Jumaat, 4 Oktober 2013
6 FILEM TEMPATAN MENGUASAI SINEMA OKTOBER..
Untuk bulan Oktober 2013, Sinema Malaysia melalui Wajib Tayang Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) menghidangkan kepada anda 6 buah filem tempatan. Memulakan tayangannya bagi filem-filem baru pada setiap khamis, Sinema Oktober menyajikan filem-filem tempatan dari 5 penerbit filem berbeza. Ghost, Ghost, Ghost arahan sutradara profilik M.Subash memulakan tayangannya pada 3 Oktober 2013, manakala KL Gangster 2 arahan Syamsul Yusof juga memilih tarikh yang sama, walaupun telah awal 3 hari sebelum 3 Oktober, menemui penonton.
Longkai yang diterbitkan MiG Pictures Sdn Bhd arahan Hashim Rejab akan menemui penonton tempatan bermula 10 Oktober 2013, manakala Balada Pencinta arahan sutradara profilik Khir Rahman, yang diterbitkan Primeworks Studio memilih tarikh 24 Oktober 2013. Filem Hello arahan A.R Badul akan menemui penonton pada 17 Oktober 2013 dan Highland Tower arahan Pierre Andre pula pada 31 Oktober 2013. Peminat filem tempatan yang sentiasa menunggu filem-filem baru pada setiap minggu khamis, jangan lepaskan peluang anda untuk menonton keenam-enam filem tempatan ini di pawagam, hanya di pawagam bagi peminat filem, manakala bagi anda peminat sinentron dan drama tv hnaya akan meluangkan masa menonton filem di rumah.
Jom kita saksikan ke-enam enam trailer filem di sepanjang bulan Oktober 2013.
GHOST, GHOST, GHOST
3 Oktober 2013
filem arahan M.Subash
KL GANGSTER 2
3 Oktober 2013
filem arahan Syamsul Yusof
LONGKAI
10 Oktober 2013
filem arahan Hashim Rejab
BALADA PENCINTA
24 Oktober 2013
filem arahan Khir Rahman
HELLO
17 Oktober 2013
filem arahan A.R Badul
HIGHLAND TOWER
31 Oktober 2013
filem arahan Pierre Andre
Tonton Di Pawagam
Bukan Di Rumah Anda.
**********
LAPORAN AUDIT NEGARA : PERJELASKAN SIKAP BOROS DALAM PERBELANJAAN!
Majlis Perundingan Petubuhan Islam Malaysia (Mapim) berpendirian kepincangan yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 jelas menuntut penambahbaikkan dan koreksi yang besar dalam cara agensi kerajaan berbelanja dan menguruskan aset.
“Kami juga berpendirian menteri kepada kementerian yang berkaitan dengan penyelewengan dan kecuaian itu harus turut bertanggungjawab dan menjelaskan kepada awam kenapa dan apakah punca penyelewengan serta kecuaian yang telah berlaku,” ujar Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid dalam satu kenyataan, sebagaimana di bawah.
Bila ternakan sudah berkeliaran lari, baru hendak dikunci pagarnya.
Demikian analogi kami melihat satu demi satu salah perbelanjaan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012.
Bila sudah berbilion ringgit yang dibazirkan dengan pembelian yang tidak diperlukan, pembayaran yang melampau tinggi dan kecuaian mengurus aset yang dibeli, barulah nasihat berhemat dan cermat dikeluarkan kepada agensi yang ditegur Ketua Audit Negara.
Jabatan Audit Negara sepatutnya dipuji kerana telah dapat mendedahkan kepincangan dalam pengurusan perbelanjaan agensi-agensi kerajaan setiap tahun. Akan tetapi untuk melaporkan sahaja sudah tentu tidak memadai.
Sekarang dengan pelbagai pembaziran dalam perbelanjaan agensi-agensi yang dilaporkan itu, apakah yang akan dilakukan oleh pihak kerajaan?
Kami tidak dapat mengelakkan dari menyatakan kekesalan yang amat mendalam terhadap pembaziran berbilion ringgit dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012.
Lebih kesal lagi, baru sahaja pihak Kementerian Kewangan mahu memohon peruntukan tambahan bernilai lebih RM14.12 bilion lagi atas alasan bajet yang diluluskan dalam pembentangan bajet terdahulu tidak mencukupi.
