Jumaat, 3 Oktober 2014
ASTANA CINTA ALEESA : CATAT 1.5 JUTA PENONTON!
Meskipun drama Astana Cinta Aleesa belum lagi sampai ke episod
kemuncaknya pada Rabu lalu; iaitu siaran episod yang ke 12, drama ini telah mencatat jumlah tontonan
yang tinggi sehingga mencecah 1.5 juta
tontonan! Astana Cinta Aleesa
terbitan OrangeTree Communication Sdn Bhd ini yang disiarkan bermula 26 Ogos
yang lalu merupakan drama bersiri pertama menerusi slot Ratu mendapat jumlah
tontonan tertinggi di TV9 di mana hampir setiap episod mencatat jumlah tontonan
yang tinggi. Diarahkan oleh pengarah berpengalaman Eoon Shuhaini, drama bersiri
yang bakal berakhir minggu hadapan ini dibarisi oleh pelakon popular seperti Emma
Maembong, Nazim Othman, Amyra Rosli, Bill Azali sambil dibantu oleh pelakon cilik, adik Puteri
Balqis, Ku Faridah, Aliza Shahadan, Falisha Crossley dan Ezzrin Loy.
Berkisarkan mengenai rumah tangga Aleesa (Emma
Maembong) dan Zhariff (Nazim Othman) yang retak disebabkan orang ketiga. Drama ini menyusuri liku-liku tragik, di mana ia memberi fokus kepada kemusnahan rumah tangga melalui persahabatan yang baik melalui rakan Aleesa sendiri iaitu Zaleha (Amira Rosly). Zaleha cemburu dengan kesempurnaan hidup
Aleesa kerana mempunyai suami yang tampan, bekerjaya dan mempunyai anak yang menyerikan
lagi kehidupan mereka. Keadaan menjadi semakin keruh apabila anak kedua mereka
yang dinanti setelah hampir enam tahun, Zarul, meninggal dunia akibat kecuaian. Aleesa yang merasa tertekan mula hilang arah
seterusnya membuka peluang buat Zaleha untuk meracuni fikiran Zhariff dengan
mengatakan Aleesa sudah gila.
Ketegangan mereka ditambah lagi dengan kehadiran Jimmy, yang
menyimpan dendam terhadap Zhariff sejak dari zaman universiti lagi kerana dia
dibuang universiti disebabkan Zhariff. Jimmy telah mengatur strategi dengan
berbuat baik kepada Zhariff sehingga berjaya membuatkan Zhariff ditangkap polis
atas tuduhan menyeleweng wang syarikat. Kehadiran
Zaleha dan Jimmy yang kemudiannya berpakat benar-benar telah mengkucar kacirkan
lagi keluarga bahagia Zhariff dan Aleesa sehingga mereka berpisah.
Adakah kebenaran akhirnya akan memihak kembali kepada Aleesa?
Dapatkah Zhariff menebus kesilapannya setelah melukai hati Aleesa? Segalanya
akan terjawab dalam minggu terakhir Astana Cinta Aleesa pada Selasa dan Rabu, 7 dan 8 Oktober jam 8.30
malam di TV9. Siaran ini juga boleh
ditonton seminggu awal di tonton premiere. Untuk maklumat lanjut layari www.tv9.com.my dan siaran ulangan di www.tonton.com.my.
Khamis, 2 Oktober 2014
YANG TERSURAT DAN TERSIRAT : AMIR & LOQMAN PERGI KE LAUT!
Khamis, Oktober 02, 2014
Amir & Loqman Pergi Ke Laut
,
Astro Shaw
,
Hassan Abd. Muthalib
,
Mamat Khalid
0 comments
Akhirnya Mamat Khalid membikin filem tentang samseng. Filem yang kini ditayang di pawagam bertajuk Amir & Loqman Pergi ke Laut. Penglibatannya di dalam genre ini agak lewat. Filem samseng yang pertama di Kuala Lumpur ialah JohnnyBikin Filem (Anuar Nor Arai, 1995). Kemudian Bade muncul dengan Gengster (2005) dan Castello
(2006). Beberapa pengarah lain turut berkarya dalam genre ini,
antaranya: Syamsul Yusof (KL Gangster), Teng Bee (Kepong Gangster),
James Lee (Bullets Over Petaling Street), Brando Lee (Kisah Paling
Gangster), Sein (Langgar), Farid Kamil (Kongsi) dan Ghaz Abu Bakar
(Tokan).
Hampir kesemua filem ini (sejak 2005), tidak merugikan penerbit. Malah, kutipan pecah panggung bagi filem KL Gangster (RM12 juta), adalah sesuatu yang
luar biasa dalam sejarah perfileman Malaysia. Selain samseng, ada juga
yang lain yang turut dipapar di layar perak, antaranya mat-mat rempit
dan bohsia. Mereka semua ini tergolong dalam kumpulan yang dianggap
sampah masyarakat kerana kewujudan mereka tidak membawa sebarang
manfaat. Namun begitu, filem-filem mengenai mereka ini tetap digemari
para remaja.
