Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


Jumaat, 15 Februari 2013

YANG TERSURAT DAN TERSIRAT DI DALAM FILEM-FILEM MAMAT KHALID !

Persatuan Pengguna-Pengguna Penyapu Lidi Wilayah Persekutuan, dengan sokongan Kelab Kelab Peminat Hassan Muthalib dan Hassan Muthalib Sendiri dengan sukacitanya membawakan YANG TERSURAT DAN TERSIRAT DI DALAM FILEM-FILEM MAMAT KHALID tulisan Hassan Muthalib..

'jangan salahkan pengarahnya, salahkan juga penulis skripnya... Siapa penulis skripnya, Hassan Muthalib', - Azwan Annuar ( Hantu Kak Limah by Mamat Khalid)

'Kalau aku bikin filem cerdik, aku perlukan audiens yang sama cerdik',
- UWei Hj Shaari


Parodi adalah genre filem yang menjadi pilihan Mamat Khalid untuk berkarya. Parodi adalah pendekatan yang lucu dalam membuat kritikan terhadap sesuatu yang telah benar-benar berlaku atau pun yang berkait dengan seseorang atau sesuatu kumpulan. Maka semestinya ia memerlukan audiens yang sudah mengetahui apa yang berlaku atau pun kepada siapa ianya berlaku. Oleh yang demikian, karya-karya Mamat boleh dianggap sebagai sangat jujur kerana ia mengajak audiens untuk turut terlibat di dalam penceritaannya.  
Antara elemen-elemen yang sentiasa menjadi rujukan Mamat ialah sejarah, samada yang berkaitan dengan masyarakat, bangsa dan negara mahu pun yang berkaitan dengan filem.  Jika menggunakan a historical approach ke atas filem-filem Mamat untuk tujuan melihat pemikirannya, maka akan ditemui nuances of meaning yang menjadi renungannya tentang sesuatu perkara. Dan subjek Mamat tidak lain tidak bukan, hanya tentang industri hiburan tanah air yang diceburinya. Maka dengan itu, filem-filem Mamat boleh dilihat sebagai satu autobiografi sama seperti apa yang pernah dibuat oleh Mansor Puteh, Anuar Nor Arai dan U-Wei Hajisaari melalui beberapa karya mereka. Mamat memilih genre parodi untuk membuat kritikan-kritikannya agar tidak menyakiti hati sesiapa. Namun, mereka yang jauhari akan tetap mengetahui siapa dan apakah peristiwa-peristiwa yang menjadi sindiran tajam Mamat.
Genre parodi mula diterokai dalam industri filem tempatan oleh P Ramlee melalui siri filem Labu dan Labi sekitar tahun 1960-an. P Ramlee juga menggunakan satira untuk menyampaikan sindirannya seperti di dalam filem-filem Musang Berjanggut dan Tiga Abdul. Di milennia baru, muncul beberapa pengarah yang menggunakan satira dan parodi untuk menyampaikan kritikan mereka. Satira digunakan oleh Hishamuddin Rais di dalam filem Dari Jemapoh ke Manchestee (2001). Amir Muhammad dan Naeim Ghalili menggunakannya di dalam Susuk (2007), dan Chris Chong melalui Karaoke (2009). Genre parodi menjadi pilihan Ng Tian Hann dengan First Take, Final Cut (2004), Yeo Joon Hann dengan $ell out!, James Lee dengan filem-filemnya, Sini Ada Hantu (2010), Tolong! Awek Aku Pontianak! (2011) dan Petaling Street Warriors (2012), dan Namewee dengan Nasi Lemak 2.0 (2011) dan Hantu Gangster (2012).
   Genre parodi menjadi pilihan Mamat Khalid untuk kesemua filemnya. Berbeza dengan pengarah-pengarah lain, Mamat membawa satu gaya yang tersendiri, ia itu, yang  yang merujuk kepada sejarah, milieu dan kosmologi Melayu. Mulai dari filem pertamanya, Lang Buana (2003) sehingga ke filem terbarunya, Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit (2012), watak-watak, milieu dan subjek Mamat berdiri di bumi nyata dengan merujuk kepada beberapa aspek negara dan sejarah bangsa. Penelitian Mamat dapat dilihat di semua aspek produksi, ia itu, dari sudut pemilihan pelakon, kostum, set, kata bual dan musik. Dengan itu, karya-karya Mamat wajar dijadikan kajian tentang sesuatu zaman dalam sejarah negara oleh sejarawan, ahli antropologi dan sosiologi. Sudah pasti, ada di antara filemnya yang akan dianggap klasik.

