Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


Jumaat, 13 Disember 2013

WARNA WARNA KOLUMPO : BERSABARLAH SANG ALAM.

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan kenyataan seorang ahli politik berpangkat Datuk mengenai kelulusan sesebuah filem di pawagam. Menurutnya, industri filem tempatan banyak menerbitkan karya filem yang boleh diandaikan sebagai 'mengarut dan merepek'. Rasanya, pendapat itu bersifat 'peribadi' yang dilontarkan tanpa usul periksa malahan tidak diperhalusi secara teliti memandangkan banyak karya filem yang diterbitkan seseorang pengarah itu mempunyai pelbagai 'genrenya'. Bunohan, Kil, Psiko Pencuri Hati, Balada Pencinta, Kisah Paling Gangster, dan paling terbaru, KOLUMPO antara contoh karya yang boleh disifatkan sebagai 'filem yang bermaruah dan mempunyai intipatinya yang tersendiri'. Namun, adakah andaian 'Datuk' itu boleh diterima pakai ; atau sudahkah ia menonton KOLUMPO?. 


Diarahkan oleh 3 graduan filem dari Akademi Filem Malaysia, Bront Palarae, Rozi Isma dan Sheikh Munasar, KOLUMPO memberi satu dimensi baru terhadap lanskap dunia filem tempatan. 'Merah, Biru dan Kuning', (pada poster filem) antara 3 simbol warna yang cuba bercerita tentang sesuatu perkara iaitu 'kehidupan, cinta dan keinginan' untuk hidup di kota metropolitan Kuala Lumpur, di mana perjalanan kisah setiap cerita dalam filem ini mempunyai tanggungjawabnya yang tersendiri. KOLUMPO mempunyai 3 cerita, di mana setiap satu ceritanya bersangkut paut dengan kehidupan kita khususnya warga KL atau lebih sinonim sebagai Ko-Lum-PO. Cerita Pertama tentang Rahul (lakonan Azad Jasmin) yang berhijrah dari Mumbai, India ke Kuala Lumpur, Malaysia. Tibanya di KL ( paparan KLIA dan Kapal Terbang), meletakkan imej KL sebagai bandar idaman yang belum tentu 'membahagiakan' penghuninya samada secara sedar atau tidak. Rahul (Azad Jasmin) yang bertemu dengan Rahim (Sabri Yunus) di KLIA ; sehingga membuatkan Rahul terpedaya dengan Rahim kononnya baik, tetapi mengambil peluang dengan menipu Rahul dari segi kos tambang untuk masuk ke Kota Kolumpo. Tragedi begini sememangnya realiti yang acap kali berlaku terhadap warga asing atau 'rakyat kita sendiri' yang boleh dikatakan sebagai 'first time in KL atau Pertama Kali di KL'. Isu Imigrasi atau Penghijrahan warga asing ke Malaysia - KL, menjadi plot baik yang agak penting di dalam pembikinan KOLUMPO. Keresahan 'mereka' meniti hidup melalui karektor Rahul yang bertemu dengan Vasu (Mano Maniam), Komang (Soffi Jikan), Feroz (Radhi Khalid) dan sebagainya boleh dilihat menerusi 'sinematografi' yang terdapat dalam babak demi babak menerusi Kolumpo. Bront Palarae selaku sutradara pada kisah pertama ini boleh dianggap agak 'bijak' kerana apa yang dipaparkan dalam kisah pertama ini mempunyai maksudnya iaitu 'resah, dendam, sakit hati, jeritan dan sebagainya bagi menggambarkan 'inilah kolumpo' - bandar yang korang suka, cinta dan rosakkannya. Menariknya, ada beberapa 'babak' dalam part 1 ini di mana kita boleh saksikan ketika dialog antara Farid Kamil dan Sara Ali. Bront cuba mengkritik Sinema Malaysia melalui realiti kebanjiran beberapa orang pengarah yang mengarahkan filem, rata-ratanya mempunyai background sebagai seorang pelakon ; yang ditugaskan mengarahkan filem. Dialog seperti ' inilah susahnya kalau pelakon nak jadi director!. Tidak salah rasanya, namun 'mereka' perlu memberikan sesuatu dalam skop sinema besar sepertimana penampilan julung kali ke layar besar, Bront dengan cerita 'Kolumpo'nya. Beberapa karyawan filem yang memberikan 'cameo' dalam cerita ini adalah Remy Ishak, Sara Ali, Farid Kamil, Johan As'ari, Dain Said, dan sebagainya.