Ada di antara filem-filem ini membawa kesam yang negative, terutama kepada remaja. Sebagai contoh, semasa tayangan filem Remp-It
(Ahmad Idham, 2006), pihak polis mengisahkan bahawa insiden merempit
bertambah di Kuala Lumpur. Dan mat-mat rempit pula mula muncul di Brunei
yang tidak pernah ada gejala seperti itu. Dalam filem-filem mengenai
samseng dan bohsia, watak-wataknya (lelaki dan perempuan), berkelakuan
melampaui batas dan menjerit-jerit apabila bercakap. Bahasa yang
digunakan adalah bahasa Melayu pasar (tetapi ini tidak berlaku dalam Amir & Lokman).
Beberapa ungkapan menjadi ikutan para remaja. Tidaklah menghairankan
apabila kita ketahui bahawa filem-filem ini juga menjadi box office.
Mengapakah filem-filem sebegini digemari remaja? Filem-filem seperti KL Gangster, Remp-It, Kongsi dan juga Bohsia (Syamsul
Yusof), sebenarnya menonjolkan milieu dan gaya hidup glamour
manusia-manusia bermasalah. Ini dapat dilihat melalui teknik-teknik
perfileman yang ternyata kemas
dan baik (tetapi tidak sesuai),
yang ‘mengangkat’ dunia mereka. Pendekatan juga tidak sinematik, ia itu,
naratif tidak disampaikan dengan penggunaan bahasa filem. Jika para
penerbit filem mahu ‘menyedarkan’ remaja tentang gejala-gejala buruk
itu, teknik produksi mereka seharusnya menampakkan keburukan alam
mereka-mereka itu.
Lihat saja filem-filem seperti Kepong Gangster, Kisah Paling Gangster dan Tokan yang memburukan imej sampah-sampah masyarakat ini dengan gaya yang sinematik. Dalam filem Kepong Gangster,
beberapa pelajar sekolah yang masuk kumpulan samseng, akhirnya
menyedari kesilapan mereka apabila seorang rakan mereka dibunuh. Alam
mereka digambarkan dengan begitu buruk sekali. Dalam Johnny Bikin Filem, hampir keseluruhan ceritanya
berlaku di waktu malam. Adegan siang juga malap, yang berfungsi sebagai
petanda tentang masa depan yang gelap para samseng. Gaya persembahan
begini sememangnya tepat. Gaya sebeginilah yang membolehkan sinema kita
diterima di luar negara.
Sebagai tukang cerita, seorang
karyawan filem yang berilmu mahu menghiburkan audiens. Di samping itu,
dia juga berhasrat menyampaikan sesuatu yang mendatangkan manfaat kepada
bangsa dan negaranya. Di sini, Mamat Khalid berfungsi sebagai seorang
khalifah yang memanggil kepada kebaikan seperti yang dianjurkan oleh
agama. Filem Amir & Loqman Pergi ke Laut bergenre komedi
samseng yang sangat realistik dari sudut naratif dan visual, amat
sinematik dan membawa beberapa perkara secara tersirat. Pelakon-pelakon
utamanya adalah dua pelawak dari sebuah program televisyen popular, Maharaja Lawak. Pemilihan mereka bukanlah untuk melariskan filem tetapi disebabkan typage (kesesuaian
rupa watak berdasarkan naratif). Amir (dimainkan oleh Shuib Sepahtu)
dan Loqman (Shuk Balas) adalah dua pemuda dari kampong. Mereka teramat
naif dan menyangka dunia samseng sangat glamour. Mereka masuk kumpulan
Geng 747 dengan membayar yuran RM3 seorang. Lama kelamaan, mereka
menyedari bahawa alam samseng bukanlah seperti yang disangka. Untuk
keluar dari kumpulan pula, mereka perlu membayar sebanyak RM30,000
seorang.
Apa yang ingin disampaikan oleh Mamat Khalid
ialah, bagaimana media massa memainkan peranan penting dalam kehidupan
para remaja. Perkara ini juga pernah diperkatakan oleh pengarah
Thailand, Kongkiat Komsiri, dalam filemnya, The Gangster (2012).
Latar budaya filem ini ialah era 1950-an di mana ramai remaja menjadi
ahli kumpulan samseng, yang terpengaruh dengan filem-filem Hollywood dan
meniru pakaian dan gaya pelakon-pelakonseperti James Dean dan Marlon Brando.
