Isnin, 8 Disember 2014
KEPUTUSAN 'FIVE QUIZ' LELAKI HARAPAN DUNIA
Pada 19 November 2014 yang lalu, Everything Films dengan kerjasama amyikram.com dan portal OMS (Oh My Shorties) telah menganjurkan 'Five Quiz Lelaki Harapan Dunia'. Peraduan yang menawarkan T-Shirt dan Tote Beg itu telah berjaya dilakukan, dan pada edisi hari ini kami akan mengumumkan 5 pemenang bertuah yang berjaya membawa pulang hadiah-hadiah menarik yang ditawarkan. Antara mereka ialah:-
3 PEMENANG BESERTA SLOGAN KREATIF
(Pemenang memenangi sehelai T-Shirt Lelaki Harapan Dunia)
Mohamad Shafiq Hanafi bin Mat Arshad
Mohd Sazni bin Ahmad Salehudin
Mohd Razif bin Mahamed Jarif
2 PEMENANG SAGUHATI
(Pemenang akan memenangi tote beg Lelaki Harapan Dunia)
Ahmad Muazim bin Abdul Rahman
Siti Zuhairatunnurfatin Masran
Tahniah buat semua pemenang.
Bagi
mereka yang tersenarai sebagai pemenang, pihak kami akan menghubungi
anda melalui emel. Semua hadiah mestilah dituntut di FINAS PETALING JAYA
sebelum 30 Disember 2014.
Selasa, 2 Disember 2014
FILEM MALAYSIA KE PERSADA DUNIA?: PERIHAL LELAKI HARAPAN DUNIA ARAHAN LIEW SENG TAT
Satu
perkara yang pasti di dalam tamadun manusia ialah:sejarah akan tetap berulang.
Bagi mereka yang mempunyai agama, pastinya ini akan
dilihat sebagai petunjuk daripada Yang Maha Esa untuk menjadi panduan agar
boleh menilai diri sendiri.
George
Santayana, seorang filasuf; novelis, mengatakan bahawa mereka yang
tidak mengenang sejarah ditakdirkan untuk mengulangi kesilapan mereka.
Aristotle, filasuf silam Yunani, menyebut bahawa sesuatu cerita menggambarkan
bagaimana seorang manusia sepatutnya menjalani hidupnya. Maksudnya, setiap
cerita, walaupun disampaikan dalam bentuk hiburan, sepatutnya membawa manfaat.
Budaya
penceritaan berkembang dalam seni hiburan tanahair kita sendiri, bermula dengan
penglipur lara silam, kemudian ke wayang kulit, mak yong, bangsawan ;
sandiwara, sehingga ke filem di awal kurun ke-20. Dan mulai tahun 1934,
filem Melayu diusahakan tetapi oleh orang-orang bukan Melayu dari luar negara.
Apakah yang boleh kita pelajari daripada sejarah itu dengan genapnya 80 tahun
usia filem kita pada tahun 2014?
Slogan-slogan
seperti ‘Filem Malaysia ke Persada Dunia’, ‘Malaysia Sebenarnya
Asia’ &; ‘1Malaysia’ mengajak kita bersatu di samping meraikan
pencapaian pelbagai etnik bangsa. Jarang-jarang dilaungkan bahawa segala konsep
yang tersebut di atas sebenarnya sudah dipraktikkan oleh karyawan filem
Malaysia dari dulu sehingga sekarang tanpa mengetuk gendang;
mengibarkan bendera.
Industri
filem kita bermula sebagai sinema Melayu dan menjadi rancak dengan
gandingan pelbagai bangsa dan etnik dari luar dan dalam negara.
Ada di antara filem-filem ini sudah pun ke persada dunia dan memenangi
anugerah berprestij, termasuk beberapa filem dokumentari terbitan Malayan Film
Unit (kemudian dinamakan Filem Negara Malaysia) yang dibeli oleh negara-negara
luar.
Filem
kontemporari Malaysia juga melihat ramai syarikat bukan Melayu seperti Berjaya
Filem, Red Film dan Metrowealth yang berusaha menerbitkan filem-filem
Melayu, yang sebahagiannya diarah oleh pengarah-pengarah bukan Melayu seperti
Pansha, Bernard Chauly, Saw Teong Hin, M. Subash, James Lee dan Santosh
Kesavan.
Dalam
tahun ini, beberapa filem membanggakan negara di segi cerita dan
pelaksanaan. Antaranya: Hanyut (U-Wei Hajisaari), Vennira
Iravugal (R. Prakas), Abang
Long Fadil(Syafique Yusof), The Journey (Chiu Keng Guan), Amir dan Loqman Pergi ke Laut (Mamat
Khalid) dan yang terbaru, Lelaki
Harapan Dunia (Liew
Seng Tat). U-Wei, Mamat dan Chiu sudah pun mendapat pengiktirafan di
peringkat antarabangsa. Hanyut kini ditayang di seluruh
Indonesia dan The Journey sudah menjelajahi beberapa
negara.
Lelaki
Harapan Dunia (LHD)
dipilih untuk tayangan di banyak festival filem berprestij.
LHD
merupakan satu kesinambungan sejarah awal filem Malaysia, iaitu, sebuah filem
Melayu, karya seorang bukan Melayu dan dengan bantuan dana serta
sokongan dari luar negara. Seng Tat juga menggunakan pelakon-pelakon Melayu,
milieu, subjek dan isu yang dekat dengan hati orang-orang Melayu.
