Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


Jumaat, 21 Oktober 2016

TERUKIR DI BINTANG: LEGASI SENI FILEM MELAYU, TERUNGGUL DI MATA PENGKARYANYA.

Dalam tempoh 28 tahun penganjurannya, Festival Filem Malaysia (FFM) melalui pelbagai cabaran, suka duka, kenangan dan ceritanya tersendiri. Kemunculan beberapa nama individu samada pelakon, pengarah, penulis skrip, krew produksi, pengarah sinematografi sehinggalah kepada 'tukang pembuat air', menjadikan FFM tidak lekang dengan cerita dan kisahnya, malahan pada tahun 1980, sejak pertama kali dianjurkan, Festival Filem Malaysia ketika itu dikenali sebagai Pesta Filem Malaysia. Pesta Filem Malaysia melalui 8 frasa penganjurannya sebelum namanya diubah dan dijenamakan kembali sebagai Festival Filem Malaysia pada tahun 1991 dengan penganjuran FFM ke 9, pada 2 Jun 1991.  

Diwujudkan atas dasar keprihatinan dan minat sekumpulan wartawan terhadap industri filem tempatan, Pesta Filem Malaysia melabuhkan tirainya buat kali pertama pada 13 April 1980. Persatuan Wartawan Hiburan Malaysia (EJA) mengambil tanggung jawab dengan menganjurkan Pesta Filem Malaysia Pertama (1980) apabila Hotel Hilton Kuala Lumpur dipilih sebagai lokasi penganjuran bagi meraikan sekaligus memartabatkan dunia sinema tempatan walaupun ketika itu industri filem baru berusia 47 tahun jika diimbas kembali dalam sejarah kemunculan filem-filem melayu klasik era 30an hinggalah kemunculan beberapa buah  filem dalam bentuk warna pada tahun 1974, setelah 40 tahun sinema melayu dipelopori dengan filem-filem hitam putih yang kebanyakkannya diterbitkan oleh beberapa syarikat filem terbesar seperti Shaw Brothers (Malay Film Production, Jalan Ampas), dan Cathay Keris. Beberapa syarikat lain yang muncul ketika itu sedikit sebanyak mewarnai sinema melayu yang kebanyakkannya diarahkan oleh pengarah bukan berbangsa melayu, seperti B.S Rajhans, L.Krishnan, B.N Rao, Dhiresh Ghosh, Phani Majumdar, Ramon Estella, K.M Basker dan ramai lagi.
 
Bermula dengan filem ‘Laila Majnun’ yang diarahkan oleh B.S Rajhans pada tahun 1933, sinema melayu ketika itu hanya menerbitkan beberapa buah filem dalam kualiti hitam putih di mana M.Suki, Fatimah Jasmin, dan Syed Ali Mansoor Al Attas sebagai teraju utamanya. Kemunculan P.Ramlee sebagai pelakon menerusi filem pertama lakonannya, Chinta pada tahun 1948, berjaya meletakkan namanya sebagai ‘bintang filem’. Chinta arahan B.S Rajhans ini juga menampilkan Siput Sarawak, S.Roomair Noor dan P.Ramlee sebagai bintang utama. Setelah berlakon hampir beberapa buah filem, P.Ramlee mula terlibat dalam dunia pengarahan menerusi karya pertama sentuhannya, Penarek Becha, 1955.

Kegemilangan filem melayu klasik bermula dengan kehadiran beberapa pelakon, merekalah seniman dan seniwati lagenda tanahair. P.Ramlee, Mustaffa Maarof, Aziz Sattar, S.Shamsuddin, Salleh Ghani, Siput Sarawak, Kasma Booty, Neng Yatimah, Zaiton, Saadiah, Osman Gumanti, Rosnani Jamil, Latifah Omar, Momo Latiff, Mariani Ismail, Nordin Ahmad, Maria Menado, Normadiah, Aziz Jaafar dan ramai lagi, antara bintang filem yang menjadi pujaan ketika itu. Setiap dari mereka mempersembahkan mutu lakonan yang tiada tandingannya, penuh memikat, dan menyusuk jiwa, malahan menjadi antara bintang filem yang cukup di segani dalam arena seni filem nusantara.


Istilah ‘bintang filem’ merujuk kepada ‘penghayatan seseorang pelakon dalam mempersembahkan gaya lakonan yang berkesan di samping disiplin diri yang cukup kuat’, serta gaya hidup mereka tidak seperti pelakon dan selebriti masa kini yang boleh kelihatan di mana jua, berbeza dengan bintang-bintang di Studio Jalan Ampas, Singapura. Sekiranya di lihat dalam industri filem dan hiburan pada era globalisasi kini, kita sukar mencari seorang pelakon yang boleh di gelar ‘bintang filem’, kerana ia sudah hilang di telan zaman, tetapi kebanyakkan daripada pelakon kita layak digelar ‘pelakon filem atau drama’, bukannya ‘bintang filem’.

