Isnin, 12 Mei 2014
AZIZ SATTAR 'MEMANG' SUDAH LAMA DIHILANGKAN.
HILANGNYA tiada ganti, cahaya yang dinyalakan oleh pelawak ini tidak pernah padam sejak nama Aziz Sattar mula terkenal sebagai pelawak dan pelakon hebat yang pernah dilahirkan di Jalan Ampas, Singapura. Siapa yang tidak mengenali seniman ini. Gelak tawanya, canda guraunya senantiasa bersama khalayak. Seolah-olah tiada yang merungut kerana bosan menonton ulang tayang berpuluh malah mungkin beratus kali filem-filem lakonannya bersama P. Ramlee di televisyen. Itu menunjukkan Aziz Sattar mempunyai kehebatan.
Tetapi seperti biasa, setiap kali pulangnya seniman veteran ke rahmatullah, banyak jugalah suara-suara yang penuh hipokrit dan klise tentang seniman berkenaan. Hal yang serupa juga berlaku apabila Aziz Sattar kembali ke rahmatullah Isnin lalu. Semua yang kita dengar dan baca adalah luahan pihak-pihak tertentu tentang kehebatan Aziz Sattar dalam lakonan khususnya untuk watak komedi.
Kalau melihat kepada pujian-pujian selepas ketiadaan Aziz Sattar, sudah tentu kehidupan seniman itu tidak seperti yang kita semua saksikan. Kedudukan Aziz Sattar dalam masyarakat dan di mata pengarah serta penerbit drama atau filem tidak sama dengan pujian yang diberikan. Banyak penerbit dan pengarah hipokrit tentang Aziz Sattar.
Apabila seniman itu sudah tiada, mereka memuji kehebatannya tetapi apakah yang mereka lakukan kepada Aziz Sattar semasa hayatnya? Pernahkah mereka menawarkan watak yang penting kepada Aziz Sattar dengan bayaran yang setimpal dengan kehebatan yang dicanangkan selepas ketiadaannya? Banyak pengarah dan penerbit kita yang memijak seniman-seniman besar seperti Aziz Sattar dengan bayaran yang jauh lebih rendah berbanding pelakon yang baru belajar "melintas kamera". Pelakon-pelakon ini mendapat bayaran tinggi dan hidup mewah padahal pelakon setaraf Aziz Sattar bagai melukut di tepi gantang.
Banyak pihak tidak berlaku adil kepada Aziz Sattar. Sebaliknya mengambil kesempatan memuji kehebatan Aziz Sattar selepas ketiadaannya. Ini hipokrit. Kita bukan mahu menyuruh mereka mengambil Aziz Sattar berlakon atau membayar dengan harga yang tinggi kerana dia seorang pelakon veteran. Kita mahu dia dibayar tinggi dan memberi watak penting kerana kehebatannya.
Apabila industri filem dan dunia lakonan di negara ini ditentukan oleh penerbit dan pengarah yang materialistik, perkara ini akan terus berulang kepada pelakon veteran lain yang hebat. Bayangkan kalau bayaran kepada pelakon setaraf Aziz Sattar lebih rendah daripada pelakon baru? Bayangkan juga pelakon-pelakon yang hebat ini hanya diberi watak tempelan yang ada atau tiada tidak memberikan kesan kepada drama atau filem. Ini satu penghinaan.
Jadi, tidak usahlah pihak-pihak tertentu hipokrit kononnya kita kehilangan Aziz Sattar. Hakikatnya Aziz Sattar sudah lama hilang. Hilangnya Aziz Sattar apabila kehebatan pelakon ini langsung tidak pernah diangkat oleh mana-mana pengarah dan penerbit sejak akhir-akhir ini.
