Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


Khamis, 2 Jun 2016

AZIZ.M OSMAN - DI SEBALIK FEMINISME DAN SANG PENCERITA


Saat dijemput untuk membuat liputan tentang seorang pengarah yang disifatkan “genius” ini dari kacamata saya, saya terus teruja untuk menemubual seorang anak seni yang banyak memberi inspirasi ini dengan lebih 15 buah filem arahannya semenjak tahun 1990. Saya masih ingat akan filem “Femina” (1993) yang saya tonton di Cathay Sungai Petani berseorangan biarpun baru berusia 10 tahun. Di sebalik karya ringan ataupun serius, ada jentikan sosial dan rahsia feminisme yang cuba disampaikan. Jangan dilupa fenomena filem-filem Senario yang beliau magiskan yang masih segar sehingga hari ini dan kisah dua dunia di dalam “Fenomena” (1990) yang menjadi antara filem Malaysia terbaik di dalam sejarah pada pandangan peribadi saya. Ikuti temubual saya melalui soalan yang diajukan ketika Program Sesi Perkongsian Ilmu bersama Aziz M. Osman anjuran FDAM dan FINAS baru-baru ini yang mana mampu mengupas dimensi impak filem-filem arahan beliau dari kacamata saya sebagai insan yang mencintai filem kita.
1. Melalui karya filem seperti Fenomena, Femina, Idola, Trauma, Seri Dewi Malam, Bintang Hati dan Puteri Impian contohnya, saudara seorang yang bersisikan feminism melalui banyak karya-karya yang mengangkat kekuatan perjuangan dan konflik golongan wanita di dalam menghadapi cabaran hidup mereka demi mencapai sebuah impian. Mengapakah saudara mengangkat Interpretasi dan simbolisme kepada dunia feminism di dalam karya saudara?
Saya seorang anak emak dan berpayung di bawah penghargaan terhadap golongan wanita, keluarga, dan masyarakat yang mana kebanyakkan cerita yang saya tonjolkan adalah melalui pengalaman saya, adik-beradik saya ataupun manusia-manusia di sekeliling saya. Feminism ini mungkin boleh dilihat dari aspek kekeluargaan, kasih sayang, penyatuan dan kesabaran yang boleh diolah dengan halus melalui filem. Saya pernah pernah mengarahkan drama Anak Angkat (1993) lakonan Ida Nerina, Sidi Oraza, Allahyarham Dato’ Mahmud June dan Anne Ngasri berkisarkan kisah kekerasan dan keganasan rumahtangga dan sungguh tersiksa jiwa saya membuat karya yang sungguh tegang. Jadi, menjadi feminist boleh membuat kita lebih sensitif, peka, sedar dan faham tentang dunia di sekeliling kita yang boleh menjadi ilham dan inspirasi untuk cerita yang saya tulis. Saya juga melihat kekuatan ibu saya, Seniwati Afidah Es iaitu contoh wanita yang sangat kuat.
2. Mengapa Saudara Aziz cukup gemar melakukan lebih kerja sebagai seorang pengarah dan turut berperanan sebagai penyunting, penulis cerita , lakon layar, pelakon, alih suara, penata seni dan banyak lagi di dalam sesebuah produk dan saudara di antara karyawan serba boleh yang pernah mendapat anugerah Pengarah Terbaik ,Penyunting Terbaik, Lakonlayar Terbaik dan Penata Seni Terbaik di Festival Filem Malaysia?
Saya sangat teliti dan demanding untuk sesuatu kerja dan daripada wujud konflik untuk orang gagal menyiapkan seperti apa yang saya mahukan, lebih baik saya ambil tugas-tugas ini supaya proses kerja menjadi lancar. Saya belajar dan bermula dari bawah untuk berjaya sampai ke tahap ini dan semuanya melalui proses kematangan dan pembelajaran berterusan. Kemampuan saya untuk menjadi multitasking kerana hanya saya yang memahami apa yang saya mahukan kerana saya memang seorang ‘introvert” dan ini mengerakkan saya untuk mencuba ruang-ruang yang saya tidak pernah terokai. Saya menjadi pelakon, pengarah, penyunting dan lain-lain kerana saya ingin belajar dan daya kemahuan yang sangat tinggi melalui pembelajaran tidak formal dari kecil melalui pemerhatian, pengalaman dan pergaulan dengan insan-insan di sekeliling saya khususnya yang terlibat di dalam proses pembikinan filem. Jadi mereka yang bekerja dengan saya mesti faham apa yang saya mahukan dan sampaikan di dalam karya-karya saya.