Setelah penutupan Studio Jalan Ampas, Singapura pada tahun 1967 dengan penghijrahan seniman lagenda P.Ramlee ke Studio Merdeka, Kuala Lumpur, perubahan dalam industri filem melayu mengalami kemerosotan yang amat kritikal. Karya-Karya P.Ramlee pada ketika itu dilihat tidak relevan dan ketinggalan zaman, namun pada zaman kini, karya sentuhannya itulah menjadikan beliau antara Tokoh Perfileman Melayu Terunggul di rantau asia dengan ratusan karya malar segar yang sentiasa bermain di beberapa stesen televisyen di Malaysia mahupun di Singapura.


Filem Melayu Klasik melahirkan ratusan karya muzik melayu yang menjadi lagu dan  muzik latar dalam kebanyakkan filem-filem melayu era Studio Jalan Ampas dan Cathay Keris. Kemunculan beberapa penyanyi lagu latar dalam filem seperti Nona Asiah, Momo Latiff, Mimi Loma, Rubiah, Rokiah Wanda, R.Ismail, Julie Sudiro, Saloma, P.Ramlee dan sebagainya menjadikan muzik melayu cukup popular dan beberapa lagu dalam filem dirakamkan semula dalam bentuk piring hitam. 

Setelah filem melayu dihasilkan dalam bentuk hitam putih, kemunculan beberapa filem dalam bentuk warna di kesan pada era 70an, walaupun ada beberapa penerbit filem masih menghasilkan naskhah mereka dalam bentuk hitam putih.  Pemergian P.Ramlee pada tahun 1973, menjadikan legasi seni hitam putih terhenti dengan pengenalan filem dalam bentuk warna oleh Studio Merdeka (Merdeka Film Production). Permintaan Terakhir (1974) merupakan filem warna yang pertama di terbitkan oleh Studio Merdeka, di mana filem ini menampilkan Uji Rashid dan Sony Abdullah dan ia diarahkan oleh Jamil Sulong. Era filem warna mula mengorak langkah dengan jayanya seawal tahun 70an hinggalah zaman kemasyurannya pada tahun 1980 apabila buat pertama kalinya dalam sejarah sinema melayu, hasil kerja penggiat seni tanahair diiktiraf dalan satu pesta, dinamakan Pesta Filem Malaysia. 


Pesta Filem Malaysia Pertama diadakan pada tahun 1980, di mana ia telah mengiktiraf Seniman Jins Shamsuddin dan Azean Irdawaty sebagai Bintang Filem. Jins Shamsuddin yang memenangi tiga anugerah pada malam itu antaranya ‘Filem Heavy Drama Terbaik, Sutradara Terbaik, dan Aktor Terbaik’ melalui filem keempat arahannya Tiada Esok Bagimu. Azean Irdawaty yang pertama kali berlakon filem melalui karya Esok Masih Ada dinobatkan sebagai Aktress Terbaik. Esok Masih Ada, arahan Jins Shamsuddin, juga memenangi anugerah jurukamera terbaik melalui sentuhan S.Mohan. Filem Adik Manja arahan Othman Hafsham pula memenangi anugerah komidi terbaik, Aktres Pembantu Terbaik (Adibah Amin), dan Skrip Terbaik (Othman Hafsham). 

Kegemilangan seni filem melayu mula menampakkan sinar kejayaannya, mengantikan era Studio Jalan Ampas, Singapura melalui penyertaan Studio Merdeka dalam bidang penerbitan filem. Kesannya beberapa syarikat produksi filem lain mula menunjukkan taring cahayanya bagi merancakkan sinema melayu yang kian hilang tetapi kembali mewarnai segenap jiwa penonton dan peminat filem ketika itu.  Kehangatan karya Jins Shamsuddin pada era 80an menjadikan dirinya antara ‘bintang filem’ yang mencipta kejayaan dan fenomena luar biasa apabila trofi Pelakon Lelaki dan Pengarah Filem di menanginya buat kali pertama di Pesta Filem Malaysia Pertama (1980). Kehebatan Jins Shamsudin setanding dengan Seniman Agung P.Ramlee yang juga pernah memenangi Pelakon Terbaik di dalam Majalah Filem Raya Malaya pada tahun 1953, Hujan Panas. Setelah itu, kerjaya seni Jins Shamsuddin mula mengorak langkah bagaikan ‘sekuntum bunga yang mekar, menari mengikut arah angin dan terbang tinggi di awan’.
..... nantikan sambungan ceritanya dalam edisi seterusnya..

oleh: Amy Ikram
© 2016 Semua Hak Cipta Penulisan Kreatif adalah terpelihara milik penulis. Sebarang cetakan semula dalam apa jua platform sekalipun tanpa kebenaran penulis adalah dilarang. 
 

0 comments :