Aziz tidak diletakkan sebagai teraju utama jauh sekali sebagai hero sejak namanya semakin suram lebih kurang 20 tahun yang lalu. Tidak seperti pelakon Barat yang semakin berusia semakin tinggi bayarannya dan semakin tertonjol watak lakonan mereka. Pelakon veteran Marlon Brando, Robert Redford, Sean Connery atau Anthony Quiin mendapat tempat utama hingga ke akhir hayat. Ini menjadi berbeza kerana pengarah dan penerbit filem di sana tidak " buta seni" seperti kebanyakkan pengarah dan penerbit di negara ini.
Beliau hanya digelar pelakon veteran, dirai di dalam acara glamour dengan kehadiran pemimpin atau hanya diraikan ketika acara berbuka puasa yang mengumpulkan rakan-rakan veteran setahun sekali. Meskipun hakikat ini cukup perit untuk ditelan, inilah hakikat yang berlaku kepada mereka. Apabila berusia mereka hanya layak bergelar pelakon veteran dan mendapat layanan sebagai "orang tua" bukan sebagai pelakon hebat yang dimatangkan oleh usia.
Kenangan
Keakraban Aziz Sattar bersama P. Ramlee dan S. Samsuddin bukan kisah dongeng. Persahabatan yang mereka jalinkan sejak tahun 1950-an kekal bertahan meskipun dua lagi sahabatnya terlebih dahulu kembali menemui Ilahi. Bagi generasi lama pastinya kehebatan Studio Jalan Ampas begitu dekat di hati. Lahirnya banyak nama-nama besar tanah air di sana ditambah dengan jumlah filem yang kekal bertahan sampai hari ini.
Aziz Sattar merupakan antara generasi yang mencorakkan Jalan Ampas sebelum tempat tersebut ditutup dan berpindah ke Kuala Lumpur. Meskipun tidak hadir dengan bintang bersinar ketika itu, bakat seni seniman ini tidak malap. Beliau tahu dengan mencuba sedaya upaya untuk menjadi pelakon barulah nasibnya akan berubah ketika itu.
Kini tiada lagi derai tawa Aziz Sattar akan kedengaran. Tiada lagi usikan manja pelakon yang bernoktah pada usia 89 tahun itu. Aziz Sattar telah menemui penciptanya. Persemadian terakhir telah ditempuhi menandakan jasadnya tidak akan lagi bersama seluruh pencinta hasil seninya.
Pemergiaan Aziz tidak sekadar diratapi oleh anak, cucu dan cicitnya tetapi turut dirasai oleh segenap lapisan masyarakat. Pastinya kepergian Aziz akan dirindui oleh semua. Pastinya ketiadaan Bujang Lapok terakhir ini bagai mengikut jejak kepergian dua lagi sahabat karibnya iaitu P. Ramlee dan S. Samsuddin.
Artikel ini diterbitkan Utusan Malaysia pada 11 Mei 2014 secara bercetak, di mana tulisannya oleh Syed Musaddad. Suatu artikel menarik.
Jumaat, 9 Mei 2014
BICARA FILEM: MURTAD BERLAKU DALAM PELBAGAI CARA
Jumaat, Mei 09, 2014
Fairoz Azizan
,
FDAM
,
FINAS
,
Halal Haram dalam Filem
,
Murtad dalam filem
,
Ustaz Kazim Elias
0 comments
Terlalu memandang remeh perkara yang membabitkan hukum-hakam islam menyebabkan ramai dalam kalangan penggiat seni perfileman dan drama tidak menitikberatkan soal berkenaan dalam penghasilan sesebuah karya. Akibat mahu mengejar keuntungan semata-mata, golongan berkenaan di anggap mengambil mudah garis panduan yang di tetapkan dalam ajaran islam, tanpa memikirkan kebaikan dan keburukannya kepada khalayak.
Tindakan tidak mahu merujuk atau dianggap bersikap sombong terhadap pakar agama, mengakibatkan sesetengah karya yang dihasilkan menyimpang daripada landasan ajaran islam sebenar, seterusnya boleh membawa kesan buruk kepada masyarakat. Menganggap industri seni juga terikat dengan peraturan agama, penceramah bebas, Ustaz Kazim Elias, berkata setiap penghasilan karya tidak boleh melampaui batas atau had ditetapkan oleh agama.