Namun begitu, karya-karya Mamat tetap menghiburkan walaupun mempunyai subteks yang berlapis. Filem Lang Buana sudah mula menampakkan genre dan gaya persembahan yang menjadi trademark Mamat. Milieu Lang Buana  ialah zaman feudal di Perak. Tiga sahabat, yang sebenarnya hamba-hamba Orang Kaya, akhirnya menjadi wira yang tak dijangka. Dan di akhir cerita, Mamat menampakkan betapa mulia, bijak dan sopan tuanku sultan dibanding Residen British yang sombong dan licik, yang menggunakan Orang Kaya untuk tujuan memperdayakan orang-orang Melayu. Seperti kesemua filem-filemnya, subteks Mamat ialah tentang masalah-masalah yang melanda industri filem tempatan. Tiga sahabat tadi adalah pembikin filem yang jujur manakala Orang Kaya dan Residen adalah mereka yang menghisap darah karyawan kerana hanya melihat produksi filem dari sudut bisnes atau pun menggunakan kaedah Ali Baba. Dari filemnya yang terawal ini, Mamat juga menghadirkan bangsa-bangsa lain di Malaysia di dalam penceritaannya kerana, baginya, itulah realiti di tanahair.
Apakah penanda-penanda yang berulang-ulang di dalam filem-filem Mamat Khalid yang menjadi petunjuk bahawa subjeknya ialah industri perfileman tempatan? Bukan sahaja jauhari yang boleh mengenal manikam. Anda memerlukan ilmu firasat (yang sudah kian lama berada di dalam kosmologi Melayu dan sudah digunakan dengan sepenuhnya oleh P Ramlee). Ilmu ini perlu disokong pula dengan ilmu tajalli, bukan hanya dengan ilmu mantik. Di dalam Lang Buana, kampong yang didatangi tiga sahabat, Gunung, Daik dan Cabang, ialah metafora untuk pentas industri filem yang diceburi pelbagai bangsa dan jenis manusia. Terdapat yang miskin (tetapi meminati filem), yang kaya (hanya mengaut keuntungan), dan yang angkuh (yang menjadi taukeh). Yang berloghat Jawa pun ada! (rujukan kepada mereka yang terlalu berpegang kepada adat dan cara lama). Satu perkara yang menarik adalah pemilihan dua pelakon, Hasnul Rahmat dan Bront Palarae, graduan Akademi Filem Malaysia yang mula muncul di layar perak. Di akhir cerita, watak yang dimainkan Hasnul, yang berkerja dengan Orang Kaya dan tidak menerima bayaran setimpal, tidak lagi mahu bersekongkol dengannya kerana sudah menjadi pengkhianat bangsa.
Era rock dalam filem Rock (2005) adalah milieu industri perfileman di mana mereka yang terlibat tidak ada apa-apa pemikiran dan hanya mengejar glamor. Begitu juga dengan para promoter dan penerbit musik semasa itu yang sebenarnya tidak mengetahui bidang musik rock. Lebih lucu lagi, para juri di peringkat awal dalam pertandingan musik rock juga terdiri dari manusia yang pelik. Salah seorangnya (dimainkan oleh Hamid Gurkha) mengatakan ia sebenarnya diundang untuk pertandingan masak memasak tetapi diminta menjadi juri pertandingan musik rock! Filem Rock berkisar pada era rock di tahun 1980-an. Ramai remaja tergila-gila dengan gaya dan musik Barat di zaman itu. Mamat juga tidak terlepas daripada pengaruhnya. Sebagai seorang muda di waktu itu, dia juga menjadi sebahagian dari sejarah rock di tanahair namun tidak dikenali secara umum. Selepas dua puluh tahun, Mamat menjadi self-reflexive tentang era rock serta penglibatannya. Dia mentertawakan dirinya sendiri (dan rakan-rakannya) kerana terpengaruh dengan satu gaya yang begitu terasing dengan adat dan budaya bangsanya. Namun, semuanya itu sudah menjadi sejarah, dan kemudian menjadi bahan untuk dia berkarya. Filem Rock hari ini adalah antara filem tempatan yang wajar dianggap sebagai sebuah filem klasik dalam Sinema Malaysia.   
Mamat juga membuat komen tentang nasib seniman tempatan yang bertaruh nasib pada mereka yang menguasai tempat hiburan. Beberapa rocker berdiri merenung bangunan tersergam indah di mana mereka akan beraksi dalam pertandingan. Tetapi tempat itu adalah milik orang bukan sebangsanya. Remaja Melayu sebagai penonton tidak tahu mengenai ini semua. Mamat menunjukkan mereka berlari dengan ghairah masuk melalui pintu. Dengan suntingan dan sinematografi, Mamat menampakkan masa depan yang gelap bagi kumpulan rock. Pentas dan audiens berada dalam kegelapan. Aksi rocker di pertandingan pula tidak ditunjuk. Seterusnya mereka berada di dalam van untuk pulang. Hanya muka mereka kelihatan di dalam kegelapan dalam van. Dan di akhir cerita, rupa rocker-rocker ini seperti ‘manusia biasa’ dan bermain musik’biasa’ di majlis perkahwinan salah seorang ahli mereka. Ternyata, kegilaan mereka pada musik rock tidak membawa mereka ke mana-mana.    