Pihak
berkuasa bertindak keras ke atas mereka tanpa memikirkan bahawa kesemua
itu hanya merupakan trend sementara. Ramai samseng dipenjara dan ramai
yang lain hidup sengsara. Dalam dua filem, Rock (2005) dan Rock Oo!
(2013), Mamat Khalid memperkatakan perkara yang sama, ia itu, para
remaja di kampong sebenarnya terpengaruh dengan apa yang dipaparkan di
media massa. Mereka hanya meminati musik rock. Itu saja. Mereka tidak
menipu orang atau terlibat dalam apa-apa kegiatan jenayah. Apa yang
telah berlaku di Thailand turut berlaku di Malaysia. Kita semua sedia
maklum bagaimana pada tahun 1990-an, kumpulan-kumpulan rock diherdik -
dan lebih buruk lagi - dituduh bersubahat dengan syaitan. Ramai ahli kumpulan
rock tidak mahu memotong rambut panjang mereka seperti dikehendakki
pihak berkuasa. Akibatnya, mereka dilarang mengadakan persembahan atau
pun muncul di program televisyen. Ramai yang hidup merempat, hilang
punca pendapatan, terputus rezeki.
Dalam Amir & Loqman,
Mamat mendedahkan betapa buruknya kumpulan samseng yang terlibat di
dalam penyalahgunaan dadah, memeras ugut, menjual DVD haram, pelacuran,
kegiatan homoseks dan pembunuhan. Mamat merangka sebuah cerita yang
mudah tentang dua pemuda yang berhasrat mengumpul wang untuk membuka
warung kopi di tepi laut. Kenaifan mereka tentang alam samseng
disampaikan dengan penuh kelucuan oleh Mamat. Dalam perjalanan untuk
merompak bank, mereka merujuk buku bertajuk ‘Merompak for Dummies’.
Mereka menutup muka dengan stoking tetapi kainnya terlalu tebal sehingga
mereka tidak dapat melihat. Ketua samseng (Soffi Jikan), cuba memujuk
pacarnya dengan membawa ‘teddy bear’ tetapi matanya ditikam dengan
gunting. Samsengbukan minum bir tetapi minum air mineral dan laici!
Parodi
merupakan genre yang diminati Mamat. Parodi digunakan untuk
mentertawakan sesuatu tanpa menyakiti hati orang. Ini dapat dilihat
dalam penggunaan beberapa pelakon yang membintangi filem KL Gangster. Adi Putra, yang begitu macho dalam filem itu, berubah menjadi manusia lembut.
Ini
berkonotasi bahawa Adi Putra, sebagai seorang pelakon, tidak mencapai
apa-apa melalui filem tersebut. Kazar pula menjadi pembunuh upahan yang
psiko dan kejam. Penampilannya sangat berkesan di dalam Amir & Loqman dibanding filem-filem lain yang dilakonkannya.
Seperti
dalam beberapa filemnya sebelum ini, Mamat memperkatakan sesuatu
tentang industri yang diceburinya sekian lama. Mamat menerima segala
suka dan duka yang turut serta kerana beliau menyayangi bidangnya.
Setiap karyanya berbeza dan dibuat bersandarkan ilmu filem yang betul.
Yang menjadi menarik kepada sebahagian khalayak filem ialah, cubaan
mereka untuk mentafsir apa yang sebenarnya mahu diperkatakan oleh Mamat.
Cerita, adegan dan watak-watak samseng di dalam filem Amir & Loqman bukan sembarangan. Segala tanda di dalam filem berfungsi sebagai petanda atau petunjuk tentang sesuatu yang lain.
Ada perkara-perkara yang mahu disampaikan oleh Mamat Khalid melalui filem komedi samseng Amir & Loqman
tentang masa depan remaja dan perkembangan sinema Malaysia. Industri
filem tempatan kini berada di tahap yang paling rendah akibat beberapa
individu dan studio yang menghasilkan banyak filem tetapi semua itu
tidak meningkatkan pemikiran dan penghayatan audiens. Ada di antara
mereka tidak lagi membuat filem kerana filem-filem mereka tidak lagi
laris seperti dulu. Namun, kedudukan mereka ini tidak terjejas kerana
mereka ada sumber lain dari mana mereka menerima gaji bulanan. Tidak
pula seperti mereka yang mencari rezeki dengan hanya menjadi karyawan
filem.
Mamat – dan beberapa karyawan sepertinya –
bertungkus lumus untuk melahirkan karya-karya filem yang berkualiti,
yang juga berkata sesuatu tentang masalah-masalah yang melanda bangsa
dan negara. Juga, ramai remaja yang meminati bidang filem dan mempunyai
kelulusan dan kemampuan untuk mengangkat martabat perfileman tempatan
menghadapi halangan yang sudah dan sedang dilalui Mamat dan karyawan
yang seangkatan dengannya. ‘Suara-suara’ mereka ini adalah suara mereka
yang prihatin dengan nasib sinema Malaysia dan wajar diberi perhatian.
