Penganjuran
Festival Filem Malaysia (FFM) seringkali mencetuskan kontroversi. Setiap tahun
sistem penjurian menjadi topik perbualan hangat dikalangan penggiat filem,
pembikin, penerbit sehinggalah kepada pengkritik filem mahupun warga filem
sendiri. Kemenangan sesebuah filem dalam pelbagai kategori acapkali menjadi isu
panas sehingga diperdebatkan dalam blog-blog hiburan, laman sosial, media dan
sebagainya. Kesannya, beberapa penerbit dan pembikin filem tersebut, akan terkena
tempiasnya, malahan karya mereka mula dikritik, dinilai, dan akan dibandingkan
dengan karya-karya lain yang mungkin hebat tetapi tidak dilihat sebagai 'ada kekurangannya'.
Perbadanan
Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mula dilihat sebagai platform rasmi
kepada penganjuran acara berprestij ini. Festival Filem Malaysia (FFM)
merupakan tanda aras kepada industri filem tempatan malahan ia boleh dianggap
sebagai satu festival untuk warga filem khususnya yang terlibat secara langsung
atau tidak langsung dalam sesebuah filem. Pada tarikh FFM diadakan, kita dapat
saksikan betapa gemilangnya sesebuah karya itu dinilai untuk dipertandingkan.
Setiap kategori menjadi sasaran, persoalan
‘siapa terbaik, filem manakah layak
menang, pengarah manakah dinobatkan sebagai pengarah terbaik, lakon layar,
cerita asal, skrip manakah , pelakon terbaik dan sebagainya’ mula menjadi
topik perbualan hangat dikalangan warga filem, pengkritik, media dan
sebagainya.
Tarikh
penganjuran Festival Filem Malaysia (FFM), rekaan trofi, lokasi penganjuran,
pengacara, dan agenda majlis antara isu yang seringkali diperkatakan. Festival
Filem Malaysia (FFM) wajar mempunyai tarikh khusus yang ditetapkan.
Penganjurannya akan menjadi lebih dihormati apabila diadakan mengikut
perancangan yang ditetapkan. Misalnya, FFM dianjurkan pada tarikh penubuhan
Studio Merdeka, atau dahulunya dikenali sebagai Merdeka Film Production. Studio
Merdeka dirasmikan pada 1 Jun 1991 dan kini ia dikenali sebagai Finas. Dalam situasi ini, mungkin FFM
boleh diadakan pada bulan Jun setiap tahun. Jika ia terjadi, warga filem amnya
termasuk penerbit, seniman, seniwati, karyawan filem mahupun penyiar akan
meluangkan masa untuk FFM pada tarikh yang diputuskan.
Rekaan
trofi bagi Festival Filem Malaysia (FFM) seringkali berubah dari semasa ke
semasa. Begitu juga dengan lokasi penganjurannya yang saban tahun bertukar
adakalanya ditangguhkan semata-mata mengikut kehendak semasa mahupun
persekitaran. Rekaan sesebuah trofi akan disanjung, dihormati dan tentunya
menjadi rebutan seandainya ia dikekalkan acuannya tanpa membuat perubahan sedikitpun.
Sebagai contoh, penganjuran Academy Awards bermula seawal tahun 1929 , di mana
bentuk trofinya masih dikekalkan sehingga ke hari ini. Dalam persoalan ini,
sekiranya FFM mengekalkan trofi sedia ada atau trofi lama, kita percaya FFM
akan menjadi kehangatan dikalangan penggiat industri samada yang tercalon atau
tidak bagi merebut sesuatu anugerah yang diidamkan. FFM26 yang berakhir
semalam, 1 November 2014 membuktikan rekaan trofi lama wajar dikekalkan.
Lokasi
penganjuran bagi FFM seringkali diperkatakan. Ada yang berpendapat, FFM wajar
diadakan di satu tempat yang agak berprestij dan bukannya ‘tangkap muat’
semata-mata mengikut kehendak seseorang, kekangan bajet, masa dan sebagainya.
Mungkin penganjur boleh memikirkan lokasi bersesuaian bagi FFM seterusnya .
Istana Budaya antara pentas persembahan bertaraf antarabangsa. Pelbagai acara
persembahan samada muzikal dan teater dari dalam dan luar negara menjadi wadah
utama kepada setiap persembahan. Mungkin FFM boleh diadakan di Istana Budaya
untuk masa akan datang. Tetapi, jika masa dan tarikhnya seringkali berubah,
lokasi penganjuran akan menjadi masalah.
‘Pencalonan
bagi setiap kategori filem, promosi, aktiviti, dan penaja sehinggalah ke Malam Anugerah’
harus dilakukan sebaik mungkin. Pemilihan siapa pengacara majlis dan penyampai
anugerah haruslah yang ‘terbaik’, bukannya sekadar ‘memeriahkan majlis atau dia yang popular’. Sekiranya ini masih
berlarutan, kita percaya FFM tidak akan lekang dari pelbagai cerita kontroversinya.
Malam
Anugerah Festival Filem Malaysia (FFM) haruslah mengurangkan persembahan artis
dengan memperbanyakkan anugerah untuk karyawan filem. Harus diingat bahawa, FFM
bukannya pesta lagu atau festival nyanyian’, sebaliknya, ia merupakan hari
gemilangnya karyawan filem yang bertungkus lumus untuk industri filem tempatan.
Apa salahnya kita meraikan mereka 100%!.
Festival Filem Malaysia (FFM) adalah festival
yang meraikan karyawan filem dari pelbagai bidang. Ia tidak tertumpu kepada
satu bidang sahaja. Penganjurannya wajar berprestij, dikagumi dan menjadi
rebutan semua pihak. Namun, untuk meraikan kegemilangannya, FFM harus bersiap
sedia dari pelbagai segi. Persiapan yang
terbaik mungkin membuatkan FFM dikenang sebagai satu festival tahunan
yang meninggalkan sejuta kenangan dan memorinya tersendiri. Jadi ‘transformasi
sinema Malaysia’ dalam arus FFM mungkin berjaya direalisasikan. Jika tidak..Tepuk
dada Tanya selera.
Info: Festival Filem Malaysia (FFM26) telah
berjaya dianjurkan pada 29 Oktober hingga 1 November 2014. Tahniah buat semua
pemenang.
2014 Copyright article written by amyikram.com