Cerita-cerita
filem Malaysia awal diinspirasi atau diceduk dari beberapa karya hebat dari
luar negara. Tetapi hari ini, karyawan filem kita melahirkan idea-idea sendiri.
Namun, khidmat nasihat orang-orang luar negara untuk memperbaiki skrip
dilakukan (seperti untuk skrip awal filem Susuk arahan Amir Muhammad dan Naeim
Ghalili).
Liew
Seng Tat adalah orang baru dalam gelanggang filem. Maka,dia mengambil
masa 2 tahun untuk membangunkan cerita LHD, termasuklah mendapatkan
khidmat nasihat pakar di festival filem tersohor seperti Sundance agar skripnya
menjadi sesuatu yang boleh bersaing dengan filem-filem
dari seluruh dunia.
Filem
yang baik adalah filem yang menghiburkan, yang memberikan gambaran budaya hidup
sesuatu bangsa dan negara. Lebih penting, ia mesti memperkatakan sesuatu
yang berlaku di zaman karya itu dilahirkan, yang menyentuh hati dan akal
fikir karyawan itu dan disampaikan dengan
penuh hemah dan; secara tersirat.
Naskah
Seng Tat boleh dilihat sebagai satu ajakan untuk melihat diri kita pada
watak-watak dan isu yang semestinya ada kaitan dengan keadaan
sosio-politik negara. Ini jelas daripada plane of events (yang tersurat) dalam LHD melalui
adegan-adegan yang melibatkan ketua kampong, ahli politik, penguat kuasa, mat
rempit, dsbnya.
LHD
bukan satira politik. Jika dilihat pada plane of discourse (yang tersirat), ia sebenarnya tentang
industri filem Malaysia – satu subjek yang menjadi
kegemaran beberapa karyawan filem (terutamanya Mamat Khalid). Petunjuk awal
berada pada tajuk filem. ‘Lelaki Harapan Dunia’ merujuk kepada sesuatu yang
mahu diangkat ke tahap yang lebih tinggi, yang diiktiraf dunia (hasrat Kerajaan
yang masih tidak tercapai).
Rumah
yang diusung oleh orang-orang kampong adalah sesuatu yang simbolik. Ramai yang
terlibat di dalam industri, namun kini sudah menjadi usang kerana ‘dirasuk’
oleh kisah hantu dan jembalang dan dicemari samseng dan mat
rempit. Jika ini berterusan, diibaratkan membakar rumah sendiri (lihat adegan
akhir filem LHD di mana ini berlaku). Maksudnya, memusnahkan sinema Malaysia. Dan
generasi baru karyawan filem yang berwibawa akan menjadi seperti orang Afrika
di dalam LHD – tidak ubah seperti pendatang haram dan tidak tahu apakah
masa depannya.
Dalam
filem Wayang, Hatta
Azad Khan menampilkan watak seorang yang kononnya alim. Ia membakar bangsal
wayang kulit kerana mendakwa patung wayang kulit itu khurafat. Watak orang alim
ini merujuk kepada seorang karyawan filem yang menganggap dirinya bijak, yang
menolak karya bersifat seni dan membawa ‘fatwa’ dia sendiri, ia itu,
filem mesti membawa keuntungan. Walhal dia inilah yang ‘memusnahkan’ industri
dengan lambakan karya yang lemah dan yang mencemar imej dan
budaya bangsa.
Seperti
Mamat Khalid dan beberapa karyawan yang lain, Seng Tat sayangkan
industri yang diceburinya. Dalam Lelaki Harapan Dunia,
Seng Tat mengutarakan
soalan: apakah kita tidak sedar bahawa kita sendiri yang menyebabkan industri
kita menjadi daif? Jika tidak dapat mengangkat martabat filem kita di negara
sendiri, bagaimanakah mahu melangkah ke persada dunia?
Liew
Seng Tat tidak ada jawapan. Dia hanya seorang tukang cerita yang
menyampaikan renungannya. Apakah usahanya dan jugrakan-rakan seangkatan
dengannya untuk membawa filem Malaysia ke persada dunia akan diiktiraf oleh
negara sendiri? Atau apakah sejarah akan berulang dan mereka akan
dijulang dan diperkatakan hanya selepas mereka sudah tiada?
Lelaki
Harapan Dunia kini ditayangkan di pawagam di seluruh Malaysia.
oleh: Hassan Abdul Muttalib
SLIDE 1: Budaya & milieu
Melayu diketengahkan.
SLIDE 2: Filem Malaysia kini dilanda cerita tahyol, bomoh & kepercayaan zaman silam. Dikaitkan dengan cerita hantu & jembalang yang tiada penyelidikan, yang hanya diceduk dari sumber yang tidak sah.
SLIDE 2: Filem Malaysia kini dilanda cerita tahyol, bomoh & kepercayaan zaman silam. Dikaitkan dengan cerita hantu & jembalang yang tiada penyelidikan, yang hanya diceduk dari sumber yang tidak sah.
SLIDE 3: Realiti isu dadah
& manusia gay dibuat dengan begitu berhemah tanpa menyentuh sensitiviti
ugama & budaya