3. Karya-karya saudara banyak menonjolkan realisme dan sosio budaya golongan pertengahan dan bawahan di dalam masyarakat yang direfleksikan sebagai anti-hero; wujud kelemahan, konflik interpersonal dan berimpian tinggi. Siri filem Senario, Gila-Gila Pengantin, XX Ray, Scoop, Baginda dan Femina adalah contoh terbaik yang mengangkat suara-suara masyarakat yang jarang diangkat sebagai subjek contohnya pekerja sarkis, penarik kereta, penebar roti canai, pemandu bas, penyanyi, wartawan, guru dan lain-lain lagi. Komen saudara?
Saya menganggap diri saya adalah seorang pencerita dan bukan pembikin filem. Jadi, cerita saya perlu jujur dan berlaku di sekeliling saya tidak kiralah melalui kisah orang atau pengalaman sesiapa dan pembacaan saya. Untuk filem Lagi-Lagi Senario, saya mengambil ilham daripada cerita Datuk Yusof Haslam yang seringkali bercerita tentang penebar roti di canai di restorannya asyik diambil orang lain manakala Senario Lagi adalah pengalaman saya sendiri mencari kereta saya yang hilang dengan insiden-insiden lain sepanjang pencarian itu. Justeru, kisah-kisah ini memang wujud di sekeliling kita dan mewakili suara masyarakat bawah yang boleh dijadikan ilham dan panduan untuk cerita yang baik. Kejujuran bercerita adalah elemen yang penting buat saya dan itu yang saya ingin sampaikan kepada penonton. Tetapi sekali-sekala juga saya bereksperimen dengan filem-filem yang lain nuansanya seperti Trauma iaitu psiko thriller dan Seri Dewi Malam yang berelemenkan komunikasi minda (psikik) untuk kepuasan peribadi.
4. Filem-filem arahan saudara di antaranya seperti Fenomena, Femina, Puteri Impian, XX Ray dan khususnya siri Senario hingga kini diminati dan sangat relevan dengan konteks masyarakat kita pada hari ini. Ini membuktikan Aziz M. Osman berkarya dengan cerita yang melangkaui masa pembikinannya dan memperjuangkan kisah masyarakat yang tidak didendang?
Alhamdulillah jika filem-filem saya diminati sehingga hari ini kerana saya percaya karya Allahyarham Tan Sri P. Ramlee diminati sehingga hari ini juga kerana kejujuran cerita masyarakat yang dibawa. Seperti yang saya maklumkan, apa yang penting ceritalah apa yang kita tahu supaya kejujuran itu sampai dan mudah difahami. Cerita-cerita saya kebanyakan berkontekskan masyarakat umum dan sosio-budayanya dan konfliknya mungkin masih sama jadi ia masih boleh dihadam oleh penonton kita pada hari ini. Semasa pratonton media filem Senario The Movie, saya minta khalayak biasa dari kawasan sekitar juga dijemput bagi mendapatkan input mereka dan jerit pekik dan ketawa mereka yang jujur membantu mewujudkan mood dan suasana kelucuan yang diinginkan. Jadi, suasana penontonan juga memainkan peranan bagi menimbulkan impak penerimaan yang lebih baik dan siapa audiens yang menontonnya. Jika dilihat filem Puteri Impian, ia berinspirasikan program realiti yang popular ketika itu, Golden Dreams berkenaan impian orang biasa iaitu gadis kilang untuk menjadi puteri raja. Saya tidak meletakkan impian itu sebagai halangan namun akhirnya gadis kilang itu memilih menjadi orang biasa kerana kebahagiaan itu adalah menjadi diri kita sendiri. Filem Fenomena menerapkan pertembungan konflik dua budaya yang akhirnya bersatu kerana nilai kemanusiaan yang kuat. Jadi, kisah-kisah ini memang berlaku di dalam realiti masyarakat kita dan mungkin inilah yang menjadikan ia dekat dan terus relevan.
