Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


Selasa, 26 Februari 2013

'DAIN SAID, NIZAM ZAKARIA & SYAFIQ YUSOF', BAKAL MEREBUT ANTARA YANG TERBAIK DI MALAM GEMILANG PERDANA FFM25!

'Merayakan Perak, Mengilhamkan Emas', satu tagline bagi menggambarkan betapa tingginya darjat sesebuah filem yang bertanding di Festival Filem Malaysia ke-25. Festival yang dianjurkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dengan sokongan dan kerjasama Gabungan Persatuan Karyawan Malaysia (GAFIM), Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), KARYAWAN dan ASTRO sebagai penyiar utama. Festival yang mengiktiraf hasil seni karyawan dan penggiat filem tempatan itu mempertaruhkan hampir 139 penyertaan filem dari pelbagai genre meliputi filem cereka, filem pendek dan filem animasi.

'Bunohan' karya agung Dain Said merupakan antara filem cereka yang disebut-sebut bakal dinobatkan sebagai filem terbaik di Malam Gemilang Perdana Festival Filem Malaysia ke-25. Namun, tidak dilupa juga barisan filem-filem hebat lain antaranya Songlap, SAM, Ombak Rindu dan 29 Februari. Antara 5 filem terbaik tersebut, hanya 3 filem yang dirasakan memberikan saingan tersendiri iaitu 'Bunohan, Songlap dan SAM'. Jika ditanya pada saya, manakah satu kekuatan antara ketiga-tiga filem itu, saya meletakkan harapan yang cukup tinggi buat Bunohan dan Songlap. Bagi filem SAM pula, ia layak dilabelkan filem terbaik keluaran Skop Production kerana SAM dibikin oleh seorang anak muda berbakat besar, malahan filem pertamanya itu, SAM seolah-olah dihasilkan oleh pengarah filem yang pernah menghasilkan banyak filem sebelum ini. Langkah SAM membuka penanda baik buat Syafiq Yusof jika dinobatkan sebagai Pengarah Harapan Terbaik menewaskan saingannya Nizam Zakaria, Ghaz Abu Bakar, Goh Aun Hoe dan Teng Bee. Jika Syafiq Yusof memenangi Pengarah Terbaik sekalipun menewaskan saingannya Dain Said, Osman Ali, Effende Mazlan & Fariza Azlina Ishak & Saw Teong Hin, bermakna Sinema Malaysia untuk generasi ke-25 miliknya memandangkan Festival Filem Malaysia tahun ini menyambung ulangtahunnya yang ke-25 tahun.


Dalam kesibukan kita menantikan debaran yang cukup hebat pada Malam Anugerah Perdana FFM25 yang bakal diadakan pada 2 Mac 2013 di PICC Putrajaya, jangan dilupa pada 27 Februari (Rabu) Malam Pelancaran FFM25 yang di adakan di eCurve, Damansara pukul 8.00 malam sekaligus mengumumkan 11 Anugerah Cipta. Nantikan berita dan info terkini mengenai FFM25 dari semasa ke semasa. Harap maklum.

p/s: Selepas Malam Pelancaran FFM25 yang diadakan pada 27 Februari 8.00 malam. Akan ditayangkan Filem ROCK OO arahan Sang Penglipurlara Mamat Khalid di Cathay Cineplexes, Damansara.. 

0 comments :