Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


Selasa, 25 Oktober 2016

INTEGRITI PEMIUTANG PTPTN


BAJET 2017 yang diben­tang­kan oleh Perdana Men­teri, Datuk Seri Na­jib Tun Razak yang mem­be­rikan diskaun khas ke­pada peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sewajarnya disambut baik oleh lebih 650,000 peminjam di seluruh negara. Mengikut insentif berkenaan yang berkuat kuasa mulai 22 Oktober 2016 hingga 31 Disember 2017 itu, diskaun khas yang diberikan adalah berdasarkan kepada skima berikut:
  • 15 peratus atas baki hutang bagi penyelesaian penuh;
  • 10 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus dari baki hutang dengan sekali bayaran; dan
  • 10 peratus untuk bayaran balik yang diatur melalui potongan gaji atau potongan terus dari bank mengikut jadual bayaran balik yang telah ditetapkan.
Isu ketegasan PTPTN menyenarai hitam pemiutang di dalam Sistem Maklumat ­Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) telah menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat, bukan sahaja dalam kalangan peminjam tetapi juga ibu bapa termasuk aktivis masyarakat dengan ada pihak yang menyokong dan sebahagian besar lain menentangnya.

Polemik yang berterusan ini menyebabkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh memberi jaminan bahawa pihak PTPTN tidak sekali-kali akan men­ganiaya peminjamnya dan sesiapa yang merasa dirinya telah ter­aniaya boleh datang menemui ­beliau.


Sejak Akta Institusi Pendidikan Swasta 1996 diluluskan dan PTPTN mula diperkenalkan pada 1997, lebih 650,000 peminjam menikmati kemudahan itu dan laporan akhbar tempatan memetik bahawa sepanjang 2015 sejumlah RM7 bilion pinjaman dapat dikutip kembali ataupun 46 peratus daripada RM15.1 bilion yang sepatutnya dibayar peminjam. Laporan akhbar pada 30 November 2015 pula menyebut bahawa seramai 167,000 peminjam telah disenarai hitam di bawah sistem CCRIS dan ini adalah angka yang cukup besar.

Masalah keliatan membayar hutang adalah masalah universal yang mana menurut laporan Federal Reserve Bank of New York, Amerika Syarikat (AS) dalam laporannya bahawa pada Julai 2015, terdapat enam peratus daripada 6.9 juta peminjam pelajaran tinggi AS yang tidak membayar balik pinjaman pengajian yang mana ia adalah bebanan kepada kerajaan AS dan jumlah pinjaman yang ­telah dikeluarkan setakat tarikh itu adalah AS$1.19 trilion.

Fenomena yang sama turut berlaku di Jepun iaitu negara yang sentiasa dikagumi kerana tahap akauntabiliti yang tinggi dalam kalangan rakyatnya yang mana laporan oleh Japan Student Services Organization menyebut daripada 1.43 juta peminjam pengajian tingginya, terdapat 330,000 pemiutang atau 23 peratus yang masih mempunyai bayaran tertunggak iaitu satu angka yang dikira besar bagi sebuah negara berpendapatan tinggi yang mempunyai penduduk seramai 127 juta orang itu.


Apa yang dikesalkan sikap segelintir peminjam yang liat membayar hutang ini walaupun telah mempunyai pekerjaan tetap. Bagi peminjam beragama Islam, kewajipan untuk membayar balik pinjaman itu adalah sesuatu yang wajib sebagaimana ditegaskan ­Allah SWT yang bermaksud: “... Dan penuhilah janji (dengan Allah dan manusia) kerana janji itu pasti diminta pertanggungjawabannya.” - (surah al-Isra’ ayat 34).

Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) 2015 yang dijalankan Kementerian Pendidikan Tinggi pada 2015 menunjukkan terdapat 77.5 peratus daripada graduan telah pun bekerja sementara 22.5 peratus masih belum bekerja. Jika diambil angka ini sebagai ukuran dan kesedaran yang tinggi akan obligasi untuk membayar hutang, maka sudah pasti tindakan drastik untuk menyenarai hitamkan pemiutang dalam CCRIS ini tidak perlu untuk dilakukan.

Menyenarai hitamkan pemiutang dalam CCRIS seperti yang berlaku kepada lebih 167,000 peminjam sekaligus akan ­menyebabkan peluang mereka untuk memohon pekerjaan di sektor-sektor perbankan dan kewangan terjejas kerana Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (Akta 372) melarang mereka yang mempunyai masalah kewangan itu untuk bekerja di sektor ber­kenaan dan ini akan menambah lagi masalah lambakan pengangguran graduan di pasaran pekerjaan. Kekangan CCRIS ini turut menyukarkan anak-anak muda ini membuat permohonan pinjaman di bank sekiranya ingin memulakan perniagaan secara kecil-kecilan dan meneroka bidang keusahawanan demi untuk membina sebuah kehidupan.


Justeru, satu penyelesaian yang ideal adalah untuk PTPTN mendekati pemiutang secara mesra pemiutang dengan membuka ruang seluas-luasnya untuk mereka ini membuat pembayaran minimum mengikut tahap kemampuan peminjam dan juga melaksanakan kempen-kempen tentang kebertanggungjawaban mereka sebagai pemiutang secara berkala.

Sebagai sebuah agensi kerajaan di bawah naungan kepimpinan negara yang mementingkan kebajikan kepada rakyatnya, tindakan CCRIS tanpa mengambil kira sama ada seorang graduan itu telah atau belum lagi mendapat pekerjaan sewajarnya adalah pilihan yang terakhir. Ini kerana tindakan sedemikian hanya menambah ke­sengsaraan kepada para graduan yang masih menganggur terutama mereka yang datang dari keluarga miskin yang memerlukan bantuan dan pembelaan.

Akhir bicara, marilah kita berdoa mudah-mudahan ekonomi negara ini akan terus makmur serta berupaya membuka lebih banyak peluang pekerjaan untuk anak-anak kita mendapat pekerjaan dan semoga Allah SWT membuka hati pemiutang PTPTN ini untuk menyempurnakan tanggungjawab membayar kembali pinjaman pelajaran masing-­masing demi untuk kebajikan gegenerasi seterusnya.

PENULIS ialah Timbalan Pengarah di Institut Integriti Malaysia (IIM).
Artikel ini merupakan artikel pilihan yang telah dicetak dalam akhbar Utusan Malaysia pada 25 Oktober 2016. Ia dimuatkan dalam blog ini adalah sekadar untuk bacaan dalam talian, bukan untuk di komersialkan. 

0 comments :