5. Aziz M. Osman mengarahkan bintang-bintang filem hebat tanahair di dalam barisan filem seperti Eman Manan (Femina), Erma Fatima (Femina), AR Badul (Senario The Movie), Faizal Hussein (Fantasi) Allayarhamah Azean Irdawaty (Baginda), Susan Lankester (Femina), Jalil Hamid (Baginda) dan ramai lagi yang turut memberi impak dan nama-nama ini dicalonkan dan memenangi anugerah untuk Anugerah Skrin dan Festival Filem Malaysia. Bagaimana saudara mencipta watak-watak yang tidak bersifat stereotype buat mereka dan memberi dimensi lakonan yang berbeza?
Pelakon-pelakon ini adalah bintang seni sejati dan mereka juga sahabat-sahabat saya. Bakat dan lakonan mereka juga sangat besar dan berilah apa sahaja mereka akan beri yang terbaik kerana mereka bukan diva dan sangat berdisiplin dan serius. Keupayaan mereka mendalami watak yang dicipta buat mereka ini tentulah hasil dari pengalaman mereka yang panjang di dalam industri dan Alhamdulillah, lakonan mereka diiktiraf dan saya tentunya senang bekerja dengan insan-insan seni seperti mereka kerana mereka juga diasuh dan dilahirkan dengan sistem dan kualiti kerja yang baik oleh pengarah-pengarah filem dan drama terdahulu. Eman Manan dan Erma Fatima di dalam filem Femina diberikan watak yang lain dan mencabar dengan cerita yang berbeza yang menjadikan kelucuan dan keseriusan mereka itu sampai. AR Badul pula memang seorang seniman yang menjadi idola saya dari kecil dan kelucuan beliau sangat luar biasa dan bersifat selamba dan ini menambahkan impak kepada filem Senario yang saya arahkan. Pendek kata, saya bekerja dengan bintang-bintang yang faham akan kerja mereka dan serius di dalam kerja seni mereka. Saya bagi contoh di dalam set penggambaran arahan saya bagaimana seniwati Normadiah sanggup untuk jatuh dengan bersungguh-sungguh biarpun tidak sihat dan Tan Sri Jins Samsudin sanggup makan pedas biarpun tidak menyentuh makanan pedas secara realiti. Dedikasi bintang-bintang seni sejati ini amatlah mengagumkan.
6. Saudara Aziz M. Osman juga berjaya mencipta bintang-bintang wanita baru yang tidak mempunyai asas di dalam lakonan seperti Ramona Rahman (Fenomena), Maya Karin dan Jeslina Hashim (Seri Dewi Malam), Amy Mastura (Puteri Impian), Sharifah Aleya, Normala Samsudin dan Diana Danielle (Idola). Mengapa mempertaruhkan sesuatu yang baru biarpun risikonya besar?
Saya suka cabaran dan sesuatu yang segar. Dengan mengangkat nama-nama baru, proses kerja ini menjadi lebih mudah kerana saya tidak perlu mengikut waktu artis-artis yang popular dan menganggu pembikinan filem saya. Menjadi seorang yang introvert, saya perlu mengutamakan kerja saya dan lebih baik saya melatih orang baru dan kerja dapat dilaksanakan tanpa gangguan. Alhamdulillah, Amy Mastura dan Jeslina Hashim memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik dan Pelakon Harapan Wanita di FFM menerusi lakonan mereka. Ini membuktikan yang baru jika digilap bakatnya juga akan menjadi bintang yang bersinar.
7. Saudara Aziz cukup gemar meneroka keajaiban sains dan teknologi dan berkarya dengan elemen-elemen tersebut untuk meghasilkan filem-filem bergenre sains fiksyen yang banyak menggunakan kesan khas. Kejayaan XX Ray, XX Ray II dan Senario XX juga refleksi kepada usaha berani saudara?