Alam kehidupan warga KL dalam Kolumpo diteruskan lagi dengan kisah kedua, di mana garapan nya pula ditangan Rozi Isma. Kekusutan bandar KL digambarkan pada scene 'Gienna' lakonan Nell Ng. Gienna yang terperangkap dalam kesibukan lalu-lintas ditengah bandaraya Kuala Lumpur mencerminkan 'sikap' dan 'mentaliti' warga kota itu sendiri. Kesibukan tanpa batasan tidak bermakna kehidupan masyarakatnya tidak sempurna. Gienna yang mewakili watak jutaan rakyat Malaysia yang saban hari melalui jalan yang agak sesak ke tempat kerja. Gienna yang perlu mengambil Joyce terpaksa bergegas mengikut arus masa dan bersabar dengan 'keresahan' bandar KL itu sendiri, berjaya menemukan Gienna dengan seorang nenek tua bernama Nek Wok (dalam erti sindiran pada teknologi komputer iaitu Network). Nek Wok, seorang nenek tua yang sudah nyanyuk ; sering kali terlupa di mana jalan pulang ke rumah, telah berjaya memerangkap Gienna sehingga ke penghujung cerita kedua ini. Menariknya, penampilan Ruminah Sidek sebagai Nek Wok sangat bersahaja. Tidak memerlukan lakonan yang agak keterlaluan seperti pelakon-pelakon lain termasuk yang senior atau veteran. Hanya menggunakan mimik muka, dialog yang diulang banyak kali ketika dalam kereta, menampakkan 'betapa indahnya alam dan kehidupan masyarakat Kuala Lumpur' dalam Kolumpo. Kemunculan watak lakonan Dira Abu Zahar yang merealitikan scene 'akak penjual di warung tepi jalan', memberikan persepsi negatif terhadap persekitaran warga kota khususnya yang 'buat hal sendiri, tidak mahu membantu, dan tidak jujur bercakap kerana terpaksa'. Scene seperti ini boleh kita saksikan di mana jua ceruk di bumi KL ini sekalipun , pasti akan kita temui karektor seperti Dira itu dalam dunia realiti. Bukan itu sahaja, kita dapat saksikan juga ketika 'Gienna' berhenti di bawah jambatan ketika mahu mencari rumah Nek Wok. Lihat bagaimana Gienna dilayan sebegitu rupa. Ini realiti yang cuba Rozi Isma terapkan dalam Kolumpo. Beberapa kritikan sinis terhadap dunia politik khususnya, digambarkan dalam part 2 ini. Lihat saja di mana ketika dialog Nek Wok di bawa melalui celah-celah flat . Frame scene menunjukkan bangunan-bangunan tinggi, kereta dan penduduk sekitarnya. Nek Wok mempersoalkan 'kenapa kerajaan suka bina bangunan tinggi-tinggi?, - bagi orang sepertinya agak susah barangkali untuk turun ke bawah jika berlaku kecemasan. Inilah rintihan Nek Wok yang mungkin mewakili beberapa karektor sebenar masyarakat sepertinya. Akibat sehari suntuk sehingga kehabisan minyak kereta, Gienna merasakan bahawa 'hidup bekerluarga' itu penting memandangkan sikap Nek Wok itu sendiri berjaya membuatkan Gienna merasai bahawa 'dunia bukan seorang, tetapi milik kita semua..'