Pendekatan parodi Mamat tentang kumpulan rock dibawa ke dalam filemnya, Zombi Kampung Pisang (2008). Empat ahli kumpulan rock tersesat di Kampung Pisang dan berhadapan dengan zombi-zombi. Jika dilihat dari kostum dan solekan mereka, tiada perbezaan di antara rocker dan zombi! (Malah, rupa kumpulan rock, Malaikat Maut, di dalam filem Rock sudah awal-awal lagi dilihat sebagai zombi.) Mungkin persoalan Mamat ialah: Orang Melayu mempunyai adab dan budaya yang begitu tinggi. Mengapa harusnya mengikut budaya asing sehingga wajah pun tidak lagi macam manusia?
Filem Man Laksa (2006) adalah parodi tentang industri musik dan filem. Dalam pada itu, Mamat menampakkan kekagumannya terhadap beberapa penyanyi 1970 dan 80-an seperti Saloma dan Ahmad Jais. M. Daud Kilau pula dianggap hanya sebahagian daripada budaya popular. Lirik lagu Ahmad Jais seakan pantun dan sangat Melayu manakala lirik lagu Saloma penuh dengan nasihat, antaranya: “Kasih yang dulu kini berganti. Kasih yang baru simpan di hati.” Kata-kata ini amat signifikan dan menyokong tema yang dibawa Mamat, ia itu, gaya lama (filem hiburan semata-mata) mesti ditinggalkan; perubahan perlu dilakukan dan gaya yang baru (filem alternatif) mesti diterima dengan hati yang terbuka. Tiga penyanyi muda kampung (M Nasir, Ramli Sarip dan Loloq sewaktu kecil) yang mewakili generasi baru ingin membawa perubahan tetapi bakat dan visi mereka tidak diiktiraf kerana mendahului zaman. Inilah dilemma yang dihadapi beberapa karyawan filem generasi baru. Di akhir cerita, melalui adegan pengadilan Pertandingan Ratu Kebaya, Mamat menyindir festival-festival filem di Malaysia di mana ada ahli panel juri yang mempunyai kepentingan atau pun keputusannya menguntungkan kroni.
Kala Malam Bulan Mengambang (2008) juga merupakan parodi tentang industri filem. Mamat merujuk kepada genre film noir dan elemen gothic dalam filem-filem Hollywood dan sejarah awal Sinema Malaysia dengan menggunakan bidang hitam putih. Gaya dan teknik persembahan seakan seperti tahun 1950-an yang tidak lagi sesuai masakini, namun menjadi ikutan. Penggunaan hitam putih melalui filem adalah penanda tentang sesuatu keburukan. Di sini, ia menjadi petunjuk tentang industri perfileman masakini yang sedang berundur ke belakang dengan pengisian yang lemah serta ghairah dengan cerita-cerita tahyol walaupun era sedemikian sudah berakhir pada tahun 1950 dan 60-an. Lambang keris dan bulan adalah petunjuk kepada mereka yang mempunyai kuasa untuk mengubah keadaan tetapi tidak berbuat apa-apa.  Watak Kuswadinata adalah representasi orang yang diutuskan untuk membantu Sinema Malaysia. Sebaliknya, dia membawa idea-ide yang lapok (dilihat pada kostumnya yang biasanya terlihat dalam pementasan sandiwara). Lihat bagaimana ia memandang kamera dan memberikan (terutama kepada penggiat industri) jari hantunya di mana tersarung cincin yang besar dan mahal. Dia hanya mengkayakan diri sendiri. Adegan ini mungkin mencipta sejarah di dalam Sinema Malaysia di mana isyarat lucah, Up Yours, tidak dipotong oleh penapis!

