Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


Khamis, 20 Oktober 2016

MERENTASI GELORA & KEMBARA SANG SUTRADARA : U-WEI HJ SAARI


Penulis sifatkan sutradara tersohor ini sebagai seorang seniman yang tebal jiwa bangsanya, halus kelana seninya dan tinggi letusan karyanya. Emosi Kakang dalam Kaki Bakar yang menjadi filem pertama Malaysia ke Festival Filem Cannes seakan refleksi dirinya; kembara seorang pejuang yang faham amukan kehendak dan maruah diri lantas mengembara serata dunia dan festival antarabangsa dengan citra seni dan budaya sebuah filem. Berpeluang bertemu dirinya untuk ditemubual di FINAS merupakan detik keemasan yang tidak harus dilepaskan kerana sewaktu Perempuan, Isteri &.. ditayangkan pada 1993, penulis yang baru berusia 9 tahun hanya faham akan gelora dan rintihan Zaleha lakonan Sofia Jane; suatu isu “taboo” yang diangkat cemerlang oleh insan hebat ini. Perbualan kami turut disertai sahabatnya, seniman Sabri Yunus yang turut mengupas spektrum individu yang cukup dihormati di dalam dan luar negara. U-Wei Hj Saari berkongsi rasa, gelora dan cerita berteman guruh dan air hujan ketika itu; sebuah metafora sang sutradara terbilang Perempuan, Isteri & …, Black Widow- Wajah Ayu, Jogho, Kaki Bakar, Buai Laju-Laju dan Hanyut ini.

S1. Filem-filem Uwei besar jiwanya dengan mengangkat karya bertunjangkan jatidiri, sosio budaya dan citra bangsa sehingga menjelajah ke pentas dunia seperti Kaki Bakar, Buai Laju-Laju dan Hanyut contohnya. Uwei Hj Saari sinonim dengan karya-karya bersemangat ‘tuan tanah”, perihal bangsaku dan tanahairku?
U-Wei: Filem bagi saya besar jiwanya dan membawa erti kebenaran dan perlu diceritakan dengan jujur. Filem-filem saya ada jatidirinya dan mengambil semangat bangsa sendiri; ianya merantau, mengembara, berkelana tapi tidak lupa mana tanah yang dipijaknya. Filem saya juga mungkin bersifat sebegitu juga, ceritanya masih tentang kita tapi mampu mengembara seperti mana yang dibawakan semangatnya.

S2. Karya-karya U-Wei secara zahirnya ada yang menonjolkan spektrum bangsa dari sisi yang bersifat taboo seperti seksualisme, amuk, dendam, kuasa seperti di dalam Perempuan Isteri &, Kaki Bakar atau Buai Laju-Laju. Mengapa elemen ‘taboo’ yang dirungkai di sebalik kekuatan yang ada di dalam bangsanya?
U-Wei: Harus diingat, keburukan dan kelemahan adalah dua perkara yang berbeza di mana saya tidak sesekali melacurkan keburukan bangsa namun jika “taboo” ini dilihat sebagai kelemahan, ia juga perlu dilihat sebagai mesej dalaman berkaitan kekuatan-kekuatan lain bagi menampung kelemahan tersebut. Jika kita kaji Kakang di dalam Kaki Bakar, kelemahan beliau bukanlah satu tabiat tetapi nilai “bakar” bagi beliau ialah membersihkan kekotoran pada pandangan matanya. Kekuatan seorang ketua keluarga mempertahankan maruah dan menerapkan kesatuan melalui adab dan agama adalah lebih mutlak jika dikaji kerana nilai itu lebih dominan dari kelemahan yang diceritakan. Zaleha di dalam Perempuan, Isteri &.. pula jika dinilai melebihi elemen seksualnya kerana wanita malang sepertinya mangangkat “kematangan” dan “kecerdikan” dan membuka dimensi baru kepada komuniti tanpa menjadi biadap atau kurang ajar. Nilai-nilai dominan seperti kepercayaan, kekuatan, kesatuan, kesantunan dan kekeluargaan di dalam karya-karya saya adalah melebihi kelemahan yang berdasarkan kebenaran. 

S3. Jika dianalisa, pembangunan perwatakan wanita di dalam karya-karya U-Wei seperti Zaleha (Perempuan, Isteri & …), Minah (Jogho), Zaiton (Buai Laju-Laju) juga bersifat maskulin secara batiniah; matang, kuat, berani, dominan biarpun berpayung di bawah sistem yang mengangkat kaum lelaki secara zahirnya. Mereka juga adalah pelengkap kepada kelemahan watak-watak lelaki yang lebih bersifat feminis secara batiniahnya; mudah bergelora, emosional ataupun melatah?
U-Wei: Ya, wanita-wanita ini diangkat bukan sebagai simbol kelemahan kerana mereka adalah kekuatan kepada sesebuah sistem yang masih kuat jatidiri adab dan sopannya. Kematangan dan kecerdikan wanita adalah sangat mengujakan yang mewarnai nilai sesebuah bangsa yang boleh diterjemah sebagai pendukung kepada lelaki. 


