Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


adcash

Pre-Order Now! Click Here!

Pre-Order Now! Click Here!
Tempahan untuk album terbaharu Dato' Sri Siti Nurhaliza #ManifestaSiti2020 sudah dibuka!. Klik untuk tempahan!

Isnin, 2 September 2013

DATUK ANDRE GOH MEMPERJUANGKAN SENI MELAYU ASLI


SEJAK empat dekad lalu, penyanyi asli veteran Datuk Andre Goh tidak pernah jemu memperjuangkan keistimewaan khazanah seni Melayu asli kepada pelbagai lapisan masyarakat. Bahkan seniman itu tidak mengenal erti lelah dalam usaha untuk mempromosikan seni Melayu kepada bangsa asing yang berada di luar negara. Biarpun mengetahui bakal mendapat sambutan yang dingin kerana perjuangannya membabitkan budaya lama dan dianggap ketinggalan zaman, dia tidak pernah patah semangat. Baginya perjuangan untuk meletakkan identiti negara tercinta di puncak tertinggi itu juga tidak akan terhenti meskipun mendapat respons yang dingin. Tambahan pula pada waktu golongan muda cenderung ke arah menyanjungi budaya seni masyarakat Barat mahu pun negara Timur termasuk Korea Selatan. Agak mendukacitakan apabila kebanyakan orang muda kita hari ini tak berminat nak dengar lagu-lagu Melayu klasik sebab bukan trend. Mereka lebih cenderung kepada muzik rock dan pop.

“Tapi sampai bila perkara itu berlarutan apabila tiada pihak bertanggungjawab yang sudi membendung masalah itu. Sebab saya tak nampak sebarang acara khusus secara serius untuk menyemarakkan irama Melayu asli pada hari ini.
“Paling membimbangkan kalau irama asli Melayu itu semakin jauh ketinggalan. Orang muda kita dah tak nak dengar lagu Melayu dan kalau kedengaran pun dah macam janggal.
“Walhal irama asli Melayu itu adalah jati diri dan wajar dibanggakan oleh semua rakyat Malaysia," katanya dalam sidang akhbar pengumuman Festival Seni Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Isnin lalu.

DFP dan Orkestra Filharmonik Malaysia memberi pengiktirafan kepada Andre Goh untuk membuka tirai festival dengan persembahan bertemakan Malam Melayu Klasik pada 16 September ini. Bermula pukul 8.30 malam, penyanyi yang merakamkan tujuh buah album itu bakal mendendangkan lagu popularnya seperti Dikirim Jangan Dipesan Jangan, Masih Di Perbatasan dan Semalam di Pulau Pinang. Sementara penyanyi kelahiran program realiti Akademi Fantasia Keempat (AF4), Haziq turut dijemput untuk membuat persembahan bersama Andre Goh pada malam itu.



Buka mata semua - Rosnan
photo credit to : Harry Jalil FB

DALAM perkembangan berkaitan, Rosnan Abdul Rahman membayangkan teater tradisional Makyung bakal dilupakan jika tiada kumpulan pelapis muda yang profesional dan mempunyai pendapatan tetap pada hari ini. Oleh itu sebagai salah satu cara untuk memperkenalkan keistimewaan Makyung, Rosnan mempunyai misi tersendiri apabila bakal membuat persembahan di DFP pada 20 September ini. Rosnan akan menggunakan kesempatan itu untuk membuka mata banyak pihak tentang kehebatan Makyung setanding dengan pementasan teater komersial sedia ada. Peluang untuk beraksi buat kali pertama di DFP akan dimanfaat sepenuhnya oleh saya dan ahli kumpulan Makyung Kijang Emas Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan.
Persembahan kumpulan ini berlandaskan naskah Makyung tersohor berjudul Makyung Raja Besar Negeri Ho Gading yang mempunyai pengajaran tersendiri," katanya.
Festival Seni DFP turut mempersembahkan malam Spektrum pada 18 September, MPO Rocks (21 September) dan All That Jazz (22 September) selain pelbagai aktiviti menarik di perkarangan lobi DFP.


Untuk tempatan tiket boleh hubungi kaunter di talian 03-20517007 atau layari laman sesawang www.mpo.com.my

p/s: Artikel terpilih dari Utusan Malaysia, 1 September 2013, tulisan Amirah Amaly Shafaat.

Kami memilih artikel ini untuk dimuatkan dalam blog ini adalah bertepatan dengan komitment kami terhadap seni filem, muzik dan yang berkaitan seumpamanya yang dirasakan menarik, tanpa tujuan lain. Jika anda mahukan artikel anda dimuatkan dalam blog ini, mohon hubungi Admin blog ini di amyikram09@gmail.com - dengan memberikan kod tajuk MY BLOG. 

0 comments :