Filem Estet (2010) adalah parodi tentang milieu dan perpaduan pelbagai kaum di Malaysia yang hanya berlaku pada Hari Kebangsaan. Ini diperlihatkan melalui adegan tari menari pelbagai kaum dengan rentangan kain pelbagai warna di akhir filem. Filem ini juga satu parodi tentang filem-filem Tamil yang terlalu over dalam lakonan dan dialog di samping memparodikan industri filem tempatan. Filem Hantu Kak Limah Balik ke Rumah (2010) menjadi sindiran tentang keghairahan dengan filem-filem hantu yang menjadi kegilaan penerbit dan audiens. Jika bomoh yang menghalau hantu bermaharajalela di dalam filem-filem tempatan, Mamat membuatkan bomoh dalam filem Hantu Kak Limah memerlukan seorang bomoh untuk memulihkannya! Isu dan subjek tentang perfileman dibawa lagi ke dalam Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit (2012). Filem ini menjadi kesinambungan kritikan Mamat tentang industri filem yang diceburinya yang masih seronok dengan cerita-cerita fantasi dan tahyol.


Warung Munawir di dalam Zombi Kampong Pisang adalah representasi gelanggang industri filem dan zombie-zombi sebagai penggiatnya. Sesiapa yang masuk dan memakan kuah daging, akan menjadi zombi (maksudnya yang tidak melahirkan ide-ide baru dan mahu merosakkan otak audiens dengan karya picisan). Warung Pak Jabit di dalam Jin Pakai Toncit juga gelanggang penggiat filem. Dari rupa pengunjung ke warung, dapatlah dilihat rupa penggiat filem yang sudah ketinggalan zaman. Pak Abu adalah representasi pengarah-pengarah lama yang merapu, yang mengulangi cerita-cerita lapok tetapi tetap diminati pengunjung ke warung. Mon adalah representasi filem Melayu yang tulen tetapi yang telah ‘dirosakkan’ oleh filem-filem yang memaparkan cerita hantu, toyol dan pontianak picisan yang hanya begantung kepada teknik suntingan dan kesan bunyi. Husin tetap menyintai Mon sehingga rela menelan mee ‘berkerang’. Husin yang menyintai Mon sebenarnya mewakili Mamat Khalid yang menyintainya Sinema Melayu. Adegan bersantapan di sungai digambarkan seakan sebuah set di dalam filem dan dilakukan dengan penuh ketelitian untuk visualkan perasaan Husin.