Susulan itu, beliau menyarankan pembikin filem atau drama melantik seseorang yang berpengalaman dalam agama sebagai tempat rujukan sesebelum sesebuah skrip atau karya dihasilkan. "Tolong buat filem yang menjadikan orang boleh berfikir dan membezakan antara baik dan jahat, mulia dan hina, halal dan haram serta perlu ada karektor yang mana pandai dan yang mana bodoh, selain kita tunjukkan dalam karya yang mana pahala dan yang itu pula dosa".
"Kalau semua penggiat seni meletakkan lima perkara ini dalam naskhah mereka, inilah yang dikatakan seluruh produksi drama atau filem termasuk pelakon itu mendapat pahala dalam karya masing-masing, walaupun sudah meninggal dunia. Pahalanya masih berjalan selagi drama atau filem itu dimainkan", katanya. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramahnya bertajuk Islam dan Filem : Keperilakuan Halal Haram Dalam Filem, anjuran Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) di Dataran Karyawan, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Studio Merdeka, di sini baru-baru ini.
Jangan Pandang remeh hukum agama.
Menganggap murtad boleh berlaku dalam pelbagai cara, ada sesetengah penggiat seni termasuk pelakon, memandang mudah soal berkenaan sehingga lupa kesan buruk yang bakal mereka hadapi pada hari akhirat kelak. Beliau berkata, ada pengarah seakan mempersendakan bab cerai, rujuk, kahwin, mati dan amalan bersentuhan dengan bukan muhrim bagi menggambarkan penceritaan yang ingin disampaikan.
"Banyak karya yang saya tengok, orang beragama islam berlakon menjadi orang bukan islam. Mereka tidak tahu kesannya cukup besar, bukan sekadar terhadap filem, sebaliknya kesan kepada akidah kita. Kamu orang islam, kenapa berpakaian orang bukan islam seperti Tok Sami?. Murtad itu boleh berlaku dengan pelbagai cara termasuk perkataan, perbuatan dan niat dalam hati. " Walaupun filem hanya rekaan atau cereka, sebenarnya ia hidup di sisi Tuhan. Meskipun babak bagi menggambarkan hubungan antara ibu dengan anak yang dilakonkan oleh pelakon bukan muhrim seperti menyentuh atau mencium si ibu, ia adalah realiti di sisi Allah S.W.T."
"Buatlah filem yang tidak perlu memegang dan mencium insan lain. Dalam soal rujuk dan nikah pula, sebagai contoh, bapa dan anak berlakon dalam satu babak yang mana ada seorang lelaki datang melamar anakanya dan si bapa bersetuju dengan hanya menyebut 'aku nikahkan kamu dengan anak aku'. Walaupun tanpa kadi, nikah itu sah sebab bapa atau datuk ialah wali", katanya.
Tolak naskhah rosak akidah.
Kazim berkata, pelakon perlu meneliti sesebuah skrip terlebih dulu sebelum menerima sebarang tawaran kerana skrip yang merosakkan akidah boleh menjerumuskan pelakon terbabit kepada penentang peraturan agama. "Sebagai contoh, kalau didapati skripnya boleh merosakkan akidah, kamu boleh menarik diri. Bagi pelakon lelaki menjadi wanita dan sebaliknya, maka ketawa itu adalah dilarang. Menyerupai lelaki mahupun wanita adalah haram, dilaknat walaupun sekadar berlakon.
"Islam sangat luas dan hebat, tak payah buka-bukaan atau sentuh-sentuhan, tetap boleh menang Festival Filem Cannes. Kadang-kadang, pengarah muda dan pelakon baharu tidak mahu belajar daripada orang lama mengenai makna sebenar seni. Dulu pelakon susah nak dapatkan watak, tetapi sekarang, apabila dapat sesuatu tawaran, semua benda ambil mudah", katanya.
