebuah filem atau drama televisyen khususnya adegan dalam ruang (in door), suatu yang paling cepat dikesan ialah susun letak prop, pencahayaan, gerak pelakon dalam ruang dan gerak kamera. Ada sesetengah filem mengambil remeh adegen begini. Pengarah seni tidak memberikan penataan seni yang teliti, penata cahaya tidak mampu menghidupkan suasana dan jurukamera gagal merakam daripada sudut dan gerak kamera yang menarik dan bermakna. Dalam perfileman semua ini disebut mise en scene iaitu seni mencipta adegan. 

Mise en scene merupakan istilah Perancis yang bermaksud meletakkan satu subjek dalam adegan. Mise en scene merupakan segala yang kita lihat di dalam sebuah filem iaitu semua yang nampak di layar filem ataupun skrin televisyen. Mulai dari setting tempat, kostum, solekan, pencahayaan dan ekspresi pelakon dan gerak kamera. Mise en scene meliputi fungsi sebuah adegan dalam filem itu bagi menjelaskan sesuatu atau untuk memberi kesan dramatik - semua elemen itu bergantung dari kehebatan filem itu sendiri. Penyusunan elemen dalam mise en scene juga sangat penting kerana perkara ini akan menimbulkan pelbagai macam perkara lain seperti harapan pelakon dalam babak tersebut, permasaalahan watak dan lain-lain lagi. Mise en scene juga berperanan untuk menjadikan penonton tidak senang duduk dan akan melahirkan keinginan untuk terus mengetahui perkembangan tentang sebuah adegan, bahkan keseluruhan filem. Salah satu unsur mise en scene yang utama adalah set. Set merupakan tempat atau ruang sesuatu babak. Set dicipta berdasarkan pelbagai pertimbangan seperti isipadu dan kesinambungan grafik, misalnya kesinambungan dominasi warna. Konsisten dalam pemakaian warna tersebut berhubung kait dengan dimensi grafik dan perjalanan cerita tersebut. Set berperanan penting dalam sesebuah filem. Set boleh menyampaikan cerita meskipun tanpa pelakon.

Kostum dan solekan boleh dijadikan cara untuk memenuhi dimensi grafik yang kreatif. Sekali lagi konsisten pemakaian, trend ataupun warna kostum dan solekan sangat bergantung pada sudut pandang seseorang pengarah dalam menggarap ceritanya. Selain itu juga, kostum boleh menjadi satu simbol terhadap sebuah zaman, negara, mahupun ideologi tertentu. Kostum selalu dekat dengan set. Set menyediakan latar belakang yang natural dan sesuai dengan cerita sementara kostum membangunkan identiti karakter pelakon. Kostum boleh menonjolkan sifat sebenar pelakon. Penampilan pelakon yang telah disolek tentu akan berbeza, bergantung konteks dramatik yang diinginkan pengarah. Pencahayaan menjadi salah satu kunci untuk membangun kesan dan mood cerita. Cahaya pula dapat memanipulasi ruang dan boleh menjadi penguat dalam sesuatu babak.

Dalam filem bercorak detektif, seorang penjahat yang memiliki banyak rencana jahat tidak akan ditampilkan dengan cahaya yang terang benderang. Sama juga dengan filem seram, kebanyakan cahaya yang digunakan oleh pengarah adalah biru dan hijau. Permainan cahaya boleh menjadi sesuatu yang kreatif kerana secara tidak sedar, cahaya ternyata memberikan kesan yang berbeza bagi setiap benda yang terkena pantulannya. Ketika ini cahaya berperanan penting. Dalam sinema Hollywood, cahaya mempunyai peranannya sendiri dan selalu diterapkan, iaitu tiga penjuru cahaya. Sumber cahaya berada di tiga penjuru berbeza dan memiliki peranan yang juga berbeza.


Filem Back To The Future bahagian satu hingga tiga merupakan sebuah filem yang begitu teliti dalam pembikinannya. Filem yang berkisar tentang mesin perjalanan masa ini berjaya menunjukkan perbezaan masa yang ditonjolkan. Set yang dilakukan oleh pengarahnya, Robert Zemeckis membuktikan seting latar masa sesuatu filem amat penting. Dalam filem keluaran tahun 1985 ini, perbezaan tiga zaman yang dilawati oleh watak Marty McFly lakonan Michael J. Fox begitu ketara. Difahamkan latar tempat filem ini yang dikenali sebagai bandar Hill Valley hanya dilakukan di Courthouse Square yang terletak di bahagian belakang Universal Studios. Paling menarik lokasi tersebut diubah sebanyak tiga kali bagi menunjukkan perbezaan latar masa yang diingini oleh pengarahnya.

Artikel ini adalah artikel terpilih yang diterbitkan oleh Utusan Malaysia dan menjadi hakcipta Utusan Melayu sepenuhnya. Pihak kami hanya sekadar berkongsi untuk tatapan peminat filem dan pembaca. Harap Maklum.

1 comments :

nice day :)
Bermimpilah tentang apa yang ingin kamu impikan,
pergilah ke tempat-tempat kamu inginkan,
Jadilah seperti yang kamu inginkan,
karena kamu hanya memiliki satu kehidupan
dan satu kesempatan untuk melakukan hal-hal
yang ingin kamu lakukan

http://www.nolimitadventure.com/