Dunia sains fiksyen sememangnya adalah kiblat Hollywood dari dahulu dengan filem-filem bergenre sedemikian dan jarang sekali diangkat di Malaysia dahulu kerana faktor kos dan kajian. Peluang mengarah filem XX Ray adalah peluang keemasan kerana ia juga membuka mata khalayak tentang eksplorasi sains yang juga suatu ilmu berguna. Namun ingin saya tegaskan, apa jua genre termasuk sains fiksyen tanpa sokongan cerita dan skrip akhirnya tidak ke mana kerana kesan khas hanyalah 15%. Justeru, genre hanyalah panduan tetapi kitab penceritaan itu yang memandu filem kita untuk menjadi baik atau sebaliknya. Saya juga berpegang kepada kekuatan elemen kemanusiaan di dalam filem seperti mana filem Star Wars yang menjadi fenomena dari dahulu kerana kekuatan subjek kemanusiaan biarpun bertiangkan sains fiksyen.
8. Skrip-skrip garapan Aziz M. Osman dilihat turut menekankan elemen motivasi dan inspirasi melalui watak-watak yang dicipta. Ia sekaligus menonjolkan laungan “jangan mengalah dengan cabaran dan jangan berhenti mencuba” yang diolah secara halus. Kepentingan penceritaan sebegini dari kacamata saudara?
Saya seorang storyteller dan watak-watak yang dicipta menjadi ikon dan inspirasi kepada yang menonton dan ianya harus jujur dan dekat dengan mereka. Di dalam filem Puteri Impian contohnya, saya lambangkan bulan sebagai simbol cita-cita dan harapan bersinar, namun bulan takkan menjadi matahari kerana setiap orang berjaya dengan takdir yang berbeza. Mengapa malu menjadi gadis kilang kalau itu lebih memberi kebahagiaan daripada menjadi orang lain yang berbeza keadaanya. Ini adalah realiti yang memberikan motivasi agar tidak mengalah dengan hari ini untuk masa depan yang lebih cerah untuk hari esok. Ini adalah untuk semua orang dan siapa yang menonton mungkin dapat menjiwainya.
9. Adakah kerana ini falsafah kehidupan dan kemanusiaan serta kritikan sosial dapat disisipkan menerusi karya Aziz M. Osman yang bersifat ringan dan menghiburkan kebanyakkanya?
Orang pergi menonton di pawagam bukan untuk memberatkan kepala dan saya kena jujur dengan cerita saya. Filem yang ringan juga mampu memberi impak dengan skop dan pemahaman bersifat universal. Filem Senario Lagi ketika di Festival Filem Asia Pasifik di Fukouka juga berjaya menambat hati penonton kerana elemen komedi situasinya juga bersifat global dan boleh diterima. Pendek kata, genre apa sekalipun, storytelling itu sangat penting. Idola saya Othman Hafsham dan Mat Sentol juga mengangkat filem komedi tapi sangat-sangat memberi kesan sehingga hari ini dengan pengisian dan garapan yang lain dari yang lain.
10. Saudara Aziz juga di antara individu yang menyokong angkatan karyawan generasi baru dengan menonton filem mereka?
Sebagai pencinta filem saya tonton semua filem samaada baik atau buruk. Saya juga kagum dan hormat dengan karyawan generasi baru seperti Nik Amir, Syamsul Yusof, Syafiq Yusof, Nizam Razak, Liew Seng Tat dan lain-lain lagi yang menambahkan lagi warna kreativiti di dalam industri. Jadi kita sokonglah industri kita dengan menghormati yang lama dan menerima yang baru dan bersatu untuk pembangunan industri filem kita.
Sesi Perkongsian Ilmu dan Pengarahan bersama Aziz M. Osman pada hari itu berakhir dengan teaser trailer filem terbaru beliau XX Ray III yang jelas menunjukkan iltizam beliau dengan dunia sains fiksyen ini. Saya cukup kagum dengan bakat besar di sebalik tubuh kecil seperti tidak pernah dimakan zaman. Aziz M. Osman, seperti mana halusnya kritikan sosial di dalam filem-filemnya juga ibarat cahaya rembulan yang redup memancar dunia seni dan mencipta suatu legasi yang penuh erti. Hayatilah bait-bait ungkapan Isabella (Ramona Rahman) kepada Azlan (Dato’ M. Nasir) di dalam filem sulung arahannya Fenomena

“Jangan terlalu kecewa dengan masalah hari ini sehingga kita lupa akan kebahagiaan hari esok”

Oleh : Ahmad Syazli Muhd Khiar
Penulis adalah Pengarah Komunikasi Korporat FINAS.

0 comments :