Niat Mamat untuk menyelamatkan Sinema Malaysia juga dapat dilihat dalam Kala Malam. Puteh (Umie Aida) juga adalah representasi filem Melayu yang tulen, yang sudah bertukar menjadi hantu, pontianak, toyol, dsbnya. Watak Saleh (yang mewakili Mamat Khalid) menyiasat tentang sebab-sebab Puteh menjadi hantu dan sanggup mengurungnya untuk sewaktu. Watak yang dimainkan Kuswadinata muncul semula di dalam Jin Pakai Toncit melalui watak Dr Shamsuddin (dimainkan oleh Rashidi Ishak). Mamat memparodikan seorang penggiat industri yang dipertanggungjawabkan membantu mengangkat martabat industri tetapi ia tidak menghasilkan apa-apa. Husin tiba dari Singapura dan di akhir cerita, kembali semula ke Singapura. Bagi Mamat Khalid, Sinema Malaysia sukar diselamatkan. Visual istana (ia itu, martabat filem Melayu) diperlihatkan dari jauh, yang setia menunggu cahaya harapan di hujung terowong. Filem Jin Pakai Toncit berakhir dalam suasana suram. Saki baki hantu di Kampong Pisang masih belum dihalau sepenuhnya walau pun Dr Shamsuddin sudah tiada. Hantu-hantu ini terapung di udara, menunggu masa untuk melakukan kerosakkan. Filem-filem tahyol yang picisan masih ‘berkeliaran’ di pawagam dan masih diminati audiens tempatan (dan tak lama lagi oleh audiens Melayu di Singapura!). Persoalan dari Mamat ialah: Apakah kesudahannya? Amatkan Sinema Malaysia dapat diselamatkan?


Karya yang baik kebanyakannya datang daripada pengalaman hidup seseorang pengkarya. Sejarah penglibatan Mamat di era rock, dan kemudian di dalam industri perfileman tempatan, menjadi rujukan baginya. Walaupun Mamat tidak mendapat pendidikan formal di dalam bidang filem, namun dia berkarya bersandarkan ilmu filem. Pendekatan yang digunakannya datang dari fahamannya mengenai B Movies dan genre film noir dari Hollywood serta juga musik Barat. Ini membuatkan kemahiran berparodi Mamat diiktiraf di peringkat antarabangsa. Kala Malam Bulan Mengambang dan Zombi Kampung Pisang dipilih menyertai festival filem Udine di Itali dan beberapa festival yang lain di seluruh dunia. Hantu Kak Limah memperolehi kutipan box-office yang luar biasa. Mamat Khalid sudah pun diiktiraf di negaranya sendiri. Tetapi lebih penting, beliau menjadi perakam sejarah bangsa dan negaranya sendiri, dan sekaligus beliau juga menjadi sebahagian daripada sejarah itu.
Mamat Khalid seorang nasionalis tetapi dia tidak termasuk dalam golongan yang mengetuk gendang, mengibar bendera dan berdeklamasi puisi untuk menunjukkan nasionalismenya. Mamat bukan juga seorang sejarawan. Dia hanya seorang pembikin filem yang menyintai sejarah, bangsa, budaya dan negaranya. Apakah itu juga boleh ditafsirkan sebagai satu ‘parodi’? Hanya jauhari mengenal maknikam.

Hassan Abd. Muthalib adalah seorang pengritik filem dan pengkaji sejarah filem Malaysia. Penulisan beliau tentang Sinema Malaysia diterbitkan dalam beberapa buku, majalah dan jurnal akademik di peringkat antarabangsa.