Hebat tak bermakna perlu dedah aurat.
Meletakkan seni sebagai anugerah dikurniakan Allah kepada setiap penggiatnya, Kazim mengingatkan golongan terbabit termasuk penyanyi, agar tidak mengetepikan agama dalam kerjaya mereka. "Kalau semua penggiat seni memikirkan Islam itu sangat luas, mereka dapat melahirkan satu idea atau karya yang sangat hebat tanpa perlu mendedahkan aurat, pegang-pegangan, cium-ciuman dan tidur bersama. Kalau ini yang mereka lakukan, filem atau drama yang dihasilkan tiada masalah kerana setiap apa yang kita buat ini akan disoal kelak.
"Saya sangat teruja apabila melihat ramai artis kita sudah berubah. Saya juga seronok tengok pengarah filem menghasilkan karya berkualiti. Sebagai penceramah, saya mengambil isi filem sebagai sebahagian isi ceramah kerana semua orang tengok filem dan drama. Contohnya, filem arahan (Tan Sri) P.Ramlee, kata-kata yang dilafazkan pelakon dulu sampai dalam hati saya. Tetapi, filem sekarang tidak ada kata-kata yang saya dapat ambil sebab kadang-kadang ia tidak dekat dengan masyarakat dan hati manusia," katanya.
Minat terhadap bahan agama makin meluas.
Memperbetulkan tanggapan serong sesetengah penggiat filem dan drama yang menganggap karya bercorak keagamaan tidak mempunyai pengikut, Kazim berkata, karya Islamik mempunyai prospek yang sangat tinggi. "Jangan ingat buat filem atau drama agama tidak mampu menarik penonton. Ia tanggapan yang silap. Sebagai contoh, Hafiz Hamidun hanya menghasilkan album Zikir Terapi dan terjual beratus ribu unit. Jangan cakap prospek agama sikit, sebab sekarang orang minat agama dan kenapa kita tidak sambut minat itu.
"Mulai sekarang, bersenilah dan buat filem secara islam kerana jumlah penontonnya sangat tinggi. Insya-Allah, apabila kerja kita untuk agama, Allah akan memberikan rezeki dan kehebatan kepada kita. Buatlah filem terbaik yang mengajak orang ramai untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T," katanya.
Artikel ini diterbitkan Berita Harian pada 9 Mei 2014 secara bercetak, di mana tulisannya oleh Muhammad Fairoz Azizan (muhammadfairoz@bh.com.my)
*gambar dalam artikel ini adalah ilustrasi artikel. Tiada kena-mengena dengan artikel yang ditulis. Ia sekadar contoh. Harap maklum*
Rabu, 7 Mei 2014
FILEM TEMPATAN SEPANJANG MEI 2014
Rabu, Mei 07, 2014
Abang Long Padil.
,
Awak Nak Kahwin Dengan Saya Tak
,
Bahaya Cinta
,
Cara Mengundang Hantu
,
Filem Sepanjang Mei 2014
,
Ia Wujud
,
Mei 2014
0 comments
Sepanjang Mei 2014, sebanyak 5 buah filem tempatan akan menemui penonton. Bahaya Cinta, Cara Mengundang Hantu, Ia Wujud, Awak Nak Kahwin Dengan Saya Tak dan Abang Long Fadil antara 5 buah filem akan berlegar di seluruh pawagam tanah air. Peminat filem tempatan jangan lepaskan peluang untuk menonton kesemua filem kegemaran anda di pawagam. Ingat, tonton di pawagam bukan di rumah anda.
1 Mei 2014 Bahaya Cinta
8 Mei 2014 Cara Mengundang Hantu
15 Mei 2014 Ia Wujud
22 Mei 2014 Awak Nak Kahwin Dengan Saya Tak?
29 Mei 2014 Abang Long Padil
Nak tengok kesemua trailer filem di atas?. Klik Video ini.