Rang Undang-Undang ini sekiranya diluluskan meliputi Jabatan Perbendaharaan mendapat peruntukan terbanyak iaitu RM11.854 bilion untuk Perkhidmatan Am Perbendaharaan dan RM606.9 juta untuk kegunaan Jabatan itu sendiri.
Dilaporkan bahawa Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan yang dibentang pada 14 Septemebr 2013 untuk diluluskan dalam sidang Parlimen yang sedang berjalan sekarang adalah untuk Kementerian Pendidikan sebanyak RM322.8 juta; Kementerian Kesihatan (RM300 juta), Kementerian Pertahanan (RM239 juta) dan Kementerian Dalam Negeri (RM205.1 juta).
Jika Jabatan Audit Negara telah mengenal pasti begitu besar ketirisan, pembaziran, salah beli dan salah urus perbelanjaan yang telah diluluskan sebelum ini, apakah justifikasi peruntukan tambahan yang dipohon mahu dilulus di Parlimen sekarang ini?
Kami mempersoalkan kenapa dari awal menyiapkan keperluan bajet semua agensi yang dihantar kepada perbendaharan setiap tahun, tidak melalui penelitian yang rapi bermula dari peringkat ia sedang dirangkakan lagi?
Bukankah sepatutnya pihak perbendaharaan memeriksa setiap bajet yang diutarakan hendaklah diperinci dan diteliti secara halusi, melihat satu butir ke satu butir, bertanya rasional dan alasan kenapa bajet itu dipohon hatta ke perkara yang paling kecil sekalipun?
Ini bukan kali pertama Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan kepincangan dan salah berbelanja aset kerajaan yang dibeli dan diurus oleh setiap agensi.
Soalnya kenapa pembaziran dan kecuaian yang melibatkan berbilion ringgit wang awam yang dibelanja oleh pelbagai agensi itu masih menunjukkan kepincangan yang berulang.
Kami kesal kenapa pihak kerajaan tidak mengambil langkah bersungguh untuk menutup segala lompang dalam pengurusan yang telah berkali-kali dikenalpasti oleh Ketua Audit Negara.
Dengan yang demikian kami menggesa supaya Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan ditangguh kelulusannya sehingga kerajaan menunjukkan kesungguhan untuk memperbaiki segala kelemahan dalam perbelanjaan kerajaan sama ada negeri mahupun pusat.
Kami mengusulkan supaya prosedur penyiapan bajet bagi setiap agensi hendaklah disemak semula supaya suatu penelitian awal untuk menjustifikasi kelulusan setiap butir perbelanjaan yang dipohon itu hendaklah menjalani hujah dan rasional dengan kukuh, sebelum dilulus.
Kami berpendirian kepincangan yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 itu jelas menuntut penambahbaikkan dan koreksi yang besar dalam cara agensi kerajaan berbelanja dan menguruskan aset.
Kami juga berpendirian menteri kepada kementerian yang berkaitan dengan penyelewengan dan kecuaian itu harus turut bertanggungjawab dan menjelaskan kepada awam kenapa dan apakah punca penyelewengan serta kecuaian yang telah berlaku.
p/s: artikel ini sebagai perkongsian secara maya diterbitkan oleh Harakah Dialy
KL GANGSTER 2 DAPAT SOKONGAN 10 PENERBIT TEMPATAN
Simpati nasib filem aksi, KL Gangster 2, yang menjadi mangsa cetak rompak terburuk industri perfileman tanah air, 10 syarikat produksi tempatan bergabung meringankan beban ditanggung syarikat penerbitannya, Skop Production Sdn Bhd (SPSB) dan Primeworks Studios Sdn Bhd (PSSB).
Filem arahan Syamsul Yusof yang mula ditayangkan kepada umum sejak semalam mendapat sokongan syarikat produksi terbabit dalam bentuk pembelian tiket sebanyak 5,000 keping.
Menurut penerbit, Datuk Yusof Haslam, sokongan hasil nilai persahabatan yang baik itu diberikan demi melihat industri filem tanah air berkembang maju. “Alhamdulillah, inilah nilai persahabatan ditunjukkan syarikat produksi tempatan, yang simpati dengan nasib filem saya selepas menjadi mangsa kerakusan pihak tidak bertanggungjawab.
