Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


Selasa, 6 Mei 2014

AZIZ SATTAR : PERGINYA LEGASI BUJANG LAPOK.


Pemergian Seniman Datuk Abdul Aziz Sattar, 89 atau Aziz Sattar pada jam 2.00 pagi 6 Mei 2014 di Hospital Kajang, Selangor merupakan kehilangan besar buat negara. Bintang Lagenda era Studio Jalan Ampas, Singapura itu membintangi hampir 44 buah filem dan ratusan drama dari pelbagai produksi filem seawal 50-an hinggalah kini. Dilahirkan di Surabaya, Indonesia pada 8 Ogos 1925, Aziz Sattar merupakan antara bintang filem yang tidak pernah kenal erti penat dalam dunia perfileman tanah air. Bermula dengan Putus Harapan, filem lakonannya seawal 1953, Aziz Sattar kemudiannya membintangi beberapa buah naskhah filem termasuk Bujang Lapok pada 1957, Pendekar Bujang Lapok (1959), Ali Baba Bujang Lapok (1961) dan Seniman Bujang Lapok (1961). Ke-empat-empat siri Bujang Lapok itu boleh dikatakan antara naskhah 'malar segar' yang sentiasa meniti di mata peminat filem tempatan samada dari Malaysia, Singapura, dan Indonesia. Namun, tanggal 6 Mei 2014 pasti tidak akan dilupakan oleh seluruh peminat filem apabila Aziz Sattar pergi meninggalkan kita semua. Pemergian seniman ternama itu menyaksikan beliau adalah trio Bujang Lapok terakhir yang meninggal dunia selepas Seniman Agung P.Ramlee pada 29 Mei 1973 dan S.Shamsuddin pada 4 Jun tahun lalu. 

Menariknya, Aziz Sattar pernah merakamkan lagu 'Bila Mama Pakai Celana' versi 2013 untuk dokumentari 'Angin Menderu' arahan Hasnul Rahmat. Dokumentari terbitan FINAS itu menyelitkan segmen Aziz Sattar tentang perkongsiannya dalam dunia perfileman seawal 50-an dengan merujuk kepada lagu-lagu klasik lama.


Walaupun nampak agak sihat dan ceria, sebenarnya Aziz Sattar mengalami kompilasi sakit jantung. Beliau dimasukkan ke hospital berkenaan malam Ahad lalu selepas diserang sakit jantung sebelum menghembuskan nafas terakhir di sisi dua anak, menantu dan seorang cucunya awal pagi semalam. Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke rumahnya di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Bandar Tun Hussein Onn kira-kira jam 2.00 petang. Kehilangan Datuk Aziz Sattar juga dirasai beberapa selebriti tanah air apabila mereka turut memuatkan beberapa teks ucapan, gambar dan video menerusi laman sosial seperti Instagram, Facebook, Twitter dan sebagainya. Beberapa selebriti dan pelakon filem terkenal turut kelihatan semasa pengkebumian Aziz Sattar, antaranya Datuk Mustapha Maarof, Datuk Sarimah, Datuk Maria Menado, Datin Rosnani Jamil, Datuk Rosyam Nor, Melissa Saila, Hans Isaac, Jehan Miskin, Nassier Wahab, Aizat Amdan, Datuk Aziz Singgah, A.R Badul, A.Galak, Datuk M.Nasir dan Datin Marlia Musa. Tidak lupa juga, kelihatan Tan Sri Dr. Rais Yatim, Penasihat Kebudayaan Malaysia yang juga Bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia turut menziarahi jenazah.


Kami warga filem ingin mengucapkan salam takziah buat keluarga Aziz Sattar, moga rohnya ditempatkan dikalangan mereka yang beriman.

AL FATIHAH
AZIZ SATTAR
1925-2014

0 comments :