TRAILER SEMUA FILEM SEPANJANG MEI 2014
Selasa, 6 Mei 2014
AZIZ SATTAR : PERGINYA LEGASI BUJANG LAPOK.
Selasa, Mei 06, 2014
Angin Menderu
,
Artis Veteran.
,
Aziz Sattar
,
Berita Kematian Artis
,
Cathay Keris
,
Seniman
,
Studio Jalan Ampas
0 comments
Pemergian Seniman Datuk Abdul Aziz Sattar, 89 atau Aziz Sattar pada jam 2.00 pagi 6 Mei 2014 di Hospital Kajang, Selangor merupakan kehilangan besar buat negara. Bintang Lagenda era Studio Jalan Ampas, Singapura itu membintangi hampir 44 buah filem dan ratusan drama dari pelbagai produksi filem seawal 50-an hinggalah kini. Dilahirkan di Surabaya, Indonesia pada 8 Ogos 1925, Aziz Sattar merupakan antara bintang filem yang tidak pernah kenal erti penat dalam dunia perfileman tanah air. Bermula dengan Putus Harapan, filem lakonannya seawal 1953, Aziz Sattar kemudiannya membintangi beberapa buah naskhah filem termasuk Bujang Lapok pada 1957, Pendekar Bujang Lapok (1959), Ali Baba Bujang Lapok (1961) dan Seniman Bujang Lapok (1961). Ke-empat-empat siri Bujang Lapok itu boleh dikatakan antara naskhah 'malar segar' yang sentiasa meniti di mata peminat filem tempatan samada dari Malaysia, Singapura, dan Indonesia. Namun, tanggal 6 Mei 2014 pasti tidak akan dilupakan oleh seluruh peminat filem apabila Aziz Sattar pergi meninggalkan kita semua. Pemergian seniman ternama itu menyaksikan beliau adalah trio Bujang Lapok terakhir yang meninggal dunia selepas Seniman Agung P.Ramlee pada 29 Mei 1973 dan S.Shamsuddin pada 4 Jun tahun lalu.
Menariknya, Aziz Sattar pernah merakamkan lagu 'Bila Mama Pakai Celana' versi 2013 untuk dokumentari 'Angin Menderu' arahan Hasnul Rahmat. Dokumentari terbitan FINAS itu menyelitkan segmen Aziz Sattar tentang perkongsiannya dalam dunia perfileman seawal 50-an dengan merujuk kepada lagu-lagu klasik lama.
Walaupun nampak agak sihat dan ceria, sebenarnya Aziz Sattar mengalami kompilasi sakit jantung. Beliau dimasukkan ke hospital berkenaan malam Ahad lalu selepas diserang sakit jantung sebelum menghembuskan nafas terakhir di sisi dua anak, menantu dan seorang cucunya awal pagi semalam. Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke rumahnya di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Bandar Tun Hussein Onn kira-kira jam 2.00 petang. Kehilangan Datuk Aziz Sattar juga dirasai beberapa selebriti tanah air apabila mereka turut memuatkan beberapa teks ucapan, gambar dan video menerusi laman sosial seperti Instagram, Facebook, Twitter dan sebagainya. Beberapa selebriti dan pelakon filem terkenal turut kelihatan semasa pengkebumian Aziz Sattar, antaranya Datuk Mustapha Maarof, Datuk Sarimah, Datuk Maria Menado, Datin Rosnani Jamil, Datuk Rosyam Nor, Melissa Saila, Hans Isaac, Jehan Miskin, Nassier Wahab, Aizat Amdan, Datuk Aziz Singgah, A.R Badul, A.Galak, Datuk M.Nasir dan Datin Marlia Musa. Tidak lupa juga, kelihatan Tan Sri Dr. Rais Yatim, Penasihat Kebudayaan Malaysia yang juga Bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia turut menziarahi jenazah.