Sepuluh penerbit bersetuju membeli 500 tiket setiap syarikat dalam usaha meringankan beban kos besar yang saya tanggung” Yusof Haslam, Penerbit
“Inilah juga perkhabaran gembira apabila 10 penerbit bersetuju membeli 500 tiket setiap syarikat dalam usaha meringankan beban kos besar yang saya tanggung dalam pembikinan filem ini.
“Bukan nilai yang kita utamakan, tetapi saya sangat berbesar hati dan terharu melihat semangat yang mereka tunjukkan bagi membantu mengembangkan lagi industri filem negara.
“Industri perfileman turut memperakui, filem yang menelan kos RM4.5 juta ini berpotensi besar dalam menyumbang kutipan tertinggi, sekali gus mengangkat martabat filem Melayu. Namun, selepas menjadi mangsa cetak rompak, kedudukan itu agak terganggu. Begitupun, saya tetap pasrah dan reda dengan rezeki yang ditentukan buat saya. Paling penting, saya tidak akan putus asa untuk terus menerbitkan filem bermutu tinggi selepas ini,” katanya yang ditemui selepas majlis dialog antara Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), semalam.
Bagi memberikan pengiktirafan kepada 10 syarikat berkenaan, Skop akan mengadakan sidang media pada 8 Oktober ini bertempat di FINAS, jam 3 petang.
Sudah pungut RM700,000
Sementara itu, Yusof turut mengumumkan, KL Gangster 2 berjaya memungut RM700,000 menerusi tayangan larut malam selama empat hari, bermula 27 hingga 29 September dan 2 Oktober lalu.
“Jumlah terbabit menggambarkan potensi yang baik untuk filem ini pergi lebih jauh. Daripada tinjauan kami di beberapa pawagam, kebanyakan penonton yang hadir sudah menontonnya menerusi VCD cetak rompak, namun mereka tidak puas dengan kualiti produk haram itu.
“Mereka lebih berkeyakinan untuk menonton sendiri di pawagam apabila banyak kesan khas dengan kualiti warna lebih terang dapat dinikmati di layar lebar,” katanya.
p/s: artikel ini sebagai perkongsian secara maya diterbitkan oleh Berita Harian.
A-LIST - SALURAN FILEM TERBAIK BERDEFINISI TINGGI
Peminat dunia filem ketika ini mungkin beruntung apabila banyak filem menguasai pasaran khususnya di kaca tv. Apabila filem mula berlambak ditayangkan di mana-mana stesen televisyen tidak kira berbayar atau 'percuma', penonton di beri peluang untuk memilih genre mana yang mereka suka, malah untuk ditonton ataupun dijadikan koleksi peribadi, khususnya bagi mereka yang memiliki perisian PVR, di mana saluran dan filem kegemaran boleh dirakam dan ditonton di rumah pada bila-bila masa yang disukai atau digemari.
Apabila ASTRO memiliki saluran HBO, Star Movies, Astro Box Office, Astro Citra, Astro Best, Astro First mahupun siaran filem lain, penonton disajikan pula dengan satu saluran baru berdefinisi tinggi (HD), di mana filem-filem berkualiti yang berputar di beberapa festival filem antarabangsa mula menemui penontonnya bermula 1 Oktober 2013. A-List, antara saluran berbayar yang ditayangkan dalam format HD sepenuhnya boleh dilanggan bagi anda yang sentiasa mahukan kelainan dalam tontonan filem-filem yang berbeza sebelumnya.
8 FILEM HANYA RM15 SEBULAN
Filem-filem di saluran A-List akan ditayangkan dalam bahasa asal filem tersebut dengan pilihan sarikata dalam pelbagai bahasa disediakan. Setiap bulan, A-List akan menyiarkan sebanyak lapan buah filem yang diiktiraf di Malaysia dari festival-festival filem seperti Busan International Film Festival, Berlinale Film Festival, Toronto Film Festival dan Cannes Film Festival.