S4. Berdiri sebagai karya-karya bertunjangkan cerita yang “straightforward” tentang komuniti dan budaya masyarakat setempat, U-Wei berjaya menterjemah yang saya faham seakan kisah sebuah “kampung” ke “kampung” yang tenang luarannya tapi penuh gelora dan warna. Signature U-Wei ini jelas dengan pembangunan cerita dan skrip yang berpaksikan “realisme” seperti adaptasi Jogho mengenai komuniti laga lembu di Selatan Thailand, Kaki Bakar dengan tradisi nilai Jawa dan falsafahnya ataupun Perempuan, Isteri &…yang menonjolkan pertembungan ideologi moden di sebuah desa yang kuat adatnya?
U-Wei: Sesebuah filem yang baik bagi saya resipinya mestilah berkiblatkan skrip dan cerita yang kuat. Sebagaimana saya suka menceritakan kebenaran dan kejujuran, kisah masyarakat ini juga punyai nilai-nilai yang boleh diterjemah menjadi sebuah filem yang baik dan menembusi sinema dunia. Jadi, proses penceritaan ini yang amat penting sekali supaya impak dan kesan penontonan itu bukan untuk sesuatu komuniti sahaja sebab filem bersifat sejagat dan universal biarpun beridentitikan nilai dan kisah tempatan. 

S5. Ending scene bagi karya-karya U-Wei kebanyakkanya menonjolkan kesan penamat seperti kematian, kelemahan, kejatuhan bagi karakter utama yang mana elemen harapan seperti kurang ditonjolkan?
U-Wei: Ia boleh disifatkan sebagai pengorbanan yang menggambarkan kesucian dari satu dimensi yang lain. “Berundur bukan bererti kalah , hanyut jangan sampai lemas.

S6. Metafora dan simbolisme alam sangat kuat dan bersatu di dalam karya-karya U-Wei di mana elemen tanah, sungai, air, hujan, rumah sentiasa ditonjolkan?
U-Wei: Ya, ia ibarat ilmu alam yang menggambarkan perlambangan cerita. Tanah refleksi kepada penempatan di mana ia menggambarkan sosio budaya masyarakat di tanah yang berbeza dan sungai mewakili perjalanan dan harapan sesuatu watak kerana sungai sentiasa mengalir menuju pengakhiran.

S7. Kekuatan karya-karya U-Wei turut dinyawakan oleh barisan aktor bukan komersial seperti Khalid Salleh, Eman Manan, Normah Damanhuri, Nasrizal Ngasri, Azizah Mahzan, Sabri Yunus, Nasir Bilal Khan, Thumb Suhaimi, Ismail Yaacob dan lain-lain lagi namun berjaya memenangi anugerah di peringkat nasional dan antarabangsa. U-Wei juga berjaya menterjemah bakat hebat Sofia Jane di dalam industri melalui watak ikonik Zaleha di dalam filem Perempuan, Isteri &…..
U-Wei: Kemampuan mengemudi watak-watak adalah bergantung kepada kekuatan skrip dan cerita dan naskhah ini juga menuntut aktor-aktor ini menterjemah pengalaman dan ilmu yang ada bagi menjadikan ia berkesan. Harus diakui, aktor-aktor ini sudah terlibat lama di dalam industri dan pengalaman serta ilmu mereka juga luas yang bila digabungkan dengan skrip dan cerita yang baik akan menjadikan naskhah ini bertambah baik. Khalid Salleh umpamanya sudah terlibat lama dalam teater dan TV jadi beliau menguasai disiplin lakonan dan ilmu sebagai seorang aktor; dari Mamat (Jogho) kepada Kakang (Kaki Bakar) kepada Ibrahim (Buai Laju-Laju) sehinggalah Orang Kaya Tinggi (Hanyut), kebijaksanaan beliau sangat terserlah. Bercakap tentang Sofia Jane, ya beliau aktor yang bijak dan rajin mencari ilmu bagi meneroka dimensi lakonan bernyawa yang dituntut dan bakat beliau juga sangat besar. Saya juga mengakui betapa hebatnya Nasrizal Ngasri sebagai seorang aktor kanak-kanak yang mengemudi filem Kaki Bakar dan memberi nyawa kepada filem tersebut.
Sabri Yunus: Ya, bekerja dengan pengarah bernama U-Wei Hj Saari ini menjadikan kita lebih menghormati disiplin sebagai seorang pelakon yang harus mengusai naskhah dan mengusai lakonan. Kita harus berjiwa besar bagi memberi nyawa kepada lakonan tersebut dan Alhamdulillah, sepasukan dengan U-Wei memberi peluang untuk kita meluaskan lagi pembelajaran dan ilmu yang saya pratikkan sehingga hari ini sebagai pelakon dan pengarah. Naskhah U-Wei ini halus dan perlu difahami dan dikupas supaya kita memahami apa yang ingin dinyawakan dan divisualkan.

S8: Pesanan U-Wei untuk pembikin filem generasi baharu yang turut menjadikan U-Wei sebagai rujukan?
U-Wei : Saya melihat karyawan muda yang berpotensi seperti contoh mereka karyawan muda di belakang yang merealisasikan filem Songlap dan Terbaik Dari Langit. Bagi saya berkarya mesti ada nafsu, mesti ada ilmu, mesti ada guru. Akhirnya guru terakhir yang betul adalah diri sendiri yang paling mengenali siapa kita. Teruskan mencari ilmu dan mencari jiwa itu.

Penulis menutup perbualan yang ada bersama U-Wei Hj Saari ini dengan seribu satu pengalaman biarpun berlangsung selama 2 jam sahaja. Tenaga, jiwa dan minda beliau sangat luar biasa dan melihat karya-karya beliau sebelum ini, ada seakan semangat yang terus dibakar buat anak-anak muda harini. Semoga karya terbaru beliau “Hanyut” yang akan ditayangkan bermula 24 November 2016 ini memberi cahaya inspirasi kepada kita bagi mencari sesuatu yang pernah kita tinggalkan.
Biar Hanyut Tidak Lemas

Oleh : Ahmad Syazli Muhd Khiar
Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Korporat FINAS.

0 comments :