Kami warga filem ingin mengucapkan salam takziah buat keluarga Aziz Sattar, moga rohnya ditempatkan dikalangan mereka yang beriman.
AL FATIHAH
AZIZ SATTAR
1925-2014
Isnin, 5 Mei 2014
APA SUDAH JADI DENGAN 'FILEM MELAYU'?
Isnin, Mei 05, 2014
filem cina
,
Filem Melayu
,
FINAS
,
kutipan
,
Malay Film
,
The Journey
1 comment
MELIHATKAN perkembangan serta penerbitan filem Cina tempatan yang hebat, timbul persoalan apa sudah jadi dengan filem Melayu? Filem Melayu tidak berubah ke tahap yang sedikit lebih baik, tetapi filem Cina sudah jauh ke depan. Filem Melayu riuh rendah dengan imej janaan komputer (CGI) filem Cina menyajikan isi kandungan tentang budaya dan jati diri. Filem Melayu lebih dikenali sebagai "tak laku" walaupun menyumbatkan sekian banyak yang membodohkan penonton, filem Cina mengaut kutipan yang besar dan untung berganda. Pencapaian filem Cina merupakan satu perkembangan positif kepada industri filem tempatan. Ini terbukti melalui jumlah kutipan tiket terkini oleh pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) apabila kutipan tertinggi dimonopolikan oleh filem Cina.
Filem The Journey terbitan Astro Show walaupun para pelakonnya tidak menjadi bahan gosip murahan di media telah mencatatkan kutipan tertinggi dalam sejarah filem negara ini. Jauh meninggalkan filem KL Gangster yang dikatakan tertinggi sebelum ini. The Journey telah mendapat hasil kutipan tiket sebanyak RM17.17 juta sepanjang tempoh tayangannya, satu jumlah yang cukup besar dalam sejarah filem tempatan. Bukan itu sahaja filem komedi berjudul Ah Beng The Movie berada pada tangga kedua pungutan tertinggi filem-filem tempatan sehingga Mac lalu apabila berjaya mengutip RM4.08 juta. Tangga ketiga pungutan juga dikuasai oleh filem Cina berjudul Huat Ah! Huat Ah! Huat! yang ditayangkan pada Februari lalu dengan hasil sebanyak RM3.60 juta.
Filem Melayu Balistik terbitan Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. hanya mampu berada di tangga keempat mengutip sebanyak RM2.27 juta. Ini menunjukkan dalam tempoh Januari hingga Mac tahun ini tiga tangga teratas kutipan tiket dikuasai oleh filem Cina. Sedangkan yang banyak heboh dan riuh rendah adalah filem Melayu. Tidak mustahil dengan perkembangan ini filem Cina akan menjadi dominan dan filem Melayu akan 'bungkus'. Tambahan pula filem Melayu tidak membawa agenda agama, bangsa dan budaya sedangkan filem Cina ada semua ciri-ciri itu. Kehilangan filem Melayu akan menjadi kenyataan apabila agenda mencari duit mengatasi agenda bangsa terus disumbatkan dalam filem Melayu. Ketika ini kita mungkin boleh berbangga dengan filem arahan pengarah Mamat Khalid, Zombi Kilang Biskut yang masih ditayangkan namun kutipan tidak seperti yang diharapkan walaupun telah melepasi angka RM1 juta.