Usaha-usaha
murni Mamat untuk mengangkat martabat sinema Malaysia perlu disanjung
dan dibantu. Apakah audiens, industri dan birokrat yang berkaitan,
bersedia untuk berbuat demikian demi industri, bangsa dan negara? Itulah
‘mesej’ tersirat yang terdapat di dalam beberapa filem Mamat sebelum
ini dan di dalam filem Amir & Loqman Pergi ke Laut. Di
akhir cerita, Amir dan Loqman berdiri di tepi pantai dan memandang ke
laut tanp kata, dengan perasaan yang penuh sayu. Apakah segala impian
mereka yang murni sudah tercapai? Seperti yang ditunjukkan Mamat di
akhir cerita Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit, ‘hantu-hantu’ yang selama ini membantutkan pembangunan industri perfileman tempatan masih bermaharajalela.
Apakah
nasib yang menimpa Amir dan Lokman akan juga menimpa para remaja yang
akan terlibat di dalam bidang hiburan di masa hadapan? Atau apakah
mereka akan terus hidup dirundung malang, dihimpit halangan? Mungkin
Pyanhabib Rahman (Sang Pendeta dalam Apokalips X arahan Mamat Khalid) mempunyai jawapan. Luahan hati melalui puisi-puisinya juga luahan hati para seniman sejati…
sepi berguling, pada tebing bukit-bukit bening
pedih memilu, resah mengerang
pada jurang gaung-gaung garang, pahit mengilu
hey pernahkah engkau, melihat aku
mundar-mandir
di lorong-lorong usang hanyir, pernahkah engkau
hey pernahkah engkau, melihat aku tersungkur-mundur
di warung-warung gelas anggur, pernahkah engkau
adalah aku yang sering menggigil, sewaktu terasa suara-suara sepi memanggil
adalah aku yang sering menerajang, sewaktu terasa hari-hari begitu panjang
resah kubakar bagai bintang gugur ke bumi,
KE BUMI
seringkali terdesir dan menyelinap, ke penjuru ruang kamar pengap
iapakah yang datang mengetuk pintu itu, dan memanggil-manggil namaku
aku tidak pasti meskipun berkali-kali, engkau kususuri
suara
suara
suara
di manakah suara itu, ke manakah menghilang
sepi pun menurun, aku menjadi rindu
suara
suara
suara
** PyanHabib
* Artikel menarik ini ditulis oleh Pengkritik Filem terkenal, Hassan Muthalib.
Rabu, 1 Oktober 2014
'TERBAIK DARI LANGIT' FILEM MALAYSIA KE TOKYO!
Rabu, Oktober 01, 2014
Astro Shaw
,
Nik Amir
,
Nova
,
Playground Film
,
Terbaik Dari Langit
,
Tokyo International Film Festival
0 comments
'Terbaik dari Langit' arahan Nik Amir Mustapha, di mana skripnya ditulis oleh Redza Minhat merupakan antara filem tempatan yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa. Bakal ditayangkan di pawagam tempatan mulai 25 Disember 2014, filem terbitan Astro Shaw bersama Playround Film itu telah tercalon di Festival Filem Antarabangsa Tokyo.
Bakal beraksi dengan beberapa filem hebat di seluruh asia, 'Terbaik Dari Langit' atau 'Nova' akan dipertandingkan dalam kategori Asian Future di festival filem itu yang bakal di adakan pada 24 Oktober 2014. Menariknya, filem itu juga akan ditayangkan secara khas pada 28 Oktober 2014 ( 5.45 petang waktu Tokyo) dan 29 Oktober 2014 (1.20 petang waktu Tokyo).
Dibintangi oleh Bront Palarae, Iedil Putra, Megat Sharizal, Amerul Affendi, Nadiya Nisaa, Sharifah Armani dan Siti Saleha , 'Terbaik Dari Langit' itu merupakan sebuah cerita yang agak menarik mengenai penggembaraan dalam menghasilkan sesebuah filem. Pelbagai suka dan duka terkandung dalam sebuah karya hebat yang tentunya akan menjadi perhatian dan ingatan segenap warga filem.
Sebelum 'Terbaik dari Langit', di festival yang sama, filem arahan Yasmin Ahmad, Sepet
pernah memenangi Filem Asia Terbaik pada 2005 dan Muallaf (Anugerah Khas
Juri) pada 2008. Yasmin turut menerima Anugerah Khas Pencapaian
Sepanjang Hayat pada 2009.
Walau apapun yang terjadi, saya percaya filem 'Terbaik dari Langit / Nova' ini akan mengharumkan nama Malaysia dan membawa pulang salah satu anugerah yang mungkin boleh dibanggakan sebagai pembikin filem.