Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


adcash

Pre-Order Now! Click Here!

Pre-Order Now! Click Here!
Tempahan untuk album terbaharu Dato' Sri Siti Nurhaliza #ManifestaSiti2020 sudah dibuka!. Klik untuk tempahan!

Selasa, 1 April 2014

DUNIA MUZIK MELALUI 'PIRING HITAM'


Jika sebut sahaja 'piring hitam', barangkali ada yang 'terpinga-pinga dan tertanya-tanya'. Persoalan seperti 'relevankah lagi penerbitan album dalam bentuk piring hitam sedangkan muzik sebegitu hanya layak buat lagu-lagu lama ataupun klasik'. Penerbitan album kini tertumpu pada jaringan 'media sosial' melalui perkongsian secara terus menggunakan internet ataupun kemudahan 'itunes' iaitu download secara terus tanpa perlu membuang masa dan tenaga mengunjungi kedai muzik berdekatan. Muzik ibarat satu nyawa buat manusia, ia berkembang dan popular selagi sesuatu muzik itu dimainkan atau beredar dalam dunia muzik melalui apa jua platform sekalipun.

Legasi 'piring hitam' pada era 40 hingga 80-an, digantikan dengan medium 'kaset' yang mula diminati peminat muzik lewat 90an. Apabila teknologi semakin berkembang, muzik di Malaysia mula diterbitkan syarikat rakaman dalam bentuk digital menerusi Cakera Padat (CD). Walaupun dihasilkan dalam bentuk CD, namun kaset dan piring hitam ketika itu masih lagi diminati. Apabila muzik mula dimuat naik ke laman internet menerusi rangkuman muzik secara dalam talian, peminat muzik kini boleh mengakses sesuatu bahan secara mudah dengan hanya 'satu klik'. Walaupun kita boleh memiliki 'sesuatu muzik', melalui internet namun penerbitan album secara bercetak seterusnya dipasarkan atau dijual di kedai muzik adalah masih relevan.


Di pasaran antarabangsa, penerbitan album dalam bentuk 'Piring Hitam' (vinyl records, LP) masih rancak dilakukan sehingga menjadi satu trend wajib bagi seseorang penyanyi samada artis baru mahupun yang sudah lama. Jika dibandingkan di Malaysia saat ini, penerbitan album dalam bentuk  'piring hitam' tidak lagi dilakukan memandangkan ia memerlukan kos penerbitan yang sangat tinggi. Sekiranya adapun, cuma segelintir sahaja yang sanggup melabur duit penghasilannya walaupun rakaman dalam bentuk 'piring hitam' lebih tahan lama berbanding Kaset dan CD. Harus diingat bahawa Malaysia tidak ada lagi tempat membuat piring hitam (mungkin ada tapi tak popular) ; mereka yang berminat pasti sanggup dan paling dekat penghasilannya adalah di Bangkok, Thailand.

Ketika tinjauan dibuat baru-baru ini, Amcorp Mall, Petaling Jaya, Selangor antara pusat jualan dan pengumpulan 'piring hitam' yang cukup banyak. Sabtu dan Ahad, merupakan hari minggu yang sentiasa dikunjungi ramai peminat barang-barang antik, bukan sahaja tertumpu pada muzik klasik melayu, malahan mereka boleh memiliki beberapa koleksi yang agak 'rare' dan tidak pernah ada di pasaran komersial meliputi muzik antarabangsa dari zaman 30an hinggalah ke era 90an. Anneke Gronloh, Maryln Monroe, Nina Simone dan The Beatles antara beberapa nama yang 'piring hitamnya' masih laku dan panas khususnya dikalangan peminat muzik klasik tidak kira jantina, usia, warna kulit dan agama. Namun, jangan terkejut jika anda terjumpa  dicelah-celah koleksi itu ada terjual piring hitam Adele yang popular dengan lagu 'Someone Like You, Rolling In The Deep, Crazy For You, First Love' dan sebagainya. Ini merupakan antara piring hitam terkini yang mungkin dimiliki atau tidak oleh peminat sesebuah muzik.


Selain itu, peminat muzik juga boleh mendapatkan beberapa koleksi klasik yang lain, misalnya tamil, hindi, china, japan, korea dan sebagainya. Bagi dunia muzik tempatan, irama muzik boleh dikatakan popular pada era 'filem melayu klasik', di mana ketika itu nama seperti P.Ramlee, Saloma, Aziz Jaafar, Normadiah, Nona Asiah, Momo Latiff' menjadi pujaan pendengar radio dan peminat ketika itu. Kemunculan 'Ahmad Jais, Kartina Dahari, Rafeah Buang, SM Salim, Rosiah Chik, R.Ismail dan sebagainya  (hanya sekadar menyebut beberapa nama sahaja) merancakkan lagi dunia muzik pada masa itu. Muzik yang dihasilkan pada zaman itu bercorakkan 'kemelayuan' yang mempunyai 'nilai jatidiri' sehingga kini menjadi antara 'muzik malar segar' yang kian diminati dan tidak akan luput ditelan masa. 

Penghasilan muzik pada era itu hanya tertumpu pada format EP dan Piring Hitam (Long Player ; vinyl, LP). Hanya mereka yang 'berada' sahaja mampu memiliki pemain 'piring hitam' pada masa itu. Walaupun tidak lagi diterbitkan dalam bentuk 'muzik baru' ; hanya artis antarabangsa sahaja yang mengeluarkan format 'piring hitam' selain CD pada masa kini, namun 'penjualan piring hitam lama ataupun klasik', masih lagi diminati sehingga ke hari ini. Amcorp Mall, Petaling Jaya, Selangor antara 'port' terbaik untuk mendapatkan pelbagai koleksi piring hitam dengan harga jualan sekitar RM 10 hinggalah menjengah ke harga RM 1,000 bagi sekeping atau dua piring hitam mengikut 'nama penyanyi dan popularitinya'. Namun begitu, adakah penjualan 'piring hitam' itu melanggar 'hak cipta' yang dilindungi bagi setiap karya yang diterbitkan?. Bukan ingin mempersoalkan hak penjualan atau membangkitkan benda yang lama bagi tujuan meraih simpati, namun harus diingat bahawa penjualan semula sesuatu hasil karya itu adalah melanggar akta hak cipta walaupun sesuatu bahan itu sudah lama atau sebagainya. Mungkin 'mereka' yang menjual itu sekadar berkongsi barang antik, lama, klasik yang sukar dimiliki di pasaran komersial menerusi 'piring hitam'. Jika seandainya 'piring hitam' itu misalnya pernah diterbitkan oleh EMI, Polygram, Philips, Warner Music dan sebagainnya, dihasilkan semula dan dijual pada masa kini, misalnya piring hitam P.Ramlee itu dicetak baru, nescaya ia mendapat sambutan hangat di pasaran bagi pengumpul dan peminat piring hitam. Ini mungkin satu cadangan baik yang harus difikirkan bersama bagi mengangkat, memartabatkan serta memelihara khazanah muzik tempatan yang dahulunya 'segar', akan terus 'begemerlapan' bagaikan cahaya yang menari di langit biru. 


'Muzik tanpa piring hitam', akan terus terkubur, layu umpama menunggu kematian bagi setiap yang bernafas. Industri muzik tidak lagi dihormati sekiranya penerbitan album dihentikan walaupun teknologi moden kini memerlukan penerbitan muzik secara maya. Hargailah khazanah muzik kita, tanpa yang lama, tidak akan muncul yang baru. 

Tepuk dada Tanya Selera..