Isu dan jalan cerita
Jika diperhatikan gaya yang dibawa oleh filem-filem Cina cukup mudah, isu serta jalan cerita yang diterapkan cukup rapat dengan penonton. Sebagai contoh, The Journey yang cukup ringkas iaitu mengenai budaya Cina yang tidak luput walaupun berada di luar China. Isu ringkas ini apabila diolah dengan baik boleh menjadi satu karya yang cukup hebat seperti yang dibuktikan oleh filem tersebut.Bukan sahaja The Journey, filem-filem Cina yang lain turut memaparkan perkara serta isu yang selalu bermain dalam lingkungan kehidupan seharian masyarakat. Sebelum ini Kepong Gangster merupakan sebuah filem Cina yang boleh dibanggakan. Walaupun berkonsepkan gengster namun isu persahabatan yang diangkat sebagai teras. Tidak seperti sesetengah filem Melayu yang lebih menerapkan dunia gengster berbanding pemikiran positif yang hendak ditonjolkan. Filem Melayu mengajar orang menjadi gengster, filem gangster Cina mengajar orang Cina berbaik-baik. Jarang sekali kita tonton filem Melayu yang memaparkan realiti sosial seperti yang dilakukan oleh filem-filem Cina tempatan.
Nampaknya filem Cina tempatan lebih dahulu berjaya memaparkan budaya masyarakat di negara ini. Mereka juga tidak mengikut musim, tidak seperti filem Melayu. Misalnya kalau musim filem seram dan gengster maka berduyun-duyunlah penerbit filem Melayu membikin genre itu. Nampaknya penonton kita sudah mula membuka minda mereka untuk menonton filem-filem yang berkelas tinggi, tidak seperti yang berlaku sebelum ini apabila penonton hanya suka kepada filem-filem lawak sengal atau seram yang basi. Bila agaknya karyawan (kalau boleh diistilahkan karyawan) filem Melayu serta penerbit akan berubah tidak berterusan memberikan sajian yang meracuni penonton? Tepuk dada tanya selera.
Artikel ini telah diterbitkan Utusan Malaysia pada 4 Mei 2014. Ia sekadar perkongsian menarik khusus buat warga filem. Hak Cipta sepenuhnya Utusan Malaysia.
Jumaat, 2 Mei 2014
KARTINA DAHARI DALAM KENANGAN
Walaupun aku bukan hidup sezaman dengan penyanyi ini, namun ku dapat rasakan bahawa beliau pasti cukup popular pada era 60-an hingga 80-an. Kartina Dahari, penyanyi kelahiran Singapura berusia 73 tahun, menghembuskan nafasnya yang terakhir di Hospital Mount Elizabeth, Singapura kerana sakit barah pada 30 April 2014 jam 6.00 petang. Walaupun sudah 2 hari beliau pergi meninggalkan kita, namun ku dapat rasakan kita benar-benar kehilangan penyanyi ini. 'Sayang Di Sayang' asalnya lagu nyanyian penyanyi klasik, Rubiah dalam filem 'Rachun Dunia' yang dihasilkan pada tahun 1949, dinyanyikan semula oleh Kartina Dahari menerusi versi Keronchong pada awal 70-an. Kemudian, lagu itu dinyanyikan oleh Datin Rafeah Buang dan Ning Baizura.
'Angin Menderu' sebuah filem dokumentari arahan Hasnul Rahmat, telah menggunakan lagu tersebut sebagai lagu tema. Kelunakan vokal Kartina Dahari mengalunkan pelbagai lagu, antaranya 'Jangan Di Tanya, Sejak Kita Berpisah, Dari Hati Ke Hati, Budi Setahun Segunung Intan bersama Datuk Ahmad Jais selain 'Sayang Di Sayang' telah membuatkan aku jatuh cinta dengan lagu-lagu nyanyian Kartina Dahari. Sehingga kini, aku masih mencari album Memori Hit Kartina Dahari.. Tak Jumpa-Jumpa. Hari itu jumpa tapi tak beli.. Bila di cari, tak jumpa pulak.
Antara penyanyi veteran sezaman Kartina Dahari yang masih tahan vokalnya sehingga ke hari ini adalah Datin Paduka Julie Sudiro dan Datuk Sharifah Aini. Jika tak percaya, panggillah Julie Sudiro buat show. Pasti meremang bulu roma anda.
Sedekahkan AL FATIHAH buat Kartina Dahari.. Moga rohnya ditempatkan di kalangan mereka yang beriman dan takwa di sisi-NYA.