Bagaimana filem-filem dipilih untuk saluran A-List di Astro:
Filem-filem yang tercalon dan memenangi anugerah ini dipilih secara terperinci untuk disiarkan di saluran A-List berdasarkan kriteria berikut:
- • Tema, tahap relevan, ciri tersendiri dan unik dengan mengetengahkan isu dan keupayaan untuk menjana daya pemikiran dan perbincangan.
- • Hasil karya para pengiat filem baru yang kreatif.
- • Filem-filem yang mendapat perhatian di Malaysia dan juga serantau.
- • Berdasarkan kisah benar dan mempunyai unsur lanskap sosial, ekonomi dan politik dunia serta serantau yang relevan.
Pada bulan Oktober ini, A-List akan menayangkan sebanyak 8 buah filem kontemporari termasuklah drama kisah benar yang mencetuskan kontroversi mengenai penjara di Korea Selatan bertajuk National Security yang telah meraih pencalonan dalam kategori Filem Bahasa Asing Terbaik di 86th Academy Awards 2014. National Security menceritakan mengenai penderitaan fizikal dan mental yang dihadapi oleh seorang ahli politik muda sepanjang tiga minggu tempoh penyeksaan di pusat tahanan Nam Young Dong yang terkenal di bawah pemerintahan tentera Korea Selatan pada tahun 1980-an.
Bulan Oktober ini juga, A-List akan menyiarkan sebuah drama kelansungan hidup daripada Iran yang berjudul Berlin-7 yang mengisahkan mengenai sebuah keluarga dari Iraq yang cuba melarikan diri daripada kekecohan perang di negaranya ke bandar Berlin, lantas mengakibatkan mereka menghadapi bahaya dan kesusahan yang lebih dahsyat. Tidak ketinggalan juga sebuah filem Argentina yang telah merangkul anugerah di Academy Awards iaitu The Secret in Their Eyes yang mengisahkan tentang seorang ejen penguatkuasa Persekutuan Argentina yang cuba mencari kebenaran di sebalik kes rogol dan pembunuhan kejam seorang gadis. Plot penceritaan filem ini akan menjadi semakin rumit tatkala dia semakin hampir dengan jawapan yang dicari.
Saksikan juga filem hiburan ringan berunsur komedi romantik dari Korea Selatan berjudul How to Use Guys with Secret Tips dibintangi oleh Lee Si Young dan Oh Jung Se yang telah memenangi anugerah di 2013 Udine Far East Film Festival dan 2013 FanTasia International Film Festival. Pastikan anda turut menonton sebuah lagi filem komedi romantik dari Taiwan yang berjudul When Wolf Falls in Love with Sheep yang telah meraih pelbagai anugerah di Anugerah Filem Asia 2013. Selain itu, Sir Michael Caine yang merupakan pemenang Anugerah Oscar sebanyak dua kali akan menghiburkan anda dengan sebuah kisah cinta mengenai seorang lelaki berusia yang sangat degil bertemu dengan maksud cinta dan kehidupan sekali lagi selepas berjumpa dengan seorang gadis secara kebetulan dalam drama komedi berjudul Mr Morgan’s Last Love yang diarahkan oleh seorang pengarah yang telah memenangi pelbagai anugerah iaitu Sandra Nettlebeck.
Para pelanggan Astro boleh menantikan lebih banyak filem-filem kontemporari yang baru dan menghiburkan di saluran A-List seperti Much Ado About Nothing (telah memenangi Anugerah Khas Penonton di 13th Belfast Film Festival) yang diarahkan oleh pengarah filem Avengers iaitu Jose Wheedon. Juga sebuah filem yang telah memenangi dua anugerah berjudul A Monkey On My Shoulder dibintangi oleh Juliette Binoche yang turut merangkul pelbagai anugerah. Para pelanggan boleh menonton saluran A-List melalui langganan bulanan sebanyak RM15 untuk lapan buah filem berbeza setiap bulan ataupun menempah secara ala-carte dengan bayaran RM8 untuk sebuah filem melalui Astro B.yond VOD.
Untuk maklumat lanjut mengenai cara untuk melanggan saluran A-List, sila ke saluran 200 atau layari www.astro.com.my/A-List atau hubungi talian 1300 82 3838.
Credit info: Budiey