Warna Warni kehidupan Kolumpo diteruskan lagi dengan kisah ketiga. Dari siang seterusnya senja dan malam, perjalanan Kolumpo bagaikan sebuah road movie., seolah-olah anda sedang membaca sebuah novel fixi yang menceritakan tentang 'kerakusan, kesabaran dan kehidupan', warga kl seanteronya. Penemuan Hafidd lakonan Amirul Ariff, si anak ikan yang wajahnya saling tak tumpah seperti pelakon Johan As'ari (itulah kelebihan Amirul dalam cerita ini) dengan Siti Nor Hayy lakonan Sharifah Armani, seorang homeless. Cerita ketiga ini agak simple, cuma garapannya agak menarik dengan penemuan beberapa warga 'malam' yang hidup ditengah-tengah kota Kolumpo yang penuh dengan segala macam penghuninya. Karektor Armani, mengingatkan saya pada personaliti pelakon Mislina Mustaffa menerusi imej yang dipersembahkan Nani menerusi permainan watak 'homeless' nya. Kali ini sentuhan Sheikh Munasar cukup 'berbisa' sepertimana karya-karyanya sebelum ini seperti 'Keluarga Saya' dan 'Kalsom' dalam medium cereka pendek. Hafidd seorang anak muda yang mencari identiti diri dan pasangan hidup, berkenalan dengan Siti Nor Hayy di KLCC berjaya membawa Hafidd meneroka sisi gelap dunia KL walaupun sedikit cuma. Watak Sherry  (pelacur) dan Nurul Atikah binti Abdul Rahman (seorang mak nyah) adalah watak yang merangkumi ribuan warga KL yang mencari rezeki di bumi Kolumpo. Penemuan mereka bersama Siti Nor Hayy walaupun sekadar 'sekejap sahaja', namun impaknya sangat besar iaitu 'persahabatan' tanpa mengira status diri dan jantina. Hubungan satu malam Hafidd dengan Siti Nur Hayy berjaya menimbul bibit-bibit suka, sayang dan cinta tapi malu untuk berterus terang. Frame terakhir filem ini memaparkan 'pertembungan' antara 'dua rasa' yang terpisah dengan satu perjalanan iaitu 'monorail' di mana watak Nani melangkah masuk ke dalam train, lalu meninggalkan Hafidd yang kekosongan dan masih mengharapkan 'nombor telefon' darinya. Ini antara frame yang paling saya suka dalam Kolumpo walaupun banyak 'scene' dalam mana-mana filem cereka yang pernah saya tonton menggunakan 'monorail' sebagai platform ceritanya, tetapi dalam 'Kolumpo' ia cukup berbeza dan pasti meninggalkan satu tanda kenangan yang mungkin tidak akan dilupakan buat anda yang barangkali pernah merasai pengalaman sebegitu. Walaupun agak simple, namun jika diteliti salah satu frame dalam filem ini seolah-olah memperkatakan sesuatu. Lihat sahaja scene di mana watak Nurul Atikah yang melacur mencari pelanggan dan bertemu dengan Siti Nor Hayy dan Hafidd. Perhatikan Billboard yang terdapat dalam filem itu. Ada gambar Najib Razak dan slogan 1 Malaysianya. Apa signifikasi terhadap scene tersebut?. Adakah Sheikh Munasar selaku sutradaranya mahu berbicara mengenai dunia Kolumpo itu sendiri dengan mengaitkan dunia malam dan cara hidup warga penghuninya?.


KOLUMPO seakan-akan filem JAKARTA MAGHRIB dari Indonesia tapi pengisian dan isi cerita mereka berbeza. Dimulakan dengan siang dan berakhir malam, kolumpo memberi dimensi baru dalam dunia filem tempatan. Peminat filem Yasmin Ahmad wajar menonton filem ini kerana garapan Bront Palarae, Rozi Isma dan Sheikh Munasar boleh dikatakan seiras filem arahan pengarah hebat itu. Namun, peminat filem tidak wajar membandingkan 'kualiti' pembikinan filem ini dengan 'kuantiti' kutipan yang diraih penerbitnya. Kolumpo cukup berbeza dengan filem-filem komersial lain, namun ceritanya cuma satu iaitu untuk 'kita, anda, kami, dan AKU' yang hidup dibumi bernama Kuala Lumpur. Tonton dengan minda terbuka, kosongkan fikiran, dan pasti anda akan temui apa yang anda cari selama ini, pastinya ada dalam KOLUMPO, arahan 3 generasi hebat Bront, Rozi dan Moon (Sheikh Munasar). 

*Bagi anda yang belum menonton filem ini. Tidak rugi rasanya jika anda menonton filem ini di pawagam. Kerana apa yang anda mahukan ada dalam filem ini. ********** untuk KOLUMPO, filem terbaik bagi penutup Sinema Disember 2013. Jumpa lagi untuk review dalam filem seterusnya*

tonton di pawagam bukan di rumah anda

Amaran: Anda tidak dibenarkan menerbitkan artikel ini semula dalam apa jua bentuk sekalipun tanpa kebenaran penulis. Harap maklum

0 comments :